Sarawak Bumi Kenyalang bukan sahaja kaya dengan warisan budaya daripada kepelbagaian kaumnya malah juga kaya dengan permainan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman dan permainan tradisi ini tetap dijaga keutuhannya sehingga sekarang.

Sudah tentu setiap permainan tradisi ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri serta keistimewaannya juga pantang larangnya yang sudah tentu ramai orang Sarawak sendiri tidak mengetahuinya. Bagi memartabatkan pengetahuan kita Orang Sarawak khususnya tentang setiap permainan tradisi ini, Borneo Oracle akan membuka genre baru di dalam artikel-artikel iaitu Genre Permainan Tradisi bagi setiap etnik di Sarawak agar kita mempunyai sumber informasi yang cukup di dalam memperkatakan kekayaan tradisi di bumi Sarawak ini.

Genre Permainan Tradisi Etnik Sarawak untuk kali ini kami akan memaparkan satu artikel berkenaan dengan satu permainan tradisi dari Etnik Melanau iaitu Tibow, satu buaian gergasi yang mana permainannya sering dilangsungkan sewaktu menyambut Pesta Kaul bagi masyarakat Melanau Sarawak.

Tibow atau Pisa’ Tibow adalah salah satu permainan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman oleh etnik Melanau Sarawak. Permainan tradisi biasanya dimainkan sewaktu berlangsungnya Pesta Kaul yang merupakan festival unik dari etnik Melanau Sarawak yang dirayakan saban tahun dan merupakan antara acara tahunan di dalam kalendar pelancongan Sarawak Bumi Kenyalang.

Tibow iaitu sejenis permainan buaian gergasi pula merupakan antara permainan tradisi yang wajib ada apabila pesta ini berlangsung. Permainan Tibow ini sebenarnya adalah salah satu simbol perpaduan dan bersuka-ria (berkaul dalam dialek bahasa Melanau) dan merupakan tarikan kepada pemuda-pemuda Melanau yang berani sahaja kerana banyak lagak-lagak ngeri yang berlaku sewaktu permainannya.

Menurut cerita oral yang disampaikan dari satu generasi ke generasi di dalam masyarakat Melanau Sarawak, permainan tibow ini bermula sejak zaman dahulu lagi. Dan dalam buku yang ditulis oleh Shahnil Asmar Saaid dan Mohamed Roselan Malek ada memperkatakan tentang cerita legenda di sebalik permainan tibow ini. Dikatakan suatu waktu dahulu terdapat sebuah kampung bernama Kampung Pentian di Mukah, Sarawak telah dilanda satu wabak yang boleh membawa maut.

Akibat daripada wabak itu maka ramailah penduduk Kampung Pentian yang meninggal dunia dan segala usaha telah dilakukan untuk membanteras wabak ini terus berlaku namun seringkali usaha tersebut tiada penyelesaiannya. Akibat daripada ramainya penduduk yang menjadi korban maka diceritakan Kampung Pentian menjadi sebuah kampung yang sunyi sepi kerana hampir setiap keluarga di dalam suasana berkabung.

Diriwayatkan bahawa pada suatu malam, seorang lelaki tua etnik Melanau di Kampung Pentian telah bermimpi didatangi oleh seekor burung helang gergasi yang mengajar lelaki tua itu untuk membina tibow dan cara untuk bermainnya.

Setelah bangun dari tidur, lelaki tua ini telah menceritakan perihal mimpinya kepada seorang bomoh kerana pada waktu itu seluruh masyarakat Melanau masih lagi mengamalkan pagan atau mempercayai semangat maka bomoh adalah perantaraan mereka untuk mentafsirkan cerita di sebalik mimpi-mimpi mereka. Berpandukan kepada telahan daripada firasat bomoh ini maka mimpi itu telah dipanjangkan kepada ketua masyarakat Melanau di Kampung Pentian.

Kerana kepercayaan itulah maka penduduk lelaki dan wanita Kampung Pentian telah sama-sama berpadu tenaga membina buaian gergasi atau tibow seperti yang dimaksudkan di dalam mimpi lelaki tua tersebut. Menurut cerita itu lagi, setelah terbinanya tibow ini maka tiadalah lagi wabak penyakit yang membawa maut itu melanda Kampung Pentian. Dan bermula dari hari itu, Tibow merupakan satu permainan tradisi yang mesti ada di dalam setiap festival bagi masyarakat Melanau Sarawak dari dahulu sehinggalah sekarang.

Pembinaan sebuah tibow bukanlah boleh dibina dengan sembarangan kerana ianya juga mempunyai pantang larang yang harus diikuti. Sewaktu pembinaannya tibow, masyarakat Melanau akan memainkan set canang dan gendang melela dipalu bagi memeriahkan suasana pembinaan. 2 tiang kayu yang masing-masing panjangnya melebihi 30 kaki akan menjadi asas kepada pembinaan tibow ini. Sewaktu mengangkat untuk mendirikan kedua-dua tiang ini, pantun pusaka masyarakat Melanau akan dinyanyikan.

Pantun ini merupakan salah satu pemujaan kepada Ipo Tibow atau Dewa yang menguasai permainan Tibow dan bertujuan untuk meminta pertolongan Dewa agar segala urusan pembinaan dipermudahkan. Selesai tiang itu didirikan barulah proses-proses struktur yang lain akan bermula. Pembinaan Tibow adalah berbentu rak atau pyramid.

Kebiasaannya ketinggian tibow ini adalah antara 8 hingga 10 meter dan dibina dalam keadaan yang condong di atas tanah rata. Tibow dibina kepada 2 bahagian iaitu bahagian pertama mempunyai para atau pemidang yang seakan-akan anak tangga dan untuk bahagian kedua pula terdiri daripada 2 batang tiang yang berbentuk pyramid. Pada bahagian inilah akan terdapat juntaian tali daripada rotan dan rotan ini akan dihayun dari kiri ke kanan seperti sebuah buaian gergasi.

Rotan yang berhayun inilah nanti akan dilompat oleh seorang pemain dan kemudian akan dilompat seterusnya oleh pemain ke 3, 4, 5 sehingga tibow ini tidak boleh berayun lagi. Kedengarannya agak mudah tetapi sebenarnya hanya lelaki yang berani sahaja akan mampu mencuba permainan ini kerana ketinggiannya serta kelasakannya sememangnya sukar digambarkan.

Oleh kerana itulah pembinaan sebuah tibow memerlukan perincian yang tinggi termasuk di dalam memilih tapak untuk mendirikannya kerana ianya harus didirikan teguh pada kawasan tanah yang lembut serta tidak mempunyai batu-batu kerikil. Ini kerana tahap keselamatan pemain juga diambilkira kerana sekiranya tersilap langkah maka akan jatuh tersembam ke muka bumi dan tiada tilam ataupun jala yang menjadi alas keselamatan sebaliknya hanya permukaan tanah. Dan kerana itulah agaknya mengapa Tibow sering didirikan di tepi pantai yang luas dan rata.

Sekarang permainan tradisi etnik Melanau ini masih lagi dimainkan di dalam acara-acara keramaian bagi masyarakat Melanau Sarawak. Satu permainan tradisi yang seharusnya terus kita jaga dan pulihara agar ianya tidak hilang dimamah arus kemodenan. Semoga artikel ini dapat memberi ruang kepada kita untuk mengenali permainan tradisi kita dari etnik Melanau Sarawak. Kita martabatkan permainan tradisi kita agar ianya juga gah di mata dunia. Inilah permainan tradisi kami Orang Sarawak dan kami bangga mempunyainya.

#KamekSayangSarawakBah!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply