Dalam masa sebulan saja, Arab Saudi tiga kali menjadi headline: menari pedang dengan Trump, memboikot Qatar dan menabalkan Putera Mahkota baru.

Tahu Saudi ramai haters. Tapi dalam analisis politik, kita perlu menilai setiap tindakan secara objektif dan rasional. Setiap langkah Raja Salman bukan saja-saja tapi ada matlamatnya. Inilah yang dinamakan sebagai percaturan kuasa.

Di negara monarki mutlak seperti Saudi, orang yang paling berkuasa selepas raja adalah putera mahkota (wali al-ahd). Raja Salman sudah berumur 81, ini bermakna kebarangkalian putera mahkota baru, Muhammad bin Salman (berumur 31) untuk menjadi raja Saudi amatlah tinggi.

Muhammad bin Nayef (berumur 57), putera mahkota yang dibuang adalah anak saudara Salman. Ayahnya Nayef adalah adik Salman dari ibu yang sama, Hassa al-Sudairi.

Oleh kerana kedua-dua watak utama bernama Muhammad, maka saya guna MBS dan MBN bagi mengelakkan kekeliruan. MBS tu putera mahkota baru, MBN tu yang lama.

Dalam kerabat Saudi yang besar (ayahanda Salman iaitu Raja Abdulaziz mempunyai 22 orang isteri dan 36 orang anak), MBN ni kira orang sendiri Salman juga. Malah hubungan 7 adik-beradik yang beribukan Hassa al-Sudairi memang akrab, sampai orang gelar mereka sebagai “Tujuh Sudairi” (السديريون السبعة‎‎).

Kalau Salman bertindak semata-mata pilih bulu, maka dia tak bijak.

Saiz kerabat Saudi yang besar mewujudkan banyak “parti” di kalangan adik-beradik anak Abdulaziz. Semua nak kuasa. Ikut tradisi, raja sepatutnya mengutamakan adik-beradik yang masih hidup dalam melantik putera mahkota.

Soal waris kalau tak diurus dengan baik akan membawa kepada perbalahan antara adik-beradik, seperti yang berlaku di antara Khalid dan Fahd selepas kemangkatan Raja Faisal pada tahun 1975.

Jadi kenapa Salman nak buang MBN?

Salman dah pernah memecah tradisi pada April 2015. Ketika itu Salman buang adiknya (tak sama ibu) Muqrin bin Abdulaziz dan menaikkan anak saudaranya MBN, menjadikan MBN putera mahkota pertama dari generasi cucu Abdulaziz.

Muqrin dibuang kerana ibunya, Baraka berasal dari Yaman. Masa tu Saudi dah sebulan mengisytiharkan perang ke atas Houthi di Yaman. Muqrin membantah perang di Yaman. Maka Salman buang terus duri dalam daging ini.

Motif kali ini pun kerana geopolitik: geopolitik semasa yang melibatkan Saudi-Qatar-Iran. Dan geopolitik di negara Teluk Parsi tidak dapat lari daripada politik kabilah (“tribal politics”).

Ibunda MBN, Al-Jawhara berasal dari kabilah Jiluwi (جلوي) yang berkuasa di kawasan Qatif sebelah timur Saudi. Qatif ni majoriti Syiah dan pro-Iran. Situasi Qatif menjadi kritikal sejak Arab Spring sehingga Salman menghukum bunuh Ayatollah al-Nimr di Qatif yang sangat lantang membidas kerajaan Saudi.

Kabilah Jiluwi kira abang long kawasan di Qatif. Tambahan pula gabenor Qatif sekarang, Saud bin Nayef adalah adik MBN. Senang kan kalau MBN nak sabotaj Raja Salman sekarang? Lagi-lagi MBN dan ayahnya Nayef sudah memegang Kementerian Dalam Negeri selama 42 tahun, segala perisikan ada di tangannya.

Ibunda MBS, Fahda pula berasal dari kabilah Ajman (عجمان) yang berpengaruh di UAE. Dengan itu MBS berkamcing sangat dengan UAE. MBS dan putera mahkota Abu Dhabi, Muhammad bin Zayed digelar duo MBS-MBZ yang berganding bahu dalam Perang Yaman. Malah MBS menyanjung MBZ (berumur 56) sebagai mentor.

Pertabalan MBS sebagai putera mahkota akan menambah kukuh blok Saudi-UAE-Bahrain untuk terus memulaukan Qatar. Kalau bahasa diplomatik ia dipanggil “cement the relationship”.

Sebelum naikkan MBS, Raja Salman dah payung anaknya siap-siap. MBS diberi jawatan Menteri Pertahanan, jadi MBS boleh tunjuk hero dalam Perang Yaman dan menjadi “poster boy” melawan Syiah. Projek IPO syarikat Aramco juga diketuai oleh MBS. Pada masa yang sama, Salman melantik adik kandung MBS, Khalid bin Salman sebagai Duta Saudi ke Amerika.

Kuasa tentera, wang, “networking” semua dah ada, maka Raja Salman tidak ragu-ragu untuk bertindak semalam untuk memelihara percaturannya.

Realiti politik sebenarnya tak jauh berbeza dengan cerita Game of Thrones. Cantas-mencantas dan sailang-menyailang adalah lumrah politik. Lambat sesaat pun anda akan dikorbankan. Pemimpin kena bijak mengatur langkah, bukan duduk ajak debat saja.

Bacaan lanjut dari dua pakar politik keluarga Banu Saud:
Joseph Kechichian, Succession in Saudi Arabia (2001)
Toby Matthiesen, The Other Saudis (2014)

(Kredit kepada Jacky Daniel Li dari Hong Kong yang memberi pencerahan tentang kabilah ibu MBS dan MBN)

#realpolitik
#HikayatTigaMuhammad


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Leave A Reply