Mesir amat dikenali sebagai bumi para nabi. Sebagai antara tempat bertapaknya antara tamadun tertua di dunia iaitu Mesir Purba, Mesir telah diperintah oleh pelbagai kuasa, kerajaan dan bangsa. Daripada dinasti firaun, kemudian Yunani, Rom, Khulafa’ar-Rasyidin, Umayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah, Mamluk, Perancis, Britain sehinggalah kemerdekaannya pada tahun 1922. Pemerintahan Mesir kemudiannya bertukar daripada monarki kepada republik pada tahun 1952.

Mesir juga amat dikenali sebagai pusat pengajian Islam antarabangsa kerana terdapat banyak institusi pengajian agama terutamanya Universiti al-Azhar yang ditubuhkan sejak tahun 972 Masihi lagi. Bermula daripada masjid, institusi keilmuan Islam itu kemudiannya berkembang kepada madrasah seterusnya berstatus universiti antarabangsa. Mesir telah menjadi tumpuan ramai orang Islam dari seluruh negara melanjutkan pengajian agama sejak ratusan tahun lagi, tidak terkecuali orang-orang Melayu dari kepulauan Alam Melayu.

Sejarah pemergian pelajar Melayu ke Mesir boleh dikesan sejak abad ke-17 M lagi apabila terdapat seorang ulama Melayu dari Aceh bernama Saiful Rijal menggunakan gelaran al-Azhari pada namanya iaitu Saifuddin al-Azhari menandakan bahawa beliau pernah menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara ulama Melayu terawal yang dapat dipastikan pernah melanjutkan pengajian di Mesir ialah Shaykh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fattani dari Patani, Siam (Thailand) yang melanjutkan pengajian di sana seawal tahun 1871. Kemudian, Shaykh Muhammad Tahir Jalaluddin dari Johor pada tahun 1893 dan Shaykh Salleh Masri dari Pulau Pinang pada tahun 1899. Sejak tahun 1860-an lagi, terdapat sebuah penempatan di al-Azhar yang dikhususkan kepada pelajar Melayu, dipanggil Ruwak al-Jawah, diselia oleh Shaykh Ismail Muhammad al-Jawi. Masyarakat Arab atau orang Mesir mengenali orang Melayu dengan gelaran al-Jawah atau al-Jawi. Ini tidak bermakna orang Melayu itu berasal dari Jawa tetapi istilah itu digunakan untuk semua orang Melayu dari seluruh Kepulauan Melayu. Pada awal abad ke-20, Shaykh Syed al-Hadi, seorang ulama dari Tanah Melayu, telah mengiringi empat orang putera daripada kerabat diraja Kesultanan Riau-Lingga ke Mesir bagi melanjutkan pengajian mereka di sana. Mereka merupakan rombongan kerabat diraja Melayu yang pertama melanjutkan pengajian di Mesir

Dari segi pengangkutan, pemergian pelajar Melayu ke Mesir dahulu menggunakan kapal laut, sebagaimana pelayaran orang-orang Melayu mengerjakan ibadat haji di Makkah ketika itu. Bagi pelajar Melayu dari Tanah Melayu, pelayaran bermula di pelabuhan di pantai barat Tanah Melayu merentasi Laut Hindi, memasuki Laut Merah dan Terusan Suez sebelum tiba di Pelabuhan Said di Kaherah, Mesir. Dari segi dokumen kemasukan ke Mesir, bermula pada tahun 1915, pelajar Melayu perlu menyediakan paspot, visa dan segala dokumen lain yang disahkan oleh kerajaan Britain kerana Mesir sehingga tahun 1950-an, masih di bawah penguasaan tentera British. Dari segi wang perbelanjaan, mereka menggunakan wang perbelanjaan simpanan keluarga, tetapi ada juga yang mendapat tajaan biasiswa daripada kerajaan negeri, Raja-Raja Melayu dan Muktamar Islam Sedunia.

Bermula pada awal abad ke-20, semakin ramai yang menuntut di Mesir. Pada tahun 1913, tertubuhnya sebuah persatuan pelajar Melayu pertama dinamakan Persatuan Setia Pelajar. Dianggotai oleh pelajar Melayu dari pelbagai tempat di Kepulauan Melayu khususnya Hindia Timur Belanda (Indonesia). Antara tokohnya ialah Shaykh Fadhlullah Suhaimi, seorang ulama terkenal dari Singapura. Persatuan ini tidak bertahan lama disebabkan berlakunya kes pembunuhan antara pelajar Melayu dari Indonesia.

Pada tahun 1923, tertubuhnya sebuah persatuan yang bernama “Al-Jam’iyyah al-Khairiyyah li-Tolabah al-Azhariyyah al-Jawiyyah” atau Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi Universiti al-Azhar yang dianggotai oleh semua pelajar Melayu dari seluruh pelusuk kepulauan Alam Melayu. Antara tokohnya ialah Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi dari Perak. Mereka begitu aktif dalam penulisan majalah berbahasa Melayu bertulisan jawi di Mesir iaitu Majalah Seruan al-Azhar dan Pilehan Timoer. Majalah ini juga dilanggan oleh masyarakat Melayu di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, sekitar tahun 1920-an, pelajar-pelajar Melayu kuat terlibat dengan politik di sana

Penglibatan persatuan tersebut yang condong kepada politik berhaluan kiri di Mesir ketika itu menyebabkan sekumpulan pelajar Melayu dari Tanah Melayu keluar daripada persatuan tersebut dan menubuhkan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) pada tahun 1930 yang khusus untuk pelajar-pelajar dari Tanah Melayu. PPS merupakan nama asal bagi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang masih gah bertapak di Mesir sehingga kini. Tokoh-tokoh terkenal dalam PPS seperti Prof. Zulkifli Muhammad dan Dato’ Wan Abdul Kadir Ismail, bekas Timbalan Menteri Penerangan Malaysia pada tahun 1970-an. Penubuhan PPS adalah persatuan pelajar Tanah Melayu kedua terawal ditubuhkan di luar negara selepas penubuhan sebuah persatuan Melayu di United Kingdom yang akan dihuraikan dalam siri ke-3.

Pada tahun 1952 atau secara rasminya pada tahun 1956, PPS ditukarkan nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) kerana mereka mengambil kira keanggotaan pelajar Melayu dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Boleh dikatakan PMM adalah perintis kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. Zaman PMM adalah zaman paling cemerlang bagi pelajar Melayu di Mesir kerana banyak sumbangan yang telah mereka lakukan termasuklah menghubungkan perhubungan diplomatik antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Republik Mesir. Antara tokoh PMM ialah seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, mantan Menteri Besar Terengganu, Shaykh Abdul Mohsein Salleh, mantan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang pertama, Dato’ Dr. Fadzil Mohd. Noor, mantan Presiden PAS, Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Haji Muhd. Zain bin Haji Serudin, mantan Menteri Agama Brunei dan Ustaz Muhd. Kamil Fadhlullah Suhaimi, seorang ulama Melayu dan juga peguam terkenal di Singapura. Kuatnya perpaduan antara pelajar Melayu dari lima buah negeri ini sehingga keanggotaan pelajar Melayu sanggup dipertahankan oleh kepimpinan tertinggi PMM walaupun menghadapi tentangan daripada sekumpulan anggota PMM sendiri yang menyatakan bahawa PMM hanya eksklusif untuk pelajar Tanah Melayu sahaja, bahkan Kedutaan Tanah Melayu di Mesir turut menyokong hak eksklusif tersebut sehingga perbelanjaan yang ditaja oleh pihak kedutaan untuk persatuan disekat. Tindakan barisan kepimpinan PMM tersebut mendapat pujian daripada Timbalan Perdana Menteri Tanah Melayu ketika itu, Tun Abdul Razak, dan konflik tersebut pulih seperti biasa.

Banyak lagi peranan PMM dalam memperkenalkan Tanah Melayu, kebudayaan Melayu dan Bahasa Melayu kepada rakyat Timur Tengah khususnya rakyat Mesir. Mereka bukan sahaja mengadakan majlis kemerdekaan Tanah Melayu dan pertandingan sukan di Mesir, bahkan mereka turut mendapatkan siaran radio mereka sendiri di Mesir dan mencetak ratusan sebuah buku berbahasa Arab penulisan mereka sendiri hanya untuk mewar-warkan kemerdekaan Tanah Melayu dan sejarah Tanah Melayu kepada masyarakat Timur Tengah. Maklumat lebih lanjut dan lebih menarik boleh dirujuk dalam rujukan di bawah. Kesimpulannya, kesepaduan antara orang-orang Melayu amatlah kuat walaupun mereka di jauh di perantauan. Mereka juga telah lama sedar akan kepentingan mencintai tanah air dan bangsa walaupun mereka sibuk dengan pelajaran dan mereka sememangnya cemerlang dalam pengajian mereka terutamanya dalam bidang agama. Buktinya, daripada tahun 1960-1964, PMM telah berjaya melahirkan seramai 5 orang tokoh pelajar dalam kalangan anggotanya yang cemerlang dalam pengajian mereka di peringkat negara sehingga mereka menerima anugerah daripada Gamal Abdul Nasser, Presiden Mesir ketika itu.

Senarai rujukan:

Abu Hanifah Haris, “Pengaruh Mesir dalam Masyarakat Melayu, 1906-1970,” Tesis PhD, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2013.

-Majalah Seruan Azhar, majalah rasmi Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi Universiti al-Azhar, 1926-1928 (tersimpan di Perpustakaan Utama Universiti Malaya dan Arkib Negara Kuala Lumpur).

– SP 142/9, Warta Persekutuan Melayu Mesir. (Majalah rasmi PMM, 27 set di Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur, koleksi dokumen Shaykh Abdul Mohsein Salleh)

Realiti Gelombang Aura Mahasiswa dan Hak Kita: ARMA, Kaherah, Mesir: Unit Penerangan Umum Panitia ARMA, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), 2011.

– Muhammad Hafiz Samsudin, “Peranan dan Sumbangan Persekutuan Melayu Mesir (PMM), 1956-2000,” Disertasi MA., Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2016.

– Muhammad Hafiz Samsudin & Abu Hanifah Haris, “Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Persekutuan Melayu Mesir (PMM), 1956-1964,” dalam Sejarah, Jurnal Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Vol. 24, Bil. 2, Dis 2015, hlm. 51-73.

– Muhammad Hafiz Samsudin & Abu Hanifah Haris, “Sumbangan Tokoh Persekutuan Melayu Mesir (PMM) Terhadap Masyarakat Melayu dalam Bidang Sosiopolitik, 1953-2000,” Al-Muqaddimah, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Vol. 4, Bil. 2, Dis 2016, hlm. 1-23.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply