Pada tanggal 7 Disember 2017, umat Islam seluruh dunia terkejut dengan kenyataan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengisytiharkan bahawa mereka mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram Israel yang sebelum ini di Tel Aviv. Hal tersebut menggembirakan hati golongan Yahudi yang berfahaman zionisme. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar saudara-saudara seagama kita di Palestin dan di tempat-tempat lain dikurniakan kekuatan dari segi keimanan, kesatuan, fizikal, mental, interlektual, ekonomi dan semangat juang yang tinggi, semoga kemenangan berpihak kepada umat Islam.

Yahudi atau Judaisme lebih kepada sebuah agama eksklusif, ini bermaksud mereka tidak cenderung untuk mengembangkan agama mereka kepada masyarakat yang bukan berdarah keturunan bangsa Bani Israel. Mereka merupakan keturunan kedua belas-dua belas orang putera Nabi Ya’akub AS. Nama agama mereka adalah berdasarkan nama salah seorang anak Nabi Ya’akub AS yang bernama Yahuza (Judah), manakala nama bangsa mereka, Israel, merupakan nama gelaran Nabi Ya’akub AS.

Al-Qur’an menggelarkan mereka sebagai “Ahlul Kitab” yang bermaksud golongan yang dikurniakan ataupun mereka yang mengikuti ajaran kitabullah (kitab-kitab suci yang diwahyukan oleh Allah SWT). Secara khususnya, gelaran Ahlul Kitab di dalam al-Qur’an ditujukan kepada penganut agama Yahudi dan Nasrani (Kristian). Walau bagaimanapun, terdapat juga para ulama’ yang menafsirkan bahawa Ahlul Kitab selain merujuk khusus kepada penganut agama Yahudi dan Kristian, secara umumnya juga termasuk penganut-penganut agama-agama lain seperti Majusi, Sabi’un, Hindu, Budha, Konfusianisme dan Shinto.

Kitabullah yang dimaksudkan tersebut ialah Taurat, Zabur dan Injil. Sebagaimana yang wajib diimani oleh umat Islam, Allah SWT telah mewahyukan pelbagai kitab dan suhuf kepada para nabi dan rasul tertentu yang mengandungi keterangan tauhid dan ketetapan syariat yang hanya bersesuaian pada golongan masyarakat tertentu dan tempoh masa tertentu (kecuali al-Qur’an, yang diwahyukan untuk seluruh umat manusia daripada zaman Nabi Muhammad SAW sehingga hari kiamat) untuk diikuti dan sebagai panduan hidup bagi mereka beriman kepada Allah SWT. Empat buah kitabullah yang wajib diketahui oleh umat Islam ialah Kitab Taurat yang diwahyukan kepada Nabi Musa AS, Kitab Zabur yang diwahyukan kepada Nabi Daud AS, Kitab Injil yang diwahyukan kepada Nabi ‘Isa AS dan Kitab al-Qur’an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.

Dari sudut pandang umat Islam, apa yang boleh “disamakan” dengan Kitab Taurat dan Injil yang asli pada masa kini ialah Torah dan Bible, iaitu kitab suci penganut agama Yahudi dan Nasrani (Kristian). Ini kerana menurut al-Qur’an dalam banyak ayat menjelaskan bahawa kitab Taurat dan Injil yang asal telah banyak diselewengkan oleh pendeta mereka sendiri mengikut kepentingan hawa nafsu mereka sendiri (Surah al-Baqarah, ayat 75, 79, 174; Surah Ali ‘Imran, ayat 78; Surah al-Ma’idah, ayat 13-14; Surah al-An’am, ayat 91…). Al-Qur’an juga banyak memberi peringatan demi peringatan dan perkara-perkara penting berkenaan golongan Ahlul Kitab sama ada dalam hal akidah, sejarah, feqah, sosial dan kepimpinan. Sebanyak 29 kali perkataan “Ahlul Kitab” disebutkan di dalam al-Qur’an yang merujuk kepada penganut agama Yahudi dan Kristian atau keturunan Bani Israel secara jelas.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, terdapat juga golongan Yahudi di Semenanjung Tanah Arab sama ada daripada bangsa Bani Israel mahupun bangsa Arab sendiri. Mereka lebih tertumpu di kawasan Yaman, Yamamah dan Yathrib (Madinah). Golongan Yahudi telah lama menetap di Yathrib jauh sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Yathrib (Madinah) dan menukar nama negeri tersebut kepada Madinah al-Munawwarah, terdapat tiga kabilah Yahudi terbesar merupakan penduduk Madinah ketika itu iaitu Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ dan Bani Nadir.

Penulis tidak dapat pastikan sama ada ketiga-tiga kabilah Yahudi tersebut merupakan keturunan bangsa Bani Israel yang tulen atau telah bercampur darah dengan orang Arab ataupun mereka merupakan kabilah Arab yang menganut agama Yahudi. Apa yang dapat dipastikan bahawa mereka mengamalkan budaya Arab, kemungkinan juga berasimilasi dengan bangsa Arab, pertuturan seharian dan nama mereka dalam bahasa Arab, tetapi mereka beragama Yahudi dan berpegang teguh dengan kitab suci Yahudi iaitu Taurat atau Torah.

Sepanjang kepimpinan Nabi Muhammad SAW ke atas Madinah, ketiga-tiga kabilah Yahudi tersebut sering menunjukkan permusuhan terhadap umat Islam walaupun semua hak mereka sebagai kelompok rakyat minoriti dipelihara dalam Sohifah Madinah (Piagam Madinah) yang digubal oleh baginda dan para sahabat selepas penghijrahan mereka ke Yathrib. Ketiga-tiga kabilah tersebut melakukan pengkhianatan malah bersekutu dengan kaum musyrikin Makkah untuk menghancurkan umat Islam di Madinah. Berlaku beberapa siri peperangan terhadap mereka kerana sifat permusuhan dan pengkhianatan mereka sehingga mereka diusir keluar dari Madinah oleh Nabi Muhammad SAW.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa orang Yahudi yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW seperti al-Husayn bin Salam RA. Beliau merupakan seorang pendeta Yahudi (rabbi) daripada kabilah Bani Qainuqa’ di Madinah. Beliau dikatakan berketurunan Nabi Yusuf bin Nabi Ya’akub AS.

Beliau juga seorang yang arif tentang isi kandungan kitab Taurat dan amat dihormati dalam kalangan kaumnya sendiri. Apabila beliau mengetahui berita tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW, beliau telah bertemu dengan baginda sendiri untuk menanyakan beberapa persoalan yang hanya boleh dijawab oleh seorang rasul sebagaimana yang diramalkan dalam Kitab Taurat. Apabila Nabi Muhammad SAW menjawab soalan-soalan tersebut sebagaimana yang diwahyukan oleh Malaikat Jibril, beliau mengucap syahadah, membenarkan kerasulan baginda. Baginda menukar namanya kepada ‘Abdullah dan beliau bersetuju. Baginda juga menggelarnya Abu Yusuf. ‘Abdullah bin Salam RA merupakan antara seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang utama, bahkan beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang dijamin syurga oleh baginda sendiri. Apabila orang-orang Yahudi mengetahui keislaman beliau, maka mereka menghinanya.

‘Abdullah bin Salam RA juga bertindak sebagai pembongkar penipuan orang-orang Yahudi di Madinah. Pernah berlaku apabila dua orang Yahudi lelaki dan wanita melakukan zina dihadapkan kepada Nabi Muhammad SAW yang bertindak sebagai hakim. Baginda memerintahkan supaya mereka berdua dihukum sebagaimana hukuman zina di dalam Kitab Taurat. Orang-orang Yahudi mengatakan bahawa hukumannya ialah penghinaan dan sebatan ke atas mereka berdua lalu mereka membacakan hukuman tersebut daripada Kitab Taurat. ‘Abdullah bin Salam RA yang menyedari penipuan tersebut mengarahkan mereka supaya dibacakan isi kandungan sebenarnya iaitu hukuman rejam. Ini menunjukkan bahawa pengetahuannya yang luas dalam isi kandungan Kitab Taurat dan beliau seorang yang jujur, tidak menyembunyikan atau memanipulasi ayat-ayat kebenaran dan hukum-hakam di dalam kitab suci Yahudi tersebut. Beliau meninggal dunia pada tahun 43 Hijrah semasa zaman pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA dan dikebumikan di Madinah.

Selain ‘Abdullah bin Salam RA, terdapat juga beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW daripada kalangan golongan Yahudi. Salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW adalah anak kepada ketua kabilah Yahudi Bani Nadir iaitu Sofiyyah binti Huyay RA. Beliau dikahwini oleh baginda selepas Peperangan Khaybar. Ummul Mukminin Sofiyyah RA pernah menangis kerana beliau tidak tahan dengan sindiran beberapa orang yang menggelarnya “Puteri Yahudi.” Hal tersebut diadukan kepada suaminya, Nabi Muhammad SAW, lantas baginda menjawab, “Sekiranya ada orang yang memanggil kamu dengan gelaran Puteri Yahudi, katakan kepadanya, “Ayahku ialah Nabi Harun, bapa saudaraku pula ialah Nabi Musa.” Sememangnya Ummul Mukminin Sofiyyah berketurunan Nabi Harun AS. Beliau memiliki keimanan yang diwarisi daripada nenek moyangnya iaitu Nabi Harun AS.

‘Abdullah bin Salam RA dan Sofiyyah binti Huyay RA adalah antara golongan Yahudi yang beriman dan status mereka sebagai sahabat Nabi Muhammad SAW yang utama dan Ummul Mukminin tidak dapat dinafikan lagi sehingga terdapat ayat al-Qur’an yang menyatakan bahawa walaupun terdapat seorang saksi dalam kalangan Bani Israel (Yahudi) yang beriman dan membenarkan al-Qur’an sebagai wahyu daripada Allah SWT, orang-orang Yahudi tetap tidak mahu beriman (Surah al-Ahqaf, ayat 10). Ulama tafsir menyatakan bahawa “seorang saksi (syahid)” dalam ayat tersebut merujuk kepada ‘Abdullah bin Salam RA.

Al-Qur’an dengan jelas menyatakan bahawa di dalam Kitab Taurat dan Injil yang diturunkan kepada golongan Ahlul Kitab ratusan tahun dahulu sebelum penurunan al-Qur’an terdapat ramalan tentang kelahiran dan pengutusan seorang rasul terakhir yang bernama Ahmad (Ahmad merupakan versi lain bagi nama Muhammad) (Surah As-Sof, ayat 6). Bagi golongan Ahlul Kitab yang benar-benar arif dan memahami isi kandungan kitab suci Taurat dan Injil serta benar-benar bersifat jujur dalam mencari kebenaran, mereka akan menyedari bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penutup sekalian para nabi dan rasul serta penyambung legasi para nabi dan rasul sebelumnya seperti Nabi Nuh (Noah) AS, Nabi Ibrahim (Abraham) AS, Nabi Musa (Moses) AS dan Nabi ‘Isa (Jesus) AS dalam menyampaikan risalah tauhid bahawa “Tiada Tuhan yang layak dan berhak disembah melainkan Allah SWT.” Ini kerana al-Qur’an sendiri menyatakan bahawa golongan Ahlul Kitab mengenali identiti Nabi Muhammad SAW (sebagai penutup sekalian para nabi dan rasul) lebih daripada mereka mengenali anak mereka sendiri.

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an: “Katakanlah (Muhammad, lebih umumnya umat Islam, kepada golongan Ahlul Kitab): “Wahai golongan Ahlul Kitab! Marilah kita bersama (bersetuju) dalam satu kalimah (perkara) yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak akan menyembah sesuatu pun melainkan Allah, dan kita tidak akan menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, serta janganlah sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah.” Kemudian jika mereka (golongan Ahlul Kitab) berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah oleh kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 64). Lihat juga dalam Surah al-Ikhlas, ayat 1; Bible, Deutronomy 6:4 dan Mark 12:29.

Untuk maklumat lebih lanjut dan mendalam berkenaan perbincangan ini, para pembaca boleh merujuk sumber-sumber ilmiah di bawah:

Sumber Rujukan

– Ibnu Hibban, Abu Hatim Muhammad, Tarikh as-Sohabah allazi ruwiya ‘anhum al-Akhbar, Beirut: Darulkutub al-‘Ilmiyyah, 1988.

– Asy-Syaukani, Muhammad bin ‘Ali, Dar as-Sahabah fi Manaqib al-Qarabah wa as-Sohabah, Damsyik: Dar al-Fikr, 1984.

– An-Nasa’ie, Abu ‘Abdul Rahman Ahmad bin Syu’aib, Fado’il as-Sohabah, Beirut: Darulkutub al-‘Ilmiyyah, 1984.

– Zulkifli Mohd. Yusoff (Ketua Panel Penulis), Kamus al-Qur’an, Rujukan Lengkap Kosa Kata dalam al-Qur’an, Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., 30 Disember 2015.

– Nasaruddin Awang al-Hafiz, Catatan Sejarah Rasulullah SAW, terbitan Dr. Aziz Hashim, Februari 2013.

– Harda Haryamanto, “The Ahl al-Kitab Conception in Islam: Dialogue with Religious Pluralisme Proponents,” dalam Karsa, Journal of Social and Islamic Culture, Vol. 25, No. 1, Jun 2017, hlm. 200-231.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply