Seni Silat Hawaii

0 1,913

Beberapa orang rakan bertanya saya mengenai asal usul silat. Saya sendiri juga masih membaca dan mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Ada pihak yang membuat andaian bahawa silat itu berasal daripada seni beladiri masyarakat luar nusantara atau tamadun lain yang lebih maju seperti China dan India yang terkenal dengan seni beladirinya. Malah sering disebut-sebut oleh pihak tertentu yang silat itu asalnya sama seperti Taek Won Do dan Karate yang berasal daripada Kung Fu Shaolin. Manakala Kung Fu Shaolin pula dikatakan berasal daripada seni beladiri India yang dibawa masuk oleh seorang pendeta bernama Bodidharma.

Ada juga yang berpendapat bahawa silat adalah gabungan daripada seni atau teknik beladiri masyarakat tempatan dengan teknik beladiri dari China dan juga India.

Walau apa pun jawapannya, saya percaya bahawa bangsa Melayu juga mampu mencipta seni beladiri mereka sendiri yang bercirikan kepandaian lokal atau Local Genius tanpa perlu mempelajarinya daripada bangsa-bangsa lain.

Namun ini tidak bermakna tidak wujud sejenis seni beladiri Melayu yang menerima pengaruh dari bangsa luar, contohnya Silat Kuntau yang dipercayai berasal dari China. Namun tidak semua seni beladiri masyarakat rumpun Melayu itu berasal dari tamadun luar. Saya percaya sebahagian besarnya adalah hasil kreativiti dan inisiatif masyarakat tempatan sendiri bagi mempertahankan diri dan kaum keluarga mereka dari sebarang ancaman samaada dari dalam ataupun luar.

Mengapa saya berpendapat sedemikian? Kerana terbukti memang wujud masyarakat rumpun bangsa Melayu yang mempunyai satu seni beladiri tersendiri yang terasing daripada tamadun-tamadun besar dunia. Seni beladiri yang saya maksudkan adalah dari orang Hawaii iaitu Lua. Bangsa Hawaii adalah saudara serumpun kita yang berada dalam kelompok besar manusia yang berbahasa Austronesia.

Malah jika kita lihat rupa paras mereka juga saling tak tumpah seperti rupa orang-orang rumpun Melayu yang lain. Budaya mereka juga adalah budaya kelautan seperti sebahagian besar masyarakat rumpun Melayu.

Bagi mereka yang selalu menonton filem-filem barat mengenai Hawaii atau kepulauan Pasifik, mereka pasti dimomokkan dengan gambaran kecantikan, keindahan, ketenangan dan sifat lemah lembut serta mesra orang Hawaii, ditambah pula dengan alunan musik yang mengasyikkan disertai dengan persembahan tarian Hula yang meliang liuk serta menggoda.

Pasti tidak terbayang difikiran mereka bahawa orang Hawaii mempunyai satu seni beladiri yang ampuh malah menggerunkan musuh sehinggakan ada yang menyebut bahawa seni beladiri Hawaii adalah yang paling merbahaya di dunia. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik bagi saya kerana kita tahu bahawa saudara-saudara kita di Pasifik ini memang sangat mahir dalam ilmu peperangan, lihat sahaja pada masyarakat Maori yang selama berpuluh tahun melawan dan menentang penjajahan bangsa Eropah dengan berbekalkan ilmu beladiri tradisional mereka sendiri (tak dinafikan yang mereka juga akhirnya menggunakan senjata api seperti musuh mereka).

Apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Lua? Lua adalah nama umum bagi seni beladiri tradisional Hawaii yang merangkumi pelbagai stail dan teknik. Antara teknik yang terangkum dalam Lua ialah teknik mematah tulang, mengunci sendi, menghumban, memanipulasi titik tekanan badan, pukulan tangan kosong, penggunaan senjata, strategi peperangan, seni perang diatas air dan ditambah dengan seni bermain senjata api pada zaman kemasukan pengaruh senjata api ke Hawaii.

Pendek kata seni Lua adalah sebuah seni beladiri holistik atau menyeluruh yang hampir sama seperti beberapa jenis seni beladiri Melayu di nusantara seperti Silat. Malahan menurut pendapat sesetengah ahli seni beladiri, teknik tangan kosong dan kuncian Lua juga mempunyai persamaan dengan seni beladiri Jepun moden seperti Judo dan Jujitsu.

Dalam masyarakat Hawaii setiap anak muda pasti pernah mendengar kisah-kisah hebat para pahlawan nenek moyang mereka yang menggunakan seni Lua dalam pertempuran sehinggakan ianya menjadi lagenda turun temurun sepertimana ilmu silat dalam masyarakat Melayu.

Pada zaman dahulu rahsia ilmu Lua hanya diturunkan kepada orang-orang yang terpilih sahaja terutama golongan diraja, pengawal elit diraja, panglima-panglima tentera, pahlawan profesional dan para bangsawan. Hal ini juga sama seperti tradisi silat di nusantara yang pada awalnya hanya diajar kepada golongan tertentu terutama yang dekat dengan Istana.

Kebiasaanya Lua akan dipertandingkan diantara kampung-kampung di Hawaii ketika musim perayaan Makahiki atau perayaan untuk dewa Lono iaitu dewa pertanian. Perayaan ini biasanya berlansung selama tiga bulan atau lebih. Dalam tempoh tersebut semua masyarakat tidak perlu turun berkerja sebaliknya mereka digalakkan untuk bergembira dan berkenduri sepuas-puasnya.
Namun demikian teknik atau jurus sebenar Lua tidak dipamirkan dalam keramaian ini kerana seperti yang saya sebut tadi hanya golongan tertentu sahaja yang mempunyai ilmu rahsia tersebut. Sebaliknya dalam keramaian ini bentuk Lua yang lebih umum iaitu Momoko yang menyerupai gusti atau tinju dipertontonkan untuk hiburan khalayak ramai.

Seperti kebiasaan dimana-mana tamadun di dunia kecuali tamadun Islam mungkin, pertaruhan atau perjudian dikalangan penonton adalah perkara biasa malah ada yang mempertaruhkan rumah dan isteri mereka. Pertandingan momoko ini pernah dilihat sendiri oleh kru kapal Kapten Cook yang merupakan orang Eropah pertama sampai ke Hawaii. Pertarungan kebiasaanya disertai dengan ejek-ejekan diantara lawan dan antara ejekan yang popular ialah ‘makan tahi ayam! Setiap peserta juga ditemani oleh seorang pawang atau Kahuna yang bertindak seperti ‘coach’ yang bertugas untuk memberi motivasi dan membaca mantera-mantera tertentu.

Mengenai ilmu Lua yang menjadi rahsia turun temurun ini, hanya pada tahun 1865 barulah ada catatan mengenainya yang ditulis oleh seorang Eropah. Menurut catatan tersebut Lua hanya diajar kepada orang yang dapat mengawal kemarahan dan hanya boleh digunakan untuk mempertahankan nyawa. Menurut lagenda, seni beladiri Lua memerlukan seseorang itu mempunyai pengetahuan dalam anatomi, physiologi malah hypnotism atau ilmu pukau dan ilmu telepathy iaitu ilmu membaca fikiran.

Jika kita perhatikan, ciri-ciri dan persyaratan yang terdapat dalam Lua hampir sama seperti dalam seni silat Melayu. Malahan para pengamal Lua akan mencukur seluruh bulu di badan serta melumuri badan mereka dengan minyak kelapa sebelum berperang. Hal ini adalah bagi menyukarkan musuh untuk memegang atau menangkap badan mereka. Pengamal lua juga akan diajar ilmu Lomilomi atau mengurut malah Lua juga mempunyai ritualized combat atau seni tari seperti latihan bunga tari dalam silat, dalam bahasa Hawaii ia dipanggil sebagai Hula.

Hula yang dimaksudkan termasuklah Hula seperti yang sering kita tonton di kaca television dan tarian-tarian lain yang dijadikan asas latihan dan senaman dalam Lua.

Dalam sejarah Hawaii tiadak ada tokoh yang lebih terkenal dalam ilmu Lua selain raja-raja mereka sendiri terutamanya raja Kamehameha. Kamehameha terkenal dikalangan sejarawan sebagai The Napoleon of The Pacific kerana kejayaan beliau dalam menyatukan seluruh wilayah kepulauan Hawaii melalui beberapa siri peperangan yang hebat sekitar tahun 1790 hingga 1810. Kamehameha dikatakan telah mendirikan tiga buah sekolah beladiri Lua yang terkenal.

Sesebuah sekolah Lua itu akan dikelolai oleh seorang Kahuna yakni Pawang atau pendita agama kuno Hawaii. Seorang Kahuna yang mahir dalam Lua mestilah memahami ilmu anatomi terutama mengenai kedudukan saraf tertentu dan otot-otot penting dalam badan. Mereka percaya bahawa perut adalah asas bagi segala kekuatan atau pusat tenaga. Konsep ini sama seperti dalam seni beladiri Jepun Aikido dan beberapa lagi seni beladiri lain dari seluruh dunia.

Seorang pakar seni beladiri Jepun iaitu Prof Henry S. Okazaki, pernah menyatakan bahawa, walaupun Lua mempunyai banyak persamaan dengan beberapa seni beladiri Jepun, namun teknik yang terdapat dalam seni beladiri Hawaii tersebut adalah lebih berkesan. Menurut pengamal Judo moden pula Lua boleh dianggap sebagai satu seni beladiri paling ganas yang pernah dicipta dan digunakan oleh raja-raja serta para pengawal elit Hawaii. Dalam sesebuah peperangan Hawaii, pertarungan atau pertempuran itu berlaku sangat pantas, dan sengit. Sebagai contoh dalam peristiwa penaklukan pulau Maui oleh para pendekar Oahu. Dalam pertempuran tersebut hanya dua orang yang terselamat daripada 800 orang pahlawan yang terlibat.

Jika di medan perang kebiasaannya pengamal Lua akan bergantung kepada beberapa jenis senjata seperti lembing, terbil, cokmar malahan senjata dari batu. Selain itu terdapat juga senjata lain seperti pendayung, pisau gigi jerung, kayu panjang, dan sejenis senjata seperti buku lima yang namanya juga berbunyi seperti bahasa Melayu iaitu Kuekue Lima, malah senjata buku lima juga digunakan dalam sesetengah silat Melayu. Kalau dalam silat Melayu ada ilmu unik yang diberinama seni Cindai, dalam Lua pula ada satu teknik yang hampir sama iaitu teknik tali penjerut.

Tetapi jika semua senjata-senjata ini terlepas dari tangan atau dirampas musuh, maka masa inilah akan digunakan teknik-teknik rahsia tangan kosong. Dalam Lua juga ada seni bermain kayu yang dipanggil sebagai Kakalaau. Seni ini menggunakan kayu berukuran enam kaki dan hampir serupa dengan seni Kendo dan Bujutsu Jepun. Namun dalam seni Kakalaau tiada sebarang protection atau baju pelindung yang digunakan. Selain daripada menggunakan batu biasa, kayu dan gigi jerung, terdapat juga senjata yang diperbuat daripada batu Jed.

Satu perkara yang paling menarik dalam Lua adalah teknik menangkap senjata lontaran atau jarak jauh seperti lembing, panah, malah terbil. Menangkap lembing dan anak panah yang dilontarkan oleh musuh adalah salah satu kemahiran tertinggi yang harus ada pada seorang pengamal Lua. Raja Kamehameha dikatakan mampu untuk menangkap sebanyak 12 batang lembing yang dilemparkan kepada beliau. Saya pasti teknik menagkap lembing ini juga ada dalam silat Melayu kerana saya pernah terbaca mengenai ilmu menangkap rejaman lembing dengan mata tertutup dalam silat Melayu.

Selain sebagai seni beladiri, Lua juga sering dipraktikkan oleh golongan elit Hawaii sebagai satu cara untuk mendisiplinkan diri, menyihatkan badan dan membentuk keperibadian sepertimana dalam seni silat. Selain itu Lua turut mengandunngi sejenis teknik tenaga dalaman dan senaman khusus bagi mengumpul tenaga ghaib yang dinamakan ‘Mana’. Konsep Mana hampir sama dengan konsep Chi dalam amalan Tai Chi dan Chi Qung.

Sehingga hari ini seni beladiri Lua sebenarnya sudah semakin pupus. Kepupusan ini bermula sejak kemasukan para mubaligh-mubaligh kristian yang memperkenalkan agama Kristian kepada masyarakat Hawaii pada 1820. Malahan sebahagin besar kebudayaan tradisional Hawaii hampir punah disebabkan hal yang sama. Dikatakan juga faktor lain yang turut menyumbang kepada kepupusan seni beladiri ini adalah dengan kemasukan senjata api yang dibawa oleh penjajah barat. Charles Kenn seorang ethnographer barat telah berjaya mengumpulkan cebisan-cebisan yang masih tinggal daripada seni Lua ini dan beliau dikatakan telah mengajarkan teknik-teknik rahsia Lua kepada seorang pengamal Jujitsu Hawaii. Sekitar 1960 an Kenn kemudian mengajarkan pula Lua kepada Jerry Walker dan dari situ Walker telah cuba mengembangkannya kembali sehingga sekarang. Walaupun Lua semakin pupus namun legasi Lua sebagai sebuah seni beladiri lagenda masih berlegar dikalangan masyarakat Hawaii hingga sekarang sepertimana segarnya lagenda Hang Tuah dengan kehebatan silatnya dalam masyarakat Melayu.

Malahan banyaknya persamaan diantara amalan Lua dengan amalan silat Melayu membuatkan saya terfikir adakah kedua-dua seni beladiri ini datang dari akar yang sama atau ianya secara kebetulan? Kita tinggalkan dahulu persoalan itu.

Dapat disimpulkan bahawa kewujudan Lua sebagai satu seni beladiri yang terasing jauh dari sebarang pengaruh seni beladiri utama dunia seperti dari China mahupun India, menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat itu walau terasing juga mampu untuk menghasilkan satu seni beladiri hebat dengan kreativiti dan kepandaian lokal mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada ilmu dari tamadun luar.

Hal yang sama juga mengukuhkan lagi pendapat yang mennyatakan bahawa silat itu adalah seni beladiri asli hasil ciptaan masyarakat nusantara. Jika masyarakat yang jauh daripada tamadun lain seperti di kepulauan pasifik mempunyai seni beladiri unik dan tersendiri yang terbentuk secara insitu, mengapa tidak seni beladiri masyarakat Melayu?

Dalam beratus-ratus aliran silat yang wujud di Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia saya pasti hanya beberapa buah sahaja yang mempunyai akar dari seni beladiri bangsa luar dan selebihnya adalah hasil ciptaan masyarakat tempatan sendiri. Sekian. Wallah hu a’lam.

Tinggalkan pesanan

Alamat email anda tidak akan disiarkan.