Pada tahun ini (2017), dua orang pemerintah monarki yang berkuasa dan berdaulat di dunia telah menyambut ulang tahun pemerintahan masing-masing. Mereka ialah Ratu Elizabeth II, pemerintah United Kingdom yang menyambut ulang tahun pemerintahan Jubli Nilam (tahun ke-65) pada 6 Februari 2017, dan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pemerintah negara Brunei Darussalam yang menyambut ulang tahun pemerintahan Jubli Emas (tahun ke-50) pada 4 Oktober 2017 yang lalu. Dalam artikel ini, penulis akan menyenaraikan 12 orang Raja Melayu di Alam Melayu yang memerintah paling lama dalam sejarah rumpun bangsa Melayu, iaitu tempoh pemerintahan yang mencapai atau melebihi 50 tahun, dalam kiraan menaik.

  1. Sultan Haji Hassanal Bolkiah (50 tahun: 5 Okt 1967 – kini)

Baginda merupakan Sultan Brunei yang ke-29 dan merupakan putera kepada Sultan Omar Ali Saifuddin III iaitu Sultan Brunei sebelumnya. Pada masa kini, Kesultanan Brunei merupakan salah satu daripada tujuh monarki berkuasa mutlak yang masih wujud dan berdaulat di dunia. Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan Sultan Brunei yang memimpin negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan iaitu pada tahun 1984. Sebagai seorang raja yang berkuasa mutlak, baginda juga memegang tampuk pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Luar Brunei sejak Brunei mencapai kemerdekaan. Selain itu, baginda juga dilantik sebagai Canselor pelbagai universiti awam di Brunei sehingga kini seperti Universiti Brunei, Universiti Islam Sultan Syarif Ali dan Universiti Teknologi Brunei.

  1. Sultan Ataullah Muhammad Shah I (50 tahun: 1422-1472)

Baginda merupakan Sultan Kedah yang kelapan dan putera kepada Sultan Sulaiman Shah I, Sultan Kedah sebelumnya. Pemerintahan baginda sezaman dengan pemerintahan Sultan Muhammad Shah, Sultan Abu Syahid, Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Mansur Shah di Kota Melaka. Ketika zaman pemerintahan baginda, beberapa batang sungai yang panjang telah dikorek bagi mengairi sawah-sawah padi rakyat negeri Kedah antaranya ialah dari Jerlun ke Alor Jangus dan dari Alor Jangus ke Kubang Rotan. Sambil itu, menghubungkan Sungai Mati ke Kuala Sungai Mati terus ke Sungai Besar di Kuala Kedah. Selain itu, dikorek lagi sebatang sungai dari Gunung Keriang ke Sungai Chegar, yang dinamakan Sungai Alor Gunung.

  1. Sultan Sulaiman (53 tahun: 1432-1485)

Baginda merupakan Sultan Brunei yang kelima dan merupakan putera kepada Sultan Syarif Ali Berkat, Sultan Brunei sebelumnya yang berketurunan Arab. Kesultanan Brunei diasaskan sekitar abad ke-14 dan mula bercampur darah dengan keturunan Ahlul Bayt apabila menantu kepada Sultan Ahmad, Sultan Brunei ketiga, iaitu Syarif Ali Berkat, ditabalkan sebagai Sultan Brunei setelah kemangkatan mertuanya. Oleh itu, puteranya iaitu Sultan Sulaiman merupakan Sultan Brunei pertama yang berdarah campuran Melayu-Brunei dan Arab.

  1. Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail (54 tahun: 4 Dis 1945 – 16 Apr 2000)

Baginda merupakan Raja Perlis yang keenam dan cucunda kepada Tuanku Syed Syarif Saffi Jamalullail, Raja Perlis ketiga. Selain itu, baginda pernah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang ketiga (1960-1963) dan juga Yang Dipertuan Agong yang pertama (1963-1965) selepas pembentukan Malaysia.

  1. Sultan Omar Ali Saifuddin I (55 tahun: 1740-1795)

Baginda merupakan Sultan Brunei yang ke-20 dan putera kepada Sultan Muhammad Alauddin, Sultan Brunei ke-18. Sultan Omar Ali Saifuddin I ditabalkan sebagai Sultan Brunei setelah kemangkatan mertuanya, Sultan Hussin Kamaluddin, Sultan Brunei sebelumnya. Pada zaman pemerintahan baginda, bala tentera Brunei berjaya menakluk Filipina dan menawan Kota Manila pada tahun 1769.

