Tingginya Falsafah Sirih Junjung Dalam Tamadun Melayu

0
1970
views

Istiadat Melayu melingkari soal aksiologi – bagaimana ilmu itu diamal dalam nilai kehidupan – dalam hal ini, Sirih Junjung ialah satu bentuk amalan kesantunan (akhlak) dalam menyampaikan hajat dan maksud.

Hendak meminang anak gadis (atau kadangkala merisik), Sirih Junjung berperanan sebagai ‘kepala adat’ yakni duduknya di hadapan sekali dalam barisan rombongan. Apabila masuk ke dalam rumah gadis yang mahu dipinang itu, susunannya juga di hadapan sekali dalam barisan dulang-dulang hantaran – ada juga menggunakan tepak sirih (penggunaannya lebih terperinci).

Kenapa sirih?

Pertama: Sirih itu direnung pada tabiinya. Tumbuhnya menjalar dan memaut tanpa merosakkan perumah. Gerak alamiahnya tidak menikam dan menujah. Maknanya, tumbuhnya sirih itu membawa gambaran kesantunan – rendah diri (tawadhu’), halus dan beradab.

Kedua: Meskipun rendah diri, sirih itu pedas rasanya. Lembut dan halusnya tumbuh sirih itu, bukan bermakna boleh diperkotak-katik atau dihina-hinakan.

Atas dua nilai pada sirih itu, ia dijadikan maksud terbesar keluarga si laki-laki yang datang dengan penuh kesantunan.

Dinamakan sebagai Sirih Junjung itu atas sebab:

Pertama: Hajat meminang itu sangat besar, dengan penuh harapan agar tuan rumah menerima pinangan mereka. Ia ditandai dengan helaian daun sirih yang disusun satu-persatu sehingga menjadi tinggi. Sirih yang dipilih itu pun yang paling elok dari pokoknya – segar, tak tua atau terlalu muda, tiada cacat cela dan pendek kata – persembahan yang terbaik. Maka set susunan sirih itu pun dijunjung bagi menunjukkan tingginya hajat itu.

Kedua: Sebagai tanda menjunjung adat, yakni meninggikan aturan kemasyarakatan dalam bab memelihara maruah, adab, tertib, sopan dan santun. Ia sebagai isyarat bahawa kedua-dua pihak iaitu keluarga laki-laki datang dengan penuh rendah diri, manakala keluarga si gadis, walau apa pun jawapannya hendaklah membalas tanpa penghinaan atau kebiadapan (kerana sirih itu pedas!).

Ketiga: Sebagai isyarat patuhi tertib – yakni maknawi kehalusan buatan Sirih Junjung itu hendaklah diamalkan dalam setiap urusan perkahwinan. Sebagaimana kemasnya Sirih Junjung itu, maka haruslah juga urusan dan istiadat yang seterusnya dilakukan sepertinya, iaitu dengan tertib, tidak bercelaru.

Lebih halus, hujung sirih akan diselit ke bawah untuk menutup bahagian belakang daun – kerana belakang daun itu diumpamakan sebagai belakang badan – membawa maksud membelakangi tertib (adab bersemuka).

Ia amatlah cocok dengan saranan supaya melakukan semua perkara dengan tertib seperti ungkapan: “Berbilang dari Esa, mengaji dari alif”.

Keempat: Menjunjung kerendahan diri – ini terpakai kepada semua darjat dan pangkat. Kalau pihak laki-laki itu orang kaya dan berkedudukan sekali pun, tetaplah perlu tunduk, meskipun darjat kedua-dua pihak bagai langit dengan bumi.

Maka rumusnya, Sirih Junjung ini merupakan alat untuk menghimpun perilaku kesantunan dan menyampaikan mesej tanpa suara, dan hanya mencapai maksudnya jikalau pelakunya mengerti adat.

Rujukan:

1)Khir Johari, 2013. An Introduction to the Use of Sirih in Malay Culture. Singapore: Passage.

2) Norhuda Saleh, 2015. Tepak Sirih: Interpretation and Perception in Malay Wedding Customs. Proceedings of INTCESS15- 2nd International Conference on Education and Social Sciences (m/s 1183-1190).

3) Noriati Abdul Rashid, 2007. Kesantunan Orang Melayu dalam Majlis Pertunangan. Tanjung Malim: Penerbit UPSI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here