Waktu Asar Selasa, pada suatu masa yang boleh dianggap baru, aku tiba di perkarangan Makam Sunan Kudus di Desa Kauman, Kecamatan Kota, Kabupaten Kudus, Jawa Tengah. Di pintu makamnya terukir kalimah Asma al Husna yang berangka tahun 1296H atau 1878M.

Aku juga ambil peluang melihat sendiri Masjid Menara Kudus yang tersergam indah, Masjid ini adalah sebahagian peninggalan bersejarah Sunan Kudus.

Menjadi rutin, setiap tempat aku ziarahi, aku akan menziarahi makam-makam para auliya dan jika ke tanah jawa, sudah pasti singgah ke makam-makam wali songo. Dalam banyak makam yang aku ziarahi, makam Sunan Kudus paling meninggalkan kesan spiritual dan kefahaman dakwah kepada aku.

Menurut catatan yang ada di masjid itu, masjid tersebut di dirikan pada 956H atau 1549M. Di catatan itu terdapat juga inskripsi dalam kalimah bahasa arab yang ertinya…“Telah mendirikan masjid Aqsa ini di negeri Quds…”. Hal ini menunjukkan, Sunan Kudus memberikan nama masjid ini sempena masjid Al – Aqsa, Palestin. Ramai yang kenali Sunan Kudus sebagai Ulama’ yang bertaraf Wali Allah, jarang mengetahui beliau juga merupakan senopati atau panglima perang dan penghulu di Kadipaten Demak.

Pada mulanya, kota yang di dalamnya ada masjid ini bernama Tajug. Namun kemudian diganti nama Quds yang kemudian berubah menjadi Kudus. Lantaran itu, pengasas kota ini terus dikenali dengan Sunan Kudus.

Menara Kudus (Gambar Penulis)

Di masjid Kudus, tersergam sebuah menara yang unik. Menara tersebut sangat berbeza dengan menara-menara di Masjid kawasan Nusantara, bahkan di seluruh dunia. Menara itu menyerupai candi yang menunjukkan bahawa Sunan Kudus yang mendirikan menara itu dengan mengambil kira budaya masyarakat setempat. Menara Kudus itu bercorak bangunan Hindu yang mirip dengan Candi Jogo dan Makam Raja Wisnuwardhana yang di dirikan tahun 1275-1300M di Malang.

 

Pandangan dari Bawah Tangga Menara Kudus (Gambar Penulis)

Sunan Kudus juga meninggalkan suatu wasiat yang masih diamalkan hingga kini iaitu permintaannya kepada masyarakat untuk tidak menyembelih lembu dalam sambutan hari raya Idul Adha untuk menghormati masyarakat penganut agama Hindu dengan mengganti korban lembu dengan menyembelih kerbau, Pesanan supaya menyembelih kerbau ini masih banyak ditaati oleh masyarakat Kudus hingga saat ini.

Baik, untuk memahami kenapakah Menara Kudus mirip corak seni bina hindu, mengapakah Sunan Kudus bertoleransi dengan masyarakat hindu – budha ketika itu, sewajarnya kita mengenali latar belakang Sunan Kudus dan budaya masyarakat ketika itu terlebih dahulu.

Jaafar Saadiq – Sunan Kudus

Sunan Kudus atau nama sebenarnya ialah Jaafar Saadiq. beliau adalah putera Sunan Ngudung atau Raden Uthman Haji dan cicit dari Sunan Ampel dari sebelah ibu. Ibunya ialah Syarifah, cucu Sunan Ampel anak dari Nyai Ageng Maloka.

Beliau mendapat pendidikan agama dari Ayahnya sendiri dan beberapa ulama’ terkenal pada waktu itu iaitu moyangnya Sunan Ampel, Ki Ageng Ngerang dan Kiyai Telingsing (The Ling Sing).

Menurut cerita, Kiyai Telingsing adalah ulama’ yang berasal dari China yang belayar ke Tanah Jawa bersama Laksamana Cheng Ho. Kiai Telingsing antara ulama’ yang banyak mempengaruhi terhadap Sunan Kudus dalam berdakwah terutama menghadapi masyarakat yang masih kuat berpegang dengan kepercayaan Hindu dan Buddha.

Pendekatan dakwah Sunan Kudus penuh telorensi, damai, lemah lembut dan bertahap. Sunan Kudus sangat mengelak cara kekerasan. Adat-adat tempatan yang bercanggah dengan Islam yang sudah sebati dengan masyarakat dibiarkan dan diubah secara perlahan-lahan. Hasilnya ramai orang memeluk Islam tanpa paksaan.

Sunan Kudus berhadapan masyarakat yang masih berpegang Hindu dan Buddha. Beliau menggunakan beberapa tarikan dalam Hindu dan Budha untuk menarik minat masyarakat namun bukan beerti beliau mencampur adukkan dengan ajaran Islam. dengan cara ini menyebabkan orang tertarik dan rasa tidak asing dengan apa yang disampaikan. Sekaligus memudahkan Sunan Kudus menyampaikan intipati ajaran Islam.

Sebagai contoh, Menara Masjid. kita boleh lihat bangunannya tidak jauh beza dengan bangunan candi yang dijadikan tempat penyembahan oleh penganut Hindu dan Buddha. Menara masjid tersebut di rangka oleh Sunan Kudus sedemikian rupa bertujuan menimbulkan rasa selesa bagi penganut Hindu dan Buddha ketika mendengar dakwah Sunan Kudus. Mereka mendengar Islam seolah-olah mereka sedang berada di tempat peribadatan mereka sendiri.

Setelah masyarakat menerima dakwah Sunan Kudus, secara perlahan-lahan beliau akan mengubah ritual lama kepada pengisian yang tidak bercanggah syarak. Ini lah kebijaksanaan dakwah Sunan Kudus.

Kisah Menarik Dakwah Sunan Kudus

i. Membina Menara Masjid Bercirikan Candi Hindu

Seperti ‘point’ sebelum ini, Sunan Kudus membina Menara itu menyerupai candi yang menunjukkan bahawa Sunan Kudus mengambil kira budaya masyarakat setempat. Menara Kudus itu bercorak bangunan Hindu yang mirip dengan Candi Jogo dan Makam Raja Wisnuwardhana yang di dirikan tahun 1275-1300M di Malang. Tujuannya untuk menarik minat dan menimbulkan keselesaan penganut hindu. Menara masjid tersebut di rangka oleh Sunan Kudus sedemikian rupa bertujuan menimbulkan rasa selesa bagi penganut Hindu dan Buddha ketika mendengar dakwah Sunan Kudus. Mereka mendengar Islam seolah-olah mereka sedang berada di tempat peribadatan mereka sendiri.

ii. Mengikat lembu di halaman masjid

Bukan itu sahaja, untuk menarik masyarakat hindu sekitar agar tertarik datang masuk ke masjid Menara Kudus, Sunan Kudus membawa lembu lalu diikat di depan masjid. Dalam kepercayaan mereka lembu adalah binatang yang dihormati, sehingga kurang orang memiliki lembu. Dengan pendekatan demikian, masyarakat tempatan berbondong–bondong datang ke masjid, yang tujuan awalnya adalah menghampiri lembu yang aneh.Tatkala sudah ramai orang berkumpul di masjid, Sunan Kudus menyampaikan wejangan–wejangan (takirah-tazkirah) ringan terkait dengan ajaran islam.

iii. Tidak menyembelih lembu di Hari Raya Korban

Paling menarik lagi, Sunan Kudus juga melarang jamaahnya untuk menyembelih lembu, meskipun ia diharuskan dalam Agama Islam. Ini strategi menarik simpati masyarakat yang kebanyakan saat itu menganggap lembu sebagai makhluk yang suci.

Ternyata apa yang dilakukan oleh Sunan Kudus benar–benar ampuh, sehingga dalam waktu yang tidak lama Islam dapat diterima dan dianut oleh sebahagian besar masyarakat Kudus hingga sekarang warga kudus masih mempertahankan adat tersebut dengan tidak menyembelih lembu pada Hari Raya Idul Adha. Wasiat Sunan Kudus agar menyembelih kerbau ini masih banyak ditaati oleh masyarakat Kudus hingga saat ini.

“Ternyata Sunan Kudus lebih mengutamakan toleransi dan harmoni dari pada konflik dalam menyebarkan Islam.”

iv. Mengubah lagu dan cerita ketauhidan

Sunan Kudus juga dikenal sebagai penyair dan pengubah cerita rakyat yang bersarat ketauhidan. Buah karyanya adalah lagu Gending Maskumambang dan Mijil. Dalam banyak hal Sunan Kudus mencuba mewarnai gending atau cerita – cerita tertentu yang semula kering dari nilai islam, diisi dengan semangat ketauhidan.

v. Membina 8 Pancuran Air bercirikan ajaran Buddha

Setelah masjid berjaya didirikan, Sunan Kudus membina 8 pancuran air sebagai tempat berwudhu’. Setiap pancuran diberi arca kepala Kebo Gumarang di atasnya. Hal ini disesuaikan dengan ajaran Buddha “Jalan berlipat Lapan” atau “Asta Sanghika Marga” iaitu:

1. Pandangan yang benar (Samma-Ditthi)

2. Fikiran yang benar (Samma-Sankappa)

3. Berkata yang benar (Samma –Vaca)

4. Perbuatan yang benar (Samma-Kammanta)

5. Pekerjaan dengan benar (Samma-Ajiva)

6. Usaha dengan betul (Samma-Vayama)

7. Kesedaran yang betul (Samma-Sati)

8. Tumpuan yang betul (Samma-Samadhi)

Tempat Wudhu’ Masjid Kudus ( Gambar Penulis)

Usaha ini ternyata membuahkan tarikan sehingga ramai penganut budha berbondong bondong datang melihat apakah sebab Sunan Kudus memasang lambang wasiat budha itu di tempat berwudhu’. Apabila sudah menginjak kaki di masjid, mereka mendengar dakwah Sunan Kudus dan memeluk Islam.

Sunan Kudus Penerus Dasar Dakwah Wali Songo

Prinsip Dakwah Sunan Kudus adalah penerusan dasar dakwah Wali Songo iaitu membawa manusia kepada tauhid, akhlak yang baik sebagaimana yang dijelaskan dalam kandungan Al-Qu’ran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka bertegas dalam soal aqidah, menyeru masyarakat agar tidak syirik kepada Allah. Sementara dalam soal syariat dan akhlak, wali songo mengajar, mentarbiyah masyarakat secara ‘live’ dan bertahap dan menyesuaikan dengan adat budaya setempat. Wali Songo menggunakan pendekatan bijaksana iaitu tidak menyerang adat atau ritual masyarakat ketika itu akan tetapi memasukkan unsur tauhid, Islamisasi dan memurnikan.

Jika ingin menyebut satu persatu pendekatan dakwah Wali Songo, terlalu banyak. Cuma, yang kita bleh simpulkan ialah dakwah Wali Songo menerapkan TIGA pendekatan yang stratergis dan efektif.

1. Bil Hiikmah : menjelaskan ajaran Islam secara arif (bijaksana) dengan hujah-hujah yang masuk akal serta senang difahami dan diterima masyarakat.

2. Wa Mauizhoh al Hasanah : memberikan nasihat-nasihat dan kisah-kisah teladan yang baik merangkumi pelbagai masalah baik melibatkan individu, keluarga dan masyarakat.

3. Mujadhalah : Jika diperlukan, dalam situasi tertentu, mereka juga berdiskusi dengan penuh adab atas semangat membentangkan dan mempertahakan kebenaran.

Penulis (angahsunan) bersama sahabat (Along Afif) membawa rombongan ziarah 9 Makam Wali Songo. Gambar bersama rombongan ini di Menara Kudus.

Jika mahu belajar bagaimana berToleransi dengan kepercayaan-kepercayaan lain, Sunan Kudus adalah contoh terbaik. Toleransi beliau membawa orang memeluk Islam, bukan bererti beliau redha akan kepercayaan mereka yang salah. Faktor latar belakang, sejarah dan budaya keadaan setempat mesti di ambil penting di dalam gerak kerja dakwah sepertimana yang ditunjukkan Sunan Kudus. Intipatinya adalah tauhid. Hal yang furu’ seperti sembelihan lembu tidak dijadikan isu besar. Sunan Kudus memahami bahawa Allah menyuruh kita menyembelih binatang al an’am (berkaki empat) tidak semestinya lembu. Disana juga ada kerbau yang juga boleh dikorbankan. Sunan Kudus mengenalpasti apakah isu yang usul (pokok) dan isu yang furu’ (cabang) dalam dakwah. Hari ini kita banyak berbalah isu furu’ khilaf hingga hilang ruh kesatuan ummah.

Sekian, angahsunan
sunan.angah@gmail.com

#angahsunan
#ziarahrohaniah
#travelogwalisongo

Rujukan:

(1) Petikan dari kertas kerja Jejak-Jejak Dakwah & Tasauf Wali Songo oleh Sidi KH Dhiauddin Kuswandi di Wacana Keharmonian Islam Nusantara, Kota Kinabalu, Sabah 2017.

(2) Pengalaman peribadi penulis (angahsunan) dalam kembara beliau

(3) I.Rofi’ie Ariniro, Panduan Wisata Religi Ziarah Wali Songo, penerbitan Saufa (2016)

(4) MB. Rahimsyah. AR, Wali Songo Penyebar Agama Islam di Tanah Jawa, disertai Tata Cara Ziarah Kubur, Cipta Karya Surabaya 2011.

(5) angahsunan.blosgpot.my


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Leave A Reply