Perkataan “Firaun” seringkali disalahfahamkan sebagai nama buat seorang pemerintah yang angkuh semasa zaman Nabi Musa as. Hakikatnya, “Firaun” merujuk kepada pangkat yang dimiliki 170 pemerintah Mesir Purba, daripada Menes sehingga Cleopatra VII dalam lipatan sejarah sejauh beribu-ribu tahun lamanya. Pangkat ini tiada bezanya dengan “Sultan”, “Caesar”, “Khalifah” dan semua pangkat lain yang membawa maksud yang sama: ‘pemerintah’.

Paradoks utama yang ditempuhi setiap pengkaji sejarah dalam penentuan Firaun semasa zaman Nabi Musa as adalah ketepatannya dari segi fakta, berdasarkan ikutan pengkaji tersebut (sama ada Islam atau Kristian/Yahudi). Secara saintifik, tiada seorang Firaun pun yang benar-benar mati di Laut Merah.

Apabila dikaitkan dengan al-Qur’an, memang menakjubkan bagaimana nama Firaun tersebut langsung tidak disebut di dalam al-Qur’an, sedangkan Abu Lahab dilaknat sekeras-kerasnya dalam Surah al-Masad, walaupun Firaun sendiri mengaku dirinya Tuhan.

Atas ketiadaan nama inilah yang tercetusnya penentuan yang amat merunsingkan. Satu senarai pendek boleh dilakarkan untuk menentukan Firaun manakah yang bersengketa dengan Nabi Musa as. Dan Thutmose III turut tergolong bersama calon-calon lain seperti ayahandanya Thutmose II, Ahmose I, Amenhotep II, Ramses II dan Merneptah.

Kronologi Firaun berdasarkan al-Qur’an:

1. Firaun membunuh anak-anak Ibrani selepas bermimpi tentang kebangkitan Bani Israel.

2. Isteri Firaun (Asiyah) mengambil Nabi Musa as sebagai anak angkat. (Surah Al-Qasas)

3. Pemerintahan Firaun semasa Nabi Musa as berhijrah ke Madyan (Midian). (Surah Al-Qassas)

4. Serangan Firaun yang menyebabkan kematiannya di Laut Merah. (Surah Yunus)

Semakin dalam dikaji, semakin terserlah juga fakta-fakta bahawa tiada satu Firaun yang disenaraikan diatas sebenarnya benar-benar masuk dengan Firaun Angkuh ini.

Ahmose I – berjaya menewas dan menghalau puak Hyksos di Mesir Hilir; menguasai Nubia dan Canaan; mengstruktur semula pentadbiran Mesir Purba kearah kegemilangan; mati pada usia pertengahan 30-an; tetapi cara semadinya tidak mengikut protokol persemadian diraja. (Ian Shaw dan Paul Nicholson – The Dictionary of Ancient Egypt).

Thutmose II – menghantar tenteranya untuk menyelesaikan revolusi; pemerintahannya yang masih lagi tidak sahih sama ada pendek atau panjang.

Amenhotep II – menaiki takhta pada usia muda, 18 tahun; pemimpin perang yang hebat; mati pada usia 40-an. (Peter Der Manuelian – Studies in the Reign of Amenophis II).

Ramses II – dipercayai Firaun paling unggul dalam sejarah Mesir Purba; mengetuai ketenteraan dalam berbilang peperangan; memerintah selama 66 tahun; memulakan pembinaan banyak projek-projek mega; mayat Ramses II adalah mumia paling popular di dunia, selaras dengan janji Allah dalam Qur’an 10:92; mempunyai arthritis, penyakit arteri dan sakit gigi.

Merneptah – anak Ramses II; memenangi pertempuran sengit selama enam jam; mati pada usia tua (60-an – 70-an); mempunyai arthritis dan atherosklerosis.

Berdasarkan senarai ini, wujud juga kebarangkalian bahawa Firaun yang dimaksudkan ditujukan kepada lebih daripada seorang – Firaun Penindasan dan Firaun Penghijrahan. Firaun juga dipercayai tidak pernah sakit, mahupun bersin, sedikit berbeza dengan Ramses II dan Merneptah yang mempunyai beberapa penyakit.

Tetapi terdapat seorang lagi Firaun yang memerintah Mesir Purba selama 54 tahun dalam Dinasti ke-18, hampir 1,800 tahun sejak bersatunya Mesir Hulu dan Mesir Hilir dibawah Dinasti Pertama. Kehebatan Firaun ini dari segi kepimpinan dan pengurusan dikatakan lebih unggul berbanding Ramses II sendiri.

Jika Ramses II mendirikan berbagai-bagai projek seperti Pi-Ramesses, Ramesseum, Abu Simbel dan Tugu Ramses II yang mungkin mengeruhkan lagi keangkuhannya, Firaun ini bertanggungjawab dari segi penghasilan kekayaan Mesir Purba sendiri.

Namanya Thutmose III, yang tidak pernah sekali pun tewas dalam peperangan. Thutmose III dilahirkan dalam keluarga diraja melalui isteri kedua ayahandanya, Iset. Tetapi, baginda tidak mewarisi takhta secara terus, kerana ayahandanya, Thutmose II, mati ketika usianya baru dalam dua tahun. Thutmose III diasingkan daripada pengurusan negara oleh ibu tirinya, Ratu Hatshepsut yang pada awalnya sekadar memangku jawatan Firaun tetapi semakin lama menggelarkan dirinya sendiri Firaun.

Dibawah pemerintahan Hatshepsut, Mesir Purba menikmati kekayaan ekonomi. Seketika Thutmose III diasingkan daripada arena politik, baginda mengisi masanya dengan pelajaran ketenteraan, satu keperluan yang sangat penting buat peradaban zaman itu.

Thutmose III menghancurkan pemberontak-pemberontak dalam kalangan Kadesh, Megiddo dan puak Mesopotamia. Sebelum menyerang Megiddo, ucapannya yang meletakkan dirinya sebagai raja dikasihi Dewa Ra’ telah menaikkan semangat tentera-tenteranya untuk ikuti jalan yang susah pada ketika nasihat jeneralnya untuk ikuti jalan yang mudah diabaikan.

Tetapi, Thutmose III tetap berjaya dalam ketiga-tiga operasi itu, termasuk kesemua 16 kempen ketenteraan yang dilaksanakannya di Palestin, Syria dan Nubia. Hampir 350 bandar ditawani Thutmose III. Mudah kata, Mesir Purba berdiri teguh sebagai kuasa besar dengan ketenteraan yang luar biasa. Dari segi kekayaan pula, Thutmose III bertanggungjawab kepada penjanaan ekonomi yang sangat mapan.

Jikalau kejayaan-kejayaan ini dibandingkan pula dengan Firaun zaman Nabi Musa as, ada logiknya kerana segala hasil kekayaannya telah menggelapkan hatinya dengan sifat takbur dan angkuh.

Al-Qur’an tidak menceritakan bala-bala Allah yang diturunkan kepada Mesir Purba pada ketika itu. Al-Qur’an sekadar menyentuh:

“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.” – Qur’an 7:130.
u
“(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.” – Qur’an 7:133.

Manakala dalam Kitab Taurat pula, kisahnya lebih meluas:

“Maka Musa dan Harun pergi kepada Firaun dan berkata, ‘Inilah apa yang Yahweh, Tuhan Ibrani, berfirman, ‘Sampai bilakah kamu tidak akan tunduk kepada Aku? Keluarkan hamba-hamba Aku, agar mereka dapat menyembahKu. Jikalau kamu tidak ikuti perintahKu, akanKu bawa belalang ke negaramu esok. Mereka akan melitupi negaramu sehingga tanah-tanah tidak dapat dilihat. Mereka akan memakan sisa-sisa yang kamu ada selepas taufan, termasuk setiap pokok yang sedang tumbuh di tanahmu. Mereka akan kerumun didalam rumah-rumahmu dan juga rumah-rumah menterimu dan juga rumah-rumah rakyatmu – sesuatu yang ibu bapamu dan juga nenek moyangmu tidak pernah rasai sejak mulanya mereka tinggal di tanah ini.’” Kemudian, Musa tinggalkan Firaun.” – Keluaran 10:3-6.

Amaran ini menjadi nyata selepas Firaun hanya benarkan penghijrahan buat para lelaki Bani Israel sahaja. Pada pagi selepas Nabi Musa as menghunuskan tongkatnya, Mesir Purba diserangi belalang yang dahsyat sehingga tiada sedikit kehijauan pun di tanah mereka. Tetapi Firaun masih lagi tidak benarkan penghijrahan Bani Israel, dan ini merupakan bala Mesir yang kelapan selepas:

1. Darah di dalam air
2. Katak
3. Kutu
4. Lalat/langau
5. Kematian ternakan
6. Penyakit kulit
7. Ribut dahsyat

Firaun menjanjikan Penghijrahan Bani Israel dengan syarat Bala Kelapan dibuang dari Mesir, dan ia terjadi – belalang-belalang mula keluar melalui Laut Merah, tetapi Firaun tidak menepati janjinya.

Selepas Bala Kelapan gagal cairkan keangkuhan Firaun, datangnya Bala Kesembilan – Mesir Purba menjadi gelap selama tiga hari. Rakyat tidak dapat ikuti masa, terpaksa mengharapkan deria sentuhan dan kedengaran. Firaun benarkan semua Bani Israel keluar, kecuali binatang-binatang ternakan. Dan Nabi Musa as tolak sebarang kompromi.

Datangnya Bala Kesepuluh:

“Inilah Firman Yahweh: ‘Pada waktu malam, Aku akan menjelajahi Mesir. Setiap seorang anak sulung Mesir akan mati, daripada anak sulung Firaun yang bertakhta sehinggalah anak sulung hamba, dan anak sulung binatang-binatang ternakan juga. Mesir akan digegari jeritan dan pekikan perkabungan – lebih teruk daripada apa yang telah berlaku atau tidak pernah berlaku.” – Keluaran 11:4-6.

Bala ini merupakan hentaman yang paling teruk. Firaun akhirnya tunduk dan lepaskan Bani Israel. Dan Bani Israel tidak tunggu lagi, takutkan pengkhianatan janji Firaun, yang benar-benar berlaku apabila Firaun bertindak mengejari Bani Israel, dan menurut Islam, mati di Laut Merah.

Berdasarkan Kitab Taurat, Thutmose III memang benar-benar masuk sebagai Firaun ini. Universiti Harvard berjaya mendedahkan bahawa Thutmose III mempunyai bekas ketumbuhan sista (cyst) di bahagian bahu, leher dan tempurung kepalanya hasil daripada penyakit yang tidak diketahui. Bukti ini mendedahkan kebarangkalian besar Bala Keenam (Penyakit Kulit) dalam Keluaran 9:8-12.

Mungkin penyakit ini telah bermula sejak bala pertama lagi, yang dizahirkan selepas keangkuhan Firaun yang tiada batasnya. Dan satu lagi pendedahan merapati Thutmose III dengan Firaun, selepas dikaji tentang Bala Ke-10, iaitu kematian anak pertama Firaun sendiri iaitu Amenemhat. Kematian ini menyebabkan Amenhotep II dinaikkan sebagai pewaris.

Jadi, berdasarkan teori-teori ini, Firaun Penghijrahan boleh dikatakan Thutmose III sendiri, manakala Firaun semasa penghijaran Nabi Musa ke Madyan (Midian) ialah ayahandanya, Thutmose II yang isterinya (Hatshepsut) bertanggungjawab mengambil Nabi Musa as sebagai anak angkat. Firaun yang membunuh anak-anak Bani Israel pula (selepas mendapat mimpi, semasa kelahiran Nabi Musa as) ialah Amenhotep I ataupun Thutmose I, jika Penghijrahan Laut Merah berlaku semasa Nabi Musa as menjangkau usia tua.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply