Shang Yang: Individu Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Menjadi Gergasi China

0
799
views
OLYMPUS DIGITAL CAMERA

361 SM: Duke Xiao of Qin (Quliang: 361 SM-338 SM) menaiki takhta negara Qin ketika masih belia setelah kematian Duke Chu of Qin (Chuzi II: 386 SM-385 SM) . Kemajuan negara Qin setelah hampir 300 tahun kematian Duke Mu of Qin telah membentuk peribadi penguasa Xiao bercita-cita untuk meneruskan empayar kekuasaan leluhurnya. Untuk memulakan langkah perluasan kuasa jauh dari negara Qin, maka penguasa Xiao mengatur rancangan pertamanya iaitu untuk mengumpulkan para cendekiawan dari seluruh tanah China datang berkhidmat di bawah pemerintahannya.

KEANGKUHAN NEGARA WEI MENGUNDANG PADAH.

• Gongsun Yang dari negara Wei datang menemui penguasa Xiao lalu menyatakan hajatnya untuk berkhidmat kepada negara Qin. Pada mulanya, permintaan Gongsun Yang ditolak mentah-mentah oleh penguasa Xiao setelah Gongsun Yang hanya berbicara panjang lebar tentang sesuatu tanpa diisi dengan perkara yang penting sehingga tidak menarik perhatian penguasa Xiao. Gongsun Yang yang tidak berputus asa merayu kembali kepada penguasa Xiao untuk diberikan peluang kali kedua menunjukkan bakatnya yang terpendam. Penguasa Xiao mengizinkan dan pada kali kedua inilah, Gongsun Yang mengeluarkan segala strategi-strateginya dan idea-idea yang bernas untuk menjadikan negara Qin sebagai yang terkuat daripada tujuh negara yang lain. Setelah tiga malam berturut-turut penjelasan yang panjang lebar disampaikan oleh Gongsun Yang, maka penguasa Xiao yang kagum dengan bakat beliau sehingga Gongsun Yang diangkat sebagai penasihat dalam pentadbirannya. Berikut adalah strategi dan idea yang dikemukakan oleh Gongsun Yang:

1. Jika ingin menjadikan negara Qin sebagai negara terkuat mulai sekarang, maka negara ini memerlukan sebuah pasukan tentera yang kuat dan bekalan makanan yang banyak serta tidak pernah putus.

2. Menawarkan jawatan yang tinggi dalam pemerintahan dan akan dianugerahkan pangkat kehormatan dari pemerintah, iaitu:

a. Tentera Qin yang berjasa dalam peperangan mahupun memberikan idea yang bijak untuk mengalahkan musuh dan memenanginya maka beliau akan diberikan ganjaran yang banyak atau dinaikkan ke pangkat yang tertinggi dalam jabatan ketenteraan.

b. Masyarakat atau penduduk biasa yang berjaya dalam memberikan hasil pertanian yang bagus serta bijak menguruskan tanah dalam menambahkan penghasilan bekalan makanan mentah yang banyak kepada negara akan diberikan jawatan pangkat yang terhormat di dalam pentadbiran Qin.

• Idea yang dikemukan oleh Gongsun Yang diterima bulat-bulat oleh penguasa Xiao tanpa bantahan. Arahan baru dikeluarkan, reformasi yang dilancarkan oleh Gongsun Yang berjalan dengan baiknya sehingga ramai masyarakat yang berstatus sosial rendah berebut-rebut dalam berjasa ketika berperang atau berusaha keras mengeluarkan hasil tanaman yang melimpah.

• Berkat kesanggupan penguasa Xiao menerima usulan Gongsun Yang membuahkan hasil setelah idea dan strategi penasihatnya ini menciptakan suasana yang baharu dalam pemerintahan negara Qin sehinggakan kekuatan tentera dan ekonomi negara ini yang dahulunya hanya biasa menaiki aras negara kecil yang setaraf dengan enam buah negara besar yang lain, iaitu Han, Wei, Chu, Zhao, Qi dan Yan.

Akibat daripada reformasi undang-undang baru yang diperkenalkan oleh Gongsun Yang tidak hanya menguatkannya di dalam kedudukan politik tetapi dalam masa yang sama beliau mencipta musuh daripada bangsawan tempatan yang telah hilang status quo yang telah lama mengakari negara Qin.

• Dasar pemerintahan meritokrasi yang diusulkan oleh Gongsun Yang dan dilaksanakan oleh penguasa Xiao mengubah persepsi para bangsawan Qin yang selama ini memiliki pelbagai tanah yang luas disita dan diberikan kepada masyarakat yang berbakti pada negara Qin.

Ajaran Li Kui yang dianuti oleh Gongsun Yang mengajarkannya bahawa segala pangkat darjat dalam kekuasaan, harta dan kehormatan diterima melalui kerja yang keras serta bukannya melalui pewarisan harta melalui keturunan atau mempunyai hubungan darah dengan keluarga penguasa.

• Melalui tahapan-tahapan reformasi yang diterapkan oleh kedua tokoh terbabit, maka negara Qin mula berkembang dengan lebih maju dan stabil. Gongsung Yang mengatur langkah seterusnya untuk meluaskan pengaruh negara Qin. Beliau mencadangkan kepada penguasa Xiao untuk memindahkan pusat pemerintahan ke kota Xianyang iaitu sebuah tempat yang terletak di sebuah tanah tinggi Guanzhong bersebelah sungai Wei. Kelebihan yang didapati melalui keadaan geografinya iaitu dikelilingi oleh gunung-gunung yang tinggi dan hanya mempunyai satu pintu masuk sahaja, melalui pintu gerbang Hangu lalu serta-merta menjadikan kota Xianyang mudah dipertahankan daripada serangan musuh.

SEMBURAN NAFAS NAGA QIN BERTIUP DI TIMUR.

Kedudukan kota baharu yang juga berdekatan dengan perbatasan timur negara Qin memberikan kesempatan kepada Gongsun Yang mengusulkan cadangan kepada penguasa Xiao untuk menguasai beberapa wilayah dan kota negara Wei yang terletak di kawasan timur.

• Dalam tempoh waktu yang terdekat ini, negara jirannya, iaitu Wei baru sahaja mengakhiri kekalahan dalam Perang Malingdao (342 SM) terhadap negara Qi. Gongsun Yang mengambil kesempatan emasnya untuk menakluk wilayah negara Wei dengan memperalatkan hubungannya yang baik dengan jeneral perang utama negara Wei iaitu Gongzhi Ang. Kepercayaan yang diberikan oleh Gongzhi Ang dikhianati oleh Gongsun Yang dengan mengerahkan pasukan tentera Qin dengan keizinan penguasa Xiao merebut kota-kota utama negara Wei iaitu kota Shaoliang, kota Hexi, kota Hedong dan kota Anyi (bekas pusat pemerintahan negara Wei).

Pada masa ini, negara Wei diperintah oleh Raja Hui of Wei.

• Melalui kejatuhan beberapa buah kota penting milik negara Wei menjadikan negara Qin serta-merta ditakuti oleh negara-negara besar yang lain. Api yang disembur oleh naga Qin mula terasa bahangnya. Negara Wei, Qi dan Zhao mula berjaga-jaga dengan segala serangan yang akan bakal berlaku dari pihak Qin suatu hari nanti.

• Atas keberhasilan Gongsun Yang menunjukkan kecerdikannya mereformasikan undang-undang dan perluasan kuasa Qin maka penguasa Xiao membalas jasanya dengan menghadiahi pangkat seorang bangsawan menguasai wilayah Shang dan Yu serta diberikan mandat untuk mentadbir 15 buah kota di wilayah terbabit. Beliau pun mendapat gelaran yang baharu, gelaran kehormatan yang diberikan langsung oleh penguasa Xiao iaitu Tuan Shang Yang.

UNDANG-UNDANG YANG MEMAKAN DIRI

Segala pangkat, harta dan kekuasaan yang diperlolehi secara susah-payah pasti akan berakhir jua. Begitu juga nasib yang akan dialami oleh Shang Yang.

388 SM.

• Setelah hampir 30 tahun pemerintahan yang berkembang pesat, penguasa Xiao pun meninggal dunia ketika berumur 44 tahun. Takhta kekuasaan Qin diturunkan kepada putera buangan, iaitu Putera Ying Si dengan memakai gelaran Raja Huiwen (338 SM-311 SM).

• Raja Huiwen menyimpan dendam kepada Shang Yang kerana beliaulah baginda menjadi putera dalam buangan pada suatu masa dahulu. Ketika Raja Huiwen masih muda dan memegang gelaran Putera Ying Si yang bakal mewarisi takhta negara Qin telah melakukan pelanggaran hukum ketika undang-undang Shang Yang diperkenalkan. Guru-guru Ying Si, Gongsun Jia dan Ying Qian dihukum dengan dipotong hidung lalu ditato kening mereka sementara Ying Si dibuang dari istana.

• Setelah menaiki takhta, Raja Huiwen ingin menghukum bunuh ke atas Shang Yang. Baginda ingin menampakkan hukum bunuh ke atas Shang Yang bukannnya bersifat peribadi melainkan melalui pelanggaran hukum. Ditambah pula hasutan oleh para menteri dan para bangsawan yang sudah lama memusuhi Shang Yang, baginda bernekad untuk memulakan agendanya ini.

• Shang Yang yang sudah mendengar khabar berita kemangkatan penguasa Xiao tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya ada satu sahaja cara untuknya meneruskan hidup iaitu dengan melarikan diri daripada rumah kediamannya dan menuju ke negara Wei. Pasukan tentera Qin yang sudah tiba ke rumah Shang Yang menggeledah dan memburunya di atas alasan mengingkari perintah Raja Huiwen.

• Shang Yang melarikan diri secara senyap-senyap pada tengah malam dan sentiasa mengatur perjalannya agar tidak ditangkap oleh pasukan tentera Qin yang mula mendapat perintah rasmi untuk memburunya. Setelah melakukan perjalanan yang panjang dan lama akhirnya beliau tiba di gerbang kota negara Wei. Pada waktu ini negara Wei hanya bertahan di sebuah wilayah yang kecil dan lemah tetapi mendapat bantuan perlindungan ketenteraan daripada negara jirannya, negara Zhao. Pengawal yang menjaga pintu gerbang Wei mengetahui Shang Yang walaupun beliau memakai identiti palsu. Shang Yang dihalau kerana ulah beliaulah, negara Wei sekarang berada di ambang kehancuran. Shang Yang mati akal. Beliau tidak mempunyai cara lain untuk meneruskan hidup melainkan dengan melancarkan aksi pemberontakan ke atas Raja Huiwen. Pasukan pemberontak yang dikumpulkan melalui tentera upahan dan pengikutnya yang setia, pasukan Shang Yang membuat kekacauan sehingga memaksakan Raja Huiwen mengerahkan angkatan pasukan Qin yang besar untuk mengalahkannya Shang Yang. Pemberontakan Shang Yang dipatahkan dengan mudah lalu Shang Yang pula berhasil ditawan hidup-hidup dan dibawa ke hadapan Raja Huiwen. Raja Huiwen membacakan hukum yang bakal dijatuhkan kepada sesiapa yang melancarkan pemberontakan bersenjata ke atas penguasa Qin. Undang-undang yang dibacakan oleh Raja Huiwen merupakan undang-undang yang ditulis sendiri oleh Shang Yang.

• Bentuk hukuman yang dijatuhkan kepadanya iaitu hukuman mati dengan ditarik oleh empat buah kereta kuda. Maka tamatlah riwayat hidup seorang manusia yang berjaya membentuk negara Qin sejajar dengan negara lain tetapi segala kebaikannya selama ini dibalas dengan sebuah pengakhiran hidup yang sadis.

• Walaupun Raja Huiwen membenci Shang Yang, tetapi baginda masih memegang teguh undang-undang yang dibuat olehnya sehingga baginda berjaya meluaskan kuasa negara Qin melalui taklukan ke atas daerah Badan Shu (Sichuan) iaitu sebuah daerah yang kaya dengan hasil tanaman subur. Dengan taklukan ke atas daerah ini, maka pertahanan negara Qin di bahagian barat semakin kuat.

Bermulanya sebuah era pemerintahan baru di bawah pentadbiran Raja Huiwen yang bakal mengegarkan ketakutan terhadap enam negara besar yang lain sehinggakan mereka bersatu untuk menangkis ekspedisi perluasan kuasa pasukan Qin di bawah perjanjian bersekutu Anti-Qin (Hezong) 295 SM.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here