Sejak dua menjak ini boleh kata silat semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Sampai ramai mula sudi untuk selami, dalami, dan mengalami bagaimana dunia silat berfungsi. Ada yang mewakilkan anak seusia lima tahun. Ada juga yang turun sendiri ke gelanggang walau umur sudah separas pinggang. Semuanya demi memartabat ilmu silat yang sebelum ini bukan main lengang.

Untuk gambarkan betapa lengangnya ‘lengang’ yang dimaksudkan, cuba bayang – jumlah penduduk di daerah Jempol (Negeri Sembilan) ada seramai 127,000 orang. Tetapi yang mendaftar sebagai ahli baru dalam persatuan seni silat daerah hanya 4-5 orang sahaja setahun.

Kalau berminat untuk mendalami ilmu alam Melayu, anda dialu-alukan beli buku Lipur Lara Alam Melayu melalui https://shopee.com.my/Lipur-Lara-Alam-Melayu-i.238336777.21315815920

Makna kata dalam tempoh sepuluh tahun, muka baru cuma seramai 40-50 orang. Mereka inilah yang akan ke sana-sini memenuhi undangan persembahan silat untuk majlis perkahwinan di kesemua lima mukim yang ada di daerah tersebut.

Ibaratnya, satu mukim hanya ada 10 orang sahaja pesilat. Sekali lihat, nisbah begini memang terlihat munasabah. Lebih-lebih lagi kalau kita melihat silat hanya sebagai seni untuk majlis tradisi yang terasing daripada kehidupan sehari-hari.

Tetapi andai kita melihatnya sebagai satu keterampilan bangsa yang penting – persis pentingnya kemahiran menganyam ketupat, mengikat sampin, dan membaca Jawi – maka kita akan mengerti mengapa silat dianggap lengang. Iyalah, cuba bayang kalau dalam satu daerah hanya ada 50 orang sahaja yang pandai menganyam ketupat. Nak sambut raya puasa dan raya haji pun boleh tercengang jawabnya.

Mujur, kebelakangan ini berlaku perkembangan dalam dunia persilatan. Misalnya dalam tiga-empat hari selepas filem Mat Kilau ditayangkan, Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Daerah Jempol melaporkan yang mereka menerima pendaftaran lebih 40 orang pelajar baru. Yakni, sepuluh kali ganda lebih ramai berbanding tahun-tahun lalu.

Hal sama turut berlaku pada Akmal Affendee Abdul Razak, yang merupakan bekas guru silat merangkap perancang koreografi untuk babak pertarungan dalam filem Mat Kilau. Betapa menurutnya, beliau bukan sahaja menerima panggilan untuk mengajar dan membuka gelanggang silat sendiri. Malah, beliau turut dihubungi oleh syarikat produksi dari Indonesia untuk bekerjasama memperkasa seni silat di sana.

Bayangkan, seni silat ini makanan ruji di seluruh Nusantara. Tetapi Indonesia pun sampai cari khidmat mahaguru di negara kita untuk merancang koreografi filem-filem mereka. Ini secara jelas menggambarkan betapa besar penangan filem Mat Kilau yang walaupun jauh daripada sempurna, tetapi cukup berimpak kesan dan pengaruhnya.

Hinggakan, bukan sahaja kutipannya yang meroket ke bulan. Tetapi penjualan keris dan tanjak oleh peniaga jalanan pun ikut meraih keuntungan. Ini sebagaimana laporan wartawan dari Utusan yang menemu ramah salah seorang penjual. Di mana menurutnya, sepanjang tempoh filem tersebut ditayangkan, jualan jadi berlipat ganda. Sampai perlu buka kedai pada hari-hari yang selalunya beliau cuti lantaran permintaan tinggi.

Hal ini sekali gus memenuhi objektif yang diletakkan oleh Syamsul Yusof pada filem Mat Kilau. Iaitu, memartabat seni silat dalam kalangan anak muda – supaya mereka dapat merasakan yang ia satu warisan berharga dan layak untuk diperbangga. Sampaikan, berbusana tidak lagi menerbit rasa segan. Membuka bunga silat juga tidak lagi dilihat sebagai satu keanehan. Walau seaneh mana pun ia ditarikan – seperti yang dilakukan oleh seorang amoi ini:

Keadaan ini justeru mengingatkan kita pada dua tahun lalu, saat filem Puteri Gunung Ledang mula ditayangkan di Netflix. Betapa masa itu, masing-masing berbangga dalam lingua franca sampai lahir berbagai meme ‘tuan hamba’ yang sebahagiannya sampai menggantikan template meme antarabangsa.

Bermula daripada meme ‘lelaki berbudaya’, ‘nak pergi mana tu puteri’, hinggalah ‘sesuatu bakal merah dan ia bukan padi’ – semuanya merupakan ekspresi generasi masa kini dalam merayakan apa-apa yang sedang sohor kini (trending). Walaupun yang sohor kini itu berunsurkan sejarah sekali pun.

Ini sekali gus membuktikan betapa bukan ‘sejarah’ itu sendiri yang masyarakat kita jauhi. Tetapi kaedah penyampaiannya yang ‘kering’ itu yang membuatkan ia kurang digemari. Justeru dengan resepi dan adunan yang menjadi, sejarah sebetulnya adalah satu perkara yang mudah untuk didekati – dan bahkan lumayan untuk diambil peduli oleh pihak menteri.

Buktinya? Lihat saja bagaimana tiket filem terjual sampai berjuta. Tanjak dan keris laku keras. Kelas-kelas silat juga semakin deras. Hanyasaja, orang-orang atas yang masih malas. Sampaikan, projek mengangkut kapal khazanah di Sungai Batu pun dibiarkan terkandas. Walhal kalau diusahakan, pulangannya barangkali jauh lebih besar berbanding filem yang takat untung beberapa juta.

Aidy, salah seorang peniaga tanjak di Jalan TAR  menerima ‘durian runtuh’ impak tayangan filem Mat Kilau

Apapun, daripada sini kita dapat gali seperkara lagi – iaitu dengan modal RM8 juta, sudah cukup untuk mencetuskan satu fenomena yang walaupun masih belum sempurna, tetapi layak untuk disebut sebagai langkah pemula.

Yakni, pemula dalam mengembalikan jati diri dalam kalangan anak muda. Jati diri ini pula bukanlah mesti sampai tahap supremasi. Memadai dengan tidak lagi segan untuk menjadi Melayu, bertutur bahasa Melayu, berpakaian Melayu, mengenali sejarah Melayu, dan mengingati tokoh-tokoh Melayu.

Betapa, ia persis sebagaimana kita cuba memartabat dekad 2021-2030 ini sebagai dekad membaca – di mana matlamatnya bukanlah setiap orang mesti menjadi ulat buku dan setiap rumah perlu ada dua-tiga rak yang dipenuhi buku. Memadai sekadar membaca tidak lagi menjadi perkara asing dalam kehidupan dan buku bukan lagi satu perkara yang kita takutkan – malah ia menjadi satu kebanggaan. Kerana ia kelihatan cool dan relevan.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sebagai kesimpulan, kita sama-samalah pasang harapan supaya filem Mat Kilau bukan menjadi filem terakhir seumpamanya. Sebaliknya, ia menjadi pemangkin untuk lahirnya filem-filem lain yang lebih baik.

Bayangkan, kalau dua tahun sekali kita disajikan dengan hidangan sebegini. Belum sempat semangat kemelayuan dalam diri jadi layu, dah disuntik dengan nutrien baru. Bila begini, jangankan rakyat saja yang naik bertanjak. Silap-silap, para menteri pun ikut berpencak – walau sekadar wayang dan bertunjangkan wang.

Sebab seperti yang diteladankan Syamsul Yusof – untuk berkembang, berhenti bersembang. Tak perlu tunggu sempurna untuk bermula. Cukup dengan ada langkah pertama, anak tangga kedua, ketiga dan seterusnya akan tiba.

Sampai satu ketika, apa yang dahulu sekadar mimpi akhirnya dapat jadi nyata. Contohnya? Kapal Mendam Berahi. Dahulu, kita hanya dapat tatapnya di medan 2D. Sekarang, projek pembinaan replikanya yang bermodalkan RM10 juta sedang giat direalisasi.

RUJUKAN

Dahnin, Nita. (2022, 30 June). Penangan Mat Kilau, jualan tanjak dan permintaan kelas silat meningkat. Utusan TV.

Dzulkifly, Siti Athirah. (2022, 27 June). Silat, bertanjak, pakai keri, semua itu buat air mata saya mengalir – Syamsul Yusof. Utusan.

Hakim, Danial. (2022, 1 July). Penangan Mat Kilau, ramai mahu belajar silat seawal usia lima tahun hingga setengah abad. Malaysia Dateline.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply