Sejarah Perjuangan Hak Asasi Dalam Sejarah

0
679
views

Dalam kehidupan kita seringkali didedahkan dengan pelbagai isu yang melanda manusia, sama ada di dalam atau di luar negara. Saban hari terpapar di dada akhbar atau di kaca televisyen berita melibatkan diri manusia sendiri; ada bayi menjadi mangsa dera, ada yang menjadi buruh paksa, ada yang dipaksa menjadi pelacur dan pelbagai lagi isu melibatkan hak asasi manusia. Di sebalik masalah yang melanda manusia ini, muncul pula golongan yang menentang dan memperjuangkan hak asasi manusia dengan pelbagai tujuan dan matlamat tersendiri. Ada yang berjuang demi tujuan politik, ada yang berjuang demi kepentingan peribadi, kumpulan atau pertubuhan yang disertai dan banyak lagi. Sebenarnya adakah manusia mengetahui apakah maksud hak asasi manusia?

APA ITU HAK ASASI MANUSIA?

Perkataan hak asasi manusia terbahagi kepada tiga suku kata, iaitu hak, asasi dan manusia. Untuk memahami maksud hak asasi manusia secara umumnya, kita harus memahami takrif dan maksud setiap kalimah iaitu hak, asasi dan manusia secara berasingan terlebih dahulu. Perkataan ‘hak’ mengikut Kamus Dewan bermaksud “(yang) benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat, dan lain-lain, juga membawa erti “milik, kepunyaan, atau (pilihan) yang (mana satu)”. Asasi pula diistilahkan sebagai “(sesuatu) yang menjadi dasar atau yang menjadi pokok. Jika digabungkan keduanya, ‘hak asasi’ membawa maksud “hak yang dasar atau yang pokok seperti bebas beragama, bebas mengeluarkan pendapat”. Manusia jika diistilahkan mengikut Kamus Dewan pula bermaksud “makhluk yg mempunyai akal budi, insan ataupun orang.”

Secara keseluruhannya jika dirujuk kepada Kamus Dewan juga, gabungan perkataan ‘hak asasi dan manusia’ ditafsirkan sebagai ‘hak yang dasar atau pokok (perkara asas dalam kehidupan seperti hak melakukan aktiviti harian, hak untuk bergaul dan bersosial, hak untuk bekerja, bermain dan sebagainya’. Di sini dapat juga difahami bahawa hak asasi manusia merupakan satu perkara yang berkait dengan manusia dan kehidupan manusia itu sendiri. Hak asasi manusia merangkumi pelbagai perkara dan isu seperti kerakyatan, pekerjaan, hak sosial dan lain-lain lagi.

SEJARAH PERJUANGAN HAK ASASI MANUSIA MENURUT ISLAM DAN BARAT

Setiap perkara pasti ada permulaannya, begitu juga hak asasi manusia. Untuk mengenal pasti bagaimana atau di mana bermulanya hak asasi manusia ini, kajian ini telah mendatangkan dua (2) sumber asas utama bagi perbincangan ini, iaitu sejarah hak asasi manusia menurut Islam dan juga Barat. Hak asasi manusia mengikut sejarah Islam mula diperjuangkan secara umum apabila Muhammad bin Abdullah dilantik menjadi Rasul. Rasulullah saw dikatakan seabgai manusia yang mula-mula mengangkat dan memelihara martabat hak asasi manusia di seluruh dunia melalui ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW memperjuangkan hak kesamarataan dan keadilan antara sesama manusia, dengan merujuk kepada al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan. M.A. Saeed menyatakan bahawa apa yang disebut di dalam al-Quran adalah permulaan kepada hak asasi manusia secara global. Beliau menyatakan: “Fourteen hundred years ago the Qur’an laid down very clearly the fundamental rights of man. The Qur’an gives us a clear concept of human rights and it demands that the rights be safeguarded in such a way that not only the individual gets his rights but along with the individual the society should also evolve, become better and more civilized” (Saeed 1978: 106-107). Pendapat ini disokong pula oleh seorang sarjana falsafah Islam terkenal, Abu ‘a’ala al-Mawdudi dengan menyatakan bahawa sejarah pembelaan hak asasi manusia di Barat bermula dengan pembuatan Magna Carta, tetapi Islam lebih terkehadapan dalam memperjuangkan hak asasi manusia 600 tahun sebelum pembuatan Magna Carta.

Tuntutan keadilan dan kesamarataan ini muncul di tengah-tengah kehidupan masyarakat Arab Jahiliyyah yang mengamalkan penipuan dan penindasan dalam perniagaan, pengamalan sistem hamba, perempuan diberikan taraf yang lebih rendah daripada lelaki dan lain-lain lagi. Ajaran Islam yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah ini memperjuangkan agar semua manusia diberi layanan yang selayaknya dimiliki oleh seorang manusia. Ini ditegaskan lagi oleh Hasan Mausumi, seorang sarjana Islam apabila merujuk kepada khutbah Baginda sewaktu menunaikan umrah: “Rasulullah S.A.W telah membawa ajaran al-Quran yang mengajak kepada keadilan dalam masyarakat pelbagai kaum, kaum Arab tiada kelebihan ke atas kaum bukan Arab dan begitulah sebaliknya, juga tiada kelebihan mereka berkulit putih ke atas mereka yang berkulit hitam, merah atau kuning, tiada kelebihan orang kaya ke atas orang miskin, atau orang kuat ke atas orang lemah, kecuali Allah S.W.T memandang kepada tahap iman dan taqwa.”

Pesanan Muhammad bin Abdullah di dalam khutbah ini dikatakan menjadi asas penting kepada pembentukan deklarasi hak asasi manusia zaman moden. Pernyataan ini dikuatkan lagi oleh Mohammad Ahmad Hasan Khan yang memetik pandangan A.R Cornelius seorang sarjana falsafah dari Pakistan: “Muslims had developed similar notions in the  9th Century. The Human Rights at that time were labeled as “Namoos”. The endorsement of Fundamental Rights was made by the Caliphs and his Wazirs. The Shariah guaranteed Human Rights” (Khan 1978: 94). Pandangan ini membuktikan bahawa Islam telah lama memperjuangkan hak asasi manusia sebelum dunia Barat. Sungguhpun begitu pernyataan sebegini tidaklah boleh dianggap sebagai fakta rasmi kerana selain al-Quran, tiada penemuan bukti bertulis lain ditemui yang boleh meyakinkan bahawa Muhammad bin Abdullah adalah orang pertama melaksanakan tindakan hak asasi manusia.

Perlaksanaan hak asasi manusia secara umum menurut sejarah Barat dikatakan bermula apabila Cyrus the Great (m. 529 SM), seorang pemerintah Parsi menakluk Babylon. Cyrus melihat sistem sosial yang diamalkan di Babylon ketika itu, iaitu sistem perhambaan sangat bertentangan dengan prinsip moral yang dipegang oleh beliau dan telah bertindak mengubah sistem sosial tersebut. Tindakan yang dilakukan oleh Cyrus di Babylon iaitu membebaskan hamba dan menghapuskan perhambaan, serta memberi kebebasan beragama kepada penduduk Babylon dianggap sebagai perlaksanaan hak asasi manusia secara besar-besaran yang pertama di dunia. Akan tetapi kisah Cyrus dan pembebasan rakyat Babylon ini masih tidak cukup kuat untuk dijadikan sumber utama sebagai membuktikan perlaksanaan hak asasi manusia secara rasmi.

Beberapa kurun selepas kisah Cyrus dan rakyat Babylon berlalu, muncul pula ‘The Petition of Rights’ yang dicadangkan oleh Parlimen Britain pada tahun 1689. Petisyen ini menuntut supaya wakil parlimen diberikan kuasa berucap dan berdebat di dalam parlimen dan dibenarkan perlaksanaannya oleh Raja England, iaitu King Charles I. Petisyen ini boleh dianggap sebagai dokumen rasmi perlaksanaan hak asasi manusia yang pertama di dunia. Seterusnya muncul pula Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat atau ‘United States Declaration of Independence’ yang diwujudkan pada tahun 1776 menuntut supaya diberi kebebasan untuk hidup bebas dan mencari kesenangan hidup sendiri.

Di Perancis pula muncul Déclaration des droits de l’homme et du citoyen (Declaration of the Rights of Man and Citizen) yang diwujudkan pada tahun 1789. Deklarasi yang muncul di Perancis ini memperjuangkan hak-hak tertentu seperti memperjuangkan hak kebebasan, hak pemilikan harta, hak keselamatan, dan hak untuk hidup tanpa paksaan. United States Bill of Rights yang dilancarkan di Amerika Syarikat secara rasminya pada 1791 juga merupakan satu tuntutan perlaksanaan hak asasi manusia dari sudut kebebasan beragama, kebebasan sebagai individu, kebebasan bersuara dan lain-lain lagi.

Setiap petisyen dan deklarasi yang dilaksanakan pada abad ke 17 di Britain, Amerika Syarikat dan Perancis tidak dinafikan memang ada memperjuangkan hak asasi manusia, akan tetapi isu-isu yang diperjuangkan oleh petisyen dan deklarasi tersebut hanya bersifat ‘inkslusif’ sahaja: iaitu merujuk khas untuk isu-isu hak asasi manusia yang berlaku di tempat-tempat tertentu sahaja. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, dapat dilihat berlakunya banyak penindasan, ketidak adilan dan penganiyaan bagi penduduk negara-negara yang terlibat di dalam peperangan ini. Masalah kebuluran, kemiskinan, pengamalan sistem pemerintahan yang bersifat autokratik dan tidak berperikemanusiaan di sesetengah negara pasca Perang Dunia Kedua, pengabaian pembelaan hak asasi penduduk (seperti bantuan makanan, bantuan perubatan, bantuan tempat tinggal dan sebagainya) menyebabkan muncul cadangan dari sebahagian pemimpin negara membangun (seperti Amerika Syarikat) untuk mewujudkan satu undang-undang atau garis panduan bagi membela dan menjaga nasib manusia di seluruh dunia. Sumner B. Twist menyebut mengenai hal ini: “It is well-known that virtually all of the human rights identified in the UDHR systematically adressed and redressed the dehumanizing techniques and conditions imposed by Nazi Germany on Jews and other marginalized populations prior to and during Wolrd War II.”

Persepakatan ahli negara-negara United Nations atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memperjuangkan hak asasi manusia di seluruh dunia secara rasminya bermula pada tahun 1948, apabila Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR) telah disepakati dan diisytiharkan pada 10 Disember 1948. Pengisytiharan rasmi UDHR ini menandakan bermulanya pembelaan hak asasi manusia secara keseluruhan meliputi hak-hak manusia seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.