Surin Abdul Halim bin Ismail Pitsuwan

0
1337
views

Kira-kira 300 tahun yang lalu, orang-orang Melayu dari Kedah telah datang ke satu kawasan di negeri Ligor dan membuat penempatan yang kini adalah kampung-kampung yang berada di sekitar Pondok Ban Tan, Nakhon Si Thammarat, Thailand.

Di sini lahirlah insan yang bernama Surin Abdul Halim bin Ismail Pitsuwan.

‘Pitsuwan’ adalah gelaran atau ‘surname’ yang diberi kepada seorang tukang emas, Siddiq Pitsuwan oleh Rama VI. Dari sini lahirlah Keluarga Pitsuwan yang sejak berdekad lamanya terkenal melahirkan generasi yang aktif di bidang pendidikan, politik dan perkhidmatan awam.

Siapakah Surin Pitsuwan? Beliau ialah negarawan, sarjana dan diplomat yang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Asean dan bekas Menteri Luar Thailand.

Pondok Ban Tan ialah madrasah keluarganya, yang terletak kira-kira 750km dari Bangkok. Sebagai seorang yang membesar di institusi pondok dan universiti di Thailand malah di luar negara seperti di Amerika, pemikirannya benar-benar teruji dengan ‘check and balance’ faktor-faktor permasalahan umat Islam, luar dan dalam.

Mungkin pemikiran sebagai keturunan Melayu yang menjadi minoriti dan berasimilasi di Thailand berbeza dengan kita yang berpijak di bumi merdeka dan masih bebas beridentitikan sendiri, malah berbahasa ibunda di rumah. Namun pengalaman setiap insan adalah amat berharga dan boleh dijadikan pelajaran dan iktibar untuk terus mensyukuri nikmat yang ada.

Apapun, kita telah kehilangan seorang cerdik pandai dari negeri Ligor. Mungkin kenangan kita dengan negeri bersejarah ini walau hitam dan putihnya, semakin menjauh. Walau bagaimanapun, agama masih mengikat kenangan itu walaupun sedikit.

Pada Khamis lalu, 11 Rabiulawwal 1439, negarawan dan sarjana dari negeri Ligor ini telah menghembuskan nafas terakhir.

Al-Fatihah untuk Allahyarham.

~Srikandi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.