Kalau korang ditanya tentang monumen apakah yang melambangkan India pada zaman kegemilangan Islam, monumen apa korang pilih? Mesti korang pilih Taj Mahal, kan? Ya, Taj Mahal ialah monumen yang terkenal kerana bukan saja pembinaannya yang mengikuti gaya Arab-Islam dan menggunakan batu marmar putih bagi menyerlahkan monumen ini, ia sebenarnya lambang cinta Sultan Shah Jahan kepada permaisurinya yang telah meninggal dunia.

Tapi, korang tahu tak yang Taj Mahal ada ‘kembarnya’? Ya, monumen terkenal dunia ini memang ada ‘kembarnya’, malah ia dipanggil dengan nama ‘Taj Mahal Merah’ kerana seluruh monumen ini begitu serba merah! Dikatakan Taj Mahal Merah dibina sebagai tanda cinta seorang wanita Belanda terhadap suaminya yang bertugas sebagai gabenor wilayah Agra.

Mengapa kembar Taj Mahal ini dibina di India? Adakah pembinaan ini dibenarkan oleh sultan atau maharaja India pada waktu itu? Atau tidak cukupkah dengan Taj Mahal yang sekian lama menjadi lambang cinta pasangan suami isteri sehingga akhir hayat? Persoalan-persoalan ini akan kita rungkaikan pada perenggan seterusnya.

Adakah Taj Mahal Merah ini berkait dengan Taj Mahal milik Sultan Shah Jahan? (Sumber: Ancient Origins)

KISAH BERMULA DARI EMPAYAR MARATHA

Sejarah Taj Mahal Merah agak panjang juga, dimulai dengan era pemerintahan pegawai Empayar Maratha bernama Mahadji Scindia. Terlebih dahulu, kita kenal serba sedikit dahulu tentang Empayar Maratha. Pada mulanya, wujud komuniti orang India Hindu berkasta Maratha, iaitu komuniti tentera yang pernah berkhidmat di bawah Empayar Mughal pada abad ke-16 Masihi.

Sejak Shivaji I dari keluarga diraja Bhonsle dilantik menjadi ketua komuniti kasta Maratha pada tahun 1674, baginda mengasaskan Empayar Maratha saat lemahnya kerajaan Kesultanan Bijapur di selatan India. Setelah Sultan Aurangzeb mengetahui pembinaan Empayar Maratha, baginda melancarkan perang dengan menghantar 150,000 anggota tentera pada tahun 1680, bagi memastikan empayar India Hindu ini terhapus.

Perang yang dipanggil sebagai Pertempuran Mughal-Maratha dan Pertempuran 27 Tahun ini bertahan sehingga kemangkatan Sultan Aurangzeb pada tahun 1707. Tentera Maratha seramai 500,000 anggota terus mara dan menumpaskan kekuatan tentera Mughal di Delhi dan Bhopal, memaksa Empayar Mughal meninggalkan kedua-dua wilayah ini. Akhirnya, Empayar Maratha meluas dari Deccan di selatan hingga ke Delhi di utara India.

Kemuncak Empayar Maratha selepas mengalahkan Empayar Mughal. (Sumber: Maps of India)

Semasa pemerintahan Maharaja Rajaram II pada tahun 1749, kota Ujjain yang terletak di tengah India ditadbir oleh pegawai empayar bernama Mahadji Scindia. Beliau terkenal sebagai tokoh yang memulihkan kuasa Maratha setelah empayar ini mengalami kalah teruk dalam Petempuran Ketiga Paniput melawan tentera Empayar Durrani dari Afghan (Afghanistan) pada 14 Juanuari 1761, setelah menjadi lefternan kepercayaan Peshwa, iaitu perdana menteri Maratha. Peshwa ketika itu ialah Madhavrao I.

Beliau berusaha membina kilang senjata api yang berpusat di kota Agra, bekas ibu kota Empayar Mughal. Kerana Mughal pernah menghasilkan senjata api di kota ini, Scindia mengambil peluang untuk membina kilang tersebut untuk memastikan bala tentera Maratha dibekalkan senjata api.

Pada waktu ini Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah lama bertapak di India sejak era Empayar Mughal lagi dan masuk campur urusan pentadbiran India bagi mengekalkan kuasa mereka selain menguasai perdagangan rempah-ratus. Setelah mengetahui niat Scindia di Agra, SHTI mengharamkan sebarang pegawai British berurusan dengan Scindia, apatah lagi menjadi tentera diketuai oleh Scindia supaya niat Scindia ingin membina kilang senjata api tidak tertunai.

Scindia tahu akan usaha SHTI mengekangnya untuk menunaikan usahanya kerana penjajah British ini risau akan usaha pemberontakan akan berlaku, padahal inilah apa yang Scindia usahakan iaitu menubuhkan organisasi tentera bersenjata api digelar ‘Deccan Invicibles’ atas nasihat pegawai tentera Eropah selain British, terutamanya pegawai tentera Belanda bernama Kolonel John Hessing.

KISAH SEORANG KOLONEL BELANDA DI INDIA

Kolonel John Hessing ialah pegawai tentera yang lahir pada tahun 1740 di tanah airnya, Belanda. Beliau kemudian tiba di India pada tahun 1764 dan berkhidmat kepada putera-putera India. Setelah lama mengembara dan berkhidmat di India, Hessing menyertai bala tentera Perancis yang diketuai oleh Komander De Boigne. Ketika itu Mahadji Scindia baru saja menjadi pentadbir kota Ujjain dan beliau memerlukan bantuan ketenteraan De Boigne untuk mengukuhkan kuasanya.

Illustrasi Mahadji Scindia, pemerintah kota Ujjain, tengah India. Kolonel John Hessing pernah berkhidmat di bawah Scindia. (Sumber; Wikimedia)

Setelah lama bertempur bersama bala tentera Perancis, Hessing mengundurkan dirinya setelah bertengkar dengan De Boigne. Beberapa tahun kemudian, Mahadji Scindia sendiri melantik Hessing sebagai pengawal peribadi Scindia pada tahun 1792, selain membenarkan Hessing mengetuai 4 buah batallion tentera Scindia. Pada tahun 1800, Hessing terpaksa bersara akibat sakit tua dan memberikan kuasa komandan 4 batallion tentera kepada anak lelakinya iaitu Kolonel George William Hessing.

Pada hari-hari pencen, Hessing berkhidmat sebagai pelayan tetamu elit seperti para pegawai British yang tiba di Agra, terutamanya Kubu Agra sama ada tujuan lawatan atau urusan kerajaan. Akhirnya, Hessing meninggal dunia pada 21 Julai 1808. Ketika ini beliau berusia 63 tahun. Kepergian Hessing begitu menyedihkan bagi isterinya iaitu Lady Anne Hessing, kemudian meminta untuk membina sebuah makam memorial untuk suaminya tercinta. Rekaan Taj Mahal dipilih untuk membina makam Hessing sebagai tanda cintanya isterinya kepada mendiang.

Makam ini dibina menggunakan batu pasir merah dengan gabungan gaya rekaan era Mughal bersama unsur binaan Eropah. Makam ini juga dibina di atas perkuburan Katolik Rom bernama Padretola. Perkuburan ini wujud pada tahun 1550-an, di mana komuniti orang Armenia beragama Kristian menetap di Agra semasa pemerintahan Akbar dari Empayar Mughal. Saiz Taj Mahal Merah ini sebenarnya kecil dari Taj Mahal milik Sultan Shah Jahan, namun perbelanjaan membina Taj Mahal Merah ini sebanyak 1 lakh Rupee, bersama dengan RM 447,600 sekarang!

Bahagian depan Makam John Hessing atau Taj Mahal Merah. (Sumber: Ancient Origins)

Taj Mahal Merah sehingga kini masih boleh dilawati oleh pelancong tempatan dan luar negara, berkat Scindia menunaikan permintaan isteri mendiang Hessing. Hessing bukan sekadar pegawai yang telah lama berkhidmat di India selama 37 tahun, tapi kisahnya masih diingati kerana makamnya yang melambangkan cinta pasangan suami isteri Belanda yang tidak mengenal sempadan, seperti kuatnya cinta Shah Jahan kepada permaisurinya melalui pembinaan Taj Mahal.


Kalau anda berminat dengan sejarah Islam di India, kami nak cadangkan buku kami, MUGHAL: MUTIARA ISLAM DI INDIA. Boleh beli di Shopee kami di: https://bit.ly/3FcHqQw 

 

RUJUKAN:

Arunansh B. Goswami. 1 March 2023. The Red Taj Mahal and the Dutch Hessings of India. Ancient Origins.

Theodoros, Karasavvas. 27 December 2016. India to Build Immense Statue, Twice the Size of the Statue of Liberty, of Medieval King Shivaji.  Ancient Origins.

Pearson, M. N. (February 1976). “Shivaji and the Decline of the Mughal Empire”. The Journal of Asian Studies.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Leave A Reply