Tema di Sebalik The Hunchback of Notre Dame

0
748
views

Disclaimer: Artikel ini mengandungi spoiler.

Pasti ramai di kalangan pembaca yang pernah menonton filem animasi keluaran Disney yang berjudul The Hunchback of Notre Dame. Oleh kerana filem animasi tersebut mula ditayangkan pada tahun 1996, kebanyakan daripada kita sekurang-kurangnya pernah menonton, terutamanya semasa kita masih kecil.

Seperti filem-filem animasi keluaran Disney yang lain, kita dapat mengenal pasti persamaan yang terkandung di dalam setiap filem, iaitu hampir kesemuanya bergenre musikal beserta pengakhiran cerita yang gembira (happy endings). Begitu juga dengan filem animasi The Hunchback of Notre Dame ini. Namun begitu, pasti ramai di antara kita yang tidak mengetahui bahawa kisah ‘sebenar’ The Hunchback of Notre Dame ini mempunyai pengakhiran yang sangat tragis.

The Hunchback of Notre Dame merupakan karya seorang novelis terkenal Perancis, iaitu Victor Hugo. Di antara karya beliau yang dikenali termasuklah novel Les Misérables, yang telah diadaptasi menjadi sebuah filem musikal pada tahun 2012 sekali gus menerima pencalonan dalam anugerah perfileman berprestij antarabangsa. Novel The Hunchback of Notre Dame merupakan karya beliau yang diterbitkan pada tahun 1831.

Novel The Hunchback of Notre Dame ini telah diadaptasi kepada beberapa bentuk filem, musikal, televisyen mahupun teater, di mana setiap adaptasi menawarkan jalan cerita yang agak berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan adaptasi yang dilakukan oleh Disney menerusi filem animasi tersebut, di mana jalan cerita The Hunchback of Notre Dame telah digubal serasi dengan target penonton mereka, iaitu kanak-kanak. Mahupun begitu, The Hunchback of Notre Dame versi Disney ini merupakan filem paling ‘matang’ yang pernah ditayangkan berbanding filem-filem keluaran Disney yang lain.

The Hunchback of Notre Dame, di mana tajuk asalnya berjudul Notre-Dame de Paris berkisar tentang kehidupan di bandar Paris pada tahun 1482, di bawah pemerintahan Raja Louis XI. Di antara watak-watak penting di dalam kisah ini termasuklah Quasimodo, Claude Frollo, Esmeralda, Phoebus dan lain-lain. Tajuk asal Notre-Dame de Paris diubah menjadi The Hunchback of Notre Dame apabila diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, di mana tajuknya dirasakan lebih menarik perhatian pembaca untuk membaca.

Oleh yang demikian, menerusi novel karya Victor Hugo ini, kisah Notre-Dame de Paris tidak fokus pada kisah Quasimodo semata-mata tetapi memberi peluang yang sama rata terhadap pendewasaan watak (character development) bagi semua karakter yang diperkenalkan. Lain pula ceritanya dengan filem animasi yang diadaptasi oleh Disney yang lebih memperlihatkan Quasimodo sebagai seorang ‘hero’ yang juga merupakan watak utama selari dengan tajuk kisah yang diberi nama The Hunchback of Notre Dame.

Secara ringkasnya, animasi The Hunchback of Notre Dame mengisarkan tentang kisah perjuangan cinta di antara Esmeralda dan Phoebus, cinta terhalang bagi Claude Frollo dan cinta tidak kesampaian bagi Quasimodo. Watak Esmeralda merupakan seorang perempuan Gipsi dan orang Gipsi diburu kerana dipercayai menggunakan sihir. Oleh itu, apabila Esmeralda dilihat menggunakan silap mata untuk melepaskan diri daripada ditangkap, Claude Frollo telah mengarahkan penangkapan dan pembunuhan Esmeralda di tali gantung. Malangnya, Claude Frollo sendiri telah jatuh cinta dengan Esmeralda namun cintanya terhalang kerana statusnya sebagai Menteri Keadilan (Minister of Justice) bagi Kota Paris dan status Esmeralda sebagai perempuan Gipsi, yang juga dianggap penjenayah.

Menerusi novel pula, The Hunchback of Notre Dame mengisarkan dengan lebih terperinci sejarah hidup:

  1. Claude Frollo, yang merupakan seorang paderi (archdeacon) yang disegani, yang bertugas di Notre-Dame
  2. Quasimodo, si bongkok pembunyi loceng (Hunchback bell ringer) di Notre-Dame yang juga pekak, dan
  3. Esmeralda, seorang gadis Gipsi berumur 15 tahun.