  1. Sultan Muhammad Safiuddin II (58 tahun: 1866-1924)

Baginda merupakan Sultan Sambas yang ke-13 dan putera kepada Sultan Abu Bakar Tajuddin II, Sultan Sambas ke-11. Kesultanan Sambas terletak di barat Kalimantan di Kepulauan Borneo yang bersempadan dengan negeri Sarawak di sebelah timurnya. Kesultanan Sambas diasaskan sekitar abad ke-16. Jurai kesultanan Sambas boleh dijejaki daripada jurai kesultanan Brunei. Sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad Safiuddin II, baginda giat menambahbaik infrastruktur-infrastruktur dalam negerinya di samping mempergiatkan lagi usaha-usaha menyebarluaskan syi’ar Islam.

  1. Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (59 tahun: 14 Jun 1958 – 11 Sept 2017)

Baginda merupakan Sultan Kedah yang ke-28 dan putera kepada Sultan Badlishah, Sultan Kedah ke-27. Baginda mencipta sejarah negara pada tahun 2011 apabila ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong buat kali kedua. Dalam kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu di Malaysia, tiada seorang pun pernah menduduki takhta tersebut lebih daripada sekali melainkan baginda. Kali pertama baginda ditabal sebagai Yang Dipertuan Agong ialah pada tahun 1970 sehingga tamat tempoh penggiliran lima tahun iaitu pada tahun 1975. Kali kedua pula ialah pada tahun 2011 sehingga tahun 2016. Baginda amat dikenali sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat dan pencinta alam semulajadi flora dan fauna. Selain pernah dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) bermula daripada tahun 2004 dan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1975, baginda juga merupakan Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula daripada tahun 1994 sehingga kemangkatan baginda selain dilantik sebagai penaung diraja kepada pelbagai persatuan dan badan-badan bukan kerajaan di negeri Kedah.

  1. Sultan Abdul Hamid Halim Shah (61 tahun: 22 Sept 1881 – 13 Mei 1943)

Baginda merupakan Sultan Kedah yang ke-26 dan putera kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-24. Selain merupakan ayahanda kepada Bapa Kemerdekaan negara kita iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, baginda juga merupakan nenda kepada Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Sultan Abdul Hamid Halim Shah digelar sebagai Bapa Kedah Moden kerana usaha baginda memajukan dan memodenkan negeri Kedah. Pembinaan pejabat-pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, jalanraya-jalanraya, masjid-masjid dan jambatan-jambatan banyak dilaksanakan pada zaman pemerintahan baginda sepanjang enam dekad. Sepanjang enam dekad tersebut juga, negeri Kedah telah melalui pengalaman berada di bawah penguasaan kuasa Siam, Inggeris dan Jepun.

  1. Sultan Ibrahim al-Masyhur (63 tahun: 4 Jun 1895 – 8 Mei 1959)

Baginda merupakan Sultan Johor yang ke-19 dan putera kepada Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor yang pertama daripada dinasti Temenggung yang juga digelar Bapa Johor Moden. Kesultanan Johor merupakan kesinambungan daripada Kesultanan Melaka apabila putera kepada Sultan Mahmud Shah Melaka iaitu Raja Ali ditabalkan sebagai Sultan Johor yang pertama pada tahun 1528 dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II. Kesultanan Johor melalui tiga fasa dinasti iaitu dinasti Kesultanan Melaka, dinasti Bendahara dan dinasti Temenggung. Sultan Ibrahim al-Masyhur merupakan Sultan Johor kedua daripada dinasti Temenggung. Ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Sultan Ibrahim merupakan Raja Melayu yang paling berusia dan paling lama memerintah dalam kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu ketika itu.

