Siapa Bilang Permainan Video Untuk Golongan Yang Tidak Matang?

1556
views
The Last Of Us

Gamer seperti saya, dan juga sahabat-sahabat saya seringkali ditohmahkan sebagai tidak matang, masih kebudak-budakkan, dan tohmahan yang senada dengannya oleh orang yang tidak memahami hobi ini.

Terpanggil saya untuk menukilkan artikel ini untuk mempertahankan hobi kami bukan untuk orang yang tidak matang. Bahkan, mungkin anda perlu faham apa itu sebuah kehidupan untuk memahami dan menikmati sebuah permainan video. Kenapa sampai saya berani mendakwa sedemikian?

Sebelum itu, izinkan saya untuk memperkenalkan serba sedikit mengenai hobi kami. Pada hari ini, terdapat empat platform yang dijadikan yang dicari oleh gamer macam kami untuk menikmati permaianan video. PC, Playstation (merangkumi PS3, PS4 dan PS Vita), XBOX (merangkumi XBOX 360 dan XBOX ONE) serta Nintendo (merangkumi Nintendo 3DS dan Wii U).

Sebagai seorang gamer, saya berpendapat PC adalah yang terbaik antara semua platform yang lain. Tetapi untuk menikmati bermain game di sebuah pc pada tahap tertinggi – dengan grafik yang memukau mata dan kelajuan penggerakkan permainan anda, anda perlu melabur sekurang-kurangnya rm 3000 ringgit (paling kurang), berbanding platform lain yang jauh lebih murah.

Biasanya sebuah permainan video akan dinilai sebagai terbaik berdasarkan beberapa krtiteria. Laman web gaming terkenal seperti IGN dan Gamespot akan menyenaraikan kriteria-kriteria sebuah permaianan video terbaik berdasarkan beberapa ciri dan salah satu daripada ialah JALAN CERITA.

Ya… jalan cerita. Sekejap… kenapa sebuah game memerlukan sebuah jalan cerita?

Mungkin untuk kaum wanita ataupun generasi yang lebih tua, anda fikir bahawa permainan video adalah seperti zaman kalian. Game-game ketika itu seperti Super Mario, atau seumpama dengannya tidaklah menitikberatkan sangat jalan cerita. Tetapi tidak permainan video moden hari ini.. .

Saya pula ialah seorang gamer yang lebih sukakan jalan cerita daripada gameplay sebuah permainan video. Bagi saya semakin “deep” atau semakin “menarik” jalan cerita sebuah game, maka semakin menariklah sebuah permainan video itu.

Senang cerita, pada pandangan saya, game ini adalah lebih kurang seperti anda membaca novel atau menonton televisyen, tetapi bezanya… kami GAMER mempunyai kuasa untuk menggerakkan watak-watak di dalam sebuah game dan menentukan perjalanan watak itu. Ini secara tidak langsung membuatkan anda menyelami watak dalam sebuah cerita itu.

Kalau anda membaca novel dan menonton televisyen, kuasa untuk menggerakkan watak itu tidak terletak pada anda, tetapi ini sangat berbeza daripada anda bermain permainan video.

Okey… kembali kepada topik utama kita. Bagaimana saya mahu membuktikan bahawa bermain permainan video bukannya untuk kanak-kanak sebenarnya, tetapi untuk orang dewasa? Saya akan mempaparkan beberapa buah jalan cerita permainan video terbaik yang pernah saya mainkan. Anda baca dan selami jalan cerita itu, maka anda akan memahami kenapa saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini.

1. The Last Of Us

Joel (kiri) dan Ellie (kanan) sedang menyorok daripada musuh

Bagi saya, permainan video terbitan Naughty Dog ini ialah permainan video terbaik dalam membawa sebuah jalan cerita yang mampu meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada para pemain. Secara jujur, saya menangis sebanyak tiga kali ketika bermain permainan video ini.