Selain itu, watak-watak lainyang tidak diwujudkan di dalam animasi:

  1. Jehan Frollo de Moulin, adik lelaki kepada Claude Frollo
  2. Pierre Gingoire, seorang penyajak yang juga rakan kepada Claude Frollo
  3. King Louis XI, penakluk Perancis
  4. Fleur-de-Lys de Gondelaurier, gadis keturunan bangsawan dan juga tunang kepada Phoebus, dan
  5. Paquette la Chantefleurie, ibu kandung kepada Esmeralda.

Secara ringkas, jalan cerita asal yang tertulis di dalam novel mengisarkan kisah cinta tragis yang tidak berbalas di antara semua watak di dalam kisah tersebut. Watak Claude Frollo sebagai paderi menyebabkan cintanya terhadap Esmeralda terhalang. Watak Esmeralda mencintai Phoebus, namun watak Phoebus merupakan seorang lelaki kacak yang hanya ingin mempermainkan perasaan wanita. Watak Quasimodo mencintai Esmeralda namun Esmeralda hanya berbaik hati dengannya atas dasar kasihan. Esmeralda akhirnya dijatuhkan hukuman gantung, bukan sepenuhnya atas tuduhan dirinya sebagai seorang Gipsi, namun atas tuduhan cubaan membunuh Phoebus di mana penjenayah sebenar merupakan Claude Frollo. Kisah ini juga berakhir dengan tragis, jauh berbeza dengan plot pengakhiran animasi filem.

Mari kita lihat lebih lanjut tema-tema utama yang boleh dikenal pasti menerusi novel dan juga filem animasi The Hunchback of Notre Dame ini.

  1. Cinta/Kasih sayang.

Tema cinta dan kasih sayang merupakan tema utama di dalam kisah ini. Novel The Hunchback of Notre Dame ini juga merupakan novel bergenre ‘romance & gothic’. Oleh itu, tema cinta tidak dapat lari daripada menjadi fokus utama.

Menerusi filem animasi, kisah cinta di antara Esmeralda dan Phoebus dapat dilihat dengan jelas, di mana pengakhiran cerita juga memihak kepada mereka berdua. Menerusi novel pula, kisah cinta tragis yang tidak kesampaian dipaparkan oleh semua watak yang terlibat, di mana gadis kegilaan ramai, iaitu Esmeralda hanya tergilakan seorang lelaki gatal yang tidak layak untuknya, iaitu Phoebus.

Menerusi kisah cinta yang tertulis di dalam novel ini, menjadi bukti bahawa kata-kata ‘Kita seringkali mencintai orang yang tidak mencintai kita’ dan ‘Cinta itu buta’ mengandungi kebenaran yang tersendiri.

Selain itu, menerusi novel The Hunchback of Notre Dame, watak Claude Frollo diperkenalkan sebagai karakter yang lebih berperi-kemanusiaan berbanding wataknya di dalam filem animasi. Claude Frollo mempunyai seorang adik lelaki yang sangat disayanginya, iaitu Jehan Frollo de Moulin. Setelah kematian kedua ibu bapa mereka semasa Jehan masih lagi seorang bayi, Claude Frollo merupakan orang yang bukan sahaja menjadi abang, malah menjadi ‘ibu’ kepada adik lelakinya tersebut. Apa sahaja yang dimahukan oleh Jehan akan dituruti oleh Frollo sehinggalah Jehan membesar menjadi seorang pemuda yang besar kepala dan gemar berfoya-foya.

“He threw himself, therefore, into the love for his little Jehan with the passion of a character already profound, ardent, concentrated; that poor frail creature, pretty, fair- haired, rosy, and curly,–that orphan with another orphan for his only support, touched him to the bottom of his heart; and grave thinker as he was, he set to meditating upon Jehan with an infinite compassion. He kept watch and ward over him as over something very fragile, and very worthy of care. He was more than a brother to the child; he became a mother to him.”

Apabila seorang bayi yang kelihatan cacat dan hodoh ditinggalkan di hadapan pintu gereja Notre Dame, ketika mana orang sekeliling mengecamnya kerana rupanya yang menyerupai mahkluk menakutkan, Claude Frollo juga merupakan satu-satu nya orang yang kasihan dan sanggup mengambil bayi tersebut, memberikan nya nama Quasimodo dan menjaganya sehingga lah dia dewasa dan menjadi pembunyi loceng Notre-Dame.

