Saya perlu memberikan penjelasan sejarah awal pembentukan negara Amerika Syarikat ataupun Union sebelum kita dapat pergi jauh supaya kita boleh nampak dengan jelas perjalanan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada tekanan dan tercetusnya perang saudara.

Sudah tentu, banyak peristiwa besar yang berlaku sepanjang tempoh beberapa dekad sebelum sampai ke zaman presiden ke-16, Lincoln.  Namun, dalam peristiwa-peristiwa tersebut, saya hanya akan menjelaskan peristiwa yang berkaitan. Terutamanya, peristiwa yang dikaitkan dengan isu perhambaan dan peperangan tersebut.

‘Old World’ dan ‘New World’

‘Old World’ adalah istilah merujuk pada dunia yang dikenali oleh masyarakat Eropah sebelum menemui benua Amerika. ‘Old World’ meliputi benua Eropah, Afrika dan Asia. Malah, peta dunia pada ketika itu pun tidak meliputi benua Amerika dan juga Australia. Sejak zaman silam sehinggalah abad ke-15, sejarah banyak ‘bermain’ di ‘Old World’ serta menjadi peranan dan pengaruh dalam mengubah atmosfera dan tamadun dunia. Ini juga boleh menjadi salah satu sebab mengapa ia dipanggil ‘Old World’.

Istilah ‘New World’ digunakan apabila orang Eropah menemui benua baru yang belum diterokai oleh mereka iaitu benua Amerika yang meliputi Amerika Utara dan Amerika Latin (Selatan) pada abad ke-15 masihi. Pengetahuan masyarakat Eropah pada ketika itu majoritinya menganggap dunia ini rata, maka merentasi lautan Atlantik bermaksud melayari ke penghujung dunia yang pada mereka tiada pengetahuan tentangnya.

Beberapa ekspedisi pernah dilakukan untuk merentasi lautan Atlantik, namun ekspedisi tersebut tidak pernah dianggap berjaya apabila tiada kapal yang pulang. Di sini ada dua kebarangkalian. Pertama, ekspedisi itu berjaya merentasi lautan Atlantik dan sampai ke Dunia Baru. Namun,ekspedisi ini tidak pulang kerana melihat kekayaan serta potensi yang terdapat di benua tersebut. Kedua, eskpedisi itu tidak berjaya kerana tenggelam ataupun berlaku sebarang bencana ketika pelayaran. Maka, sebarang ekspedisi yang tidak pulang dianggap tidak berjaya. Kesimpulan dari eskpedisi ini, masyarakat Eropah mempunyai anggapan bahawa ‘penghujung dunia’ itu adalah tempat yang berbahaya untuk direntas dan diterokai.

Namun, fakta sejarah juga menunjukkan bahawa ada beberapa ekspedisi yang dilakukan dan dianggap berjaya, bermakna ekspedisi itu pulang ke kampung halaman, seperti ekspedisi terkenal Christopher Columbus yang pernah dikatakan manusia pertama menemui Dunia Baru walaupun sebenarnya kita tahu fakta bahawa Indian merupakan penghuni dan tamadun awal yang menghuni Amerika sebelum Eropah menemuinya. Cuma mereka tidak terlalu menonjol dalam membentuk dunia seperti tamadun Dunia Lama.

Kolonisasi

Kolonisasi adalah proses tanah, wilayah ataupun sesuatu tempat baharu dijadikan sebagai penempatan yang didirikan oleh bangsa asing. Penempatan ini dipanggil koloni. Kolonisir adalah orang yang menjalankan proses kolonisasi. Kolonisasi mula berlaku pada abad ke-15, iaitu ekspedisi-ekspedisi awal yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan di Eropah seperti British, Perancis, Sepanyol dan Portugal. Ekspedisi ini berlaku atas  beberapa faktor. Antaranya ialah kelemahan sistem feudal. Sistem feudal adalah sistem lapisan ataupun hierarki yang dikuasai oleh bangsawan. Sistem ini berkuasa ketika zaman gelap di Eropah selama lebih dari 1000 tahun. Reformasi menentang kuasa gereja dan monarki telah memberikan kebebasan serta kebangkitan kepada rakyat Eropah untuk meneroka ilmu dan dunia.

Selain itu, Eropah mahu meluaskan ekonomi dan perdagangan. Ekspedisi yang dilakukan adalah untuk membuka jalan perdagangan yang baru. Kekayaan serta potensi yang terdapat di Dunia Baru dapat meluaskan lagi aktiviti perdagangan serta dapat meningkatkan kekuatan ekonomi. Antara lainnya, ekspedisi ini juga mendapat dorongan daripada golongan pemerintah seperti Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Mereka terus menggalakkan ekspedisi ini dijalankan. Ekspedisi ini juga melambangkan kemegahan dan kekuatan sesebuah empayar.

Seperti yang kita tahu bahawa kolonisir yang mendirikan koloni di Dunia Baru terdiri daripada pelbagai bangsa yang datang dari pelbagai kerajaan di Eropah. Maka, kita hanya akan fokus pada kolonisasi bangsa British atau orang Inggeris kerana mereka yang membentuk dan melahirkan kerajaan Amerika Syarikat. Saya perlu maklumkan di sini bahawa Inggeris dan British adalah dari bangsa yang sama. Cumanya, ‘Inggeris’ adalah penggunaan awal bagi bangsa dan empayar British.

Pelayaran Sebastian Cabot pada tahun 1497 telah menjadi asas kolonisasi bangsa Inggeris di Dunia Baru walaupun pada masa itu tiada pendekatan efektif yang diambil untuk membina dakwaan ke atas wilayah ditemui sehinggalah pada tahun 1606. Sepanjang tempoh tersebut, proses kolonisasi gagal. Malah, ada juga ekspedisi yang hilang ketika pelayaran.

Pada tahun 1606, Raja James I membentuk dua buah piagam diraja kepada dua buah syarikat untuk melakukan eskpedisi ke Dunia Baru. Syarikat London dianugerahkan pantai Utara antara 34o dan 38o latitud utara. Manakala Syarikat Plymouth juga dianugerahkan pantai Utara antara 41o dan 45o latitud utara. Inilah dua eskpedisi pertama oleh Inggeris yang dikatakan berjaya melakukan proses kolonisasi. Kolonisasi yang terbentuk akan ditadbir oleh majlis pentadbir yang diutuskan oleh raja.

Walaupun Dunia Baru kaya dengan bahan mentah, tanah serta sumber makanan, namun, kelangsungan hidup amat sukar disebabkan faktor adaptasi, cuaca yang tidak menentu, serangan daripada Indian serta saingan daripada ekspedisi kerajaan lain. Maka, mereka tidak melakukan proses kolonisasi yang besar. Namun, sekurang-kurangnya mereka sudah membentuk koloni untuk kerajaan Inggeris.

Pada 13 May 1607, Syarikat London yang diketuai oleh Christopher Newport telah mendirikan penempatan Inggeris pertama dan diberikan nama sempena raja mereka, Jamestown. Selama 12 tahun, mereka telah membina sebuah koloni yang dipanggil Virginia. Pada tahun yang sama, penempatan Popham telah didirikan oleh Syarikat Plymouth yang diketuai oleh Ferdinand Gorges. Namun, Popham hanya dapat bertahan selama setahun, lalu ditinggalkan.

Syarikat London mengalah dan berputus asa pada tahun 1624, lalu piagam tersebut diserahkan semula kepada Raja James I. Dengan menggunakan piagam tersebut, James I menjual koloni yang dinyatakan. Pada tahun 1632, koloni Maryland terbentuk daripada potongan Virginia. Selatan Virginia telah membentuk koloni Carolina, pada hari ini meliputi negeri Carolina dan Georgia. Pada tahun 1729, Carolina berpecah menjadi North Carolina, South Carolina dan Georgia. Sebanyak lima buah koloni telah terbentuk hasil daripada piagam tersebut.

Selepas Popham diabaikan, pada tahun 1609, Syarikat Plymouth tidak aktif selama 11 tahun. Pada tahun 1620, Syarikat Plymouth aktif dan berorganisasi kembali dengan nama baru iaitu Majlis New England. Majlis ini berjaya membentuk empat buah koloni iaitu Massachusetts, Connecticut, Rhode Island dan New Hampshire yang meliputi sepanjang pantai lautan Atlantik Utara. Keempat-empat buah koloni ini membentuk wilayah yang bernama New England. Secara keseluruhan, kerajaan Inggeris telah membentuk sembilan buah koloni di Dunia Baru. Sepanjang pembentukan dan perkembangan koloni-koloni bangsa Eropah, berlaku migrasi daripada Eropah ke Dunia Baru untuk meneroka dan mencari peluang yang lebih baik di sana.

Dalam tempoh beberapa tahun, tiga belas buah koloni terbentuk dan berlaku revolusi untuk mendapatkan kemerdekaan daripada kekuasaan British. Akhirnya, Amerika Syarikat dilahirkan dan tiga belas buah koloni tadi menjadi negeri-negeri Amerika Syarikat. Tiga belas buah negeri ini adalah permulaan bagi Amerika. Persaingan untuk meluaskan kuasa di Dunia Baru atas pelbagai dasar dan kepentingan menjadi semakin sengit pada akhir abad ke-18 di antara Amerika, Perancis, dan Sepanyol. Manakala Indian pula berhempas pulas mempertahankan tanah milik mereka daripada dirampas oleh bangsa Eropah.

Perdagangan Hamba Afrika

Saya menekankan istilah ‘hamba bangsa Afrika’ di sini adalah kerana sebelum bangsa Afrika menjadi simbol ‘bangsa hamba’ dan ligat didagangkan di Eropah dan Dunia Baru, setiap bangsa di dunia mengamalkan perhambaan, hatta umat Islam sekalipun sebelum tertubuhnya Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun, hamba dalam institusi tersebut adalah dalam kalangan mereka sendiri, biasanya golongan bawahan.

Dalam konteks kajian sejarah Amerika dan sesetengah bangsa yang mengamalkan perdagangan hamba bangsa Afrika, ada beberapa istilah sinonim yang digunakan. ‘Bangsa kulit hitam’ dan ‘negro’ adalah merujuk pada bangsa Afrika, sama ada sebagai individu bebas ataupun hamba. Manaka, ‘bangsa kulit putih’ adalah merujuk pada para kolinisir dan bangsa Eropah. Saya menjelaskan hal ini supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan apabila istilah ini digunakan.

Sebelum hamba dibawa masuk ke koloni Inggeris, Eropah telah membina kuasa perdagangan hamba yang cukup kuat dan mantap. Portugis, Sepanyol dan Belanda membawa hamba ke koloni-koloni mereka di dunia baru kerana melihat potensi perhambaan yang dapat berkembang maju di situ. Perdagangan hamba berlaku dalam kalangan kuasa Eropah. Permintaan hamba oleh kolonisir Inggeris menjadi faktor hubungan baik antara Inggeris dan kuasa koloni Eropah yang lain. Perhambaan menjadi keuntungan perdagangan yang sangat penting.

Hamba-hamba Afrika dalam kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak ditangkap, kebanyakan kes, ditangkap paksa oleh bangsa mereka sendiri lalu didagangkan ke Dunia Baru. Menurut salah satu sumber, 10,000 orang Afrika yang ditangkap dibawa melayari lautan Atlantik dalam keadaan yang dahsyat. Mereka disesakkan ke tempat yang kotor dan berpenyakit. Malah, mereka diikat dengan rantai besi dalam keadaan yang dahsyat. Tidak ramai yang selamat dalam pelayaran tersebut. Ada yang mati dalam kapal kerana penyakit, kebuluran, dan tidak sanggup hidup. Kebanyakan mereka dihantar ke Carribean dan Amerika Latin.

Menurut pengalaman seorang hamba yang telah bebas, Olaudah Equiano, ketika beliau berumur 10 tahun, beliau menyaksikan sendiri bangsanya ditangkap paksa dan dibawa ke kapal. Equiano juga turut ditangkap.

“Ketika saya melihat kapal yang saya naiki, saya melihat relau tembaga yang mendidih dan mereka yang ditangkap diikat dengan rantai-rantai besi beramai-ramai. Setiap dari mereka menunjukkan wajah yang kecewa dan sedih. Pada masa itu, saya tidak sanggup memikirkan bagaimana nasib saya kelak. Saya diselubungi dengan perasaan ngeri dan penderitaan. Saya tidak mampu bergerak pada ketika itu lalu pengsan.”

-Olaudah Equiano-

Equiano selamat dalam pelayaran tersebut. Orang muda seperti Equiano mempunyai harga yang tinggi dalam kalangan kolonisir Eropah. Selepas itu, Equiano dijual dan dibeli beberapa kali sehinggalah beliau mendapat kebebasan pada tahun 1776.

Perhambaan yang berlaku pada era Dunia Baru tidak sama seperti yang berlaku ketika zaman Rom Kuno, Uthmaniyyah dan Asia. Mereka menjadikan hamba sebagai pahlawan, dayang istana, pegawai kerajaan serta sida. Tetapi perhambaan era Dunia Baru menjadikan hamba sebagai barang dagangan paksa untuk menghasilkan keuntungan dan sebagai penujah dalam industri dan revolusi pasaran.

Kemasukan Hamba

Permulaan perhambaan di koloni-koloni Inggeris sukar untuk dikenal pasti secara tepat. Namun, bukti menunjukkan kehadiran bangsa Afrika ke koloni Inggeris bertarikh pada tahun 1619 apabila kapal perdagangan Belanda singgah ke bandar Jamestown, Virginia dan menjual 20 lelaki Afrika daripada Carribean.

Kedatangan lelaki Afrika ini bukanlah sebagai imigran ataupun pendatang sukarela, tetapi sebagai ‘barang’ dagangan.  Pada masa itu, perhambaan adalah suatu tradisi masyarakat dan tidak terikat dengan undang-undang. Namun, saban tahun tradisi ini terikat dengan undang-undang sejak penubuhan Amerika Syarikat.

Pada abad ke-17, lelaki-lelaki Afrika ini tidak menjadi hamba yang terikat dengan tuannya seumur hidup seperti yang diketahui umum, tetapi hanya sebagai hamba kontrak. Apabila kontrak tamat, hamba tersebut akan bebas dan mampu memiliki tanah dan pekerjaan untuk diusahakan seperti tuannya sendiri.

Perusahaan tembakau merupakan dorongan pertama dan utama yang membawa masuk hamba dalam skala yang besar. Tembakau sangat mahal di England sama seperti pasaran teh dari Timur dan rempah ratus dari India. Produk-produk ini menjadi permintaan yang sangat tinggi. Penanaman tembakau memerlukan tenaga kerja yang besar dan intensif.

Maka, faktor ini menjadikan perhambaan sebagai institusi utama untuk menjana ekonomi. Kolonisir Inggeris pernah berusaha untuk memperhambakan bangsa Indian. Usaha itu tidak berjaya kerana faktor populasi Indian yang sukar untuk dikawal dan dipaksa. Namun, masih ada segelintir kolonisir yang mempunyai hamba Indian.

Ketika penghujung abad ke-17, golongan elit berasa bimbang dengan bilangan besar hamba kontrak yang dibebaskan. Mereka diyakinkan bahawa sistem hamba kontrak lebih mengancam daripada memperhambakan bangsa Afrika untuk seumur hidup.

Pada tahun 1626, hamba mula diperkenalkan di New York, yang dibawa daripada India Barat menerusi Guinea. Kepentingan hamba di New Jersey adalah kerana dorongan keluasan tanah sebanyak 75 hektar yang sesuai sebagai tempat import hamba.

Pada tahun 1639, hamba dibawa masuk ke Pennsylvania. William Penn sebagai pemilik koloni sering menggalakkan masyarakat supaya bertoleransi dengan hamba-hamba mereka. Ada beberapa undang-undang dibuat yang berkaitan dengan institusi perhambaan untuk menaik taraf kehidupan hamba walaupun tidak boleh dinafikan ada juga tentangan. Seawal kelahiran Amerika Syarikat, Pennsylvania merupakan negeri pertama yang menghapuskan perhambaan.

Seawal 1637, hamba Afrika diperkenalkan di New England daripada Isle. Pada tahun 1643, New England sudah mula memperkenalkan undang-undang pelarian hamba, di mana hamba yang melarikan diri akan ditangkap dan dipulangkan semula kepada tuannya. New England juga menulis artikel memastikan tawanan perang akan dijadikan hamba.

Perdagangan hamba bangsa Afrika semakin mendapat tempat dan kukuh tapaknya dalam kalangan bangsa Eropah di koloni-koloni Dunia Baru. Kolonisir Inggeris melihat, perhambaan ini adalah lebih baik sekiranya ia menjadi pelaburan untuk jangka masa yang panjang. Pada lewat abad ke-17, hamba bangsa Afrika meningkat menggantikan hamba bangsa Eropah sendiri dalam perusahaan tembakau dan benih-benih yang lain.

Di utara koloni Inggeris, hamba yang dibawa masuk akan bekerja sebagai pertukangan di bengkel, pelabuhan, kapal serta beberapa kawasan pertanian bersama hamba berkulit putih. Perhambaan telah menjadi simbol darjat di utara. Mereka yang mempunyai hamba dianggap tergolong dalam golongan elit. Kehidupan hamba di sana kadangkala tertekan, kadangkala ada toleransi.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan perubahan ketara dalam perhambaan di koloni Inggeris. Pertama, keuntungan yang diperoleh daripada penanaman benih-benih asasi seperti tembakau, beras, gula dan sutera. Penanaman ini memerlukan tenaga buruh yang besar dan ramai. Kedua adalah permintaan tenaga buruh yang berterusan. Perhambaan di selatan lebih berkanun dan sangat ekslusif. Pada tahun 1640, Maryland mengkodifikasi institusi perhambaan secara terperinci berkenaan layanan terhadap hamba.

Pada tahun 1641, Virginia membentuk undang-undang yang membezakan antara hamba kulit hitam dan hamba kulit putih. Tahun 1664, Maryland mengisytiharkan bahawa hamba akan menjadi hamba seumur hidup, tiada hamba kontrak.  Ada juga undang-undang yang mengharamkan perkahwinan antara bangsa kulit putih dan bangsa kulit hitam.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Leave A Reply