Ketika ini, filem Mat Kilau sedang hangat ditayangkan di pawagam. Khabarnya, dalam tempoh tiga hari saja, filem arahan Syamsul Yusoff itu telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM7 juta. Di sebalik imej Adi Putra yang menggalas peranan sebagai pejuang Pahang itu, siapa sebenarnya Mat Kilau ini?

Mat Kilau atau nama sebenarnya Mat Kilau bin Imam Rasu lahir di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang sekitar 1865 atau 1866. Bapanya, Imam Rasu bin Shahrum atau Tok Gajah dengan ibunya Teh Mahda merupakan anak kepada Tok Kaut Burau.

Tok Gajah bukan calang-calang orang kerana beliau merupakan Orang Besar Raja Pahang dengan gelaran Imam Perang Indera Gajah Pahang. Beliau juga merupakan penasihat kepada pemerintah Pahang ketika itu, Bendahara Wan Ahmad (kemudiannya bergelar Sultan Ahmad al-Muazzam Shah) bagi kawasan-kawasan sekitar Hulu Pahang.

Advertisements

Sejak dari kecil lagi, Mat Kilau telah didedahkan dengan pendidikan agama oleh bapanya Tok Gajah. Selain Tok Gajah, beliau juga pernah berguru dengan bakal Mufti Pahang, Haji Osman bin Haji Senik atau Haji Muntuk. Apabila menginjak usia remaja, Mat Kilau menunjukkan minat dalam aktiviti memburu sehingga dilantik sebagai Tok Peran (ketua kumpulan memburu). Minat ini secara tidak langsung mengasah kemahirannya dalam hutan – berguna untuk perjuangannya membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah bertahun-tahun kemudian.

Semasa berusia 20 tahun, beliau dikahwinkan dengan seorang wanita bernama Yang Chik binti Imam Daud. Imam Daud bukan saja bapa mentua Mat Kilau tetapi guru agama kepada beliau dan rakan-rakan seperjuangannya. Semasa tempoh inilah, beliau turut mempelajari ilmu persilatan dan kebatinan termasuk permainan senjata tajam seperti keris dan parang.

Menjelang 1883, Bendahara Wan Ahmad mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Pahang yang baru dengan gelaran Sultan Ahmad al-Muazzam Shah. Negeri-Negeri Selat (NNS) yang dikawal British ketika itu mengiktiraf kedudukannya sebagai sultan pada 1887. Tetapi pengiktirafan tersebut ada harganya: baginda harus menerima kehadiran seorang residen British seperti yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Syarat tersebut diterima pada 1888 yang menyaksikan John Pickersgill Rodger (J.P Rodger) dilantik sebagai residen pertama British untuk negeri Pahang. Rodger kemudiannya menjadi residen British di Selangor (1896) dan Perak (1901) sebelum dilantik sebagai Gabenor Gold Coast (Ghana moden) pada 1904. Bagi membantu melicinkan lagi urusan Rodger di negeri berkenaan, beliau dibantu oleh bakal Gabenor Nigeria, Hugh Clifford.

Sir Hugh Clifford. Gambar diambil dari akhbar The Straits Time pada 15 Oktober 1929.

Bagi peminat sejarah negeri-negeri Melayu, pasti masak dengan dasar-dasar British pada abad ke-19. Sudahlah mengeksploitasi hasil bumi seperti emas dan bijih timah macam orang tak ingat dunia. Kemudian, suka hati kenakan cukai pada kadar tinggi kepada penduduk tempatan. Jadi, normallah rasa tidak puas hati timbul terhadap polisi-polisi British yang bersifat menindas dengan Clifford dan Rodger sebagai sasaran utama amarah mereka.

Clifford yang bermula sebagai pegawai rendah di Perak sudah masak dengan adat istiadat dan BahasaMelayu. Ini menjadikan beliau tidaklah bersikap keras seperti sesetengah pegawai British lain seperti J.W.W Birch. Selepas kebiadaban Birch mengakibatkan peristiwa pembunuhan residen pertama Perak di Pasir Salak pada 1875, ia merupakan satu pengajaran kepada mereka bahawasanya diplomatik merupakan jalan terbaik apabila berurusan dengan orang Melayu.

Resepi ini dilaksanakan dengan jayanya oleh pengganti Birch, Sir Hugh Low selepas dilantik sebagai residen pada 1877. Atas sebab itu, resepi ini cuba ditiru Clifford bila berurusan dengan bangsawan dan penduduk Pahang termasuk Mat Kilau. Pada Oktober 1888, satu pertemuan diadakan antara beliau dengan Mat Kilau semasa bapanya, Tok Gajah berada di Pekan.

Walaupun usianya masih hijau, itu langsung tidak menyembunyikan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang jujur dan tegas. Clifford mendengar setiap perkara yang dibangkitkan beliau termasuk idea bagaimana menambahbaik situasi di negeri berkenaan. Walaupun pertemuan tersebut tidak membuahkan hasil, pegawai British itu sedar Mat Kilau bukan calang-calang orang dan patut diberi perhatian.

Di sebalik semua usaha diplomatik ini, ia masih tidak memadamkan hakikat hak penduduk Pahang semakin terhakis dengan kuasa pemerintahan sebenar terletak di tangan British. Atas sebab itu, Mat Kilau dan Tok Gajah kemudiannya menyertai kempen pemberontakan seorang lagi bangsawan Pahang bernama Dato Bahaman (nama sebenar Tuanku Imam Nuh dan Rokiah Abdul Rahman) terhadap penjajahan British. Kempen ini kemudiannya dikenali sebagai Perang Semantan.

Perang Semantan tercetus akibat tindakan seorang pegawai bernama E.A Wise mahu mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua pada 1890 tanpa izin Dato Bahaman. Hal ini menimbulkan kemarahan beliau kerana Lubuk Terua merupakan sebahagian daripada wilayahnya. Apabila hal ini diketahui Clifford yang ketika itu dilantik sebagai pemangku residen, beliau menasihati Sultan Ahmad agar memerintahkan Dato Bahaman menghadap baginda di Pekan.

Bagaimanapun, bangsawan Pahang bergelar Orang Kaya Temerloh itu enggan turun ke Pekan. Akibatnya, kedudukan Dato Bahaman sebagai Orang Kaya Temerloh ditarik balik atas titah Sultan Ahmad (yang dipaksa berbuat demikian atas desakan Clifford). Keadaan ini mendorong beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap seorang pegawai British bernama C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891.

Serangan tersebut dibuat kerana Dato Bahaman menyangka Deaborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tersebut, pihak Desborough telah kalah dan terpaksa melarikan diri ke bandar Temerloh. Sebaik mengetahui apa yang berlaku, pihak British segera bertindak balas. Pada 21 Disember 1891, satu pasukan diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang menjadi kubu pertahanan Dato’ Bahaman.

Kedua-dua pihak sekali lagi bertempur dengan kemenangan memihak kepada anak jati Pahang itu. British semakin tertekan apabila pejuang-pejuang Pahang menggunakan taktik perang gerila terhadap mereka. Bagi para pejuang Pahang, hutan bukan tempat yang asing bagi mereka. Selain menawarkan pelbagai sumber seperti air, makanan dan bahan mentah untuk senjata, ia juga menawarkan banyak tempat untuk bersembunyi – sesuai dengan taktik serang dan lari mereka.

Menjelang 1892, British memaksa Sultan Ahmad menggerakkan kempen Gerakan Sultan kononnya bagi memaksa pejuang-pejuang Pahang meletakkan senjata dan menyerah diri. Gerakan ini diketuai oleh Tengku Ali, Rodger, Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah Bera dengan kekuatan 800 orang. Bagaimanapun, kempen ini juga tidak berhasil kerana mereka hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu dengan kelibat orang buruan mereka tidak kelihatan.

Ramai sejarawan percaya kumpulan orang Melayu dalam Gerakan Sultan berusaha mengalihkan perhatian pihak British daripada menjejaki pejuang-pejuang Pahang. Ini termasuk membawa kumpulan ini jauh daripada lokasi sebenar mereka.

Dari Mac hingga Mei 1892, Lubuk Terua saling bertukar tangan antara British dengan pejuang Pahang. Menjelang Mei, Lubuk Terua kembali dalam kawalan pihak British sekaligus memaksa para pejuang Pahang berundur ke negeri jiran, Kelantan dan Terengganu.

Kisah perjuangan pejuang Pahang pasti diketahui ramai orang ketika itu termasuk pemerintah kedua-dua negeri berkenaan. Jadi, tidak mengejutkan selain nasihat ulama Terengganu Tokku Paloh, pastinya ada figura-figura lain yang menyokong dari segi kewangan dan persenjataan bagi melawan British. Berbekalkan semangat baru selepas berlindung seketika di Kelantan dan Terengganu, pejuang-pejuang Pahang kembali bangkit.

Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai jatuh ke tangan pejuang-pejuang Pahang. Tetapi itu tidak bertahan lama apabila pihak British berjaya merampas semula dua kawasan ini pada 29 Jun 1894. Ini memaksa para pejuang Pahang berundur semula ke Kelantan termasuk Mat Kilau. Mengikut versi rasmi yang disebarkan ketika itu, Tok Gajah dan Mat Kilau mengalami kecederaan parah semasa berundur ke Kelantan dan meninggal dunia di sana.

Jadi, apakah ini pengakhiran kisah Mat Kilau? Maaf, ia sebenarnya lebih daripada itu. Sebelum Dato Bahaman memutuskan untuk menyerah diri kepada kerajaan Siam, satu sumpah rahsia membabitkan tujuh orang individu dibuat di Kampung Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, Kelantan. Antara yang terlibat termasuklah Mat Kilau, Mamat Kelubi, Mat Lela dan Dato Bahaman sendiri. Kesemua tujuh orang ini bersumpah untuk tidak mendedahkan siapa diri mereka sampai bila-bila – sumpah yang dilanggar Mat Kilau pada 26 Disember 1969.

Pada tanggal hari berkenaan, beliau yang ketika itu menggunakan nama samaran Muhammad bin Ibrahim naik ke mimbar Masjid Pulau Tawar selepas selesai bacaan doa solat Jumaat. Mat Kilau kemudiannya membacakan Surah al-Fatihah dan ayat 1-5, Surah al-Baqarah sebelum mendedahkan identiti sebenarnya kepada umum buat kali pertama.

Sapa tak terkejut bila dengar pengumuman sebegitu rupa. Tetapi bagi Mat Kilau, itu harus didedahkan selepas didesak untuk berbuat demikian oleh ahli-ahli keluarga yang mengenali selama bertahun-tahun. Berita tersebut muncul di dada-dada akhbar utama negara dan mendorong kerajaan Pahang membentuk satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan tersebut. Jawatankuasa khas ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Arkib Negara dan Muzium Negara.

Mat Kilau menceritakan sejarah perjuangannya. Sumber: Unknown Author/GFDL

Satu perkara yang memeningkan kepala ahli jawatankuasa ialah mengetahui kesahihan laporan kematiannya pada 1895. Hal ini dibuktikan menerusi perkongsian kisah beliau semasa di Kelantan pada tahun berkenaan dengan ahli keluarga terdekat. Semasa di sana, Mat Kilau dikatakan ditangkap oleh tentera Siam sebelum dipukul sampai ‘mati’. Sebaik mengetahui identiti orang yang dipukul mereka itu, ‘jenazahnya’ diserahkan kepada Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Mansur untuk urusan pengebumian.

Setelah mereka pergi, baginda sedar Mat Kilau bukannya mati tetapi sekadar pengsan saja. Tahu ini merupakan satu peluang untuk menghentikan semua usaha memburu beliau, Sultan Mansur mengarahkan batang pisang yang dikafankan diletakkan dalam kubur di Bunut Payung, Kelantan. Setelah semuanya selesai, barulah Sultan Mansur melepaskan Mat Kilau dan menasihati beliau untuk terus menyamar agar tidak diketahui oleh pihak British.

Sejak itu, Mat Kilau sentiasa berpindah-randah sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang menggunakan pelbagai nama samaran seperti Mat Dahan, Mat Dadu, Mat Teoh dan Din. Bagi menyara kehidupannya, beliau juga pernah bekerja sebagai guru silat, pengusaha kebun getah dan buruh jabatan ukur. Semasa bergelar guru silat, pastinya anak-anak muridnya tahu siapa dirinya yang sebenar. Bagi mengelak identitinya terbongkar, semua anak murid silatnya bersumpah agar tidak mendedahkan siapa dirinya sehinggalah selepas kematiannya.

Keadaan Mat Kilau yang uzur selepas mendedahkan identiti dirinya pada Disember 1969.

Sedikit demi sedikit, identiti Mat Kilau mula kelihatan sebagai fakta dan bukan omong kosong. Ini disebabkan keterangan orang-orang lama yang mengenalinya termasuk tanda lahir dan luka bekas peluru pada badannya. Tetapi pengesahan terbaik datangnya daripada tiga rakan seperjuangan beliau yang masih hidup ketika itu: Mat Saman bin Sulaiman (Mat Kelantan/152 tahun), Raja Ibrahim bin Tan Kechik (Pak Yim/120 tahun) dan Mek Munah binti Salleh (97 tahun).

Kesemua mereka ini dipertemukan semula di Dewan Pusat Latihan Pertanian di Kuantan, Pahang. Ia merupakan satu pertemuan penuh emosi sambil disaksikan oleh 600 orang hadirin. Bagi sahabat-sahabat lama, peluang bersua muka selepas terpisah selama bertahun-tahun merupakan satu detik menggembirakan walaupun kesemua mereka dalam keadaan uzur.

Keuzuran Mat Kilau bertambah sejak pendedahan mengejutnya pada 26 Disember 1969. Beliau dikatakan tidak dapat memberi keterangan kepada pihak jawatankuasa pada peringkat awal selepas tiba-tiba dilanda masalah kesihatan. Ia berkemungkinan berlaku akibat tindakan beliau melanggar sumpah rahsia yang dibuat semasa berada di Kelantan lebih 70 tahun sebelumnya.

Di sebalik semua halangan ini, pihak jawatankuasa sudah mempunyai bukti mencukupi untuk siasatan mereka. Pada 6 Ogos 1970, Menteri Besar Pahang ketika itu Tan Sri Yahya Mohd Seth mengisytiharkan individu di Masji Pulau Tawar beberapa bulan sebelumnya sememangnya Mat Kilau. Selepas pengisytiharan itu, wujud perancangan untuk membantu pejuang Pahang itu melaksanakan ibadat haji di Baitullah dan pengurniaan darjah kebesaran oleh pihak istana atas jasanya kepada negara.

Bagaimanapun, manusia hanya merancang tetapi Tuhan lebih berkuasa atas segala-galanya. Seminggu selepas pengisytiharan tersebut, Mat Kilau kembali ke hadrat Ilahi. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Tetapi menariknya di sini, pihak British sudah menelah bahawa Mat Kilau masih hidup dan bukannya mati di Bunu Payung, Kelantan pada 1895. Pastinya Clifford mengagak dengan ilmu perhutanan dan kebatinan yang dimiliki para pejuang Pahang, mereka pasti sukar dijejak dan menyamar sebagai orang biasa. Bagi bekas Gabenor NNS itu, selagi mana mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada agenda British, maka selagi itu ‘pembohongan’ tentang kematian mereka patut dikekalkan.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Hal ini turut disedari oleh cucu Mat Kilau, Datuk Mazlan Jamaluddin yang pernah menjadi penolong penerbit penyiaran stesen radio British BBC. Semasa berbual dengan seorang bekas pegawai British yang juga bekas ketua agensi perisikan domestik MI5 (berkemungkinan besar Sir Dick White), beliau diberitahu hal ini, “Mazlan, your grandfather Mat Kilau is still alive.”

Perbualan ini berlaku sekitar 1963, enam tahun sebelum Mat Kilau mendedahkan siapa dirinya di khalayak. Ini bermakna pihak British tahu kubur di Bunut Payung itu hanyalah helah semata-mata dan sedar pejuang Pahang itu masih hidup.

Kita hanya mampu berspekulasi sebab Britain enggan mendedahkan identiti sebenar Mat Kilau sebelum 1969. Tidak mustahil salah satu sebabnya ialah laporan Clifford kepada pejabat hal ehwal koloni dan NNS pada 1895, tidak lama selepas Perang Semantan berakhir. Dengan pejuang Pahang mengakibatkan negeri itu berhutang sebanyak 7,200 dolar dan memaksa British menggunakan sumber yang ada untuk memburu mereka, ia memberi kesan mendalam kepada mereka yang terlibat.

Pastinya Clifford menasihati mereka agar tidak membuang masa memburu para pejuang ini. Di mata orang tempatan, mereka merupakan wira negara. Dengan ilmu yang ada di dada termasuk ilmu kebatinan dan perhutanan, pastinya mereka akan terus meloloskan diri dan hidup tanpa dikenali sesiapa.

Clifford merasakan sebagai lawan yang bukan calang-calang, lebih baik mereka tidak diganggu. Mungkin ini penghormatan yang diberi beliau kepada mereka sebagai lawan yang hampir menjahanamkan usaha penjajahan British di bumi Pahang.

Pada akhirnya, usaha Mat Kilau sebagai pejuang Pahang dan tanah air berbaloi menerusi kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Dan menurut cerita menantunya Abu Bakar Awang, mereka pernah berada di Padang Masjid Negeri Pahang di Kuantan bagi meraikan tarikh keramat itu. Bagi memastikan kemerdekaan negara terus terpelihara, hanya perlu dengar dan laksanakan pesanan terakhir beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir, “Jagalah nama baik bangsa dan negara.”

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

ASJ. (2016, 2 Mei). DATUK BAHAMAN: PEJUANG PAHANG YANG DISEGANI BRITISH. The Patriots.

Al-Kalanji, H. (2022, 19 Mei). Peristiwa Mat Kilau Buat Kemunculan Diri Pada 1969 Selepas Disangka Mati. The Patriots.

Mat Kilau. Tokoh-Tokoh Perjuangan di Tanah Melayu.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply