Vladimir Lenin: Pengasas Kesatuan Soviet

0
901
views

Bila kita berbicara tentang Vladimir Lenin, pasti kita akan teringat kepada peristiwa Revolusi Oktober, Perang Saudara Rusia dan penubuhan Kesatuan Soviet Union. Dalam semua peristiwa ini, Lenin merupakan tokoh utama dan maka tidak hairanlah mereka menggelarnya bapa Soviet Union. Siapa sebenarnya Lenin dan bagaimana lelaki ini mempengaruhi peristiwa dunia untuk tahun-tahun mendatang?

Lahir di bandar Simbirsk pada 10 April 1870, beliau merupakan anak ketiga dari enam adik-beradik. Semasa kecil, Lenin amat rapat dengan ibu bapa dan adik-beradiknya di mana mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Beliau mengambil nama Lenin sebagai nama barunya semasa menjalankan gerak kerja parti komunis. Nama ini dikatakan diambil dari nama Sungai Lena, Rusia. Beliau berbuat demikian untuk menyukarkan pihak berkuasa menjejaki dan menahannya. Dan ini bukanlah perkara asing kerana tokoh-tokoh Bolshevik lain seperti Leon Trotsky dan Joseph Stalin turut melakukan tindakan sama.

Figure 1: Gambar keluarga Vladimir Lenin semasa kecil.

Sekolah membentuk pemikiran Lenin kerana di sinilah, ibu bapanya menggalakkan mereka meminati ilmu. Ini mendorong Lenin sebagai pembaca tegar di mana beliau mendapat tempat pertama di sekolah menengah dan meminati bahasa Latin dan Yunani. Namun tidak semuanya indah pada zaman kanak-kanak Lenin. Ini kerana pada ketika itu, bapanya yang berkhidmat sebagai pemeriksa sekolah dipaksa bersara awal oleh kerajaan Tsar atas alasan bimbang akan pengaruh sekolah terhadap masyarakat Rusia. Namun pukulan hebat pada keluarganya ialah penahanan abangnya, Alexander Ulyanov yang kemudian dihukum mati atas kesalahan cubaan bunuh Tsar Alexander III. Dengan bapanya sudah tiada, Lenin mengambil alih tanggungjawab ketua keluarga. Penglibatan Alexander bukanlah pengliabatan terakhir keluarga Lenin dalam bidang politik kerana bila Revolusi Oktober tercetus, kebanyakan mereka terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk Lenin.

Pada tahun 1887, tahun sama abangnya dihukum mati, Lenin mendaftarkan diri di Universiti Kazan tetapi tidak bertahan lama berikutan dibuang atas penglibatannya dalam satu demonstrasi pelajar. Lenin dibuang daerah ke Kokushkino bersama kakaknya, Anna di mana di situ, beliau mendalami sastera radikal dan fahaman komunisme yang dibawa ahli falsafah Jerman, Karl Marx. Dan ini mendorongnya menjadi seorang Marxist pada tahun 1889. Selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang, Lenin berpindah ke Samara dan kebanyakan pelanggan yang menggunakan khidmatnya ialah petani dan orang kampung. Kesusahan mereka dalam menghadapi sistem perundangan yang dianggap bias menambah lagi keyakinannya terhadap Marxisme.

Figure 2: Lenin mengagumi fahaman Marxisme yang dibawa Karl Marx melalui bukunya, Das Capital.

Pada tahun 1890-an, Lenin meninggalkan Samara dan berhijrah ke bandar St. Petersburg. Di sinilah, beliau meningkatkan lagi penglibatannya dalam politik termasuk bergaul dengan individu-individu yang berkongsi fahaman Marxisme. Namun kegiatan mereka disedari pihak kerajaan dan pada tahun 1895, Lenin dibuang negeri ke Siberia bersama tunang merangkap bakal isterinya, Nadhezda Krupskaya selama tiga tahun. Selepas bebas dari hukuman dan singgah seketika di Munich, Jerman, beliau kembali ke St. Petersburg dan mengukuhkan kepimpinannya dalam pergerakan revolusi. Pada tahun 1903, pada kongres kedua Parti Buruh Sosial Demokratik Rusia, Lenin mahukan satu jawatankuasa kepimpinan parti yang berkesan bagi mengetuai unit-unit dan ahli-ahli mereka. Di sinilah, Lenin melaungkan, “Berikan kami organisasi revolusi dan kami akan menterbalikkan Rusia!”

Dan itu menjadi kenyataan apabila Rusia terjebak dalam Perang Rusia-Jepun 1904. Pada perang tersebut, Jepun berjaya mengalahkan Rusia yang dianggap kuasa besar dunia ketika itu, sekaligus memberi pukulan hebat kepada masyarakat Rusia. Kekalahan ini bukan saja memberi kesan dari segi moral tetapi juga dari segi kewangan negara. Dan ini mendorong rakyat Rusia bangkit dan menuntut reformasi dalam negara mereka. Situasi menjadi lebih kritikal apabila pengawal-pengawal keselamatan menembak mati sekumpulan pekerja yang tidak bersenjata ketika mereka mahu menyerahkan petisyen kepada Tsar Nicholas II. Akibatnya, ia menjadi pencetus Revolusi Rusia 1905 dan memaksa baginda menawarkan konsesi politik untuk meredakan sentimen rakyat ketika itu termasuk penubuhan Parlimen Rusia, Duma.

Lenin masih tidak berpuas hati dengan reformasi yang dilaksanakan Tsar Nicholas II. Ini ditambah pula dengan kemunculan kumpulan pesaing dalam parti iaitu Menshevik dipimpin Julius Martov. Martov tidak setuju dengan rancangan pentadbiran diketuai golongan pekerja kerana menurutnya, ia sebenarnya membuka jalan kepada tirani dan sistem diktator. Beliau sebaliknya mencadangkan sekiranya mereka berjaya, sistem pentadbiran diketuai kelompok borjuis, satu kelompok yang tidak dipercayai Lenin. Perebutan kuasa antara Lenin dan Martov berterusan sehinggalah kongres parti seterusnya di Prague pada tahun 1912 di mana beliau memisahkan parti secara formal untuk membentuk satu entiti politik baru berasingan.

Apabila Perang Dunia Pertama (WWI) tercetus, kebanyakan parti politik Rusia menyokong kecuali Lenin. Lenin dengan tepat meramalkan situasi perang tidak akan memihak kepada Rusia dan ia akan membawa kepada kejatuhan Tsar Nicholas II. Dalam tempoh tersebut, Lenin kembali duduk dalam buangan di Switzerland dan menulis buku Imperialism, The Highest State of Capitalism (1916). Dalam buku tersebut, Lenin menyifatkan perang sebagai hasil daripada kapitalisme antarabangsa. Semasa tempoh ini juga, Jerman dalam diam memberi bantuan kewangan kepada partinya.

Pada tahun 1917, seperti yang diramalkan, Tsar Nicholas II digulingkan dan kerajaan sementara ditubuhkan untuk mengisi vakum sistem pemerintahan ketika itu. Menyedari peluang untuknya berkuasa terbuka luas, Lenin mengecam kerajaan sementara pimpinan Georgy Lvov kerana kebanyakan pemimpinnya ialah kelompok borjuis dari parti-parti liberal. Beliau sebaliknya mahukan kerajaan Soviet yang diperintah secara langsung oleh tentera, petani dan pekerja. Ini mengakibatkan berlakunya Revolusi Oktober pada akhir tahun 1917 di mana Lenin dan rakan-rakan seperjuangannya melancarkan rampasan kuasa dan terjebak dalam kancah perang saudara selama tiga tahun. Bukan mudah bagi kelompok Bolshevik untuk menang kerana kelompok anti-Soviet diketuai bekas jeneral dan laksamana rejim terdahulu dan mendapat bantuan dari pihak Bersekutu dari segi kewangan dan tentera.

Lenin yang berang dengan penentangan mereka melancarkan kempen Red Terror di mana kempen tersebut mensasarkan mana-mana individu yang dianggap menyokong kelompok anti-Soviet dalam kalangan orang awam. Kempen tersebut menjadikannya digeruni tetapi ia turut mengundang kepada permasalahan lain. Pada 30 Ogos 1918, Lenin terselamat daripada cubaan bunuh oleh seorang ahli parti Sosial Revolusi, Fanya Kaplan di mana beliau cedera parah ditembak. Walaupun beliau berjaya pulih dan statusnya dalam kalangan ahli parti semakin besar, kesihatannya tidak baik seperti sebelumnya. Akibat daripada tindakan Kaplan, kelompok Bolshevik memperhebatkan kempen ke atas musuh-musuh mereka termasuk kelompok sosial demokrat.

Figure 3: Contoh mangsa kekejaman Red Terror yang dilancarkan Lenin.

Pada tahun 1920, perang saudara Rusia berakhir dan ini membuka jalan kepada penubuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1922. Pada hari pertama beliau berkuasa, Lenin memansuhkan pemilikan tanah persendirian dan memulakan rundingan gencatan senjata dengan Jerman. Rusia sedia menyerahkan sebahagian wilayah Finland, Ukraine dan negara-negara Baltik sebagai pertukaran kepada keamanan tetapi rundingan tersebut dibatalkan selepas Jerman menyerah kalah pada 1918. Wilayah-wilayah ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet. Lenin turut melaksanakan dasar pengasingan atas alasan ia akan bebas dari sebarang bentuk konflik status dan perang antarabangsa. Tetapi utopia yang diidamkan berdasarkan Marxisme tidak berlaku sama sekali.

Sebaliknya, apabila Rusia mengalami masalah kebuluran pada tahun 1921 yang membawa kepada kematian lima juta orang, ketidakpuasan hati rakyat menggelegak dan rejim Lenin berhadapan masalah sama yang digunakannya untuk berada di tampuk kekuasaan. Kebanyakan pemberontakan ini ditamatkan dengan ganas oleh Tentera Merah (Red Army). Ini ditambah dengan mogok yang berleluasa di seluruh negara menjadi ancaman kepada kestabilan kerajaan yang ditadbirnya. Untuk mengurangkan ketegangan, Lenin melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang membenarkan petani menjual gandum mereka di pasaran terbuka, memperkenalkan semula sistem gaji dan membenarkan kewujudan beberapa entiti swasta di negara tersebut. Kebanyakan penulis biografi Lenin berpandangan dasar yang diperkenalkan ini merupakan sumbangan terbesar beliau kepada Kesatuan Soviet dan sekiranya ia tidak dilaksanakan, kerajaan pimpinannya boleh saja digulingkan dan rejim asal akan kembali berkuasa.

Lenin turut berusaha mengukuhkan ekonomi Rusia melalui perdagangan luar dengan mengadakan beberapa perjanjian dagangan dengan Great Britain dan Jerman. Motif di sebalik perjanjian-perjanjian ini ialah ia sebenarnya mengapi-apikan kerenggangan dalam kalangan kuasa-kuasa Barat dan mempercepatkan kejatuhan mereka. Lenin juga cuba menyewakan kawasan lapangan minyak di Kamchatka, Vladivostok kepada sebuah syarikat Amerika. Selain didorong atas dasar dendam, Lenin berbuat demikian untuk menambah ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Jepun yang mahukan Kamchatka sebagai sebahagian daripada empayar mereka yang semakin berkembang.

Pada Mei 1922, Lenin diserang strok buat kali pertama, sekaligus mengakibatkan kehilangan sementara keupayaan bercakap dan lumpuh pada sebelah kanan. Ini disusuli pula dengan serangan strok kali kedua pada Disember tahun yang sama. Dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, Lenin mula memikirkan bagaimana kerajaan Kesatuan Soviet ini ditadbir pasca-pemergian beliau.

Di sebalik kesukaran ini, Lenin terus aktif mengikuti perkembangan politik Soviet dengan mengarahkan kepimpinan Parti Revolusi Sosialis dihukum bunuh atas kesalahan konspirasi terhadap kerajaannya pada 1922. Mereka ini tidak dihukum bunuh tetapi dipenjarakan untuk tempoh lama sebelum dibunuh semasa era penghapusan kepimpinan Stalin. Lenin turut menyokong tindakan membuang ahli Menshevik dari semua institusi dan syarikat negara serta memenjarakan mereka di kem-kem tahanan. Beliau turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sistem birokratik era Tsar yang memerlukan ia diganti dengan satu sistem baru. Pada masa sama, Lenin turut sedar kerajaan dan dasar yang dilaksanakan sudah lari dari tujuan asalnya. Pada tahun 1923, Lenin mengeluarkan kenyataan kesal berkenaan kuasa diktator yang mendominasi kerajaan ketika itu. Dalam kenyataan tersebut, beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Stalin dan mahukan beliau dipecat daripada jawatannya sebagai setiausaha agung parti.

Pada tahun yang sama, Lenin sekali lagi diserang strok di mana beliau hilang upaya untuk bercakap, sekaligus menamatkan karier politiknya. 10 bulan selepas itu, pada 21 Januari 1924, Lenin diserang strok buat kali keempat dan meninggal dunia di sebuah kampung bernama Gorki Leninskye. Sebagai tanda penghormatan, kerajaan Soviet mengawet mayatnya dan menempatkannya di Red Square untuk tatapan penziarah. Kuburnya dipamerkan di Red Square sejak itu kecuali untuk tempoh empat tahun Perang Dunia Kedua (WWII) di mana Stalin mengarahkan mayatnya dipindahkan ke Siberia untuk tujuan keselamatan. Bagi Stalin, hasrat Lenin untuk melihatnya pergi tidak kesampaian. Ini kerana selepas berjaya mengetepikan pesaing-pesaingnya, Stalin menjadi diktator Kesatuan Soviet yang baru pada tahun 1924.

SUMBER

1. Greenspan, Jesse. (2014). History. 9 Things You May Not Know About Vladimir Lenin. http://www.history.com/news/9-things-you-may-not-know-about-vladimir-lenin

2. History.com. Vladimir Lenin. http://www.history.com/topics/vladimir-lenin

3. History.com. This Day In History. Vladimir Lenin shot. http://www.history.com/this-day-in-history/vladimir-lenin-shot

Previous articleRasullulah S.A.W: Akhlaknya Adalah Al-Quran
Next articlePertempuran-Pertempuran Di Kota Batu, Johor Lama
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.