Baru-baru ni, saya berkesempatan untuk melawat negara Myanmar atau juga dikenali sebagai Burma. Bagi pendapat saya Myanmar ialah negara yang paling unik di asia tenggara, dan kini sedang membuka seluas-luasnya pintu negara ini kepada dunia luar. Kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan demokrasi yang dipilih rakyat,bukan lagi kerajaan junta seperti sebelum ini, Bagi rakyat Malaysia yang mahu melawat Myanmar, di wajibkan untuk membuat visa terlebih dahulu, dan visa pelancong ke Myanmar ialah hampir RM 150 termasuk GST (setakat November 2016).

Perjalanan saya ke ke Yangon mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit dari Kuala Lumpur. Setibanya saya di bumi “Golden Land” dan disambut oleh kenalan lama yang pernah belajar di Malaysia seketika dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon dan beliau akan membawa saya untuk berjalan pada hari itu.
Yangon merupakan bandar ekonomi dan pernah menjadi ibu negara Burma suatu masa dahulu sebelum dipindahkan ke Naphydaw. Saya melihat Yangon begitu sesak dengan kenderaan terutamanya bas dan teksi. Untuk makluman semua, tiada motorsikal dibenarkan di atas jalan raya Yangon. Oleh sebab itu, kebanyakkan rakyat disini menggunakan bas sebagai pengangkutan utama selain daripada teksi.

Selain itu, Myanmar juga dikenali sebagai “Land of Thousand Pagoda” atau dipanggil Paya amatlah banyak di negara ini, Seperti juga negara Thailand, aliran Buddhism yang diamalkan disini ialah Mazhab Theravada. Kebanyakkan pagoda dicat dengan warna emas dan sangat cantik apabila dilimpahi dengan cahaya lampu pada waktu malam.

Antara pagoda yang terkenal di Yangon ialah Sule dan Shwedagon Pagoda. Sule Pagoda berbentuk oktagon terletak di tengah-tengah bandar Yangon dan menjadi landmark untuk downtown Yangon. Sekitar Sule Pagoda ini pula terdapat City Hall of Yangon dan MahaBandoola Park iaitu sebuah taman awam. Taman awam yang luas dan hijau ini menempatkan Monumen Kebebasan Myanmar yang dibina setelah mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1948. Keindahan kawasan taman ini juga dihiasi dengan bangunan-bangunan lama kolonial British yang tersergam indah disekelilingnya. Kawan saya dengan bangganya mengatakan bahawa Yangon mempunyai bangunan kolonial British lebih banyak daripada apa yang ada di negara kita!

Shwedagon Paya pula merupakan bangunan keagamaan yang paling suci di Myanmar. Bangunan pagoda ini sangat luas dan dibina di atas Bukit Singuttara. Mengikut lagenda, stupa ini telah dibina lebih daripada 2600 tahun yang lepas dan merupakan stupa yang tertua di dunia. Antara keunikan pagoda ini ialah pada struktur tapak (base), dimana batu-batanya telah ditampal dengan kepingan-kepingan emas tulen. Menurut kawan saya lagi, emas-emas itu adalah sumbangan daripada kerajaan dan juga orang ramai. Tiket masuk kedua-dua stupa diatas ini ialah masing-masing berharga 3000 dan 8000 kyet. Untuk memudahkan pengiraan, 1000 kyet ialah bersamaan dengan 1USD. Agak mahal sebenarnya untuk saya, lagi-lagi bila nilai matawang ringgit jatuh ketika ini.

Sule Pago di waktu malam

Antara pakaian rasmi bagi rakyat Myanmar ialah Longyi, iaitu seperti kain sarung. Longyi ini dipakai meluas termasuk kaum lelaki. Longyi ini boleh dibeli di kedai-kedai dengan harga yang berbeza mengikut jenis kain dan kualiti. Kaum wanita disini juga menampal bedak muka yang dibuat daripada pokok Thanaka sepanjang masa setiap hari. Anda akan berjumpa gadis-gadis dan makcik-makcik yang mempunyai kulit yang gebu dan halus selepas bertahun-tahun menepek muka dengan bedak thanaka ini. Bayi dan kanak-kanak juga ditepek dengan bedak ini. Saya ada juga terserempak golongan remaja lelaki yang memakai bedak ini.

