Stalingrad: Kekalahan Memalukan Nazi Jerman

0
1934
views

Pertempuran Stalingrad bukanlah satu pertempuran biasa semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Inilah pertempuran yang mengubah hala tuju peperangan kembali memihak kepada pihak Bersekutu terutama Rusia (Soviet Union) dan membawa kepada kekalahan Jerman untuk tahun-tahun terakhir peperangan. Bagaimana jentera perang Jerman mengalami kekalahan sebegitu rupa di bandar ini? Mari kita lihat.

LATAR BELAKANG

Pada bulan Jun 1940, ketumbukan pertama tentera Nazi Jerman menyerang Soviet Union dan serangan mengejut ini membawa kepada siri kejayaan mereka ke atas tentera Soviet. Serangan ini dilihat mencabuli Perjanjian Molotov-Ribbentrop yang ditandatangani pada tahun 1939 di mana kedua-dua negara berjanji tidak akan menyerang antara satu sama lain. Lebih sejuta tentera Nazi Jerman dan sekutu mereka menyerang pada hari pertama serangan. Walaupun pihak Rusia cuba memberi tentangan sengit tetapi tentangan mereka berjaya dipatahkan dan pihak Nazi Jerman meneruskan kemaraan mereka dalam negara tersebut. Ribuan askar Soviet mati dan ramai menjadi tawanan termasuk 250,000 askar yang ditawan ketumbukan Jeneral Heinz Guderian semasa menuju ke Kiev, Ukraine.

Semua ini berlaku berikutan keengganan Joseph Stalin mempercayai perkhabaran dari pelbagai sumber tentang Operasi Barbarossa. Bagi Stalin selepas temeterainya Perjanjian Molotov-Ribbentrop, agak sukar baginya percaya Adolf Hitler akan mengkhianatinya dan menganggap ia hanya sekadar khabar angin termasuk amaran dari Richard Sorge, seorang pengintip Soviet berpangkalan di Tokyo, Jepun, Sebaliknya, penghantaran bahan mentah dari Rusia ke Jerman diteruskan seperti yang dinyatakan dalam perjanjian. Dan apabila serangan tersebut berlaku, ia satu hakikat pahit yang terpaksa ditelan yang membawa kepada kematian ribuan askar dalam peperangan.

Bagi mengekang kemaraan Jerman, Rusia menggunakan pelbagai taktik termasuk memperkenalkan kereta kebal T-34 untuk menakutkan tentera Wehrmacht dan meletupkan kereta kebal Jerman. Stalin turut mengarahkan penduduk memusnahkan sebarang perkara yang membantu Nazi Jerman termasuk membakar rumah dan memusnahkan tanaman mereka. Perubahan terbesar ialah musim sejuk 1941 yang tiba lebih awal yang memihak kepada Rusia. Penduduk percaya musim sejuk Rusia bukan saja boleh memperlahankan kemaraan tetapi juga menghancurkan angkatan tentera besar seperti yang berlaku ke atas Napoleon dan Raja Sweden, Charles XII dalam kempen mereka terdahulu. Pada Disember 1941, ketumbukan Jerman semakin menghampiri Moscow.

Bagaimanapun, keadaan cuaca sejuk mula menyukarkan keadaan mereka dan ramai mati akibat kesejukan. Orang Soviet sudah biasa dengan cuaca melampau ini dan mula mempersiapkan usaha mempertahankan Moscow. Dan satu lagi laporan dari Tokyo menguatkan lagi moral mereka. Sorge memberitahu Jepun walaupun bersekutu dengan Jerman, tidak akan menyerang Rusia dari sebelah timur kerana musuh utamanya ialah Amerika Syarikat. Berikutan itu, Stalin melantik Jeneral Georgy Zhukov, versi Rusia bagi Guderian untuk mengetuai pertahanan Moscow dan antara arahan pertamanya ialah membawa masuk beberapa divisyen dari Siberia untuk membantu usaha pertahanan mereka. Pada 12 Disember, ketumbukan Zhukov melakukan serangan mengejut ke atas pasukan Nazi Jerman dan memaksa mereka berundur 100 batu dari Moscow serta mengalami kehilangan ramai askar. Moscow dapat diselamatkan namun ini bukan bermakna serangan Nazi Jerman ke atas Soviet Union sudah berakhir. Ini kerana mereka masih menguasai sebahagian Rusia termasuk bandar Smolensk dan Ukraine serta mengepung bandar Leningrad (St. Petersburg).

KEMPEN STALINGRAD

Walaupun mengalami kekalahan semasa menyerang Moscow, jeneral-jeneral Nazi Jerman masih bersikap optimistik dan percaya Rusia masih boleh ditawan berikutan kejayaan mereka menangkis cubaan pihak Rusia pada bulan-bulan pertama 1942. Hitler dan jeneral-jeneralnya mula merancang satu lagi operasi pada musim bunga untuk memaksa Stalin menyerah kalah atau mahu berunding. Dan kali ini, mereka tetap mensasarkan Moscow cuma mereka menyerang dari sebelah selatan.

Nazi Jerman sedar mereka mempunyai bekalan minyak yang terhad dan dengan kos penghasilan minyak sintetik yang mahal, mereka memerlukan sumber minyak yang baru. Justeru, mereka mensasarkan medan minyak di Caucasus dan dari situ, Hitler menjangkakan mereka boleh menyerang kedudukan tentera Bersekutu di Timur Tengah. Keadaan ini disedari oleh Stalin lalu beliau melantik bakal presiden Soviet, Nikita Khruschev untuk membantu Timoshenko mempertahankan bahagian selatan Rusia. Pada lewat musim panas 1942, Tentera Keenam yang dipimpin perancang Operasi Barbarossa, Jeneral Friedrich Paulus mula mara menuju ke selatan dan menghapuskan divisyen dan kereta kebal Rusia yang cuba menentang mereka. Dan pada bulan Ogos, mereka sudah tiba di Sungai Volga berhampiran bandar Stalingrad.

Figure 1: Ketua Tentera Keenam Nazi Jerman dan perancang Operasi Barbarossa, Jeneral Friedrich Paulus.

KESILAPAN TAKTIK HITLER

Hitler melihat perang ini sebagai satu persaingan peribadi dengan Stalin dan melihat Stalingrad sebagai bukti bahawa beliau lebih hebat daripadanya. Dan inilah membawa kesilapannya iaitu membahagikan pasukannya kepada dua iaitu sebahagian meneruskan perjalanan ke Caucasus untuk menawan medan minyak di sana sementara Paulus diarah menawan Stalingrad. Kebanyakan sejarawan berpandangan pilihan taktik Hitler ini memakan diri sendiri kerana lebih mengutamakan sasaran yang tiada nilai strategik berbanding matlamat utama operasi yang telah digariskan sebelum itu.

Waqaf Saham

Dan tambah memburukkan keadaan, Hitler turut gagal menyediakan bekalan bahan mentah dan pertambahan bilangan tentera untuk menyokong Paulus dalam kempennya di Stalingrad. Walaupun sudah dinasihati jeneral-jeneralnya untuk fokus kepada medan minyak Caucasus, nasihat tersebut tidak diendahkan dan ia menjadi satu obsesi baginya. Ini ditambah pula dengan bilangan askar Jerman berbanding askar Rusia tidak mencukupi untuk mereka menghapuskan terus penentangan yang wujud di bandar tersebut. Walaupun Tentera Keenam mendapat sokongan tentera Itali, Hungary dan Romania, kebanyakan tentera sekutu Hitler ini tidak mendapat latihan mencukupi untuk menjaga rusuk tentera Nazi Jerman dan mereka tidak dipercayai sama sekali oleh jeneral-jeneral NazI Jerman. Hitler juga gagal mendapat maklumat secukupnya berkenaan Stalingrad untuk memastikan prospek kejayaan mereka tercapai.

Paling penting ialah gaya kepimpinan Hitler dan Stalin sendiri. Hitler suka mencampuri perbincangan strategi jeneral-jeneralnya kerana menganggap dirinya pakar dalam pertempuran sehingga menyukarkan kemaraan Tentera Keenam. Namun bagi Stalin, bagi menghalau keluar Nazi Jerman dari Rusia, beliau mempercayai kepakaran jeneral-jeneralnya untuk mencapai objektif tersebut. Buktinya, kepimpinan tentera yang dipimpin Timoshenko digantikan oleh Zhukov dengan Stalin turut memberi lebih banyak autonomi dan kebebasan bagi mereka untuk beroperasi. Beliau sudah mengambil pengajaran dari hari-hari pertama Operasi Barbarossa dan membiarkan jeneral-jeneralnya untuk berlawan dan rancang strategi terbaik menewaskan tentera Nazi Jerman.

Figure 2: Georgy Zhukov diberi kepercayaan mengetuai kepimpinan tertinggi tentera menghadapi ancaman Nazi Jerman.

PERTEMPURAN STALINGRAD

Tentera Keenam memasuki Stalingrad dan menyerang bandar tersebut habis-habisan. Kebanyakan bangunan hancur dibom oleh jentera-jentera Jerman yang terbaik yang dilihat melawan hasrat jeneral-jeneral seperti Paul Ludwig Ewald von Kleist yang mahu unit-unit ini digunakan di Caucasus. Dan kebimbangan von Kleist menjadi kenyataan apabila Stalingrad dipertahankan habis-habisan oleh Komander Vasily Chuikov, ketua Tentera Ke-62 Soviet. Chuikov menggunakan runtuhan bangunan untuk melindungi mereka untuk menyerang ketumbukan Paulus. Mereka turut menggunakan taktik berani mati dan penembak hendap untuk membunuh ramai askar Nazi. Di sebalik tentangan itu, Paulus berjaya menguasai 90% bandar tersebut dan berjaya sampai ke Volga.

Figure 3: Jeneral Paul Ludwig Ewald von Kleist mahukan Paulus menyokongnya di Caucasus tetapi tidak diendahkan oleh Hitler.

Namun penentangan terus berlaku dengan Zhukov mengumpulkan tentera yang ramai secara rahsia di sebelah utara dan selatan bandar tersebut. Abwehr iaitu agensi perisikan Jerman gagal mengesan rancangan beliau dan ini membolehkannya menyerang rusuk Tentera Keenam tatkala mereka cuba menghapuskan saki-baki penentang di bandar tersebut. Zhukov sedar rusuk Tentera Keenam dijaga oleh tentera Itali, Hungary dan Romania dan mereka tidak mempunyai disiplin seperti tentera Nazi Jerman. Justeru, beliau memfokuskan serangan ke atas mereka dengan menjangkakan mereka akan berundur atau menyerah kalah. Dan ianya menjadi kenyataan pada 23 November apabila mereka menghapuskan tentera-tentera sekutu Hitler dan mengepung Tentera Keenam.

Jika anda perasan, taktik peperangan Hitler banyak dipengaruhi oleh keazaman yang tinggi dan kedegilan tidak mendengar nasihat tentang apa yang berlaku di medan perang. Pada beliau, semua boleh dicapai dengan keazaman yang tinggi termasuk dalam peperangan. Dan sikap sebegini mendorongnya mengarahkan Paulus dan Tentera Keenam terus berlawan habis-habisan di Stalingrad kerana percaya mereka boleh menang pada akhirnya. Paulus boleh saja berundur ke Crimea kerana di situ, beliau boleh mendapat sokongan Jeneral Erich von Manstein dan serangan Zhukov untuk mengepung Stalingrad mengambil masa seminggu. Namun selepas mendapat arahan supaya tidak berundur, Paulus dan 250,000 tentera terkepung pada 23 November. Kesukaran Paulus memainkan peranan tetapi arahan Hitler juga yang membawa kepada kematian ramai askar Paulus pada musim sejuk 1942-1943.

BOLEHKAH TENTERA KEENAM DISELAMATKAN?

Apabila berita pengepungan Paulus diketahui kepimpinan tertinggi Jerman, ia merupakan satu tamparan hebat kepada Hitler. Beliau mengarahkan serangan balas dilakukan untuk memecah kepungan Zhukov namun Menteri Udara, Hermann Goring mencadangkan Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) membekalkan bekalan bahan mentah dan makanan diperlukan mereka di Stalingrad. Strategi Goring tidak membuahkan hasil kerana Tentera Keenam hanya mendapat sedikit saja daripada bahan yang diperlukan mereka. Dan ini menyebabkan moral dalam kalangan mereka semakin merosot dan ramai mula memikirkan prospek menyerah diri kepada tentera Soviet.

Von Manstein dan beberapa divisyen Jerman lain cuba menyelamatkan kedudukan Paulus dengan melancarkan Operasi Ribut Salji (Winter Storm) pada 19 Disember. Walaupun keadaan cuaca sejuk melampau, von Manstein berada 30 kilometer dari tentera Nazi Jerman yang masih terkepung. Paulus boleh saja menyertai mereka dengan memecahkan kepungan dan menyelamatkan askar-askarnya namun sedar beliau akan melanggar arahan Hitler untuk tidak berundur. Pada akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk tidak berundur dan itu menandakan kemusnahan bagi Tentera Keenam. Seandainya Hitler memberi kebebasan kepada jeneral-jeneralnya untuk bertindak, Tentera Keenam boleh saja diselamatkan.

Figure 4: Von Manstein cuba menyelamatkan Paulus melalui Operasi Ribut Salji (Winter Storm) tetapi gagal berikutan keengganan Paulus melanggar arahan Hitler.

KEKALAHAN

Menyedari prospek kekalahan sudah pasti, Hitler menaikkan pangkat Paulus kepada Field Marshall dengan menjangkakan beliau membunuh diri untuk menjaga maruahnya. Namun, Paulus memutuskan untuk menyerah kalah bersama saki-baki tenteranya pada Februari 1943. Nazi Jerman kehilangan 500,000 askar sama ada mati, ditahan atau hilang dan sebahagian wilayah di selatan Rusia. Walaupun von Manstein berjaya menewaskan tentera Soviet di Kharkov pada awal tahun 1943, tentera Nazi Jerman kehilangan aura sukar ditewaskan dan Rusia percaya mereka boleh ditewaskan seperti mana yang dilakukan nenek moyang mereka ke atas tentera Napoleon.

Selepas Stalingrad, semakin ramai jeneral mempersoal dasar dan arahan Hitler. Dan ini membawa kepada penyertaan sebahagian mereka dalam beberapa konspirasi pembunuhan atau penahanan Hitler dari Erwin Rommel hinggalah Claus von Stauffenberg. Namun kebanyakan plot tersebut sama ada gagal atau dibatalkan pada saat akhir dan ini membawa kepada kekalahan Nazi Jerman pada akhir WWII.

SUMBER

  1. Daily History. Why did Germany lose the Battle of Stalingrad? https://dailyhistory.org/Why_did_Germany_lose_the_Battle_of_Stalingrad%3F
  2. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episod 3: Shock. https://www.youtube.com/watch?v=oMnUrVVJ2jk
  3. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episod 4: World Ablaze. https://www.youtube.com/watch?v=rOigH5UZTWg
  4. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episod 5: The Great Landings. https://www.youtube.com/watch?v=KKDR3wZkkuQ&t=2s

 

Previous articleOrang Melayu Tidak Ada White Man’s Burden
Next articleCouncil Negri Sarawak since 1867
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.