Takbir Raya Pertama Dalam Islam

0
2457
views

Sudah sedia maklum bahawasanya takbir hari raya merupakan salah satu zikir yang dikumandangkan oleh umat Islam seluruh dunia setiap kali menjelma Aidilfitri dan Aidiladha. Perlu diketahui dalam setiap perayaan mempunyai sejarah dan peristiwanya. Kali ini, sempena menyambut ketibaan bulan Syawal, kita akan menelusuri sejarah takbir pertama yang dikumandangkan di dalam sejarah Islam.

1) Kenapa hari raya pada 1 Syawal dikenali sebagai Hari Raya Aidilfitri?

Kalimat ‘fitri’ itu sendiri bermaksud fitrah iaitu manusia (umat Islam) berjaya membawa diri mereka kembali ke pangkal fitrah. Fitrah itu bermaksud suatu permulaan bagi manusia yang pada awal sememangnya diciptakan dan dilahirkan dalam keadaan yang bersih dan suci daripada dosa.

Seperti mana juga manusia yang bersih daripada dosa pada bulan Ramadhan dengan melakukan pelbagai ibadah yang mendekatkan dirinya pada Allah swt dan ujian puasa yang Allah berikan kepada hambanya selama dalam bulan Ramadhan dihadapinya dengan keadaan yang tenang dan tawaduk. Hari raya Aidilfitri diistilahkan sebagai kemenangan rohani dan fizikal bagi umat Islam yang menghadapi bulan Ramadhan dengan mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

2) Sejarah Takbir Raya.

• Perang Khandak ( Parit ) ataupun Perang al-Ahzab ( Bersekutu ) yang terjadi dalam bulan Syawal tahun ke-5 H dinyatakan, bumi Madinah menyaksikan sebuah peperangan yang berlaku di antara pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah saw melawan dengan pasukan tentera kafir bersekutu pimpinan Abu Sufian. Pasukan kafir Quraish yang disertai oleh kebanyakan kabilah Arab yang memusuhi Rasulullah saw telah bergabung di bawah panji kota Mekah mengepung kota Madinah yang menjadi kubu pertahanan bagi Rasulullah saw dan umat Islam.

• Antara kabilah Arab yang bernaung di bawah panji pasukan kafir Quraish Mekah adalah:

1) Bani Fazara
2) Bani Qais ‘Ailan.
3) Bani Asyja’ Sulaim
4) Bani Sa’d.
5) Bani Asad.

• Pasukan di bawah komando Abu Sufian yang apabila dijumlahkan mencecah hampir 10 ribu tentera mengepung pasukan Islam yang seramai 3000 orang di luar kota Madinah. Berkat kecerdikan strategi yang diusulkan oleh salah seorang sahabat baginda iaitu Salman al-Farisi membuatkan pertahanan kota Madinah menjadi kuat dan stabil. Salman telah mengusulkan sebuah cadangan yang meminta Rasulullah saw dan pasukan Islam menggali tanah di bahagian utara kota Madinah untuk dijadikan parit yang berfungsi menghalang kemaraan tentera kafir Quraish. Ini kerana pada masa itu, hanya pertahanan di bahagian utara kota Madinah terbuka dan ini memudahkan pasukan kafir Quraish menyerbu masuk ke dalam pusat kota tanpa halangan.

• Pada masa ini juga, sekutu Rasulullah yang bertanggungjawab untuk menyediakan bekalan makanan dan senjata kepada tentera Islam semasa peperangan berlaku, iaitu bangsa Yahudi dari kabilah Bani Quraizah telah membeloti Rasulullah saw. Mereka mengikat perjanjian bersekutu dengan Abu Sufian dan berjanji akan menyerang pasukan Islam Madinah dari belakang. Baginda menghantar dua orang sahabatnya, Sa’ad dan Abdullah sebagai utusan kepada ketua Bani Quraizah untuk memujuk mereka kembali mengikat janji damai dengan Rasulullah saw. Tetapi permintaan Rasulullah saw ditolak mentah-mentah oleh ketua Bani Quraizah dan baginda berjanji akan menjatuhkan hukuman kepada mereka setelah tamat peperangan ini.

• Setelah itu, Rasulullah saw menghantar Naim bin Masud sebagai seorang pengintip ke kem pasukan Quraish Mekah. Naim bin Masud menjalankan muslihatnya dan berjaya memecah-belahkan persekutuan pasukan tentera Ahzab.

• Abu Sufian mula tidak keruan apabila pasukan bersekutu di bawah pimpinannya mula bergaduh sesama sendiri dan ada diantara kabilah itu menarik diri dari peperangan ini serta membawa pasukannya pulang ke tempat asal masing-masing. Rancangan Abu Sufian seterusnya adalah memerintahkan Yahudi Bani Quraizah untuk menyerang pasukan tentera Islam Madinah dari belakang pada malam Sabtu, tetapi perintah Abu Sufian ditolak oleh mereka kerana serangan itu direncanakan pada malam hari Sabtu dan keesokan harinya kaum Yahudi diwajibkan beribadah. Yahudi Bani Quraizah yang menjadi harapan terakhir Abu Sufian pada ketika itu tidak melancarkan serangan, sedangkan pada masa itu pertahanan pasukan tentera Islam Madinah mula goyah dan bekalan makanan mereka mulai berkurangan.

• Pada malam itu juga, setelah mencapai 10 hari kepungan pasukan Abu Sufian ke atas kota Madinah, maka Allah swt menghantar suatu bencana yang membuatkan keseluruhan pasukan Quraish Mekah hancur dan segala kelengkapan peperangan mereka musnah. Allah swt telah menghantar satu ribut taufan yang membawa butir-butir pasir yang mampu melumpuhkan sesiapa yang terperangkap di dalam ribut ini. Dicatatkan juga, ribut ini adalah sebuah angkatan perang malaikat yang turun dari langit membantu pasukan Islam Madinah.

• Pada pagi hari Sabtu, kesemua pasukan kafir bersekutu melarikan diri dan pulang ke tempat mereka masing-masing. Tentera Islam menyambut kemenangan ini dengan gembira.

• Sebaik kemenangan berpihak kepada pasukan tentera Islam, Rasulullah saw bersabda:

“ Allahuakbar, bergembiralah wahai orang-orang Muslimin dengan kemenangan dan pertolongan daripada Allah swt ”.

Tentera Islam pun melaungkan takbir sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas bantuan serta kemenangan yang diberikanNya. Maka, takbir raya yang kita dengari saban tahun ketika menjelang Aidilfitri adalah takbir yang sama dilaungkan oleh tentera Islam dalam peristiwa Perang Khandaq.

• Di antara kalimat yang ada di dalam takbir hari raya adalah:

1.Laailahaillahuwahdah.

(Tiada Tuhan melainkan Allah dan Dialah yang Esa)

2.Sadaqawa’dah.

(Dia membenarkan janjinya membantu orang Islam).

3. Wanasara’abdah.

(Dia membantu hambaNya)

4. Wa’azzaunja wahazamal ahzab wahdah.

(Dia memuliakan tenteranya melawan dengan menghapuskan tentera Ahzab).

Akhir kalam, betapa mulianya para sahabat dan umat Islam yang menyertai bersama Rasulullah saw mempertahankan agama Islam pada ketika itu sehinggakan memenangan mereka disebut-sebut oleh kita sehingga ke hari ini di dalam sebuah ayat zikir yang dilantunkan dua kali setiap tahun.

Wallahu’alam.

– TAMAT –

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here