Selain itu, ramai rakyat Myanmar terutamanya lelaki yang gemar menguyah daun sireh sepanjang masa dan ianya menjadi tabiat seperti menghisap rokok. Namun yang menggelikan ialah budaya meludah merata-rata di jalan yang menyebabkan jalan atau laluan ada tompok-tompok merah kesan dari ludah. Saya berpendapat sireh tersebut ada satu bau busuk yg meloyakan. Perniagaan sireh ini sangat mendapat sambutan sehinggakan ia dijual di kaki kaki lima.

Saya memilih untuk menginap di kawasan Sule Pagoda kerana di sini terletaknya Jalan India dan komuniti Muslim. Disini, terdapat sebuah masjid besar iaitu Masjid Sunni Benggali. Masjid ini besar, selesa dan bersih. Masjid yang mempunyai penghawa dingin ini amatlah selesa. Masjid ini mempunyai dua tingkat, di mana tingkat atas sebagai ruang kelas KAFA untuk kanak-kanak dan ruang bawah untuk solat. Kehadiran saya di masjid ini seperti dialukan, apabila ada pegawai dan jemaah masjid menyapa saya, bersalam dan berbual seketika. Terdapat beberapa buah lagi masjid yang berdekatan seperti Masjid Chulia Muslim Dargah yang betul-betul terletak dihadapan Pasar Bogyoke Aung San.

Mencari dan menikmati makanan halal di Yangon bukanlah perkara sukar kerana komuniti muslim di Yangon agak ramai berbanding negeri lain di Myanmar. Antara yang menarik minat saya ialah Restoran Nilar Briani yang menyediakan makanan halal termasuk nasi beriani yang menyelerakan,terdapat perbezaan rasa berbanding di Malaysia. Saya sempat bungkus untuk dibawa bersama semasa hari terakhir untuk pulang. . Apabila saya masuk ke kedai serbaneka terdapat banyak produk yang mempunyai cop halal tempatan, seperti roti dan sebagainya. Selain itu, banyak juga produk halal termasuk makanan dan minuman dari Malaysia dan Thailand di jual di kedai-kedai seluruh Myanmar.
Di Yangon, saya berkesempatan melawat Universiti Yangon yang merupakan universiti tertua di negara Burma. Universiti ini pernah menjadi saksi penglibatan mahasiswa dalam demonstrasi besar-besaran menentang kerajaan junta. Kawan saya bercerita, terdapat beberapa bangunan yang dibom pihak tentera untuk menghalang gerakan mahasiswa. Untuk menyekat lagi pengaruh mahasiswa, fakulti-fakulti di universiti ini dipecahkan dan diasingkan jauh dari Yangon ke seluruh pelosok negara. Kawan saya juga membawa saya melawat ke perpustakaan universiti ini. Saat masuk melalui pintu utama, terdapat satu “batu bersurat” besar tertulis “The Stone Inscription of King Kyanzittha of Pagan, the 11th Century”. Ini kali pertama saya melihat “batu bersurat” seperti ini.

Di perpustakan Universiti Yangon, di mana saya berjumpa batu bersurat yang besar!

Di bahagian yang lain pula, terdapat juga pameran kecil manuskrip lama yang berusia beratus-ratus tahun yang ditulis di atas daun-daun palma menggunakan tulisan tangan. Saya dan rakan tadi melawat satu bilik seperti bilik arkib, dimana-mana terdapat beberapa individu sedang meneliti aksara-aksara Sanskrit, Pali dan Mon di atas lembar daun-daun palma, dan kali ini, bilik ini seperti stor lama yang menyimpan banyak sekali koleksi-koleksi manuskrip. Saya mengajukan beberapa soalan kepada pegawai yang bertugas, dan saya tidak dibenarkan mengambil gambar. Teringat lagi saya pada seorang lelaki tua yang sedang khusyuk membaca tulisan di atas daun palma itu, sambil ditemani satu kanta pembesar. Sekali lagi ianya mengujakan saya, sepertinya saya sendiri mahu ke Arkib Negara Malaysia selepas ini.

Karya yang ditulis diatas daun palma

Untuk merasai dan melihat kehidupan masyarakat di sekitar Yangon, saya juga menaiki keretapi “Yangon Circular Train” dimana kami hanya perlu membayar sebanyak 200 Kyet (RM 1.00). Perjalanan keretapi kelas ekonomi ini mengambil masa selama 3 jam dan akan mengelilingi bandar Yangon sebelum kembali ke stesen asal. Keretapi ini akan singgah di beberapa stesen untuk menurunkan penumpang dan terdapat beberapa buah pasar basah di sepanjang laluan ini. Rakyat tempatan menggunakan keretapi ini untuk mengangkut sayur-sayuran mereka sebelum di jual ke pasar-pasar di sekitar Yangon.

