Tamadun Melayu Ialah Tamadun Penakluk Lautan

0
3470
views

Your ancestors were the true voyagers of the Ocean.

“Brrrr, Brrrr!” Deruan ombak yang memecah pantai menjadi irama lagu yang mengasyikkan, ditambah pula dengan nyanyian burung-burung camar yang berterbangan mencari makanan di gigi air pantai itu. Suasana nyaman itu dihiasi pula dengan irama merdu tiupan seruling dan gemaan bunyi gendang yang dipalu bertubi-tubi dengan penuh bersemangat menandakan ketumbukan tentera laut diraja sebuah kerajaan Melayu bersiap siaga untuk membuat rondaan di sekitar kawasan liputan rondaan mereka. Perahu dandang, perahu perang dan lancang yang laju kelihatan bergerak laju dan sering kejar-mengejar antara satu sama lain dalam membuat rondaan.

Setiap kapal dagangan yang lalu diperiksa, adakah mereka sudah membayar ‘tol’ untuk menyeberangi Selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia, sepanjang zaman. Permit juga diperiksa sebelum membenarkan kapal dagangan dan jong-jong besar singgah di pelabuhan-pelabuhan perdagangan di 14 buah negarakota yang terdapat dalam persekutuan kerajaan itu.

Begitulah pemandangan di sekitar kubu dan pelabuhan ketenteraan, serta fenomena di tengah-tengah laluan selat yang amat sibuk tersebut, setelah dibuka dengan meluas pada kurun ke-7 M, Laluan Selat menjadi lebih popular berbanding Laluan Rentas Semenanjung (Trans-Peninsular) yang sempit dan memakan masa yang lama untuk ditarik menggunakan gajah.

Lain pula ceritanya di pelabuhan-pelabuhan dan kawasan perdagangan di ibu negarakota-negarakota Melayu. Kelihatan deretan pasar dan kedai di kampung-kampung (kampung ialah pelabuhan di zaman dahulu), sangat makmur dan tersusun rapi. Terdapat lebuh-lebuh raya yang menghubungkan setiap pasar dengan bangunan kerajaan. Tentera-tentera serta hulubalang-hulubalang berkawal sepanjang masa di sekitar kawasan pasar.

Kelihatan suasana perdagangan yang amat sibuk dan dipenuhi dengan pelbagai kaum dan bangsa dari serata dunia di sana. Sebuah pelabuhan entreport yang sangat kaya dan Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan dan lingua franca di setiap transaksi jual-beli. Ke tengah lautan, kelihatan jong-jong besar, sebesar bangunan seperti Sogo atau UTC Puduraya dilihat berlabuh berhampiran pantai. Bukan satu, bukan dua, malahan sehingga beratus-ratus buah jong berlabuh pada satu-satu masa. Kelihatan perahu-perahu transit sangat sibuk memindahkan barang dagangan dan orang-orang dari jong-jong besar tersebut.

Di Pantai pula, Syahbandar dan hulubalang-hulubalang Melayu segak mengenakan busana Melayu, menyambut dan meraikan delegasi-delegasi perdagangan dari serata dunia, sebelum diiringi ke istana pentadbiran Sultan yang terletak berhampiran kawasan pelabuhan utama. Kemeriahan di Pasar menutup terus irama ombak yang menghempas pantai. Ribuan orang datang dan pergi setiap masa, menunjukkan kekayaan pasar sesebuah negarakota melayu di zaman dahulu.

Begitulah hebatnya pemandangan di sesebuah pelabuhan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan mega. Sebelum Melaka terkenal sebagai pelabuhan entreport, Kedah, Jaya (Chaiya), Jambi, Kuala Berang, Kelantan, Temasik dan sebagainya pernah bertindak sebagai kota pelabuhan yang sangat makmur dan kaya-raya. Aktiviti maritim ini memerlukan disiplin diplomasi yang tinggi, di samping kekuatan dan kegagahan tentera laut sesebuah kerajaan. Kegagahan perahu-perahu layar Melayu dan kelajuan serta kecekapan pengendaliannya menjadikan pelabuhan di alam Melayu lebih selamat daripada ancaman lanun dan negara-negara lain.

Pedagang perlu membayar sejumlah besar duit sebagai tol bagi melepasi negara Melayu, dan keadaan ini menyebabkan kerajaan-kerajaan di sekitarnya sering cuba menyerang kerajaan-kerajaan Melayu. Serangan dibuat kerana pedagang-pedagang kerajaan tersebut dikenakan bayaran yang tinggi sebagai tol atau cukai, ataupun serangan juga dibuat untuk menjarah kekayaan kota-kota maritim ini. Natijahnya, Bangsa Khmer, Jawa, dan India sering menyerang negarakota Melayu.

Namun, hanya Chola yang berjaya menyerang dan menjarah ibukota-ibukota utama di Tanah Melayu, sebelum dihalau keluar oleh Samarra Vijayatungga Varman, yang bijak berdiplomasi dengan kerajaan-kerajaan di Sri Lanka, Cera dan Pandya. Setelah itu, raja-raja Melayu belajar dari peristiwa tersebut dan meningkatkan kekuatan tentera laut mereka.

Mengapa pelabuhan di negarakota-negarakota Melayu sangat terkenal dan makmur? Selain daripada sebagai laluan utama dari Timur (Cina) ke Barat (India), Kota Pelabuhan Melayu dangat terkenal kerana kebijaksanaan orang Melayu belayar, membelah ombak dan mencipta perahu-perahu serta jong-jong yang boleh digunakan dalam perdagangan. Berkurun-kurun lamanya, orang Melayu telah sampai ke Benua Afrika dan ke Mesir. Mereka dikenali sebagai Zabag, iaitu panggilan kepada nama Jawaka, kerajaan purba yang mungkin wujud di pedalaman Asia Tenggara.

Sekitar kurun pertama masihi,iaitu semasa Kerajaan Rom menguasai seluruh Levant dan Mediterranean, orang Melayu telahpun direkodkan berdagang dengan bangsa Rom tersebut. Mereka membawa rempah dan kulit kayu manis dengan menggunakan perahu layar yang seimbang, dan cara pembinaan perahu layar seimbang ini diadaptasi kepada tamadun Eropah, dengan orang Inggeris mula membina perahu dan layar berbentuk segi empat trapezium ini. Ia dikenali sebagai a balanced-lug sailboat. Teknologi ini juga dipindahkan ke tamadun Arab purba iaitu pelayar-pelayar Nabatae yang menggunakan perahu layar settee atau Lateen, yang menyerupai layar Melayu, seterusnya di India, arkeologi menjumpai perahu layar jenis ini seawal kurun ke-6 Masihi.

Mekanisme Pelayaran Bangsa Melayu

Waqaf Saham

Ketika angin monsun timur laut bertiup, iaitu sekitar  bulan Disember hingga Mac setiap tahun, pelayar-pelayar Melayu dengan beraninya mengemudi perahu-perahu layar mereka, dengan beberapa penciptaan teknologi pelayaran yang boleh membawa mereka merentasi lautan terbuka dan dikenalpasti sebagai bangsa pertama belayar di lautan terbuka, merentasi pebagai lautan. Mereka belayar beribu-ribu kilometer sehingga ke Nanhai dan Ryukyu, tanpa menggunakan kompas magnetik untuk menentukan arah.

Dengan kuasa angin yang menggerakkan perahu layar-perahu layar dan panduan arah yang dibuat dengan memerhatikan trend pada bintang, arus lautan, jenis ombak, jenis awan, jenis haiwan akuatik setiap kawasan, dan penghijrahan burung-burung. Kebijaksanaan mereka dalam memerhatikan alam membolehkan mereka mengemudi lautan dan merentasinya dengan berjayanya untuk berdagang dan mengkoloni sesuatu tempat yang baharu. Sejarah pengembaraan ini dikesan bermula ribuan tahun dahulu dengan teori kewujudan Tamadun lapita di Kepulauan Bischmark sebagai transisi pelayaran bangsa Melayu dari Asia Tenggara ke arah Kepulauan Mikronesia dan Polinesia.

Pada bulan Jun hingga September setiap tahun, monsun barat daya pula bertiup kencang. Keadaan ini membolehkan bangsa Melayu yang berani ini menjelajah dunia sebelah barat pula, dengan teknik dan teknologi yang sama digunakan semasa menjelajah ke sebelah timur. Oleh yang demikian, bangsa Melayu ini didapati pernah berdagang dan membuat kolobi sehingga ke Zanzibar (Timur Afrika) dan Magadaskar, sehinggakan bangsa Merina yang ada seramai lebih 20 juta orang hari ini di Madagaskar adalah bangsa yang bernasabkan Bangsa Melayu-polinesia, iaitu mempunyai bahasa yang menyamai dengan bahasa Melayu borneo. Koloni-koloni pedagang Melayu juga dilihat pernah wujud secara aktif di ‘The Arabia Felix’ (Yaman), Sri Lanka, Selatan India, Teluk Bengal, Canton, Ryukyu dan sebagainya.

Teknologi Pelayaran Yang dicipta oleh Pelayar-pelayar Melayu

Umumnya, teknologi ialah sesuatu yang biasa dipindahkan dari satu tamadun ke tamadun yang lain. Contohnya di zaman kini, teknologi menghasilkan kereta secara besar-besaran oleh Syarikat Ford dipindahkan kepada Syarikat Honda dan Toyota di Jepun. Dalam lipatan sejarah teknologi pelayaran, pelayar-pelayar Melayu telah dicatatkan belayar dan berdagang dengan tamadun Cina seawal tahun 300 SM dan telah menjalankan perdagangan di Pantai Timur Afrika seawal kurun pertama masihi.

Menurut L.N Shaffer, pelayar Melayu telah mengajarkan kepada pelayar tamadun cina, bagaimana membina kapal kargo (yang disebut jong) seawal kurun ketiga masihi, dengan menggunakan teknik tanggam sahaja tanpa sebatang paku pun. Teknologi ini dapat membawa muatan sehingga 300 ke 400 tan metrik, dan ada juga jong yang boleh membawa muatan sehingga 1000 tan metrik.

Selain itu, teknologi pembinaan cadik-cadik ataupun disebut ‘rigged’ dalam bahasa inggeris merupakan teknologi yang membolehkan perahu layar kita merentasi lautan dengan stabil dan tidak mudah untuk rosak atau terbalik dipukul ombak nan ganas. Cadik-cadik ini masih digunakan di seluruh Asia Tenggara dan Pasifik, dan lebih dikenali sebagai outrigger canoes dan perahu katir.

Rajah menunjukkan Perahu Katir atau Cadik yang digunakan di seluruh alam Melayu, sumber: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Philippines,_sailing_boat_with_outrigger,_model_in_the_Vatican_Museums.jpg

Teknologi pelayaran yang canggih juga didapati terdapat pada bentuk layar pada perahu-perahu layar Melayu. Kain layar jenis layar seimbang berbentuk trapezium dengan bentuk segitiga mengarah ke atas membolehkan angin monsun yang kencang dan bergulung-gulung di arahkan ke arah atas, membentuk daya tujah yang stabil dalam menggerakkan perahu, mengelakkan perahu dari terbalik dan membolehkan perahu layar bergerak dengan laju dan stabil. Teknik yang digunakan bukan sahaja pada perahu-perahu kecil, malahan ia juga berkesan dalam menggerakkan jong-jong yang besar.

Rajah menunjukkan Perahu layar jenis Balanced lug sail. Sumber gambar: https://pixabay.com/p-2253/?no_redirect

Jauh sebelum istilah ‘westernization’ (Baratisasi) dan ‘islamisation’ (Islamisasi), dunia pernah dipelopori oleh pembudayaan Selatan. Pembudayaan ini dipanggil ‘Indianization’ oleh pengkaji orientalis, namun menurut Linda Norene Shaffer, beliau lebih selesa memanggilnya sebagai ‘Southernization’ atau Selatanisasi. Budaya Selatanisasi ini tersebar ke seluruh pelosok dunia Selatan apabila penyebaran budaya dan agama Hindu-Buddha sekitar kurun ke-5M menerusi Empayar Gupta.

Walaubagaimanapun, Tamadun Melayu telahpun menerima trend Hindu-Buddha dan raja-rajanya telah memeluk agama Buddha seawal kurun ke-2M menerusi Raja Funan yang bernama Fan Chan, setelah belayar menerusi Teluk Bengal dan berkomunikasi dengan Empayar Kalinga menerusi Dinasti Mahamegavahana, yang kemudiannya menjadi salah sebuah kerajaan maritim yang mengawal seluruh teluk bengal, sebelum diserap menjadi sebahagian daripada Wilayah Empayar Gupta pada kurun ke-5M.

Hubungan antara Empayar Funan dan Kalinga ini telah membuka ruang kepada pelayar Melayu berinteraksi dengan pedagang India yang ingin berdagang sehingga ke negara China. Jalur pelayaran di Teluk Bengal ini telah banyak menyumbang kepada teori Selatanisasi ini, dengan Kepulauan Melayu menjadi wilayah yang sangat kaya, apabila trend matawang emas Gupta membeli emas dari Kepulauan Melayu, selepas kesukaran Pedagang Gupta berurusniaga dengan pelombong emas di Siberia dan sering diganggu dan dirompak oleh orang gasar di pertengahan antara India dan Siberia.

Rajah Jalur Perdagangan Laluan Sutera Laut di zaman Tang dan Song, sumber gambar: Rujukan 4

Pelayar Melayu telah membantu membuka jalur-jalur pelayaran ini dan berkemungkinan besar, pelayar Melayu turut mengajarkan pedagang India bagaimana untuk membina perahu katir dan layar jenis Melayu (Balance-lugged sail). Perahu layar jenis yang sama turut ditemui di Selatan India seawal kurun ke-6 M, menunjukkan terdapatnya pemindahan teknologi Melayu ke sana.

Dengan penetapan jalur-jalur pelayaran ini, pelayar Melayu telah membantu proses penyebaran agama Hindu dan Buddha ke arah Tamadun Cina, dengan negara Pan-pan di Timur Semenanjung menjadi hab kepada penyebaran agama Buddha di Asia Tenggara dan ke Cina. Sami yang terkenal kerana catatan pelayarannya, iaitu Yi jing (I-Ching) pernah mencadangkan agar sesiapa yang ingin mendalami agama Buddha di India, mereka perlu belajar dahulu di Negara Jaya (Srivijaya) dan mendalami pembelajaran Bahasa Melayu kerana terdapat sejumlah besar kitab-kitab agama Buddha yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Begitu pentingnya negara Asia Tenggara semasa penyebaran trend Selatanisasi ini.

Selain itu, kecekapan dan kecekalan pelayar-pelayar Melayu belayar ke serata dunia telah membuka jalur-jalur pelayaran dari Selatan ke Barat, dengan perdagangan bunga cengkih dan kulit kayu manis dari Asia Tenggara ke Teluk Aden, sebelum di bawa ke Tamadun Mesir seawal kurun pertama masihi, ataupun lebih awal lagi dari itu. Teknologi pelayaran ini membantu Empayar Gupta menjual produk tekstilnya dengan sangat berjaya di Afrika dan Eropah, serta ke Asia Timur. Produk kain kapas dari India ini mendominasi teknologi tekstil dunia sehingga ke zaman revolusi perindustrian Eropah sekitar kurun ke-19M.

Semasa kurun ke-5M, pelayar M,elayu dikatakan mendominasi jalur pelayaran dunia dengan ¾ daripada permukaan jalur pelayaran dunia ini dipenuhi oleh pelayar Melayu. Di mana-mana sahaja boleh ditemui koloni-koloni Melayu sehinggakan kaum maritim di Laut China, iaitu Kaum Yueh juga adalah kaum Melayu yang berdagang dan membentuk koloni di pantai Timur Cina, sehingga koloni mereka semakin mengecil dan akhirnya pupus dari Negara Cina di masa kini, yang tinggal hanya di Taiwan sahaja membentuk peribumi Taiwan yang bukan berbangsa Han. Di Afrika, pengaruh Melayu boleh dikesan sehingga ke pantai Barat Afrika, dengan penemuan diaspora budaya Melayu seperti alat muzik dan tumbuh-tumbuhan muasal Kepulauan Melayu seperti Keladi dan Pisang.

Eksplorasi Bangsa Melayu di laut lepas telah mewujudkan suatu tradisi maritim yang sangat hebat dengan kearifan lokal Melayu, digunapakai secara global, sebelum terciptanya kompas magnetik yang boleh menentukan arah menggunakan jarum. Jauh sebelum belayarnya Christopher Columbus ke Benua Amerika, jauh sebelum Ekspedisi Ferdenand Magellan mengelilingi dunia, bangsa Melayu terlebih dahulu mempelopori budaya maritim dan pelayaran jarak jauh dengan hanya menggunakan tiupan angin monsun, buruj di langit, arus lautan, ombak, hidupan-hidupan liar dan sebagainya sebagai pandu arah mereka. Kebijaksanaan ini berkemungkinan telah hilang dari minda kebanyakan anak kita, namun keberanian dan sifat berlumba-lumba masih wujud dalam diri anak Melayu, contohnya keberanian menunggang motorsikal dengan laju dan budaya merempit menjadi salah satu daripada masalah sosial remaja Melayu, sejak zaman Azroy (Gila-gila Remaja) sehinggalah ke zaman sekarang. Trend ini perlu diubah dengan berlumba di litar lumba yang sah dan tidak membahayakan semua orang.

Rujukan:

  • 1995, Lynda Shaffer, Maritime Southeast Asia to 1500, M.E Sharpe, London
  • 2009, Mohd Arof Ishak, Tamadun Alam Melayu, Mohd Arof Ishak
  • 2013, Patrick Heenan & Monique Lamontagne, The Southeast Asia Handbook, Fitzroy Dearborn Publisher
  • 2012, Angela Schottenhammer, The “China Seas” in world history: A general outline of the role of Chinese and East Asian maritime space from its origins to c. 1800, Journal of Marine and Island Cultures, http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2212682112000261
  • 1994, Lynda Shaffer, “Southernization”, Journal of World History Vol.5

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.