Sukan Dan Kecederaan

0
513
views

Menjadi satu perkara yang mengujakan bagi ibu bapa apabila kali pertama anak bersekolah, akan menyambut hari sukan di sekolah mereka.

Tetapi sedikit sebanyak terselit juga rasa ‘cuak’ di sudut hati ibu bapa bimbang-bimbang jika anak-anak mengalami kecederaan sewaktu bersukan.

Kanak-kanak secara normal sukar dibendung keterujaan mereka ‘bermain’ dengan rakan-rakan sekelas. Biar puas dinasihatkan atau diingatkan, segala pesanan seolah lenyap ditelan rasa seronok itu.

Sukan-sukan seperti

– Berjalan dalam guni

– Jalan dengan sudu berisi bola pingpong

– Tarik tali

Dan lain-lain sebenarnya dapat menguji erti kesabaran seorang individu selain menyemai sikap kerjasama antara satu sama lain.

Sebagai ibu bapa/penjaga, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan tahap kesihatan/meminimakan potensi kecederaan pada anak-anak.

Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan anak-anak mengalami kecederaan ketika bersukan. Antara punca utama kecederaan adalah apabila berlaku pertembungan di antara satu sama lain, terutama semasa berlari.

Ia juga boleh disebabkan hentaman daripada pihak lain/daripada peralatan sukan yang digunakan; sama ada berpunca daripada pihak lawan atau kesilapan anda sendiri.

Selain itu, kecederaan ketika bersukan mungkin berpunca akibat anda terjatuh atau anda melakukan senaman yang dilakukan melampaui had yang ditetapkan.

Jelas terdapat pelbagai jenis kecederaan yang MUNGKIN dihadapi ketika bersukan. Antara kecederaan yang sering dialami ialah:

Luka dan Lebam

Kecederaan yang paling ‘ringan’ ketika bersukan. Ia mungkin disebabkan pergeseran, tidak kira daripada pihak lawan, peralatan sukan atau daripada permukaan di sekeliling anda. Walaupun kesakitan yang dialami tidaklah begitu serius, tetapi kepedihan dan kesakitan yang dialami mungkin dirasai. Kebiasaannya ia tidak dirasai terlalu lama, paling maksimum pun dalam lingkungan seminggu.

Sesetengah kecederaan seperti ini ada yang memerlukan rawatan segera untuk memastikan ia tidak menjadi lebih teruk.

Ketegangan Otot (Cramp)

Waqaf Saham

Kekejangan otot adalah berpunca daripada pengecutan otot yang tidak terkawal seterusnya menyebabkan ia tidak dapat berehat secara normal. Secara normal, otot akan mengecut dan berehat secara sekata. Namun, tindakan otot yang mengecut secara tiba-tiba menyebabkan terjadinya kekejangan.

Ketegangan otot mungkin mengambil masa yang sedikit, mungkin beberapa saat atau minit. Namun, ia juga boleh mengambil masa yang panjang, bergantung kepada tahap kesihatan invidu tersebut.

Kecederaan Lutut

Kecederaan lutut sering kali terjadi kepada sukan yang memerlukan pergerakan yang lincah, seperti berlari. Ia berlaku apabila tulang-tulang kaki bergerak ke arah yang bertentangan dengan bebanan berat badan. Ligamen yang terlibat adalah ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) yang berada di tengah-tengah lutut, akan koyak sama ada sedikit atau koyak keseluruhannya.

Patah Tulang

Ia adalah antara kecederaan ketika bersukan yang paling serius dan mengambil masa yang lama untuk pulih. Selalunya, ia disebabkan hentaman yang kuat daripada permukaan sekeliling atau daripada pihak lawan. Kecederaan patah tangan dan kaki adalah yang antara kerap berlaku akibat sukan.
——

Jika seseorang itu mengalami masalah kecederaan ketika bersukan, ia memerlukan rawatan segera ke pusat kesihatan di klinik atau hospital. Namun, bagi kecederaan ringan ia boleh dirawati dengan cara mudah, iaitu dikenali sebagai keadah RICE. Ianya boleh diaplikasi kepada diri anda sendiri dan rakan-rakan anda yang terlibat dengan kecederaan.

Cara melaksanakan kaedah RICE ialah:

a) Rest (Rehat): Rehat atau berhentikan aktiviti yang boleh menyebabkan kesakitan pada diri. Guna peralatan yang mampu menyokong pergerakan anda, seperti tongkat dan kerusi roda.

b) Ice (penggunaan ais): Gunakan ais dan balutnya menggunakan kain atau plastik, kemudian tekapkan pada bahagian luka atau otot yang tercedera. Ia mampu mengurangkan luka, bengkak dan ketegangan otot.

c) Compression (balutan): Ambil kain balutan untuk mengurangkan luka atau bengkak yang anda alami.

d) Elevation (gantung): Letakkan anggota yang terlibat lebih tinggi dari jantung anda supaya dapat mengurangkan kekejangan otot dan bengkak.

Peringatan:

RICE bukanlah kaedah menggunakan nasi untuk memberhentikan/meminimumkan kecederaan tetapi;

R – Rest

I – Ice

C – Compression

E – Elevate

Pastikan anda mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko kecederaan ketika bersukan iaitu melakukan senaman memanaskan badan, memakai peralatan perlindungan dan sebagainya.

Selain itu, bagi kanak-kanak pula pastikan mereka memakai pakaian yang sesuai, mematuhi peraturan permainan serta tahu menggunakan peralatan sukan.

Pengambilan air yang cukup juga penting bagi memastikan mereka kekal terhidrat sepanjang sukan berlangsung.

Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah
Jururawat Terlatih

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.