“When he removed the child from the sack, he found it greatly deformed, in very sooth. The poor little wretch had a wart on his left eye, his head placed directly on his shoulders, his spinal column was crooked, his breast bone prominent, and his legs bowed; but he appeared to be lively; and although it was impossible to say in what language he lisped, his cry indicated considerable force and health. Claude’s compassion increased at the sight of this ugliness; and he made a vow in his heart to rear the child for the love of his brother, in order that, whatever might be the future faults of the little Jehan, he should have beside him that charity done for his sake.”

Namun begitu, perasaan cinta dan kasih sayang yang ditonjolkan oleh Frollo tehadap adiknya berubah apabila dia jatuh cinta dengan Esmeralda. Sebagai seorang paderi yang disegani ramai, sudah tentu cinta nya terhadap gadis berumur 15 tahun akan menjadi isu apatah lagi gadis tersebut berasal dari kalangan orang Gipsi dan dipercayai menggunakan sihir. Disebabkan perasaan cemburu dan cinta gilanya yang tidak dapat dikawal, Frollo akhirnya telah menikam jejaka idaman Esmeralda, iaitu Phoebus, dan melarikan diri. Esmeralda yang tidak menyedarkan diri, dituduh cuba membunuh Phoebus dan dijatuhkan hukuman mati di tali gantung.

Waqaf Saham

Selain kasih sayang seorang abang terhadap adiknya, kasih sayang seorang ibu juga dipaparkan menerusi novel The Hunchback of Notre Dame. Watak ibu kandung kepada Esmeralda yang tidak wujud dalam filem animasi, merupakan salah satu watak penting dalam memperkenalkan Esmeralda dalam kisah ini. Esmeralda yang disangka seorang Gipsi, hakikatnya merupakan seorang yang berdarah Perancis kerana ibu kandungnya, Paquette la Chantefleurie merupakan orang Perancis. Namun begitu, ketika Esmeralda masih lagi bayi, dia telah diculik dan seterusnya dibesarkan oleh orang Gipsi. Kehilangan satu-satunya anak perempuan menyebabkan Paquette hampir gila dan membenci semua orang Gipsi. Paquette akhirnya memutuskan dirinya menjadi seorang ‘*Gudule’ dan menghabiskan sisa hidupnya bersama satu-satunya kenangan manis dan pahit yang ditinggalkan oleh anak perempuannya, iaitu sebelah pasang kasut, di mana sebelah pasang lagi dimiliki dan disimpan rapi oleh Esmeralda. Menghampiri pengakhiran cerita, kasut tersebut digunakan oleh Esmeralda untuk mencari ibu kandungnya.

*Gudule berasala daripada perkataan Gothic, iaitu Gudula yang bermaksud Tuhan. Menjadi Gudule bermaksud memperhambakan diri semata-mata untuk berdoa kepada Tuhan. Dan doa Paquette kepada Tuhan adalah untuk mengembalikan anak perempuannya ke pangkuannya.

“But when the child is lost, these thousand images of joy, of charms, of tenderness, which throng around the little shoe, become so many horrible things. The pretty broidered shoe is no longer anything but an instrument of torture which eternally crushes the heart of the mother. It is always the same fibre which vibrates, the tenderest and most sensitive; but instead of an angel caressing it, it is a demon who is wrenching at it.”

Antara kekuatan novel The Hunchback of Notre Dame ini ialah kebolehan penulis, iaitu Victor Hugo dalam menggambarkan secara terperinci senibina bertemakan Gothic yang wujud di kota Paris pada zaman dahulu. Kedudukan bangunan dan gereja yang dipenuhi ukiran unik yang tersendiri dapat sedikit sebanyak dilihat menerusi filem animasi.

Di sebalik penerangan yang terperinci dan menyeluruh, juga dipaparkan satu bab yang membawa minda pembaca berfikir dan menghadam mesej dan gambaran penting yang cuba disampaikan penulis tentang fungsi senibina pada zaman dahulu, iaitu menerusi bab yang diberi judul ‘This Will Kill That’.

“Our lady readers will pardon us if we pause for a moment to seek what could have been the thought concealed beneath those enigmatic words of the archdeacon: “This will kill that. The book will kill the edifice.”

Dalam bab ini, Frollo telah mengucapkan kata-kata “This will kill that”, sambil menuding dari arah buku ke arah gereja. Menerusi pengucapan ini, pembaca diberikan maksud menerusi dua analisa yang berbeza. Analisa yang pertama lebih cenderung ke arah fikiran keagamaan dan spiritual, manakala analisa kedua lebih bersifat artistik.