  1. Sultan Sulaiman Syariful Alam (65 tahun: 20 Dis 1879 – 4 Dis 1945)

Baginda merupakan Sultan Serdang yang kelima dan terakhir. Baginda merupakan putera kepada Sultan Basyaruddin Saiful Alam Shah, Sultan Serdang sebelumnya. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Serdang pada tahun 1879 selepas kemangkatan ayahandanya tetapi urusan pemerintahan diuruskan oleh walinya iaitu Tengku Mustafa sehinggalah kuasa pemerintahan penuh dikembalikan kepadanya apabila baginda mencapai usia matang pada tahun 1887. Kesultanan Serdang merupakan pecahan daripada Kesultanan Deli apabila pewaris gahara Kesultanan Deli iaitu Tuanku Umar yang disingkirkan daripada takhta oleh kakanda tirinya yang bukan berdarah gahara, ditabalkan sebagai Sultan Serdang yang pertama pada tahun 1723. Serdang merupakan sebuah wilayah di Sumatera Timur, berjiran dengan Kesultanan Deli di utaranya. Sepanjang pemerintahan Sultan Sulaiman, sektor pertanian dan institusi pendidikan di Serdang berkembang dengan maju terutamanya dengan penubuhan Bank Batak di wilayah Serdang Hulu dan institusi sekolah Syairussulaiman di wilayah Perbaungan. Baginda juga amat mementingkan pemeliharaan kesenian dan kebudayaan Melayu tempatan dengan menggalakkan aktiviti persilatan, tarian zapin, ronggeng dan Mak Yong Bangsawan. Sultan Sulaiman juga mempunyai hubungan yang amat tegang dengan pegawai-pegawai Belanda sepanjang pemerintahannya. Baginda merupakan Sultan Serdang yang terakhir memerintah apabila berlakunya Revolusi Sosial oleh puak komunis pada tahun 1945 yang mengakibatkan pembunuhan kejam kerabat-kerabat diraja di wilayah Sumatera Timur.

  1. Sultan Mahmud Iskandar Shah II (67 tahun: 1653 – 1720)

Baginda merupakan Sultan Perak yang ke-11 dan putera kepada Sultan Muzaffar Shah II, Sultan Perak ke-10. Kesultanan Perak merupakan kesinambungan daripada Kesultanan Melaka apabila putera kepada Sultan Mahmud Shah Melaka, iaitu Raja Muzaffar merantau ke Perak dan ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1528. Pada abad ke-17, Kesultanan Perak mula diperintah oleh sultan-sultan berketurunan dinasti Siak. Sultan Mahmud Iskandar Shah II ialah Sultan Perak kedua daripada dinasti Siak.

  1. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II (68 tahun: 15 Feb 1710 – 23 Sept 1778)

Baginda adalah Sultan Kedah yang ke-19 dan merupakan putera kepada Sultan Abdullah Muadzam Shah, Sultan Kedah ke-17. Kesultanan Kedah merupakan kesultanan tertua di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) dan masih memerintah serta kekal berdaulat sehingga kini. Berkesinambungan daripada Kerajaan Kedah Tua yang beragama Hindu-Buddha, Kesultanan Kedah mula menerima syi’ar Islam pada tahun 1136 setelah rajanya yang kesembilan memeluk Islam dengan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, Sultan Kedah yang ke-19 memegang rekod rasmi sebagai Raja Melayu paling lama memerintah di Alam Melayu iaitu selama 68 tahun. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-19 setelah kemangkatan adindanya yang juga sultan sebelumnya. Sepanjang zaman pemerintahan baginda, kerajaan Kedah telah berjaya meluaskan jajahan takluknya ke utara sehingga ke Tongka, Trang dan Mergui di sempadan Burma. Baginda juga telah menyeragamkan sistem sukatan, timbangan, ukuran dan matawang sehingga ekonomi kerajaan Kedah bertambah maju. Sistem pengairan dan terusan juga dimajukan ketika zaman baginda. Baginda Sultan Muhammad Jiwa II seorang yang kuat beribadat dan selalu mendampingi para ulama terutamanya gurunya, Shaykh Abdul Jalil. Baginda juga merupakan pengasas bandar diraja Kota Setar (pada masa kini dikenali sebagai bandaraya Alor Setar). Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa peristiwa sedih yang berlaku dalam sejarah negeri Kedah sepanjang tempoh pemerintahan baginda seperti perang saudara dan kisah lagenda Mahsuri di Pulau Langkawi.

Tiga orang Raja Melayu yang disenaraikan di atas pernah mencapai ulang tahun pemerintahan Jubli Nilam, dua orang Jubli Intan dan selebihnya tujuh orang lagi Raja Melayu pernah mencapai ulang tahun pemerintahan Jubli Emas. Empat orang daripada mereka adalah Raja-Raja Melayu daripada Kesultanan Kedah, tiga orang daripada Kesultanan Brunei, tujuh orang daripada mereka daripada kesultanan di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia), empat orang daripada kesultanan di Kepulauan Borneo dan seorang daripada kesultanan di Kepulauan Sumatera. Lapan buah kesultanan yang disenaraikan di atas masih memerintah, berkuasa dan kekal berdaulat sehingga kini, empat dalam Persekutuan Malaysia dan Kesultanan Brunei yang memerintah negara Brunei Darussalam. Dua kesultanan lagi telah dimansuhkan, kedua-duanya sebahagian daripada Republik Indonesia, cuma pewaris takhta dan waris-waris kerabat dirajanya masih bertindak sebagai ketua adat. Walau bagaimanapun, kesemua kesultanan Melayu tersebut merupakan kuasa-kuasa besar yang pernah menaungi rumpun bangsa Melayu suatu ketika dahulu.

Raja-Raja Melayu umpama payung besar yang menaungi rumpun bangsa Melayu dan rakyat mereka yang lain. Raja-Raja Melayu pada zaman yang lalu sering menggunakan gelaran zil-Allah fi al-‘ardh (bayangan Allah di muka bumi) dan Khalifah al-Mukminin (Pemimpin Umat Islam) kerana mereka berperanan besar dalam memelihara dan mengekalkan agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan. Selain ditabalkan oleh raja lain yang berdaulat, kedaulatan Raja-Raja Melayu juga bergantung kepada ketaatan rakyat Melayu terhadap mereka. Oleh sebab itu adanya konsep raja yang adil raja disembah (ditaati), raja yang zalim raja disanggah. Raja dan rakyat berpisah tiada. Rakyat memerlukan raja yang berjiwa rakyat supaya rakyat sentiasa berasa raja mereka sentiasa dekat dengan kehidupan mereka dan raja memerlukan rakyat jelata yang taat setia agar pembangunan negara dapat dimajukan bersama.

Untuk rujukan berkenaan istilah-istilah ulang tahun pemerintahan raja:

  1. Jubli Perak (tahun ke-25)
  2. Jubli Delima (tahun ke-40)
  3. Jubli Emas (tahun ke-50)
  4. Jubli Intan (tahun ke-60)
  5. Jubli Nilam (tahun ke-65)
  6. Jubli Platinum (tahun ke-70)
  7. Jubli Platinum Berganda (tahun ke-75)

Perlu diingatkan bahawa senarai di atas hanyalah berdasarkan kajian penulis yang masih tidak menyeluruh. Terdapat ratusan lagi kerajaan dan kesultanan Melayu dalam sejarah rumpun bangsa Melayu yang panjang dan pelbagai. Walau bagaimanapun, senarai yang ditentukan dan disusun oleh penulis di atas hanyalah secara umum sahaja. Sekiranya terdapat Raja-Raja Melayu lain dalam sejarah yang sepatutnya berada dalam senarai di atas tetapi tiada, penulis memohon maaf atas kejahilan penulis. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan biografi Raja-Raja Melayu dan kesultanan-kesultanan Melayu yang disenaraikan di atas, sila rujuk sumber-sumber rujukan di bawah:

SUMBER RUJUKAN

Laman web rasmi The Royal Ark, Royal and Ruling Houses of Africa, Asia, Ocenia, and The Americas, pautan: http://www.royalark.net/index.html, diakses pada Oktober 2017.

Haji Ibrahim Ismail, Sejarah Kedah, Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia, 2008.

John Middleton (ed.), World Monarchies and Dynasties, Vol. 1-3, London & New York: Routledge, 2015.

Ooi Keat Gin (ed.), Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, From Angkor Wat to East Timor, ABC-CLIO Inc., 2004.

Taufiq Tanasaldy, Regime Change and Ethnic Politics in Indonesia: Dayak Politics of West Kalimantan, Leiden: KITLV, 2012.

Alam Sastra, Hilang dalam Terang: Studi atas Kehidupan Bangsawan Melayu Serdang dalam Revolusi Indonesia di Sumatera Timur, 1945-1946.

Rozan Yunos, Sambas Sultanate Descents from Brunei, dalam laman web The Brunei Times, pautan: http://web.archive.org/web/20090125055935/http://bt.com.bn:80/en/golden_legacy/2009/01/11/sambas_sultanate_descents_from_brunei, 11 Januari 2011, diakses pada Oktober 2017.

Sultan-Sultan Brunei, dalam laman web rasmi Pusat Sejarah Brunei, pautan: https://web.archive.org/web/20150415152209/http://www.history-centre.gov.bn/sultanbrunei.htm, diakses pada Oktober 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply