Sejarah Samurai Sepanjang Penubuhan Negara Jepun

0
3093
views

Sebelum era Heian (794 – 1185 Masihi), tentera Jepun telah memakai model tentera negara China. Dipercayai bahawa model ketenteraan negara China ini berpunca daripada reformasi yang dilakukan oleh Putera Naka-no-Oe atau Maharaja Tenji sekitar kekalahan Jepun ketika era Yamato kepada Dinasti Tang China dan Kerajaan Silla di Korea dalam Pertempuran Hakusinikone pada sekitar 663 Masihi. Reformasi yang dibawa oleh Putera Naka no Oe ini mengambil falsafah Confucius daripada China sebagai asas reformasi. Sepanjang reformasi ini, Jepun telah menghantar utusan dan pelajar mereka ke China untuk mempelajari sistem penulisan, kesusateraan, agama dan senibina China. Tujuan asal reformasi ini berlaku kerana mahu mengukuhkan lagi ketamadunan Jepun dan menguatkan struktur pemerintahan kerajaan Jepun berdasarkan model China.

Hari ini, berkat daripada reformasi yang dibawa oleh Putera Naka no Oe ini telah dapat dilihat pengaruh China banyak dalam kebudayaan Jepun itu sendiri. Tapi sudah tentu dari pengaruh itu, kebudayaan dari China tidaklah diambil serratus-peratus tetapi ditransformasikan menjadi budaya unik negara Jepun sendiri berdasarkan local genius masyarakat Jepun itu sendiri. Antara yang diinpirasikan daripada Tamadun China dan Dinasti Tang ialah Sakimori yang bermaksud Pelindung. Maharaja Jepun memperkenalkan langkah di mana setiap anak lelaki dalam negara Jepun ketika itu boleh dikecualikan dari cukai dengan memasuki tentera dan melindungi Maharaja. Sakimori menjadi senjata pertahanan Jepun menghadapi pemberontakan dan antara yang paling terkenal tentunya ketika Maharaja Kammu pada awal era Heaian cuba untuk menundukkan pemberontakan Emishi.

Malangnya askar Sakimori ini kekurangan motivasi dan disiplin untuk menundukkan pemberontakkan lalu Maharaja Kammu mengambil keputusan untuk memperkenalkan satu lagi kelas dalam masyarakat Jepun yang dipanggil sebagai Seiitashogun atau Shogun dan banyak bergantung pada puak-puak yang menguasai setiap daerah di dalam negara Jepun. Puak ini memang terkenal dengan kemahiran menunggang kuda dan memanahnya dan menggunakan kumpulan baru ini, maka Maharaja Kammu telah bergantung pada kelebihan mereka untuk menundukkan pemberontakan Emishi ini. Bermula dari sini, Maharaja Kammu mula membubarkan tentera Maharaja lalu bergantung kepada para puak yang memerintah daerah masing-masing di dalam negara Jepun. Puak-puak ini menjadi sangat berkuasa saban hari lalu terjadilah perebutan antara setiap puak merebut wilayah pemakanan mereka. Demi memastikan setiap puak mampu memenangi peperangan dengan puak lain, maka mereka membentuk sebuah angkatan bersenjata yang selepas itu akan dipanggil sebagai samurai. Angkatan bersenjata inilah yang bertanggungjawab untuk mempertahankan setiap puak, bahkan dalam satu fasa bertindak sebagai polis di kawasan sekitar Kyoto.

Samurai mula melonjak naik kedudukan mereka ketika penghujung era Heaian apabila kuasa maharaja semakin menghilang dan tampuk kekuasaan mula beralih kepada puak-puak yang menguasai setiap daerah di Jepun. Dua buah puak yang terbesar ketika itu ialah Puak Taira dan puak Minamoto. Perang antara dua puak ini dipanggil sebagai Perang Gempei dimana akhirnya dimenangi oleh salah seorang legenda samurai terhebat dalam sejarah Jepun iaitu Minamoto Yoshitsune apabila berjaya memimpin puaknya memenangi peperangan dengan Puak Taira di sekitar Kampung Dan-no-ura. Buat pertama kalinya dalam sejarah Jepun, tertubuhnya sebuah kerajaan keshogunan yang dinamakan sebagai Kamakura, di mana keshogunan berfungsi saling tak tumpah seperti sebuah kediktatoran yang bersifat ketenteraan di mana berpusat di Kamakura. Ketika keshogunan pertama Jepun ini ditubuhkan di dalam Keshogunan Kamakura, Maharaja Jepun hanyalah simbol semata-mata, tidak seperti era sebelum Heian dan sebelumnya.

Ketika era Keshogunan Kamakura inilah kita dapat melihat bagaimana pengaruh agama Buddha dari aliran Zen mula memasuki Jepun dan banyak meninggalkan kesan kepada pegangan dan idealogi samurai itu sendiri. Zaman ini jugalah kita dapat melihat bagaimana pedang mula menjadi budaya Samurai yang utama. Namun, serangan Monggol ke atas Jepun seperti mana yang pernah dibincangkan sebelum ini, membawa kepada melemahnya Keshogunan Kamakura dan akhirnya ketika penghujung abad ke-13, pemberontakan tercetus yang diketuai oleh Ashikaga Takauji lalu bangkitlah Keshogunan Ashikaga.

Namun, selepas Perang Onin yang berlaku ketika 1467-77 Masihi, Jepun telah tercampak ke dalam kancah perang saudara yang sangat lama sehinggalah pada tahun 1615, Jepun disatukan semula dibawa Keshogunan Tokugawa selepas hampir 250 tahun lamanya saling bergaduh antara satu sama lain. Era perang saudara Jepun dikenali sebagai Era Muromachi dan meskipun sedemikian, era ini sangat terkenal dengan lahirnya banyak lukisan-lukisan yang menjadi mahakarya dan lambang Tamadun Jepun. Lukisan Jepun yang terkenal hari ini dengan elemen majlis minum teh, taman yang berbatu-bata berserta dengan susunan bunga yang menawan dan teater sebenarnya lahir ketika era ini.

Selepas Tokugawa Ieyasu berjaya menyatukan seluruh Jepun, barulah kita dapat melihat bagaimana dasar ketenteraan yang menjadi landasan pemerintahan samurai di Jepun beransur kea rah pemerintahan yang lebih sivil dan lembut. Bahkan Tokugawa Ieyasu telah mengeluarkan Ordinan Rumah Ketenteraan yang menyuruh Samurai menerima latihan yang sama rata dalam pertembungan senjata dan juga pembeljaran setiap prinsip di dalam falsafah Confucius, yang secara tidak langsung menenggelamkan pengaruh agama Buddha di dalam kelas Samurai di Jepun. Ketika ini jugalah prinsip Bushido lahir dan menjadi pegangan masyarakat Jepun khususnya Samurai. Ketika era Keshogunan Tokugawa ini, kebenaran untuk membawa pedang hanya dikhususkan untuk samurai sahaja.

Namun, keamanan yang dicapai ketika era Tokugawa akhirnya menemui jalan kejatuhannya pada penghujung abad ke-19 atas beberapa faktor. Antaranya ialah kebuluran, kemiskinan serta kegatalan Barat yang mula masuk campur ke atas Jepun. Memperkenalkan kepada anda, Commodore Matthew C. Perry daripada US Navy yang tiba di Jepun pada 1853 yang dalam misi untuk memaksa Jepun mula membuka pintu untuk perdagangan Jepun di pasaran antarabangsa. Akhirnya, Jepun terpaksa akur lalu membuat perjanjian perdagangan dengan USA, Russia, Britain, Perancis dan juga Belanda. Tindakan yang dilakukan oleh Keshogunan Tokugawa ini membawa kepada pemberontakan oleh golongan konservatif termasuk samurai. Ketika itulah gesaan untuk memulihkan kuasa Maharaja kembali berdendang dan pemberontakan untuk menamatkan sistem Keshogunan di Jepun bermula. Dua puak terkuat di Jepun ketika itu, Puak Chosu dan puak Satsuma bergabung kuasa menggulingkan Keshogunan Tokugawa dan menaikkan Maharaja Meiji.

Maka seperti mana yang kita tahu, era kebangkitan Jepun dalam sejarah ketamadunan dunia ialah berkat kepimpinan Maharaja Meiji sendiri. Era ini dikenali sebagai Reformasi Meiji dan salah satu bentuk reformasi Meiji yang memang mengejutkan ialah membasmi sistem feudalism yang menjadi pegangan Jepun sebelum mengharamkan penggunaan pedang kecuali Tentera Jepun sahaja. Ini juga bermakna penghapusan kelas samurai dalam masyarakat Jepun. Pemberontakan demi pemberontakan dilancarkan oleh samurai namun semuanya berjaya ditundukkan oleh Meiji. Ironinya, yang berkempen untuk menaikkan semula Maharaja ke tampuk kuasa penuh digerakkan oleh samurai, namun mereka pula menjadi sebahagian daripada mangsa Revolusi Meiji sendiri.

-HE-

Rujukan:

Samurai and Bushido.
http://www.history.com/topics/samurai-and-bushido

Samurai History.
http://www.aikido.itu.edu.tr/yazilar/samuraihistory_(a).pdf

Japan-Guide.com. Samurai.
http://www.japan-guide.com/e/e2127.html

Previous articleJom Kenali Lohong Hitam
Next articleChe Bong Nga – Raja Agung Terakhir Orang Melayu Champa
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here