Antara tempat popular untuk pelancong membeli cenderamata di Yangon ialah Pasar Bogyoke Aung San. Antara barangan yang menarik di sini ialah batu jed kerana Myanmar merupakan antara negara pengeluar Jed terbesar di dunia. Jed di sini sememangnya cantik dan harga semestinya berpatutan berbanding negara kita. saya sempat membeli 2 ke 3 ketul untuk dibawa pulang.

Hasil perbualan dengan rakan serta beberapa orang tempatan yang lain, kebanyakkan mereka menyokong tokoh demokrasi negara itu iaitu Aung San Suu Kyi (ASSK). Undang-undang perlembagaan terpaksa dipinda bagi membolehkan ASSK menjadi pemimpin utama setelah kerajaan junta telah membuat perlembagaan dimana ASSK tidak boleh menjadi Presiden kerana mempunyai anak daripada suami yang berketurunan British. Wanita yang berusia 70 tahun ini amat dihormati kerana ayah belia sendiri iaitu General Aung San merupakan tokoh kemerdekaan dan negarawan ulung negara Myanmar. General Aung San juga telah dibunuh oleh musuh politik sebelum kemerdekaan Myanmar.

Rakan saya juga membawa saya melalui di hadapan rumah ASSK di Yangon,yang di mana beliau dikenakan tahanan rumah hampir dua puluh tahun, jalanraya yang kami lalui ini juga dihalang daripada dilalui kenderaan sebelum ini. Menurut rakan saya, walaupun telah dipimpin oleh kerajaan demokratik ketika ini, saki-baki pengaruh kerajaan junta masih lagi kuat, malah banyak undang-undang perlembagaan yang sedia ada menguntungkan pihak tentera di sana.

Selama di Myanmar, saya telah melawat beberapa negeri lain iaitu Naypyidaw, Mandalay dan Pyin Oo Lwin dengan bantuan rakan saya. Naypyidaw ialah ibu negara baru bagi Myanmar dan terletak kira-kira 5-6 jam dari Yangon dengan menggunakan bas. Sebagai ibu negara, Naypyidaw dipenuhi dengan bangunan-bangunan kementerian dan pejabat Presiden sama seperti Putrajaya. Mengikut pembacaan saya, bandar ini dibina tergesa-gesa oleh kerajaan junta tanpa memberitahu kepada rakyat jelata. Jalan raya di bandar ini sangat luas hingga mempunyai 4-8 lorong, namun bilangan kereta yang lalu-lalang boleh dibilang dengan jari. Sangat lapang dan luas.

Bilangan hotel yang bertaraf 3 hingga 5 bintang disini sangat banyak. Dan untuk rekod, Sukan SEA 2013 telah berlangsung di Naypyidaw. Saya juga sempat melawat masjid di Naphydaw, iaitu di sebuah perkampungan minoriti muslim di sana. Penduduk-penduduknya ramai yang datang menunaikan solat jemaah, dan saya dapati masjid ini mempunyai kemudahan air bersih dan juga air-cond. Kenalan muslim saya yang berusia 35 tahun dan berasal dari kampung sini juga sudah mengerjakan haji pada tahun lepas.

Saya juga melawat ke negeri Mandalay yang terletak 8-9 jam dari Yangon dengan menggunakan bas ekspres. Mandalay ialah sebuah bandar bersejarah dan bekas bandar diraja Myanmar suatu ketika dahulu. Mandalay terkenal dengan Istana Mandalay yang dikelilingi oleh tembok batu dan dibina oleh Raja Mindon pada tahun 1861. Bangunan istana ini telah hancur musnah ketika Perang Dunia Ke-2, tetapi telah dibaik pulih kemudiannya.

Saya juga melawat ke Jambatan U-Bein iaitu jambatan kayu jati terpanjang dan tertua di dunia, yang telah dibina sekitar tahun 1850-an. Jambatan kayu sepanjang 1.5 km ini terletak di Tasik Taungthaman, Anapura. Tasik yang luas dan indah menjadikan jambatan kayu ini sebagai tarikan pelancong terutamanya untuk menikmati pemandangan waktu senja yang sangat indah sekali. Sepanjang di Mandalay, kenalan saya membawa saya ke beberapa buah restoran halal disini dan juga beberapa buah masjid di bandar Mandalay.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply