Syaikh Yusuf Makassar : Ulama Sufi & Pejuang Terusir Yang Berjasa Kepada 3 Kerajaan

2053
views

Assalamualaikum wbt. Segala puji bagi Allah. Selawat serta salam kepada Rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat. Salam kecintaan kepada sekalian ulama’, daie dan mereka yang mengorbankan jiwa, masa dan tenaga mereka dalam penyebaran Islam.

Awal September lepas, saya telah bermusafir ke Iligan City, Mindanao, Selatan Filipina dalam misi bantuan mangsa pelarian perang Marawi. Dalam perjalanan ke sana lalu disambung perjalanan ke Tanah Jawa, kitab Bariq Al Anwar telah menjadi teman saya sepanjang permusafiran. Kitab Bariq Al Anwar adalah karangan Guru kami, Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi Al Bantani mensyarahkan dan mentahqiqkan Sirrul Asrar karangan Syaikh Yusuf Makassar.

Kitab Bariq Al Anwar Syarah kepada Sirrul Asrar Syaikh Yusuf Makassar

Saya sebenarnya dalam rencana menulis travelog saya di Mindanao, akan tetapi apabila membaca kitab tersebut, rasa sangat tertarik dan lantas mengambil keputusan menterjemah. Di mukaddimah kitab tersebut, dimuatkan biodata pengarang Sirrul Asrar yakni Syaikh Yusuf Makassar. Fakta yang sangat menarik, Syaikh Yusuf telah meninggalkan 23 buah kitab berbahasa arab dan kitab Sirrul Asrar adalah salah satunya. Syaikh juga ada mengarang kitab dalam bahasa bugis dan melayu.

Oleh kerana itu, pada tulisan kali ini, saya ingin berkongsi biodata Syaikh Yusuf yang diterjemahkan selain memasukkan beberapa tambahan maklumat yang saya rujuk dan perolehi ketika berada di Banten, Indonesia (Syaikh Yusuf pernah bermukim di Banten).

Nama & Nasab

Beliau ialah As Syaikh Al Alim Al Wali Ad Daie Al Muslih As Sufi Yusuf Taj Al Khalwati Al Makasari. Dilahirkan di Kota Gowa, Makasar yang terletak di kawasan negeri Sulawesi, Indonesia pada 8 Syawal 1036H yang bersamaan dengan 3 Julai 1626M. Syaikh digelarkan dengan gelar Tuanta Salamaka Ri Gow (bermaksud : Tuan Guru Penyelamat Kita dari Gowa).

Ayahnya adalah Abdullah atau nama bugisnya Gallarang Moncongloe yang merupakan adik beradik seibu sebapa Sultan Alauddin Daeng Marabbi Imangarang, Raja pertama Kerajaan Gowa yang memeluk Islam. Ibunya adalah Aminah Binti Dampang Go Mara dari keluarga bangsawan kerajaan Tallo. Kerajaan Goa – Tallo adalah kembar kerana kedua-duanya berasal dari kerajaan yang sama sebelum era Islam.

Nasab Ayah dan Ibu Syaikh Yusuf bertemu pada Raja Bugis kelapan iaitu Karaeng Tunatungka Lopi.

Sekilas Kisah Hidup

Sejak kemasukan Islam ke tanah Bugis, Islam telah diangkat menjadi agama rasmi Kesultanan Gowa pada permulaan kurun ke-17 M.  Silibus pengajian asas utama di Kerajaan Gowa adalah Qiraat Al Quran, penulisan, hafazan dan pengajian Quran.

Syaikh Yusuf Makassar telah mempelajari dibawah bimbingan para Ulama’ Kerajaan Gowa dengan memulakan pengajian Al-Quran di. bawah asuhan Gurunya iaitu Daeng Ri Tasamana. Beliau telah menamatkan pengajian Al Quran pada umur yang sangat muda.

Kemudian ayahnya menghantar Syaikh Yusuf ke Maahad Buntuala untuk menekuni bahasa arab dan Syariah Islamiah misalnya nahu, saraf, balaghah, mantiq, fiqh, tauhid dan hadis.

Kematangan dan kecerdikan Syaikh Yusuf terserlah sepanjang pengajiannya dan beliau menampakkan kecenderungan kepada ilmu tasauf.

Kemudian beliau berpindah ke Maahad Cikoang dan Gurunya adalah Al Alim Al Allamah Ad Daie ila Allah As Syaikh Jalaluddin Aidid, salah seorang Ulama’ Acheh yang datang ke Kesultanan Gowa.

Selepas beberapa tahun, lantaran kecerdasan dan kematangan beliau, Gurunya menunjukkan isyarat agar beliau melanjutkan pelajaran ke negara Arab, tempat perkembangan ilmu Islam.

Pada 22 September tahun 1633M, Syaikh Yusuf telah berangkat ke Banten untuk mendalami ilmu dengan menumpang salah satu kapal melayu dari Melaka.

Lalu beliau bertemu para Ulama’ dan para masyaikh serta para pimpinan Banten antaranya ialah Putera Mahkota Kesultanan Banten, Sayyid Abdul Fatah ibnu Sultan Sayyid Abu Mafakhir Abdul Qadir (1598-1650M) – Sultan Banten.

Kemudian beliau melanjutkan perjalanan ke Acheh dan di sana beliau berjumpa Syaikh Nuruddin Muhammad bin Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid Ar Raniri (w 1658M). Syaikh Yusuf telah mengambil dan mendapat ijazah tarekah Qadiriah dari Syaikh Nuruddin Ar Raniri.

Pada pertengahan tahun 1649M, Syaikh Yusuf menuju ke Yaman pula dan berjumpa Syaikh Sufi Abdullah Muhammad Abdul Baqi (w. 1664M) dan mengambil ijazah Tarekah Naqsyabandi. di Kota Zabid, Yaman. Syaikh Yusuf belajar di bawah bimbingan Ulama’ Zabid As Sayyid Ali Az Zabidi dan mendapat ijazah darinya sebagaimana juga beliau telah bertemu Imam Abdullah bin Alwi Al Haddad Al Hadhrami (1044-1132H) dan mendapat ijazah Ba alawi dan membaca kitab tasauf dengan Imam Abdullah Al Haddad.

Selepas tinggal di Yaman untuk satu tempoh, beliau berpindah ke Makkah Al Mukaramah untuk menunaikan Haji sambil melanjutkan pelajaran.

Kemudian beliau menuju Madinah Al Munawarah dan bermukim agak lama di masjid Nabi saw. Beliau menuntut ilmu di Madinah di bawah asuhan tiga orang Ulama’ yang masyhur yang menjadi tumpuan para pelajar melayu ketika itu.

Tiga ulama’ itu adalah Syaikh Safiuddin Ahmad Qusyasi (w.1661 M), Syaikh Burhanuddin ibnu Syaikh Ibrahim bin Husain bin Syihabuddin Al Kurdi Al Kurani Al Madani (w.1690 M) dan dari beliau mendapat ijazah Tarekah Syathariah darinya dan Syaikh Hasan Al Ajami (T 1701 M).

Syaikh menyambung permusafiran beliau ke Syam dan belajar dan mendapat tarbiyah di bawah bimbingan Syaikh Sufi dan Al Muhaddis iaitu Abu Al Barakat Ayub bin Ahmad bin Ayub Al Khalwati Al Qurasyi dan dari Syaikh ini, Syaikh Yusuf telah mendapat ijazah Tarekah Khalwatiah.

Oleh kerana Gurunya kagum dengan keistimewaan, ilmu dan kedudukan yang beliau telah perolehi, Gurunya telah mengurniakan gelaran (laqab) Taj al Khalwatiah (Mahkota Tarekah Khalwatiah). Oleh itu, Syaikh Yusuf mempunyai banyak gelaran dan nama penuhnya menjadi seperti berikut :

Al Haj Yusuf Mahasin Hidayatullah Taj Al Khalwatiah Al Makassari.

Beliau kemudian menuju ke Istanbul, Turki dan mengambil banyak pengalaman ilmu dan adab. kemudian kembali ke Makkah dan menetap suatu tempoh untuk beribadah dan muzakarah ilmu. Ketika dalam tempoh itu, Syaikh Yusuf telah bermula mengajar para penuntut ilmu berbangsa melayu di musim Haji di Tanah Haram terutama para penuntut keturunan Bugis.

Sebahagian Murid Syaikh Yusuf

Sebahagian muridnya yang beliau memberi sanad dan memberikan kepercayaan untuk mengajar dan mereka berhasil mendapatkan pengiktirafan Syaikh Yusuf di Makkah ialah –

  1. Abu Al Fath Abdul Al Basir Al Dhorir (mashyur dengan panggilan Tuan Rpappang)
  2. Abd Al Hamid Karaeng Karunrung
  • Abd Qadir Majeneng

Kesemua tiga muridnya itu berasal dari Sulawesi Selatan dan mereka berperanan besar menyebarkan tarekah khalwatiah Gurunya di Makassar.

Kehidupan Bermasyarakat

Syaikh Yusuf kembali ke Gowa – Tallo dengan penuh cita-cita mengajar manusia di tanah airnya. Malangnya, impiannya buntu dengan sebab beliau melihat perubahan yang telah berlaku di negerinya. Peperangan telah berlaku antara Kesultanan Gowa menentang Syarikat Belanda, Vereenigde Oostindische Compagnie (VOC) dan Aru Palaka yang mana Kesultanan Gowa menyerah kalah ke Orang Belanda hingga membawa kepada perjanjian aman Bungaya pada 18 November 1667M antara Sultan Hasanuddin dan Cornolis Speelman (wakil VOC).

Kesan perjanjian itu ialah Kekuasaan Kesultanan Gowa menjadi terhad dan kemasukan orang-orang Belanda di dalam urusan kerajaan Gowa. Hal itu menyebabkan Kerajaan Gowa melemah.

Syaikh Yusuf telah melihat penularan terzahirnya kemunafikan seperti permainan judi, minum arak, pertaruhan, bersabung ayam dan penyembahan berhala ditambah kelemahan Sultan mengatasinya.

Syaikh Yusuf telah memanggil sebahagian anak muridnya dan sahabatnya. Beliau memberi semangat agar sekaliannya terus menyambung usaha dakwah yang telah mereka zahirkan. Syaikh Yusuf juga mengambil baih janji dari mereka untuk menegakkan syiar Islam dan menentang perkara munkar di negeri mereka.

Syaikh Yusuf tidak menyaksikan banyak perubahan selepas banyak usaha dan cubaan, kerana merasakan semua percubaan tidak akan berjaya selama mana Sultannya lemah. Lalu Syaikh Yusuf meninggalkan Gowa kali kedua menuju ke Banten pada tahun 1672M. Di Banten, beliau berjumpa Sultan Banten yang agung, Sultan Ageng Tirtayasa. Sultan Tirtayasa telah menyambut kedatangan dan mendekati beliau. Baginda telah melantik Syaikh Yusuf sebagai Mufti Kesultanan Banten. Syaikh Yusuf menjadi masyhur serta menjalani kehidupan dengan tawadhu’ dan sentiasa menyeru manusia kepada Jalan Allah.

Setelah kemasukan orang eropah, Kesultanan Banten mencapai banyak kemajuan untuk merealisasikan impian mereka lebih lebih lagi pada era Sultan Agung Banten, Sultan Ageng Tirtayasa yang mempunyai ketokohan mengambil keistimewaan dari penjajah yang mereka laksanakan di Banten.

Malangnya, pada tahun 1676M, tatkala kepulangan Putera Mahkota Banten dari Ibadah Haji (digelarkan Sultan Haji selepas ditabal menjadi Sultan) yang mana Baginda adalah harapan untuk meneruskan pembangunan dan kemajuan negeri Banten. Harapan itu sia-sia apabila putera Mahkota itu menjalinkan hubungan baik dengan orang Belanda dan menyerupai mereka dalam banyak hal hingga memberi peluang orang-orang belanda mencampuri urusan negeri Banten.

Bukan itu sahaja, malah sultan Haji dengan kerjasama Belanda sanggup melakukan kudeta dan mengkhianati Ayahandanya (Sultan Tirtayasa) hingga memenjarakan Ayahandanya di Batavia (Jakarta) sampai Sultan Titayasa mangkat di penjara pada tahun 1962M.

Melihat sejarah sultan haji yang sangat jelek itu, timbul cerita – cerita rakyat yang hampir kesemuanya jauh dari kebenaran sejarah direka bertujuan menutup keslaahan sultan haji yang khianat yang membuatkan orang Banten malu. Antara cerita rakyat ialah, dikisahkan bahawa yang melakukan pemberontakan terhadap Sultan Ageng Tirtayasa, bukan lah sultan Haji tetapi orang lain yang berasal dari Pulau Putri atau Pulau Majeti. Terdapat pelbagai lagi versi cerita yang panjang lebar yang tidak dapat ditulis semuanya pada tulisan kali ini.

Penulis, angah sunan di hadapan Masjid Agung Banten, Indonesia. Dari Jakarta lebih kurang 90KM ke Banten.

Jika di Banten, kisah pengaruh Syaikh Yusuf cuba ditutup kerana apabila kisah Syaikh diangkat, pasti akan terbuka kisah pengkhianatan anak kepada Ayahanda di dalam Kesultanan Banten yang sangat memalukan.

Ketika Sultan Ageng Tirtayasa dalam tahanan VOC Belanda, para pengikut setia pimpinan Pengeran Purbaya, Pangeran Kulon dan termasuk Syaikh Yusuf Makassar meneruskan perjuangan menentang Belanda. Syaikh Yusuf adalah sahabat baik Sultan Tirtayasa yang dikenali sejak sebelum menjadi Sultan. Untuk mengeratkan hubungan, Sultan Ageng Tirtayasa telah menikahkan Syaikh Yusuf dengan puteri Baginda.

Syaikh Yusuf telah berhadapan bahaya dan beliau bermula berjuang di Banten demi mendaulatkan syiar Islam, hal ehwal orang Islam melalui penentangan terhadap sultan Haji – Belanda. Syaikh Yusuf ingin melindungi Kesultanan dari campur tangan orang asing dalam hal ehwal negeri. beliau berjuang bersama para sahabat karib yang terdiri dari keluarga Kesultanan melawan orang Belanda pada tahun 1682 M.

Beberapa cubaan telah dilakukan Syaikh Yusuf bersama 5000 orang pengikut termasuk 1000 orang dari Makassar dan melayu yang siap berjihad bersama Gurunya. Dari Padaherang (desa di kecamatan Padaherang, Pangadarang, Jawa Barat), pasukan Syaikh Yusuf telah melakukan penyerbuan ke benteng VOC Belanda. Namun pada tanggal 25 September 1683M, VOC melakukan serbuan besar-besaran ke Padaherang. Akibatnya ramai pangeran, pembesar Banten gugur syahid. Isteri dan puteri Syaikh Yusuf di tawan VOC Belanda. Sementara, Syaikh Yusuf dan sebahagian muridnya berjaya loloskan diri ke daerah Banjar dan kemudian berpindah-pindah tempat sambil mencari peluang menyerang VOC Belanda hingga akhirnya tiba di Mandala, di Sukapura.

Belanda mengalami kesulitan menangkap Syaikh Yusuf yang dikelilingi para gerilawan siap mati mempertahankan Guru mereka. Akhirnya, Belanda menukar taktik. Van Happel, orang utusan Belanda telah berpakaian seperti arab berpura-pura masuk seperti tawanan berhasil menyusup masuk melepasi para gerilawan.

Van Happel masuk ke sebuah tempat yang bernama Karang dengan membawa anak perempuan Syaikh Yusuf yang bernama Asma’ yang dahulunya di tangkap VOC Belanda. Van Happel yang menghormati Syaikh Yusuf telah memohon maaf datang dengan cara demikian dan memujuk Syaikh Yusuf agar berunding. Anak perempuan Syaikh Yusuf, Asma terlebih dahulu diajar oleh Belanda agar memujuk ayahnya. Pada tanggal 14 Disember 1683 M, Syaikh Yusuf berangkat ke Cirebon. Dari sana belliau bersama anggota keluarganya dan 12 murid serta pasukannya di bawa ke Batavia (Jakarta) dan dimasukkan ke dalam penjara. Meskipun Syaikh Yusuf dipenjara, pengaruhnya tidak dapat dibendung.

Disebabkan itu, Belanda telah membuang Syaikh Yusuf dan 49 orang bersama beliau ke pulau Ceylon (sekarang Sri Langka). Ketika tempoh pengusiran di pulau itu, terbuka peluang dakwah yang luas kepada Syaikh Yusuf dan Syaikh Yusuf telah mengarang beberapa risalah ilmiah di sana.

Lokasi Sri Langka, tempat Syaikh dan 49 orang pengikutnya diusir

Kemudian pada tahun 1693 M, Syaikh Yusuf di usir pula ke Kota Koop Die Goeie Hoop atau dalam bahasa Inggeris Cope Of Good Hope (atau orang melayu memanggil Tanjung Harapan) dan Cape Town di Afrika Selatan.

Peta di atas menunjukkan lokasi Cope Of Good Hope

Penjajah Belanda mengusir beliau  ke Afrika Selatan agar ia terpisah dan berjauhan dari melaksanakan cita citanya yang tinggi iaitu dakwah, mengajar dan membimbing masyarakat.

Moga-moga mereka yang zalim itu mengetahui bahawa hanya takdir Allah sahaja yang menentukan berjaya atau tidak niat mereka. Perancangan mereka yang pada zahirnya buruk (membuang Syaikh Yusuf ke Afrika Selatan) namun sebaliknya telah menjadi kebaikan, kejayaan dan cahaya yang mana Allah telah kehendaki cahaya Islam sampai kepada ummat di Afrika melalui tangan Syaikh Yusof Al Makassar.

Firman Allah Taala :

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٢١٦

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (AL BAQARAH : 216)

Syaikh Yusuf dibuang negeri ke tempat yang baru dan persekitarannya yang kompleks dan amat berbeza dengan tempat tinggal sebelum ini yang mana tempat baru diselubungi dengan kegelapan kufur dan kesesatan. Tiada langsung kelihatan cahaya Islam di tempat baru.

Para penjajah menyangka hasrat mereka tercapai dengan ‘membuang’ Syaikh Yusuf dengan harapan Syaikh Yusof melemah dan meninggalkan usaha dakwahnya kerana tiada kesediaan dengan situasi bumi yang gersang untuk usaha dakwah. Akan tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Firman Allah Taala :

وَيَمۡكُرُونَ وَيَمۡكُرُ ٱللَّهُۖ وَٱللَّهُ خَيۡرُ ٱلۡمَٰكِرِينَ ٣٠

“Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”. (AL ANFAL : 30)

Firman Allah Taala lagi :

يُرِيدُونَ أَن يُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (AT TAUBAH : 32)

Mereka yakni penjajah tidak mengetahui bahawa para pemuda yang berjuang di jalan Allah diibaratkan bagai gunung yang teguh.  Cahaya mereka sesekali tidak terpadam dengan apa jua halangan sekalipun dan kesungguhan berdakwah kepada Allah sudah sebati dengan jiwa mereka dalam setiap hal dan keadaan sekalipun.

Barangsiapa yang hal jiwanya bersama Allah, sungguh Allah tidak akan abaikan dirinya dan dipelihara Oleh Allah selama-lamanya. Maka tiadalah Syaikh Yusuf memberi perhatian lain melainkan menumpukan dengan kesungguhan dalam berdakwah kepada manusia di sana dengan penuh hikmah dan bermuamalah dengan baik dan menunjukkan akhlak yang mulia. Lalu tersebar luas lah Islam melalui tangannya di Cape Town,  satu negeri di Afrika Selatan.

Kecintaan Syaikh Yusuf berkembang kepada umat manusia di sana termasuk orang bukan Islam.  Allah telah memberi Hidayah kepada ummat manusia di sana dalam jumlah yang besar dengan asbab dakwah Syaikh Yusuf dan inilah dikira julung kali pertama sampainya Islam ke negara tersebut.

Limpahan dan pertolongan diberikan terus kepada Syaikh Yusuf apabila ribuan manusia memeluk Islam di Afrika Selatan sejak 400 tahun. kebanyakan orang Islam di sana ialah orang arab, hindi, melayu dan sebahagian kecil penduduk asal. Syaikh Yusuf diibaratkan seperti pemimpin kerohanian bagi komuniti Islam di Cape Town dan Afrika Selatan.

Orang Islam di sana tersebar hingga sekarang di setiap negeri di Afrika Selatan. akan tetapi mereka tetap konsisten di Cape Town. Mazhab fikh yang dominan adalah Mazhab Syafie kerana asal usul penduduk di Cape Town adalah dari Indonesia, Malaysia dan Hadrami (Yaman).

Kewafatan

Syaikh Yusuf Al Makassar rhm wafat pada usia menghampiri 73 tahun di daerah Makassar, Cape Town pada tahun 1111H bersamaan 24 Mei 1699 M. Di dirikan pemakaman dan kubah yang selayaknya sesuai dengan kehormatan Syaikh Yusuf. Makamnya di ziarahi para pelajar dan para pecintanya dan sekalian penziarah.

Gambar Makam Peringatan Syaikh Yusuf Di Cape Town, Afrika Selatan. Sumber gambar : Bonda Tun
Plak penghargaan kepada Syaikh Yusuf. Sumber gambar : Bonda Tun

Pemerintah Kesultanan Banten dan Penguasa Kesultanan Gowa di Makassar meminta kepada Pemerintah Belanda agar membawa jasad Syaikh Yusuf kembali ke kampung halamannya. Malangnya, permintaan itu tidak dipandang penting oleh Belanda.

Pemerintah Banten dan Gowa terus berulang kali meminta dan meminta sehingga pemerintah Belanda bersetuju. Kemudian, jasad Syaikh Yusuf telah dipindahkan selepas 5 tahun setelah kewafatannya. Peristiwa demikian berlaku pada 5 April 1759M, tarikh yang mana keranda Syaikh Yusuf tiba di Kesultanan Gowa. kemudian beliau di tanam kali kedua di perkuburuan yang masih kekal ada hingga sekarang di Kampung Lakiung. Di isytiharkan perkuburan Syaikh Yusuf kepada penduduk Sulawesi Selatan dengan nama Kubang.

Makam Syaikh Yusuf di Gowa, Sulawesi Selatan. Sumber gambar : herulegowo.com

Tempat pemakaman di Kampung Makassar, Cape Town, Afrika Selatan masih wujud sebagai penanda peristiwa bersejarah bagi komuniti melayu tempatan di sana dan masih diziarahi hingga kini.

Keilmuan, dakwah dan kepahlawanan Syaikh Yusuf terus dikenang oleh masyarakat bukan hanya di Sulawesi dan Banten tetapi juga di Afrika Selatan. Bahkan, Nelson Mandela, mantan presiden Afrika Selatan, menyebutnya sebagai ‘Salah Seorang Putra Afrika Terbaik’ kerana sumbangan besar Syaikh Yusuf kepada penduduk di sana.

Syaikh Yusuf juga diberi gelar pahlawan oleh Afrika Selatan karena dianggap sebagai sosok yang menginspirasi Nelson Mandela, bekas Presiden Afrika Selatan yang anti-apartheid. Nelson Mandela bertahan menghadapi penderitaan di penjara selama puluhan tahun karena terinspirasi dari perjuangan Syaikh Yusuf Makassar.

Syaikh Yusuf rela dibuang dari tanah airnya, hanya karena keyakinan politiknya bahwa Indonesia suatu saat bisa merdeka. Spirit tersebut yang membuat Nelson Mandela boleh bertahan di bawah penderitaan penjara.

Bukan itu sahaja, nama tanah kelahirannya, Makassar dijadikan nama sebuah kampung juga di Afrika Selatan nisbah kepada Syaikh Yusuf Makassar yang telah menjadi de facto tempat tersebut.

Syaikh Yusuf Makassar juga dianugerahi gelar Pahlawan Nasional oleh Presiden Soeharto dengan SK Presiden : Keppres No. 071/TK/1995, Tgl. 7 Agustus 1995.

Karangan- Karangan Syaikh Yusof Makassar

Syaikh Yusuf telah mengarang beberapa kitab dan risalah dengan pelbagai bahasa seperti bahasa arab, Sulawesi dan Melayu. Akan tetapi kami hanya sebutkan karangan beliau yang di karang dalam bahasa Arab sahaja dalam senarai manuskrip bahasa arab yang di dapati di Perpustakaan Leiden dan pusat koleksi lain di New Zealand oleh senarai tangan P Voorhoeve.

Kitab-kitab karangan Syaikh Yusuf adalah seperti berikut :

  1. Al Bakarah As Sailaniah
  2. An Nafahat As Sailaniah
  3. Bidayah Al Mubtadi
  4. Al Fawaih Al Yusufiah
  5. Matholib As Salikin
  6. Qurrat Al Ain
  7. Taj Al Asrar
  8. Zubdah Al Asrar
  9. Fawaid Azimah Zikr La Ilaha Illa Allah
  10. Muqaddimah Al Fawaid Allati La Budda Min Al Aqaid
  11. Tahsil Al Inayah Wa Al Hidayah
  12. Risalah Ghoyah Wa Nihayah Al Ikhtishor Wa Al Intizhor
  13. Tuhfah Al Abrar Li Ahli Al Asrar
  14. Daf’u Al Bala’
  15. As Syura’
  16. Hasyiah ala Kitab Al Anbiya’ Fi Irab La Ilaha Ila Allah
  17. Tuhfah At Tholib Al Mubtadi Wa Minhah As Salik Al Muhtadi
  18. Safinah An Naja
  19. Fath Az Zikir Wa Kaifiatuh
  20. Habl Al Warid Li Sa’adah Al Murid
  21. Kaifiat Al Nafi Wa Al Isbat Bi Al Hadis Al Qudsi
  22. Al Wasiat Al Munjiah An Muddirat Al Hijab
  23. Sirr Al Asrar

Sanad Tarekah Syaikh Yusuf

Syaikh Yusuf mendapat tarbiyah dan menjalani tarekah Khalwatiah di Dimasyq bawah tarbiyah Abi Al Barakat Ayub bin Ahmad Al Khalwati Al Qurasyi. Beliau dan juga mendapat sanad tabaruk tarekah Qadiriah dan Naqsyabandiah. bahkan Syaikh Yusuf menyebutkan dalam kitabnya Safinah An Naja bahawa beliau mengambil sekurang-kurangnya 17 tarekah bersanad dengan salasilah yang bersambung hingga Rasulullah Saw. Berikut adalah salasilah Tarekah Khalwatiah Syaikh Yusuf Al Makassar :

  1. Sayyiduna Rasulullah saw
  2. Al Imam Ali bin Abi Tholib Kwj
  3. Al Imam Hassan Al Basri
  4. As Syaikh Al Ghaust Habib Al Ajami
  5. As Syaikh Daud At Thoie
  6. As Syaikh Ma’ruf Al Karkhi
  7. As Syaikh As Sirri As Suqtiy
  8. As Syaikh Al Jundiy Al Baghdadi
  9. As Syaikh Mumsyad Ad Daenuri
  10. As Syaikh Ahmad Aswad Ad Daenuri
  11. As Syaikh Muhammad bin Abdillah
  12. As Syaikh Umar bin Abdullah
  13. As Syaikh Najib bin Abdullah
  14. As Syaikh Muhammad Al Abhari
  15. As Syaikh Ruknuddin At Tibrizi
  16. As Syaikh Syihabuddin At Tibrizi
  17. As Syaikh Jamaluddin At Tibrizi
  18. As Syaikh Ibrahim Al Kailani
  19. As Syaikh Abdullah As Syirwani
  20. As Syaikh Affendi Umar Al Khalwati
  21. As Syaikh Muhammad Al Ansori
  22. As Syaikh Yahya As Syirwani
  23. As Syaikh Affendi Zubair Ar Rumi
  24. As Syaikh Muhammad Al Ansori
  25. As Syaikh Abdullah Al Qarni
  26. As Syaikh Uwais Al Qarni
  27. As Syaikh Syamsuddin Ar Rumi
  28. As Syaikh Aidrus Ar Rumi
  29. As Syaikh Yusuf Yaakub Al Antabi
  30. As Syaikh Ahmad Ar Rumi
  31. As Syaikh Wali Al Habli
  32. As Syaikh Ahmad bin Umar
  33. As Syaikh Abu Al Barakat Ayub bin Ahmad Al Khalwati
  34. As Syaikh Yusuf Abu Mahasin Taj Al Khalwati Al Makassar

Rujukan :

  1. Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi Al Bantani, Bariq Al Anwar, Syarh wa Tahqiq ala Sirrul Asrar Yussuf Makassar, terbitan Maktabah Dar Al Nun, Serang, Banten (2017)
  2. https://www.pahlawanindonesia.com/biografi-syekh-yusuf-tajul-khalwati/
  3. Prof Dr Hj Nina H. Lubis, Dr Mufti Ali, Etty Saringendyanti, Miftahul Falah, Budimansyah Suwardi, Sejarah Banten, Membangun Tradisi & Peradban, Badan Perpustakaan Dan Arsip Daerah Provinsi Banten (2014)
  4. Mufti Ali Ph.D, Misionarisme Di Banten, terbitan Laboratorium Bantenologi, IAIN Sultan Maulana Hasanuddin (2009)
  5. Temu bual penulis bersama Guru penulis, Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi AL Bantani, Tokoh Ulama berasal dari Banten.
  6. http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/islam-dan-ahlul-bait-di-capetown-afrika-selatan.html
  7. Ziarah penulis di Banten, Indonesia (2016)

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here