Apa yang menarik sangat mengenai permainan video ini? Mari.. saya bawa anda mengembara sejenak bersama dengan saya. The Last Of Us membawa kepada kita tema dan konsep yang dah terlalu banyak dikitar dalam dunia gaming mahupun novel serta filem. Tetapi apa yang membezakan permainan video ini ialah anda belajar banyak nilai-nilai murni dan pengajaran. Anda belajar apa itu PENGORBANAN SEORANG AYAH.

Sekejap… sebuah permainan video mengajarkan anda apa itu PENGORBANAN SEORANG AYAH? Ya… itulah yang anda boleh dapat daripada permainan video ini. Kisah bermula dengan watak seorang lelaki berusia dalam 30-an yang kehilangan seorang anak perempuannya daripada malapetaka yang menukarkan manusia menjadi seorang pemakan daging segar.

Kemudian, belasan tahun kemudian, entah bagaimana dia diminta membawa seorang budak perempuan dalam usia belasan tahun, yang seusia dengan anaknya yang mati belasan tahun merentasi Amerika Syarikat yang sudah hancur kepada sebuah organisasi. Budak perempuan ini sebenarnya kebal terhadap virus yang menghancurkan umat manusia. Dia adalah harapan terakhir untuk penghasilan vaksin. Secara tidak langsung, budak perempuan ini mengingatkannya pada anak perempuannya.

Lalu bermulalah pengembaraan hebat Joel, dan remaja perempuan yang bernama Ellie ini. Pengembaraan hebat ini menimbulkan perasaan sayang Joel kepada Ellie. Tetapi perasaan sayang seorang ayah pada anaknya. Hampir setahun mengembara bersama Ellie, melindungi Ellie dari segala marabahaya telah membuatkan minda bawah sedar Joel mengangap dirinya ialah seorang ayah kepada Ellie.

Untuk pengetahuan semua, ketika penghujung permainan video ini, Joel berjaya membawa Ellie berjumpa dengan organisasi tersebut. Namun. Joel dikejutkan dengan berita bahawa Ellie harus mati untuk menyelamatkan manusia. Ketika itu, Joel tersepit… dia sudah menyayangi Ellie seperti anak perempuannya.

Tetapi dalam masa yang sama, umat manusia juga diambang kepupusan. Pilihan terletak di tangan Joel. Selepas membaca sinopsis cerita ini, maka saya ingin bertanya, jalan cerita yang penuh dengan emosi ini, apakah ianya untuk budak-budak yang tidak matang?

Babak ini akan membuatkan pintu emosi anda dipalu berkali-kali. Air mata saya tumpah pada babak ini, tetapi tidak tahu pula anda. Rasanya kanak-kanak yang belum mengenali apa itu kehidupan tidak akan mampu menelan cerita seberat ini.

2. Far Cry 3 

Saya suka memetik permainan video Far Cry 3 kerana demografi penduduk di dalam game ini adalah masyarakat yang BERBAHASA MELAYU dan BERBUDAYA MAORI. Itulah yang saya rumuskan daripada pemerhatian. Sepanjang anda bermain permainan video ini, anda akan mengenali frasa-frasa ayat seperti:

“Jatuhkan senapangmu.”

Atau perkataan-perkataan yang sinonim dengan bahasa Melayu seperti:

1. Rakyat

2. Jerung

3. Labah-Labah

4. Bangau

Bahkan nama watak yang berbaur kemelayuan seperti Citra turut dipaparkan di dalam permainan video ini. Bercakap mengenai jalan cerita permainan video ini, anda akan mendapati bahawa jalan ceritanya bukannya untuk kanak-kanak kecil.

Sekumpulan pelajar universiti dari Amerika Syarikat bercuti di sebuah pulau fiksi bernama Rook Island. Lalu percutian mereka di pulau ini berakhir dengan tragedi di mana kumpulan yang berjumlah 6 orang macam tu… ditangkap oleh kumpulan lanun di atas pulau ini. Mereka bakal didagangkan sebagai hamba di pasaran gelap.

Maka si hero yang bernama Jason dan abangnya berjaya melepaskan diri, tetapi tidak 4 orang rakan mereka yang lain. Tetapi sayang sekali, abang Jason mati dibunuh manakala Jason berjaya diselamatkan oleh penduduk pulau itu yang menggelarkan diri mereka sebagai Rakyat. Rakyat ini memang dah berperang lama dengan kumpulan lanun ini.

Maka untuk menyelamatkan 4 orang rakannya, yang turut melibatkan adik lelakinya dan juga teman wanitanya yang cun dan hot, Jason yang mempunyai pengalaman dalam tentera dilatih oleh Rakyat daripada seorang yang diburu menjadi pemburu menyelamatkan rakan-rakannya.

Terpulang pada anda untuk menjadi hero, menggerakkan Jason sebagai penyelamat. Sekali lagi saya mahu bertanya, jalan cerita sehebat di atas mampukah dinikmati oleh kanak-kanak yang tidak matang?

3. Dead Space

Poster Dead Space 2

Kalau anda mempunyai anak yang berusia bawah 13 tahun, cadangan saya permainan video bukan untuk mereka kerana anda akan merasai apa itu perasan terasing, kesunyian, dan menjadi manusia terakhir di pangkalan angkasai! Hah! Itulah perasaan yang anda bakal ‘nikmati’ kalau anda menyentuh permainan video ini.

Game ini terbahagi kepada tiga bahagian. Di mana pada bahagian pertama, anda merupakan seorang juruttera yang dihantar kepada sebuah pangkalan angkasa bernama Ishimura yang dilaporkan rosak.

Namun ketika anda menjejak kaki ke pangkalan angkasa ini, anda dapati bahawa anda adalah manusia terakhir yang masih waras yang hidup di atas kapal itu.

Sejenis penyakit yang dasyat melanda pangkalan angkasa itu yang menukarkan manusia menjadi alien yang menakutkan. Ianya datang dari sejenis artifak purba nernama The Marker.

Kesimpulan

Bagaiamana sekarang pandangan anda mengenai permainan video? Apakah perkongsian di atas mampu mengubah tanggapan anda? Tidak cukup lagi? Bauik.. saya kongsikan tiga buah permainan video yang memerlukan anda mempunyai pemikiran seorang strategis perang dan politician untuk memenangi permainan video tersebut.

Sebagai contoh, kalau anda meminati peperangan yang pada zaman silam, maka permainan video seperti Civilization 5 adalah pilihan terbaik. Anda akan diberi kebebasan memilih mana-mana tamadun hebat di dunia, termasuk tamadun Melayu Champa dan perlu untuk menawan tamadun-tamadun hebat lain.

Ini memerlukan perancangan rapi… seperti membina tentera, bermain politik dengan tamadun lain, atau memastikan anda menguruskan sumber alam dengan baik. Selain itu, Europa Universalis yang lebih kompleks mungkin menanti anda. Atau permainan yang lebih kurang dengan Civilization 5 dan 6, yang lebih popular iaitu DOTA.

Atau untuk merasai bagaimana merancangan taktikal dan startegi perang moden. Mungkin Counter Strike Global Offensive, Battlefield dan Call Of Duty menanti anda. Saya mempunyai rakan yang juga gamer yang mewakili Malaysia dalam pertandingan video ini. Setiap malam dia akan menguji pelbagai buah taktikal dan strategi tempur yang bakal digunakan dalam permainan videonya. Anda akan terpaksa mengerahkan segala kemahiran berfikir anda bagi memenangi permainan seumpama ini.

Maka, pertanyaan saya sekali lagi, apakah ini ialah permainan untuk mereka yang tidak matang?

-HE-

Gambar memaparkan dua watak utama di dalam The Last Of Us, Joel dan Ellie.

Previous articleOperation Claret, Konfrontasi Dan Veteran Askar Komanwel
Next articleNaresuan The Great: Raja Badass Bangsa Thai
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here