Tarian Sumazau hari ini sinonim dengan sambutan pesta Kaamatan atau pesta menuai yang asalnya diraikan oleh etnik KadazanDusun sebelum ianya diangkat menjadi satu perayaan yang diraikan setiap etnik di Sabah tanpa mengira latar belakang dan perbezaan ideologi..

Pesta menuai yang diraikan sepanjang bulan Mei sebelum mencapai acara kemuncak pada setiap 30 dan 31 haribulan akan disambut secara gilang-gemilang dengan menyaksikan sejumlah majlis keramaian akan diadakan baik di peringkat desa, daerah mahupun negeri. Pada ketika inilah tarian Sumazau akan kerap dipersembahkan sebagai sebahagian daripada budaya warisan anak bangsa yang dipusakai sejak turun-temurun daripada leluhur terdahulu. Setiap majlis perkahwinan atau apa-apa majlis penting tarian sumazau turut dipersembahkan. Tanpa persembahan tarian Sumazau pastinya suasana pesta menuai atau majlis akan terasa hambar.

MALANGNYA….

Hari ini ramai generasi muda Sabah khususnya etnik KadazanDusun yang lupa cerita di sebalik tarian Sumazau serta falsafah yang cuba diselitkan nenek moyang ke dalam tarian ini sebagai renungan untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

PADA MASA LALU…

Suku kaum Dusun sebagai contoh terkenal dengan kemahiran bercucuk-tanam yang agak baik dalam kalangan etnik di Sabah. Lazimnya mereka akan membina penempatan di kawasan pedalaman yang berhampiran dengan Sungai. Sebagai contoh etnik dusun yang mendiami daerah Keningau, Ranau, Tambunan dan Tamparuli. Sungai merupakan asas peradaban bagi sesebuah masyarakat, selain digunakan sebagai laluan pengangkutan, ianya juga membekalkan sumber makanan berprotein tinggi seperti ikan, paling penting ia membekalkan sumber air bersih sebagai minuman dan aktiviti pertanian, hampir keseluruhan penempatan berhampiran sungai di Sabah khususnya kawasan pedalaman akan dipenuhi dengan hamparan padi yang hijau seluas mata memandang.

Sebagai kelompok masyarakat yang mengamalkan kepercayaan animisma, masyarakat Dusun lama sangat bergantung dengan unsur-unsur alam yang dipercayai mampu melancarkan aktiviti seharian mereka. Bobolian, pendeta yang dilantik lazimnya dalam kalangan wanita berusia akan dijadikan sebagai perantara di antara etnik ini dengan semangat-semangat atau roh yang dipercayai wujud di persekitaran mereka, salah satunya semangat padi.
Semangat padi merupakan satu semangat yang menjadi kewajiban untuk dipuja bagi etnik Dusun lama dalam memastikan padi berbuah lebat dan mampu memperolehi tuaian yang baik pada tahun seterusnya. Kegagalan berbuat demikian akan berakibat buruk, salah langkah mereka akan ditimpa bencana yang sangat ditakuti bagi setiap petani, kegagalan hasil tuaian yang pastinya akan mengundang pelbagai perkara tidak diingini.

KISAH SEBIJI BATU BERNYAWA

Menurut hikayat lama, masyarakat Dusun pada masa lalu bermukim di sebuah lembah yang sangat subur, campaklah apa sahaja tanaman ke tanah ini, padi sawah, padi huma, jagung, timun semuanya akan memberikan hasil tuaian yang tidak akan mengecewakan.

Satu hari, dikatakan tiba-tiba ‘tumbuh’ sebiji batu di satu kawasan dalam lembah berkenaan. Semakin hari batu itu semakin membesar. Seiring berjalannya waktu, batu yang membesar itu juga seakan-akan menyedut kesuburan tanah di lembah itu dan mengakibatkan cuaca semakin panas.

Bencana pun tiba, yang ditakuti akan berlaku akhirnya terjadi juga, cuaca yang panas menyengat mengakibatkan tanah kering-kontang, tidak ada satu pun tanaman yang menjadi, bahkan haiwan ternakan seperti ayam, kerbau dan babi turut mati. Etnik Dusun di lembah ini mula mengalami kebuluran. Disaat getir seperti ini,satu-persatu orang kampung di lembah berkenaan didatangi mimpi tatkala tidur di malam hari, bahawa bencana yang menimpa bakal berakhir andai seorang gadis rupawan dikorbankan.

Orang-orang kampung mulalah heboh, insiden ini mendapat perhatian ketua suku pada masa itu, akhirnya satu permuafakatan dibuat, ketua suku mengajak semua anak-anak buah beliau berkumpul di sebuah balai, mereka berbincang mengenai tindakan yang wajar diambil berkenaan mimpi yang mendatangi mereka saban malam. Namun tiada kata putus daripada setiap yang hadir, masing-masing tidak bersetuju dengan langkah yang dianggap gila itu.

Keputusan hasil musyawarah orang kampung sampai ke telinga si Kinomulok, anak kepada ketua suku. Secara senyap-senyap dia menyusup keluar menuju ke arah ‘tumbuh’nya batu itu, dia terserempak dengan beberapa orang Bobolian yang sedang berusaha mencari jalan keluar keatas permasalahan yang dihadapi mereka. Kimunolok bertanyakan hal berkenaan kepada para Bobolian yang berada di situ, perihal mimpi yang dialami setiap penduduk kampung, apakah ia benar atau sebaliknya.

Para Bobolian mengiakan apa yang ditanya oleh Kimunolok. Hal itu membuatkan gadis berhati mulia itu mengambil keputusan untuk mengorbankan dirinya bagi mengelakkan penduduk kampung semakin menderita. Apabila berita itu tiba ke pengetahuan orang-orang kampung mereka membantah namun Kimunolok tetap berkeras dengan keputusannya.

Tiba-tiba terdengar dentuman guruh di langit diikuti kilat sabung-menyabung. Tidak semena-mena petir dari langit menyambar Kimunolok yang berada berhampiran dengan batu puaka itu mengakibatkan tubuhnya berkecai tercerai-berai, konon menurut cerita darahnya bertukar menjadi benih padi, giginya menjadi benih jagung manakala isi-isinya menjadi benih timun.

Pada waktu malam selepas kejadian yang tragik itu, para penduduk kampung serentak didatangi mimpi, kali ini Kimunolok, si gadis rupawan berpesan bahawa setiap kali selesai musim menuai maka para penduduk kampung haruslah menghadiahkan tujuh tangkai padi untuknya. Dia juga meminta agar benih jagung dan timun ditanam di bendang yang telah dikeringkan airnya.

Setelah si Kimunolok disambar petir, batu yang semakin membesar itu akhirnya berhenti dari tumbuh, itu lah konon Gunung Kinabalu yang megah berdiri menjadi tulang belakang kepada negeri di Bawah Bayu sehingga ke hari ini. Bahkan lembah yang tadinya kering-kontang akibat kemarau kembali subur. Etnik Dusun juga percaya bahawa roh Kimunolok telah berubah menjadi semangat padi yang dikenali sebagai Bambarayon, iaitu dalam bentuk burung layang-layang. Burung layang-layang tidak pernah memakan walau sebutir padi pun, melainkan hanya serangga sahaja.

TARIAN SUMAZAU

Tarian ini lazim ditarikan oleh sepasang penari lelaki dan perempuan, mereka haruslah berbaju hitam, lelaki memakai sigar (destar) di kepala sementara penari perempuan memakai saraung (alas kepala). Mereka akan menari dengan diiringi paluan tujuh atau lapan gong. Pada awal permulaan tarian rentaknya akan perlahan kerana kesemua gong tidak dipalu serentak. Rentaknya akan mula harmonis selepas semua bunyi paluan gong bersepadu.

Sewaktu menarikan tarian sumazau tangan dihayunkan ke hadapan dan kebelakang serentak dengan tubuh yang dienjutkan ke kiri dan ke kanan. Gerakan ini bukan saja-saja diadakan melainkan sebagai perlambangan semangat tabang (gotong-royong) sewaktu menanam padi.

Satu kebiasaan masyarakat Dusun, mereka akan memperuntukkan hari-hari tertentu untuk membantu mengusahakan bendang jiran tetangga mereka, hal yang sama akan juga dilakukan oleh jiran itu tadi. Dengan cara ini mampu meringankan beban kerja yang berat.

Setelah menemukan gerakan tari yang harmonis seusai paluan gong yang telah bersepadu, penari lelaki akan bertempik ‘hee…..hee!’ menandakan tiba masa untuk menukar gerak tari. Ia juga sebagai tanda gembira bahawa Bambarayon yang dipuja telah memberikan hasil tuaian yang baik bagi tahun itu.
Selepas bertempik tangan akan didepa kan ke sisi dengan kedua pergelangan tangan diarahkan ke atas dan ke bawah menyerupai gerakan burung yang melayang-layang di udara, spesifiknya Bambarayon itu sendiri sebagai satu manifestasi penghargaan kepada semangat padi itu yang kerap melindungi tanaman padi daripada sebarang makhluk perosak. Namun ada juga sumber yang menyatakan bahawa gerakan tari yang satu ini meniru perlambangan pergerakan burung helang sewaktu di udara.

PENUTUP

Masyarakat di zaman silam tidak menghuraikan setiap fenomena alam berdasarkan pengetahuan ilmiah dan saintifik. Pada masa lalu apabila diancam malapetaka alam mereka akan cenderung untuk menyimpulkan bahawa ianya pasti berkaitan dengan aspek spiritual yang memiliki entiti, sementelah entiti ini wajar dipenuhi kehendaknya dengan harapan kehidupan mereka akan terhindar daripada sebarang bentuk bencana atau musibah. Namun itu bukan bererti masyarakat Dusun khususnya memiliki perspektif yang sempit mengenai persekitaran mereka.

Mereka antara kelompok masyarakat yang sangat bersahabat dengan alam, mereka bukan sahaja belajar untuk menghargai dan menyintai alam sekitar, sebaliknya mereka menzahirkan hal berkenaan menerusi kod etika undang-undang adat seperti sogit atau hukuman yang wajar kepada pelaku yang telah melakukan kesalahan. Hal ini juga terzahir menerusi sistem ‘Tagal’ yakni larangan memancing atau mengeksploitasi hasil Sungai secara berlebihan untuk sesetengah kawasan bagi satu jangka masa yang tertentu. Adat ini dilihat sebagai satu usaha pelestarian alam dan cara unik bagi etnik Dusun khususnya dalam menunjukkan bahawa mereka ingin memastikan sumber asli alam terpelihara.

Bahkan di era moden serba canggih ini masyarakat Dusun masih mempertahankan norma-norma lama yang dirasakan relevan dan wajar dipertahankan, bahkan menambah pengetahuan penjagan alam sekitar daripada luar yang boleh dipraktikkan sesuai dengan budaya mereka. Seperti pengalaman saya sendiri sewaktu melakukan kembara ke Kiulu, Tamparuli atas tuntutan subjek Pengurusan Rekreasi di bawah program Diploma Pengurusan Pelancongan, saya dan rakan-rakan melihat sendiri betapa masyarakat Dusun di kawasan ini gigih mempertahankan identiti kehidupan mereka sebagai petani yang mesra dengan alam.

Bayangkan, tanaman getah, buah-buahan seperti durian, rambutan, langsat dan nanas sebagai contoh ditanam di celah-celah hutan yang dijaga keasliannya, tanpa perlu untuk Jabatan Perhutanan campur tangan secara langsung dan tergesa-gesa mewartakan kawasan hutan berhampiran penempatan etnik ini sebagai hutan simpan, kerana mereka memegang kod etika bahawasanya alam semulajadi adalah sesuatu yang perlu dipulihara, bahkan mereka juga menguruskan sisa air buangan dari singki atau sewaktu menyuci kain dengan bijak, memandangkan mereka menyintai sungai mereka dan tidak ingin ia tercemar, mereka turut menerapkan konsep ‘banana circle’ yakni tanaman pisang ditanam di sekeliling sebuah kolam yang digali tidak jauh daripada rumah. Kesemua air buangan mereka tadi akan dialirkan ke situ, permukaan air pada kolam akan ditutupi dengan daun-daun kering dan ranting-ranting kayu bagi mengelakkan pembiakan nyamuk dan seterusnya dibiarkan kering, kemudian tanah daripada kolam yang telah kering ini akan diambil untuk dijadikan baja kompos semulajadi pada tanaman-tanaman mereka, lalu air buangan yang kotor tidak akan langsung masuk ke sungai, sebaliknya akan tertapis secara semulajadi terlebih dahulu di kolam ‘banana circle ini sebelum kembali ke sungai sebagai air yang sudah sedia bersih, pintar bukan?

Apabila kita melihat ke belakang, bukan bererti kita terkandas di landasan yang serupa secara berulang-ulang, atau ketinggalan, atau mundur daripada sudut pemikiran, sebaliknya kita belajar daripada sejarah, mana yang baik jadikan panduan, mana yang buruk jadikan sempadan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar orang biasa yang mencintai sejarah dan seni budaya negara. Terutama sekali yang berkaitan dengan Negeri Di Bawah Bayu. Merupakan graduan lepasan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kolej Poly-Tech Mara. Peluang menulis bersama TP dilihat sebagai antara salah satu platform terbaik berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan lebih ramai orang-orang hebat di luar sana

1 Comment

  1. MOHD MAHFUJAH BIN MAHMUD on

    MasyaAllah.. satu penulisan yg sgt mmbuka mata dan minda saya sebagai anak jati sabah meskipun bukan berketurunan dusun.. terima kasih atas perkongsian ilmu yg bermanfaat ini.. teruskan usaha murni anda????

Leave A Reply