Realiti Drama Dan Filem Melayu Kita

0
2502
views

Bila kita menonton drama, sitkom atau filem Melayu, banyak rasa yang boleh dirasa terutama sekiranya filem, drama atau sitkom ini meninggalkan kesan kepada kita. Kita tidak kering gusi melihat babak-babak penuh dengan kelucuan. Kita merasa sedih melihat penderitaan atau ketidakadilan yang dialami protagonis sesebuah drama atau filem. Dan kita juga merasa marah bila melihat antagonis sesuatu cerita itu berjaya atau memperlekeh protagonis dengan sikap dan tindakannya. Namun di sebalik semua itu, tanpa kita sedari, drama, filem atau sitkom ini menceritakan cerminan budaya atau perubahan yang melanda masyarakat Melayu hari ini.

1. PENGGUNAAN BAHASA ROJAK.

Dahulu, ianya satu perkara asing. Tetapi kini, bahasa rojak menjadi makanan dalam percakapan harian kita semua. Agak menyedihkan bila mana terma-terma bahasa Melayu yang indah digantikan dengan terma-terma bahasa asing dalam penggunaan skrip sesebuah drama, sitkom dan filem Melayu hari ini. Pihak produksi boleh saja berhujah bahawa mereka perlu bersikap realistik dan menyatakan percakapan tersebut sebahagian daripada realiti masyarakat hari ini.

Ya, bahasa rojak mendominasi perbualan masyarakat hari ini terutama di bandar. Malah, jika anda perasan, ada perkataan Bahasa Inggeris yang dirojakkan agar nampak semulajadi dalam konteks perbualan biasa. Antara contoh perkataan Bahasa Inggeris yang dirojakkan ialah perkataan ‘guarantee’ menjadi ‘gerenti’ dalam konteks bahasa pasar. Jika tidak dirojakkan, produksi memilih frasa dalam Bahasa Inggeris untuk menggantikan terma-terma bahasa, kononnya untuk menampakkan aspek kemodenan sesebuah masyarakat. Contohnya, drama bersiri Titian Cinta lakonan Zul Ariffin di mana protagonis mengungkapkan perkataan ‘give up’ yang bermaksud menyerah kalah bila mengajukkan soalan retorik haruskah dia menyerah kalah untuk mengejar cinta sang heroin. Apalah salahnya perkataan menyerah kalah digunakan dalam dialog tersebut?

Ingatlah, walau semaju kemajuan yang kita telah kecapi hari ini, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa ibunda tidak seharusnya dipinggirkan. Ini kerana sesebuah bahasa itu merupakan jiwa kepada bangsa yang hebat. Malang sekali, bahasa kita yang dahulunya pernah menjadi bahasa perhubungan antarabangsa kini dipinggirkan atas alasan kemajuan dan kemodenan.

2. ELEMEN AGAMA

Satu perkara menarik tentang ini ialah produksi berusaha menyelitkan unsur keagamaan dalam setiap karya mereka dalam pelbagai jenis karya mereka dalam pelbagai medium. Dari era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sampailah karyawan-karyawan masa kini, mereka berusaha menyelitkan unsur dakwah dan mesej yang baik kepada penonton untuk dihayati bersama. Filem Sumpah Orang Minyak (1958) contohnya, ingatan beliau kepada penonton agar menjauhi perbuatan syirik semata-mata untuk mencapai tujuan tertentu. Keinginan Si Bongkok lakonan Allahyarham untuk mendapatkan semula rupanya yang tampan sehingga ke tahap sanggup melakukan perjanjian dengan syaitan akhirnya memakan diri sendiri. Begitu juga dengan filem Khurafat (2011) dan Munafik (2016) arahan pemenang anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-57, Syamsul Yusof. Kedua-dua filem ini mengangkat unsur sihir dan munafik, dua elemen hitam yang bisa merosakkan akidah manusia sehingga ke tahap manusia berlaku kufur kepada-Nya.

Elemen agama yang mengisi hiburan hari ini merupakan satu angin baru kepada masyarakat hari ini. Ini mencerminkan keinginan masyarakat untuk kembali mencari agama. Ini tidak salah tetapi pada masa sama, pengisian tersebut mestilah tidak stereotaip. Ini kerana hari ini, bagi setiap watak agamawan yang ditampilkan, watak mereka hanya terhad dari segi perubatan Islam atau di tempat ibadat seperti masjid atau surau. Ini tidak seharusnya berlaku kerana realitinya, ada individu yang berpendidikan agama tetapi mempunyai karier profesional dan berjaya dalam bidang masing-masing. Begitu juga dengan mesej agama itu sendiri. Ia seharusnya bersifat universal dan boleh diterima semua pihak tanpa mengira latar bangsa atau agama. Contohnya, drama Matahari Terbit Lagi (2014) menampilkan Chew Kin Wah atau Anuar Chew Abdullah sebagai seorang datuk yang bukan beragama Islam tetapi berusaha menyesuaikan dirinya dengan rutin harian cucunya yang beragama Islam.

Begitu juga dengan aspek persoalan syarie yang jarang dibangkitkan oleh drama atau filem Melayu hari ini. Kebanyakan drama masih terikat dengan permasalahan biasa seperti urusan kahwin dan cerai. Jika ada kelainan sekalipun, ia pasti berkisar tentang soal pewarisan harta pusaka atau isu anak angkat. Tapi ada juga cerita yang cuba keluar dari stereotaip sebegini. Contohnya, drama Suamiku Encik Sotong (2014) yang membicarakan soal lelaki lembut dan isu anak luar nikah. Walaupun ada sesetengah drama menyentuh isu anak luar nikah dari konteks perwalian, drama ini pula menyentuh secara panjang lebar semua isu membabitkan anak yang tidak berdosa ini dari segi penasaban bapa, isu perwalian dan isu harta pusaka membabitkan anak tersebut. Begitu juga dengan perwatakan lembut protagonis lakonan Sharnaaz Ahmad. Walaupun nampak lembut pada mulanya sehingga mendapat reaksi negatif penonton, tetapi protagonis tahu tentang hakikat dirinya sebagai seorang lelaki dan tidak teragak-agak bersikap tegas dalam isu penting termasuk isu anak luar nikah yang dikandung isterinya, Erica (Amyra Rosli).

3. ANTARA DUA DARJAT

Aspek perbezaan taraf sosial protagonis dengan heroinnya bukanlah satu perkara asing dalam drama atau filem Melayu. Tak perlu lihat jauh, lihat senarai filem atau drama dari era Jalan Ampas hingga ke hari ini. Bagi peminat filem klasik, anda pasti mengenali dua filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tragis, Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku. Siapa tidak boleh melupakan keangkuhan antagonis, Tengku Karim (Allahyarham Ahmad Nisfu) dan Tengku Mukri (Allahyarham S. Kadarisman) yang menganggap mereka yang berdarah raja lebih mulia daripada mereka yang bukan berdarah raja, dalam konteks ini, protagonis Ghazali lakonan Allahyarham. Dalam Ibu Mertuaku pula, lihat pula keangkuhan Nyonya Mansur (Allahyarhamah Mak Dara) memperlekeh Kassim Selamat hanya kerana beliau seorang ahli muzik, bukan seorang doktor atau majistret. Dan kejamnya Nyonya Mansur sehingga ke tahap memalsukan telegram semata-mata untuk memisahkan Kassim dengan isteri merangkap anak perempuannya, Sabariah (Datuk Sarimah Ahmad) agar Sabariah dapat berkahwin dengan lelaki setaraf dengan taraf keluarganya, Dr Ismadi (Ahmad Mahmud). Anda merasakan ia nampak keterlaluan dari konteks filem ini tetapi hakikatnya, kisah ini banyak berlaku dalam masyarakat kita. Dan adakalanya, ada anggota masyarakat bertindak jauh lebih radikal semata-mata untuk memisahkan pasangan suami isteri ini seperti menggunakan sihir atau fitnah. Dan pada zaman moden di mana masyarakat kita seharusnya lebih moden bukan saja dari segi kemudahan tetapi juga dari segi mentaliti, kita masih lagi mengamalkan mentaliti zaman batu. Namun pada masa sama, ini turut mencerminkan mentaliti masyarakat Melayu terhadap tahap sosial seseorang individu. Walaupun isu ini tidaklah seteruk seperti dahulu tetapi ia masih tetap memberi kesan kepada individu terlibat termasuk institusi kekeluargaan dan menconteng arang kepada imej agama Islam itu sendiri.

4. KEWANGAN

Tiada siapa nak bercakap soal ini tetapi ini satu lagi aspek yang diketengahkan dalam drama, sitkom atau filem Melayu terutamanya dalam soal perkahwinan. Jangan mengada-ada nak nafikan tapi ini memang berlaku dalam masyarakat kita. Sikap masyarakat kita yang enggan bersikap ukur baju di badan sendiri dan suka bermewah-mewah sehingga menyebabkan mereka ditimpa hutang atau terpaksa menggunakan jalan haram semata-mata untuk mengekalkan gaya hidup mewah yang diamalkan. Tak perlu lihat jauh-jauh, lihat saja babak walimatul urus yang dipaparkan dalam drama atau filem kita. Nampak mewah dan elegan bukan? Tetapi teladan sebegini tidak seharusnya dipopularkan walaupun drama atau filem itu mendapat tajaan yang baik. Ini kerana ini memaksa pasangan mempelai berbelanja lebih hanya semata-mata untuk memuaskan ego keluarga masing-masing agar dapat bermegah dengan orang lain. Seharusnya, duit yang digunakan itu patut disimpan untuk kegunaan jauh lebih penting termasuk membeli rumah pertama. Dan trend sebegini mendapat kritikan para agamawan yang menyifatkan trend tersebut menyebabkan ramai orang sanggup berhutang demi ego tak seberapa. Ini bukan fiksyen tetapi realiti yang berlaku pada hari ini.

Begitu juga tindakan drama atau filem yang suka mempopularkan gaya hidup kelompok jutawan atau orang kenamaan atas alasan ia cerminan kepada kejayaan ekonomi masyarakat Melayu hari ini. Hakikatnya, ini bukan cerminan sebenar tahap sosio-ekonomi masyarakat Melayu hari ini. Masih ramai yang berada dalam kelompok B40 yang berusaha memperbaiki taraf kehidupan mereka ke arah lebih baik. Memang benar ada individu-individu yang berjaya dan mempunyai pendapatan lumayan dari kerjaya mereka tetapi kehidupan mereka tidaklah semewah seperti mana yang digambarkan. Tetapi mereka tetap mengamalkan kehidupan sederhana dan membiarkan pencapaian mereka bercerita bagi pihak mereka seperti mana yang diamalkan jutawan-jutawan dunia. Dan pada masa sama, kegilaan sebegini sebenarnya menggalakkan mereka berbelanja melebihi kemampuan dan tidak mampu membuat simpanan penting yang merugikan ekonomi diri mereka.

5. KEKELUARGAAN

Tema kekeluargaan tidak dapat lari dari drama, sitkom atau filem Melayu. Ini kerana kekeluargaan satu tema yang dekat di hati manusia. Tak kiralah jenis apa dari komedi sampai drama, ia sesuatu yang mengagumkan kita semua. Namun pada masa sama, di sebalik keutuhan ikatan sesebuah keluarga, ikatan sebegini diuji dengan konflik seperti isu harta pusaka, poligami, pilih kasih dan cinta tidak direstui. Contohnya, antara isu kekeluargaan ditimbulkan dalam filem arahan Kabir Bhatia, Bisik Pada Langit menyentuh secara panjang lebar soal kekeluargaan terutama soal pilih kasih sesama anak-anak. Mungkin ramai tidak mahu menyentuhnya kerana ianya remeh tetapi isu sebegini yang membuatkan anak rasa terabai dan merasakan mereka tidak disayangi oleh ibu bapa. Dan sentimen sebegini kadang-kadang mencetuskan marah dan dendam sehingga menyebabkan kemusnahan pada sesebuah institusi kekeluargaan itu sendiri. Begitu juga isu pewarisan harta pusaka yang disentuh dalam filem ini dan drama-drama lain. Isu ini nampak remeh tetapi hakikatnya, ia membuatkan ramai orang pening kepala. Statistik Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) mendedahkan lebih RM60 billion harta pusaka tidak dituntut sejak era kemerdekaan dalam bentuk duit dan hartanah. Menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datin Dr Azizan Baharuddin, walaupun statistik berkenaan tidak memperincikan jumlah aset orang Islam dan orang bukan Islam, beliau percaya kebanyakan aset ini milik orang Islam.

Previous articlePermaisuri Himiko: Permaisuri Bomoh Wanita Kerajaan Jepun Purba
Next articlePunca Rogol Dari Sudut Krimonologi
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.