Jika kata-kata yang diucapkan oleh Claude Frollo dilihat dari sudut pandangannya sebagai seorang paderi Kristian, ‘This will kill that’ bermakna percetakan bakal menghapuskan institusi gereja. Percetakan mampu mengangkat kuasa revolusi di samping menyebarkan ajaran yang berpandukan sains dan alkimia. Ajaran-ajaran yang tidak berbentuk keagamaan pada zaman itu, merupakan suatu isu dan kesalahan yang besar dan sensitif terhadap institusi gereja yang dianggap paling mulia.

“The invention of printing is the greatest event in history. It is the mother of revolution. It is the mode of expression of humanity which is totally renewed; it is human thought stripping off one form and donning another; it is the complete and definitive change of skin of that symbolical serpent which since the days of Adam has represented intelligence.”

Analisa kedua adalah lebih artistik. Senibina, pada era penguasaan Kristian, adalah ibarat buku, buku yang diperbuat daripada batu. Sebelum percetakan wujud, bangunan dianggap sebagai seni, yang mampu menjadi simbol kepada agama mahupun sejarah dengan ukiran-ukiran dan sebagainya. Oleh itu, ‘this will kill that’ boleh juga diinterpretasi sebagai ‘percetakan akan menghapuskan senibina”.

“In its printed form, thought is more imperishable than ever; it is volatile, irresistible, indestructible. It is mingled with the air. In the days of architecture it made a mountain of itself, and took powerful possession of a century and a place. Now it converts itself into a flock of birds, scatters itself to the four winds, and occupies all points of air and space at once.”

Bab ini membuktikan betapa pentingnya kuasa percetakan pada zaman dahulu apatah lagi pada zaman kini, di mana percetakan dari segala segi baik surat khabar mahupun buku menjadi elemen penting dalam menyebarkan propaganda dan ilmu kepada orang ramai.

Idea dalam bentuk percetakan atau buku diibaratkan seperti sekumpulan burung manakala senibina diibaratkan seperti pergunungan. Apabila banjir melanda, gunung akan ditenggelami air, tetapi burung bebas terbang ke seluruh pelosok dunia.

Di samping tema cinta dan senibina, tema kuasa juga dapat dilihat menerusi filem animasi mahupun novel The Hunchback of Notre Dame. Menerusi filem animasi, Claude Frollo memainkan watak Menteri Keadilan yang menyalahgunakan kuasanya, di mana dia telah mengarahkan askar-askar untuk menyerang dan membunuh sesiapa sahaja yang menyembunyikan Esmeralda, termasuklah mereka yang tidak bersalah.

Menerusi novel pula, Claude Frollo telah menggunakan kuasanya sebagai seorang paderi yang berpengaruh untuk menyelamatkan Esmeralda daripada hukuman gantung, dengan syarat Esmeralda harus menerima cintanya. Namun, Esmeralda telah menolak kerana dia sememangnya tidak bersalah bahkan Claude Frollo merupakan penjenayah sebenar dalam cubaan membunuh Phoebus.

Di samping itu, penyalahguanaan kuasa juga terlihat pada watak Raja Louis XI yang merupakan pemerintah bersifat monarki Perancis pada zaman tersebut. Raja Louis XI digambarkan sebagai seorang pemerintah yang telah tua namun masih juga tamakkan harta dan kekayaan. Baginda membelanjakan harta milik rakyat demi kepentingan sendiri sekali gus tidak prihatin terhadap kesusahan dan kemiskinan rakyat jelata. Baginda juga dikelilingi oleh menteri-menteri yang bijak mengeksploitasikan diri baginda demi kepentingan masing-masing. Dengan kuasa yang ada di tangan seorang pemerintah, Raja Louis XI telah menghukum gantung ramai rakyat jelatanya yang tidak bersalah.

In truth! ‘Tis a paltry king in his ways with men of letters, and one who commits very barbarous cruelties. He is a sponge, to soak money raised from the people. His saving is like the spleen which swelleth with the leanness of all the other members. Hence complaints against the hardness of the times become murmurs against the prince. Under this gentle and pious sire, the gallows crack with the hung, the blocks rot with blood, the prisons burst like over full bellies. This king hath one hand which grasps, and one which hangs.”

Menerusi filem animasi mahupun novel, kita dipaparkan dengan kuasa tempat perlindungan (sanctuary). Sewaktu zaman dahulu kala sehinggalah pemerintahan Raja Louis XII, hampir setiap kota di Perancis mempunyai tempat perlindungan yang tersendiri. Tempat-tempat ini terdiri daripada istana Raja-raja, tempat tinggal putera-putera Raja dan juga gereja. Penjenayah ataupun pesalah yang berlindung di dalam tempat-tempat perlindungan ini tidak boleh ditangkap dan dijatuhkan hukuman. Namun, sebaik sahaja kaki mereka melangkah keluar dari tempat perlindungan tersebut, mereka akan terus ditangkap dan menjalani hukuman. Hal ini kerana, pihak berkuasa akan mengawal di luar pintu sehinggalah penjenayah/pesalah ini keluar. Oleh itu, walaupun tempat-tempat perlindungan (sanctuary) ini berfungsi sebagai kawasan selamat, hakikatnya ia juga merupakan sebuah sangkar penjara bagi penjenayah/pesalah yang meringkuk di dalamnya tanpa kebebasan untuk ke mana-mana.

“His foot once within the asylum, the criminal was sacred; but he must beware of leaving it; one step outside the sanctuary, and he fell back into the flood. The wheel, the gibbet, the strappado, kept good guard around the place of refuge, and lay in watch incessantly for their prey, like sharks around a vessel. Hence, condemned men were to be seen whose hair had grown white in a cloister, on the steps of a palace, in the enclosure of an abbey, beneath the porch of a church; in this manner the asylum was a prison as much as any other.”

Notre-Dame juga merupakan salah satu tempat perlindungan di kota Paris, di mana kita dapat melihat menerusi filem animasi ketika Quasimodo menyelamatkan Esmeralda dan membawanya ke gereja Notre-Dame sambal mengisytiharkan ‘Sanctuary!’.

  1. Paras rupa.

Watak Esmeralda memiliki paras rupa yang sangat menawan, manakala Quasimodo pula sebaliknya. Apabila Quasimodo menyertai Festival of Fools dan dinobatkan sebagai *Pope of Fools, dia menyangka bahawa orang ramai yang bersorak dan bergembira menyukainya .

*Pope of Fools dinobatkan kepada mereka yang mempunyai muka paling hodoh.

“Or rather, his whole person was a grimace. A huge head, bristling with red hair; between his shoulders an enormous hump, a counterpart perceptible in front; a system of thighs and legs so strangely astray that they could touch each other only at the knees, and, viewed from the front, resembled the crescents of two scythes joined by the handles; large feet, monstrous hands; and, with all this deformity, an indescribable and redoubtable air of vigor, agility, and courage,–strange exception to the eternal rule which wills that force as well as beauty shall be the result of harmony. Such was the pope whom the fools had just chosen for themselves.”

Namun, jangkaannya meleset apabila orang ramai yang menyoraknya juga merupakan orang yang sama membaling batu dan sampah ke arahnya semasa dia ditangkap dan dijatuhi hukuman di khayalak ramai. Nasib menyebelahi Quasimodo apabila di antara ratusan manusia yang mengejek dan mengecamnya, cuma Esmeralda yang berani tampil dan memberikannya sedikit air ketika dia sangat dahaga. Hal ini meyebabkan Quasimodo jatuh hati terhadap Esmeralda dan membalas jasanya dengan menyelamatkan Esmeralda ketika dia hampir digantung mati.

Justeru, melalui kisah ini, kita dapat melihat bahwa kedua-dua watak ini mempunyai perbezaan yang ketara dari segi paras rupa. Namun begitu, kedua-duanya merupakan watak yang mempunyai perasaan belas kasihan yang paling kuat dan juga merupakan watak-watak yang paling kasihan dalam kisah tragis ini. Hakikat yang selalu kita terlepas pandang adalah, kita sering menghakimi orang lain berdasarkan paras rupa mereka sedangkan kecantikan dan keburukan itu seharusnya dilihat pada hati nurani. Tidak semestinya yang cantik itu baik dan yang buruk itu sebaliknya.

 

Secara kesimpulannya, kisah The Hunchback of Notre Dame ini mengajar kita erti cinta, kasih sayang, kuasa, paras rupa dan yang paling penting, takdir kehidupan yang mengikat segala-galanya. Pengakhiran tragis kisah ini mungkin tidak sesuai dipertontonkan menerusi filem animasi keluaran Disney, namun ianya merupakan suatu ‘realiti’ yang mudah difahami dan ‘dihadam’ oleh golongan dewasa. Hal ini kerana, secara realitinya, kehidupan tidak seindah kisah dongeng dengan pengakhiran yang gembira (happy ending). Hakikatnya, seperti kisah  The Hunchback of Notre Dame ini, kehidupan manusia juga sering kali diselubungi dengan kisah cinta yang tidak kesampaian, penindasan golongan berkuasa ke atas golongan yang lemah dan masyarakat yang menghakimi berdasarkan paras rupa semata-mata.

Rujukan:

  • Victor Hugo. The Hunchback of Notre Dame, Signet Classics:Walter J. Cobb, 1964.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.