Di Kiev, Ukraine, luar perkarangan stadium Valeriy Lobanovskyi Dynamo, telah dibina satu tugu peringatan khas. Tugu itu menampilkan arca seorang lelaki berotot yang sedang menendang bola sambil memijak paruh burung helang.

Tujuh puluh tahun dahulu, pada 9 Ogos 1942, sebuah peristiwa bersejarah telah berlaku. Ketika itu dunia dikuasai oleh Nazi dan bala tenteranya yang dikuasai oleh Adolf Hitler, seorang diktator yang memang terkenal dengan kisah bengisnya.

Peristiwa ini adalah tentang perlawanan bola sepak di antara penduduk tempatan Ukraine menentang bangsa aryan yang diwakili oleh tentera Nazi. Kisah kemenangan di dalam sebuah perlawanan bola sepak yang berakhir dengan tragedi berdarah. Perlawanan ini lebih dikenali sebagai perlawanan maut atau The Death Match.

Terdapat banyak versi kepada pengakhiran kisah ini, tetapi kesemuanya berakhir dengan kematian. Mari kita selami.

Tiga bulan selepas penjajahan tentera Nazi keatas Soviet Union, bandar Kiev telah dicerobohi oleh mereka. Selepas pengepungan yang kejam dan berdarah berlangsung selama 72 hari, kerajaan Nazi ingin menjernihkan keadaan. Mereka tidak mahu dilihat kejam dan brutal oleh penduduk tempatan.

Justeru itu mereka ingin mencipta ilusi dan kemakmuran kepada penduduk setempat dengan kehadiran mereka. Mereka menganjurkan pelbagai acara kebudayaan dan sukan untuk merapati dan mendekatkan diri kepada penduduk tempatan.

Pada masa yang sama, Joseph Kordik, seorang yang berbangsa Moravian Czech dan juga penggemar bola sepak, telah dilantik menjadi pengarah di sebuah kilang roti di Kiev. Di sana beliau telah bertemu dengan Nikolai Trusevich, seorang bekas penjaga gol kelab Dynamo Kiev yang ketika itu menyambung hidup dengan menjual pemetik api. Disebabkan minatnya yang mendalam di dalam sukan, terutamanya bola sepak, Kordik kemudian menawarkan pekerjaan kepada Trusevich di kilang rotinya.

Beberapa hari kemudian, Kordik membawa masuk pula bekas rakan sepasukan Trusevich di Dynamo Kiev untuk bekerja di kilang roti. Terdapat juga beberapa pemain dari kelab tempatan yang lain seperti Spartak Odessa. Dengan situasi bola sepak ketika itu yang hanya tinggal sebagai hobi akibat peperangan yang melanda, Kordik kemudian memutuskan untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak yang mewakili kilang roti mereka.

Kordik kemudiannya bertindak mendaftar pasukan mereka kepada majlis bandaran, lalu tertubuhlah FC Start. Selain dari bekas pemain professional terdahulu, FC Start diwakili oleh pengawal keselamatan, pekerja kilang, dan bekas anggota polis. Kelab ini adalah gabungan pemain dari pelbagai latar belakang yang bersatu hanya kerana cinta mereka kepada bola sepak. Pemain-pemain ini kemudian berlatih untuk memantapkan pasukan.

Di tempat lain dalam bandar yang sama, Georgi Shvetsov menubuhkan Ruch, sebuah kelab bola sepak pro-Nazi. Shvetsov sedar akan kualiti yang dimiliki oleh bekas pemain Dynamo Kiev, lalu dia menjemput beberapa orang daripada mereka untuk menyertai pasukan. Tetapi pelawaannya ditolak kerana beliau adalah seorang Nazi.

Lalu Shvetsov mengumpulkan pula pegawai penguatkuasa, pekerja kilang, para tentera yang pro-Nazi untuk mewakili Ruch. Ideologi kedua kelab sangat berbeza dengan FC Start mewakili Ukraine, dan Ruch mewakili Nazi Jerman.

Pada awal pemerintahan Nazi di Kiev, bola sepak hanya dimainkan oleh bangsa aryan dan sekutunya. Namun kemudian mereka sangat kagum dengan permainan FC Start yang ketika itu sudah mula berlatih dan bermain perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab tempatan yang lain. Mereka telah melihat FC Start menang 6-2 keatas kelab bangsa Hungary, dan kemudian 7-2 keatas Ruch.

Shvetsov yang ketika itu berasa terhina kerana kalah telah memaklumkan berita kehebatan FC Start kepada pegawai tertinggi Nazi. Lalu mereka pun berbincang dan bercadang untuk menghantar pasukan terbaik Jerman ketika itu iaitu Flakelf untuk berlawan dengan FC Start.

Flakelf ialah sebuah kelab bola sepak dari unit artileri tentera Nazi. Mereka terdiri daripada juruterbang, jurutera dan penembak anti pesawat di lapangan terbang Kiev. Mereka diuruskan oleh Hermann Goring, seorang yang bertanggungjawab menghalang para pemainnya daripada dikerahkan ke medan perang kerana pasukan Flakelf ketika itu diwakili oleh pemain yang sangat berbakat. Mereka kemudian diaturkan untuk berlawan dengan FC Start.

Pertemuan mereka berlangsung pada 6 Ogos 1942, pada perlawanan itu, Flakelf ternyata bukanlah lawan kepada FC Start apabila mereka dibelasah 5-1. Kekalahan ini tidak dapat diterima oleh pihak Nazi. Bagi Nazi kekalahan Flakelf adalah suatu penghinaan kepada ideologi mereka. Mereka tidak mahu dilihat lemah dalam apa cara sekalipun.

Lalu pertemuan semula dengan FC Start diatur tiga hari kemudian. Poster-poster perlawanan mula dicetak, ia ditulis sebagai perlawanan membalas dendam oleh Nazi. Perlawanan ini diberi publisiti yang meluas dan dihebahkan ke seluruh bandar Kiev. Pegawai-pegawai tertinggi tentera Jerman juga dijemput hadir. Bangsa Ukraine yang ketika itu tertindas oleh kekejaman tentera Jerman menghebahkan kepada semua rakyat jelata.

Pada hari perlawanan, seramai dua ribu orang telah hadir terdiri daripada penduduk Kiev. Meskipun harga tiket ketika itu mahal, tetapi kebanyakan yang hadir tidak kisah. Mereka mahu melihat bangsa Jerman dibelasah. Dan pada perlawanan kedua itu, FC Start mendahului Flakelf dengan kedudukan 3-1 pada separuh masa pertama.

Pegawai Nazi yang menghadiri perlawanan itu ternyata tidak berpuas hati lalu menerjah ke bilik persalinan FC Start pada waktu rehat. Dengan wajah bengis beserta pistol yang tersisip di sisi, beliau telah memberi amaran kepada para pemain FC Start yang berbunyi; “hanya bangsa Jerman sahaja yang boleh menang hari ini!” Lalu beliau berlalu keluar dan pergi ke bilik persalinan Flakelf pula, “anda mesti menang, buktikan keunggulan bangsa aryan!”

Pemain Flakelf kemudian masuk ke padang pada babak kedua dengan penuh bersemangat manakala pemain FC Start pula mula terlihat goyah akibat ketakutan yang melanda mereka berikutan kekejaman Nazi. Hasilnya, Flakelf berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Melihatkan keadaan ini, penonton yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan telah menyedari sesuatu telah berlaku pada waktu rehat. Mereka kemudiannya telah bertindak melaungkan sorakan yang menaikkan semangat pemain FC Start. Mereka telah menyanyikan slogan anti Nazi dan melaungkan kata-kata yang penuh dengan semangat patriotik. Mereka yang penuh dengan penderitaan akibat diseksa Nazi bertindak meluahkan segala-galanya melalui sorakan yang penuh bersemangat.

Bagi mereka ini bukanlah sekadar perlawanan bola sepak biasa. Ia adalah pertempuran di antara bangsa Ukraine dan Jerman, ia adalah pertembungan fasis dan komunis. Lalu para pemain FC Start bangkit dan berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 5-3.

Pegawai tentera Jerman, Friedrich Rogausch yang menyaksikan peristiwa ini berasa malu dan terpukul kerana telah kalah. Beliau kemudian telah bertindak mengharamkan sebarang perlawanan bola diantara bangsa Jerman dan Ukraine.

Setelah perlawanan itu, pada 18 Ogos 1942, kesemua para pemain FC Start telah ditahan oleh tentera Nazi atas sebab-sebab yang dirahsiakan. Mereka kemudian telah dibawa ke kem tahanan Syrets di pinggir bandar Kiev dan diseksa selama lebih dari tiga minggu.

Tiga orang daripada mereka telah dibunuh kerana mereka adalah bekas polis NKVD, sebuah pasukan polis rahsia Ukraine. Seorang pemain, Mykola Korotkikh telah ditembak mati kerana disyaki terlibat dengan pasukan keselamatan Josep Stalin. Manakala yang lain-lain telah ditahan dan diseksa di dalam penjara sehingga tamat perang.

Setelah peperangan tamat, mereka yang masih hidup telah dibebaskan. Pada tahun 1964, mereka telah dianugerahkan pingat pahlawan oleh kerajaan Ukraine atas keperwiraan mereka. Lalu sebuah monumen khas telah dicipta di hadapan pintu masuk stadium Valeriy Lobanovskyi Dynamo sebagai memperingati jasa mereka. Perlawanan bola sepak mereka telah menjadi satu pertandingan yang paling menyedihkan, sengit, politik dan mendebarkan dalam sejarah. Dan peristiwa The Death Match itu kekal menjadi satu tamparan kepada ego Nazi.

Nota Editor: Artikel ini dinaikkan atas izin pemiliknya, Sharel Eizwan. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply