Yusuf Ibni Tasyfin, Penyelamat Dan Penyatu Kerajaan Umat Islam Di Andalusia Dan Afrika Utara

1550
views

Jika kita mendalami catatan sejarah umat Islam di Afrika Utara dan Andalus (wilayah Islam Sepanyol), pastinya nama Yusuf ibni Tasyfin akan muncul. Tokoh pemimpin Islam daripada dinasti Murabitun tersebut bukanlah berbangsa Arab, tetapi beliau berbangsa Berber daripada puak Sonhaji di Afrika Utara yang hidup sekitar abad ke-11. Beliau adalah seorang pemimpin yang bijaksana, amanah, warak dan handal di medan perang. Beliau sentiasa mendapatkan nasihat daripada para ulama dan fuqaha’ dalam pemerintahannya. Beliau adalah antara individu yang berpengaruh besar dalam sejarah umat Islam di Afrika Utara dan Andalus. Sebelum dibincangkan mengenai latar belakang dan sumbangan tokoh tersebut, adalah wajar bagi kita menelusuri secara ringkas sejarah latar belakang dan keadaan umat Islam di Afrika Utara dan Andalus sebelum dan ketika zamannya.

Pengenalan ringkas mengenai kedatangan Islam di Afrika Utara dan Andalus

Sebelum penulis membincangkan mengenai dinasti Murabitun, seeloknya penulis menerangkan tentang sejarah kedatangan Islam di Afrika Utara dan Andalus. Pada zaman Nabi Muhammad SAW sekitar abad ke-7, baginda pernah mengarahkan seorang sahabat baginda, Hatib bin Abi Balta’ah RA menghantar surat dakwah baginda kepada pemerintah Mesir ketika itu iaitu Muqauqis. Malangnya, Muqauqis tidak menerima seruan dakwah tersebut tetapi beliau menolaknya dengan cara yang baik. Beliau telah memuliakan utusan Nabi Muhammad tersebut dan mengirimkan hadiah beserta dua orang jariah (hamba wanita) untuk dibawa kepada Nabi Muhammad SAW. Melalui perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan salah seorang jariah tersebut iaitu Mariyyah al-Qibtiyyah, mereka dikurniakan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ibrahim. Malangnya, bayi tersebut meninggal dunia ketika kecil.

Seterusnya, ketika zaman pemerintahan Umar ibni al-Khattab RA sebagai Khalifah ar-Rasyid yang kedua, Mesir telah berjaya dibuka dalam ekspedisi ketenteraan pimpinan ‘Amr ibn al-‘As RA (tahun 637) dan beliau telah dilantik sebagai Gabenor Mesir yang pertama. Pembukaan Mesir oleh tentera Islam pada zaman tersebut membuka ‘pintu masuk’ kepada penyebaran syi’ar Islam di sepanjang Afrika Utara sehingga ke Maghribi (Morocco). Turut menganut agama Islam ialah bangsa Berber yang mendiami sepanjang wilayah-wilayah tersebut. Antara orang Berber muslim yang berpengaruh dalam sejarah umat Islam ialah Tariq ibni Ziyad. Tariq ibni Ziyad adalah panglima perang Islam yang berjaya mengetuai bala tentera Islam membuka wilayah Andalus di Sepanyol ketika zaman pemerintahan Khalifah Umayyah yang keenam iaitu al-Walid bin Abdul Malik pada tahun 711. Seramai belasan orang gabenor silih berganti dilantik memerintah wilayah Andalus sehinggalah kejatuhan pusat pemerintahan Khilafah Bani Umayyah di Damsyik pada tahun 750 Masihi.

Pada tahun 756, waris daripada khilafah Bani Umayyah berjaya dibawa lari ke Andalus dan dilantik sebagai Amir dan bermulalah sambungan pemerintahan dinasti Bani Umayyah di Andalus. Pada masa yang sama, sekitar abad ke-10, munculnya Kerajaan Fatimiyyah yang beraliran Syi’ah Isma’iliyyah berpusat di Kaherah, Mesir. Pada abad yang sama juga, dunia umat Islam ketika itu mula wujud tiga buah pemerintahan khilafah iaitu Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad, Fatimiyyah yang berpusat di Kaherah dan Umayyah yang berpusat di Kordoba (Cordova). Ini bermaksud, ketika itu, dunia umat Islam mempunyai tiga orang khalifah dalam satu-satu masa di tiga buah benua yang berbeza.

Kejatuhan Kerajaan Bani Umayyah di Andalus pada tahun 1031 menyebabkan wilayah Andalus berpecah kepada hampir 30 buah kerajaan umat Islam yang kecil. Pada abad ke-11 tersebut, wilayah Andalus diperintah oleh puluhan orang pemerintah atau raja yang mempunyai wilayah pentadbiran mereka sendiri. Mereka dikenali sebagai Muluk at-Tawa’if. Mereka saling berperang sesama sendiri untuk meluaskan atau mempertahankan wilayah masing-masing tetapi kesemua kerajaan umat Islam tersebut mempunyai musuh yang sama iaitu Kerajaan Kristian Leon-Castille pimpinan Raja Alfonso VI. Satu persatu wilayah Islam Andalus berjaya ditaklukinya sehinggalah timbul kesepakatan dalam kalangan beberapa orang pemerintah kerajaan Islam Muluk at-Tawa’if bersetuju untuk meminta bantuan ketenteraan daripada Yusuf ibni Tasyfin, pemerintah dinasti Murabitun yang berkuasa di Afrika Utara ketika itu.

Dinasti Murabitun dan latar belakang Yusuf ibni Tasyfin

Sekitar abad ke-11, munculnya segolongan ahli ibadat (‘abid) yang juga golongan pahlawan daripada kalangan bangsa Berber etnik Sonhaji, Lamtuna dan Masmudah di wilayah Afrika Utara membentuk sebuah pasukan ketenteraan yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah kerajaan. Menurut pandangan sesetengah sejarawan, istilah ‘rubat’ atau ‘ribat’ bermaksud sebuah madrasah tempat solat atau sebuah kubu yang dipersiapkan bagi tujuan peperangan jihad. Oleh itu, istilah ‘murabitun’ merujuk kepada golongan ‘abid yang tekun beribadat di dalam ‘rubat’ atau ‘ribat.’ Mereka sememangnya golongan agamawan yang bermazhab Maliki. Antara pengasas awal kumpulan tersebut ialah seorang pemimpin dalam kalangan mereka iaitu Yahya bin Ibrahim dan juga Abdullah bin Yasin.

Abdullah bin Yasin merupakan seorang ulama tasawwuf yang bermazhab Maliki dan juga berperanan sebagai ‘Pemimpin Keagamaan’ golongan tersebut atau dalam bahasa mudahnya seperti ‘Mursyid al-‘Am’ (Spiritual Leader / Religio-Political Leader). Ketika Abdullah bin Yasin bertindak sebagai ‘Pemimpin Keagamaan’ mereka, golongan tersebut dipimpin oleh Yahya bin Umar. Mereka kemudiannya menjalankan ekspedisi ketenteraan menakluk wilayah-wilayah di Afrika Utara. Apabila Yahya bin Umar terkorban dalam satu misi ketenteraan, maka adiknya, Abu Bakar bin Umar dilantik menggantikan tempatnya. Turut sama dilantik memimpin golongan tersebut ialah sepupunya iaitu Yusuf ibni Tasyfin. Tentera Murabitun berjaya menawan Maghribi sehingga jatuhnya pusat pemerintahan kerajaan dinasti Idrisiyyah di Fez yang kucar-kacir ketika itu dan mereka telah mengasaskan sebuah bandar Marrakesh yang dijadikan pusat pemerintahan mereka.

Setelah Abu Bakar meninggal dunia, Yusuf ibni Tasyfin mengambil alih sepenuhnya jawatan sebagai pemimpin Kerajaan Murabitun yang berkuasa di Afrika Utara terutamanya di Maghribi. Menjelang tahun 1082, satu persatu wilayah di Afrika Utara berjaya ditawan oleh tentera Murabitun di bawah pimpinan Yusuf ibni Tasyfin seperti Ceuta, Algiers dan bandar-bandar di sepanjang pantai Laut Mediterranean.

Permohonan bantuan ketenteraan daripada kerajaan-kerajaan umat Islam di Andalus

Sekitar tahun 1080, kerajaan-kerajaan umat Islam (Muluk at-Tawa’if) di Andalus menghadapi ancaman kemaraan bala tentera Kristian di bawah pimpinan Raja Alfonso VI. Dua pilihan terpaksa dipilih oleh para pemimpin kerajaan umat Islam di Andalus ketika itu iaitu sama ada menyerah kalah kepada Raja Alfonso VI atau memohon bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Murabitun yang berkuasa di Afrika Utara. Pada mulanya mereka berasa bimbang kerana sekiranya mereka memohon bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Murabitun, kemungkinan Kerajaan Murabitun juga akan menakluk wilayah mereka. Pemerintah Muluk at-Tawa’if yang pertama memohon bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Murabitun ialah al-Mutawakkil iaitu pemerintah Kerajaan Aftasiyyah di wilayah Badajoz, tetapi pemimpin Kerajaan Murabitun, Yusuf ibni Tasyfin menolak rayuan tersebut.

Disebabkan keadaan mendesak, maka pemerintah Kerajaan Bani Abbad, Muhammad II al-Mu’tamid telah menyeru para pemerintah kerajaan umat Islam di sekitar wilayahnya iaitu al-Mutawakkil, pemerintah Kerajaan Aftasiyyah di Badajoz dan Abdullah az-Ziri, pemerintah Kerajaan Bani Ziri di Granada, sama-sama menghantar utusan mereka untuk memohon bantuan ketenteraan daripada Yusuf ibni Tasyfin di Maghribi. Menurut al-Mu’tamid, beliau lebih rela menjadi pengembala unta di Afrika daripada menjadi penternak babi di Castille. Ini bermaksud beliau lebih rela menjadi hamba kepada pemerintah kerajaan umat Islam yang lain daripada menjadi tawanan kepada kerajaan Kristian. Kali ini Yusuf menerima rayuan bantuan ketenteraan daripada para utusan tersebut tetapi dengan syarat wilayah Algeciras di Andalus diberikan kepadanya dan beliau berjanji tidak akan menakluk wilayah-wilayah kerajaan umat Islam yang memohon bantuan kepadanya.

Persetujuan antara kedua-dua belah pihak dicapai dan para utusan tersebut kembali ke wilayah masing-masing. Sebelum memulakan ekspedisi ketenteraan menyeberangi Selat Gibraltar ke Semenanjung Iberia (Andalus), Yusuf mendapatkan nasihat daripada para ulamanya berkenaan bantuan tersebut. Para ulamanya mengeluarkan fatwa membenarkan ekspedisi ketenteraan tersebut diteruskan.

Peperangan Zallaqa

Pada bulan Jun 1086, Yusuf dan bala tenteranya menjejakkan kaki buat pertama kali di Andalus. Yusuf bertemu dengan para pemimpin kerajaan umat Islam yang meminta bantuannya dan bersekutu dengan bala tentera mereka. Bala tentera Islam bersekutu yang seramai 20,000 orang bertemu dengan bala tentera Kristian yang seramai 40,000 orang pimpinan Raja Alfonso VI di Sagrajas (Zallaqa). Sebelum peperangan, Yusuf telah menawarkan kepada Raja Alfonso supaya memeluk Islam atau membayar ufti. Apabila Raja Alfonso menolak kedua-dua tawaran tersebut maka berlakulah Pertempuran Zallaqa yang akhirnya menyaksikan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Sebelum peperangan tersebut, Raja Alfonso cuba memperdaya tentera Islam dengan mengatakan kepada Yusuf bahawa peperangan akan dimulakan pada hari Sabtu. Walau bagaimanapun, atas nasihat al-Mu’tamid, tentera Islam bersiap sedia awal kerana beliau meramalkan peperangan akan dimulakan sehari lebih awal iaitu pada hari Jumaat. Ramalan tersebut ternyata benar apabila bala tentera Kristian menyerang pada hari Jumaat. Apabila telah selesai peperangan tersebut, maka seperti yang dijanjikan Yusuf bergegas kembali semula ke Maghribi meninggalkan seramai 3,000 orang tenteranya di bawah jagaan al-Mu’tamid sebagai persediaan jika bala tentera Kristian menyerang kembali. Yusuf bergegas pulang ke Maghribi kerana beliau mendapat perkhabaran mengenai berita kematian putera sulungnya yang juga pewaris kedudukannya.

Pengepungan Kubu Aledo

Empat tahun selepas Peperangan Zallaqa iaitu pada tahun 1090, Yusuf ibn Tasyfin bersama bala tenteranya menjejak kaki buat kali kedua di Andalus selepas menerima permohonan bantuan ketenteraan sekali lagi daripada para pemerintah Muluk at-Tawa’if untuk membantu mereka menghadapi ancaman daripada tentera Kristian. Kali ini bala tentera Kristian berkubu di puncak bukit di Aledo. Walaupun Yusuf telah menyeru bala tentera daripada Muluk at-Tawa’if bersatu mengepung kubu tersebut, tetapi setiap pemerintah Muluk at-Tawa’if saling bermusuhan antara satu sama lain dan masing-masing mengharapkan Yusuf membantu mereka. Yusuf yang melihat permusuhan tersebut berasa kecewa dan membuat keputusan untuk pulang semula ke Afrika.

Menakluk Andalus

Pemerintahan para pemerintah Muluk at-Tawa’if ketika itu berlaku zalim terhadap rakyat jelata mereka sendiri dengan mengenakan cukai yang tinggi sesuka hati mereka sehingga mereka lalai dengan kemewahan harta benda. Para ulama cuba menasihati pemerintah mereka tetapi nasihat mereka tidak didengari. Ini menyebabkan para ulama mereka berpihak kepada Yusuf dan mereka mengeluarkan fatwa membenarkan Yusuf memerintahkan para pemerintah Muluk at-Tawa’if supaya tidak mengenakan cukai melampau yang tidak sepatutnya menurut syariat Islam. Perintah tersebut menimbulkan keraguan para pemerintah Muluk at-Tawa’if terhadap Yusuf. Mereka beranggapan Yusuf ingin menakluk wilayah mereka.

Pada bulan Mac 1090, Yusuf ibni Tasyfin bersama bala tenteranya menjejakkan kaki buat kali ketiga di bumi Andalus. Kali ini mereka habis-habisan menyerang bala tentera Kristian pimpinan Raja Alfonso VI, musuh ketat umat Islam Andalus di pusat pemerintahan mereka di Toledo sehingga menyebabkan kekalahan teruk bala tentera Kristian. Sebelum peperangan tersebut, Yusuf meminta bantuan daripada para pemerintah Muluk at-Tawa’if tetapi tiada seorangpun yang hendak membantunya disebabkan kecurigaan mereka terhadap Yusuf. Oleh itu, setelah Yusuf dan bala tenteranya berjaya memenangi peperangan menentang bala tentera Kristian, mereka menakluk pula satu-persatu wilayah-wilayah Muluk at-Tawa’if daripada Kordoba, Granada, Seville, Badajoz dan Velencia. Penaklukan tersebut adalah atas kebenaran fatwa daripada para fuqaha’ di Andalus dan juga di Timur Tengah ketika itu yang membolehkan Yusuf menggabungkan wilayah Andalus dalam kuasa pemerintahannya untuk menyelamatkan umat Islam Andalus daripada perpecahan dan kezaliman pemerintahan para pemerintah Muluk at-Tawa’if.

Yusuf kemudiannya bertindak menurunkan takhta setiap pemerintah Muluk at-Tawa’if dan mereka dibuang negeri ke Afrika. Yusuf melantik jeneralnya, Sair bin Abu Bakar menguruskan wilayah-wilayah Andalus sebelum beliau kembali ke Maghribi. Penaklukan tersebut mendapat sambutan baik rakyat tempatan yang juga tidak tahan dengan pemerintahan zalim pemerintah mereka selama ini.

Dengan penaklukan tersebut, kesemua wilayah umat Islam Andalus kecuali Saragossa iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Bani Hud, berjaya disatukan semula di bawah satu pemerintahan buat kali kedua setelah kejatuhan Khilafah Bani Umayyah di Kordoba kira-kira enam dekad sebelum itu. Bukan itu sahaja, bahkan Kerajaan Murabitun di bawah pemerintahan Yusuf ibni Tasyfin juga berjaya menyatukan wilayah umat Islam di dua benua iaitu Andalus di Eropah dan Afrika Utara di Afrika. Yusuf juga menjalinkan hubungan persahabatan dengan Kerajaan Bani Hud di Saragossa untuk tujuan keselamatan umat Islam Andalus daripada ancaman Kerajaan Kristian.

Pengiktirafan daripada Khalifah Abbasiyyah

Yusuf ibni Tasyfin telah menghantar dua orang utusannya iaitu Abdullah ibni al-Arabi dan anaknya Qadi Abu Bakar dari Seville pergi mengadap al-Mustazhir billah, Khalifah Abbasiyyah di Baghdad ketika itu, untuk memohon pengiktirafan khalifah terhadap pemerintahannya di Maghribi. Tidak seperti kebanyakan kerajaan umat Islam yang lain ketika itu yang cuba memisahkan wilayah masing-masing daripada naungan khalifah, Yusuf adalah seorang yang taat kepada pemerintah tertinggi umat Islam ketika itu. Sebagai penghormatan, Khalifah al-Mustazhir bukan sahaja mengiktiraf kekuasaan pemerintahan Yusuf di Afrika Utara dan Andalus, bahkan baginda juga menganugerahkannya gelaran “Amirul Mukminin,” suatu gelaran yang sepatutnya hanya layak digunakan oleh khalifah.

Legasi

Setelah Yusuf ibni Tasyfin meninggal dunia pada tahun 1106, Kerajaan Murabitun dipimpin oleh keturunannya iaitu anaknya Ali ibni Yusuf (1106-1143) dan cucunya, Tasyfin ibni Ali (1143-1145) yang meneruskan legasinya menyatukan wilayah umat Islam di Andalus dan Afrika Utara. Sekiranya Yusuf tidak menyelamatkan umat Islam Andalus daripada perpecahan dan penaklukan Kerajaan Kristian di sana, nescaya pemerintahan umat Islam di Andalus akan lenyap lebih awal. Pemerintahan Kerajaan Murabitun di Andalus bukan sahaja menyatukan kembali umat Islam di sana, bahkan menunda penaklukan Kerajaan Kristian selama hampir 50 tahun. Kerajaan Muwahhidun pula yang juga dari Afrika Utara yang akan mengambil alih peranan Kerajaan Murabitun menaungi wilayah umat Islam Andalus.

Rujuk penulisan-penulisan ilmiah di bawah bagi mengetahui dengan lebih terperinci mengenai kehebatan dan ketokohan Yusuf ibni Tasyfin dalam lipatan sejarah umat Islam di Andalus dan Afrika Utara.

Senarai rujukan:

Ibnu Khaldun, Mukadimah (terj. Bahasa Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.

Hamka, Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., 2006.

Sahibza Masud-ul-Hassan Khan Sabri, History of Muslim Spain, New Delhi: Adam Publishers & Distributors, 2008.

Tarikuddin Haji Hassan, Pemerintahan Kerajaan Dinasti Bani Umayyah Andalus (Sepanyol), Johor Bahru: Jahabersa, 2013.

Qasim A. Ibrahim & Muhammad A. Saleh, (terj.) Buku Pintar Sejarah Islam, Jejak Langkah Peradaban Islam dari Masa Nabi Hingga Masa Kini, Jakarta: Zaman, 2004.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here