Setelah beberapa tahun menyepi, akhirnya bekas Ahli Parlimen Pandan dari 2013 hingga 2018, Rafizi Ramli mengumumkan untuk menyertai semula politik. Beberapa tahun lepas, nama Rafizi sering disebut kerana sering mendedahkan mengenai skandal-skandal mengenai kerajaan.

Selain itu, Rafizi juga terkenal kerana dipercayai beliau mempunyai formula untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan formula itu berhasil pada akhirnya apabila Pakatan Harapan akhirnya menjadi kerajaan pada Mei 2018. Jadi, siapa sebenarnya gerangan Rafizi Ramli ini dan mengapa kemunculan Rafizi ini sangat menarik menjelang pilihan raya yang akan datang?

Rafizi dilahirkan di Besut, Terengganu pada 14 September 1977. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail  sebelum melanjutkan pelajarannya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar. Di MCKK, Rafizi merupakan seorang pelajar yang aktif dan sering meraih pelbagai anugerah. Kemuncak kejayaannya di sekolah apabila beliau apabila beliau meraih Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Kolej dan anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya menjadi bos besar beliau di dalam parti.

Kredit: Rafizi Ramli

Setelah menamatkan pelajaran di MCKK, Rafizi melanjutkan pelajarannya ke University Of Leeds di dalam jurusan Kejuruteraan Eleketrikal. Ketika peristiwa Reformasi berlaku, Rafizi turut menyokong gerakan tersebut dan sering berkempen bagi pihak Anwar di Eropah. Rafizi telah dilantik sebagai salah seorang dari ahli gerakan Free Anwar Campaign di Eropah dan pernah berkempen di Parlimen United Kingdom, Kementerian Luar United Kingdom dan pejabat Suruhanjaya Eropah.

Setelah berjaya memperoleh ijazah, Rafizi bekerja di sebuah syarikat perakaunan di United Kingdom. Pada masa yang sama, Rafizi menyambung pelajaran di dalam bidang professional dan berjaya mendapatkan tauliah sebagai akauntan di bawah  Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Pada tahun 2003, akhirnya Rafizi pulang ke Malaysia dan bekerja di Syarikat Petronas sebagai Pengurus di bahagian Propane Dehydrogenation Plant. Rafizi merupakan pengurus termuda yang pernah dilantik. Jawatan terakhir beliau di Petronas ialah  sebagai Pengurus Kanan Bahagian Perakaunan, Belanjawan dan Percukaian Antarabangsa.

Rafizi juga pernah bekerja sebagai Pengurus Besar di Pharmaniaga sebelum bekerja di Pejabat Ekonomi Negeri Selangor sebagai Pengarah Eksekutif sehingga Julai 2012. Pada Pilihan Raya Umum 2013, Rafizi telah dicalonkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pandan bagi mewakili Pakatan Rakyat. Rafizi akhirnya berjaya memenangi kerusi tersebut mengalahkan Presiden MCA, Ong Tee Kiat dengan majoriti sebanyak 26, 729 undi.

Di dalam blok pembangkang, Rafizi sering mendedahkan skandal-skandal besar yang dikatakan berkait rapat dengan kerajaan. Antara isu yang pernah disuarakan oleh Rafizi ialah isu mengenai National Fidlot Corporation, Isu kapal selam Scorpene dan isu Port Klang Free Zone.

Kredit: Malaysiakini

Rafizi juga pernah membuat pendedahan mengenai isu integriti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di dalam Guthrie Berhad sehingga menyebabkan beliau meletak jawatan dan berlakulah Langkah Kajang untuk menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar yang baharu.

Rafizi juga semakin dikenali kerana sering mencipta formula-formula seperti formula untuk menurunkan harga minyak, formula hapus PTPTN dan bermacam-macam formula lagi. Formula-formula inilah yang menjadi asas bagi kejayaan Pakatan Harapan untuk menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya 2018.

Ketika Pilihan Raya Umum 2018, Rafizi tidak layak untuk bertanding kerana terlibat dalam beberapa sabitan mahkamah. Setahun kemudian, Rafizi mengumumkan untuk bersara dari politik dan mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini seperti bidang AI dan IOT.

Rafizi merupakan salah seorang sekutu rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim

Walaubagaimanapun, selepas lama menyepi, akhirnya Rafizi muncul semula dengan membawa formula-formula yang baharu. Isu pertama yang dibangkitkan oleh Rafizi ialah mengenai isu Sapura sehingga dikhabarkan akan diadakan sesi debat di antara wakil kerajaan dan pembangkang. Di peringkat parti, Rafizi dikhabarkan akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Azmin Ali.

Jadi, adakah kepulangan semula Rafizi bersama formula-formulanya mampu membuatkan Pakatan Harapan untuk menjadi kerajaan semula di dalam pilihan raya yang akan datang atau kemunculan Rafizi ini hanyalah permulaan bagi penamat karier politik beliau? Kita sama-sama saksikan.

RUJUKAN:

Therakyatpost. (2022, March 16). Who is rafizi ramli & why are some people excited about his return to politics? TRP. Retrieved April 7, 2022, from https://www.therakyatpost.com/news/2022/03/16/who-is-rafizi-ramli-why-are-some-people-excited-about-his-return-to-politics/

Rafizi quits as CEO of Selangor Economic Advisor’s office. The Malaysian Insider. (n.d.). Retrieved April 7, 2022, from https://web.archive.org/web/20141019061631/http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/rafizi-quits-as-ceo-of-selangor-economic-advisors-office

Rafizi Bersara Daripada Politik – Berita Harian. (n.d.). Retrieved April 7, 2022, from https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/12/637256/rafizi-bersara-daripada-politik

BetweenTheLines. (2019, December 18). The rise and fall of Rafizi Ramli. Between The Lines. Retrieved April 7, 2022, from https://betweenthelines.my/the-rise-and-fall-of-rafizi-ramli/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Leave A Reply