Pertempuran-Pertempuran Di Kota Batu, Johor Lama

0
1310
views

Mukim Johor lama ini terletak kira-kira 27-30 km dari Bandar Kota Tinggi dan aku melalui jalan menghala ke Desaru dan Teluk Sengat. Kota Johor Lama ini terletak didalam kawasan Kampung Johor Lama. Secara jujur, kampung Johor Lama memang sangat menenangkan dan sesuai untuk kaki pancing ( disajikan oleh pemandangan Sungai Johor yang luas terbentang). Jumlah penduduk disini aku kira sangat sedikit dan dikelilingi pokok getah dan kelapa sawit.

Semasa berada disini, aku seolah-olah dapat merasakan aura bagaimana dasyatnya kawasan ini dahulu sewaktu menghadapi beberapa siri pertempuran. Jika aku tidak silap, semasa kedatangan aku sebelum ini aku ada bertanyakan/ berbual dengan salah seorang penduduk kampung yang menyatakan kompleks Kota Johor Lama ini seperti pulau kecil. Jika melihat petanya ianya seolah-olah daratan ini dipisahkan oleh Sg Johor Lama dan Sungai Keramat. Jika salah harap maaf.

Kota ini telah dibuka oleh Sultan Alauddin Riayat Syah II . Baginda adalah Pengasas bagi Kesultanan Johor namun ada sesetengah tulisan sejarawan mengatakan Sultan Mahmud Syah 1 adalah pengasasnya. Bagi pendapat aku, tidak perlu letak ( II ) di belakang nama Sultan Alauddin Riayat Syah kerana baginda adalah dibawah Kesultanan yang baru ditubuhkan bukan Melaka. Tapi itu tidak mengapalah..

Sewaktu awal pengasasan Kesultanan Johor pada 1528, Sultan Alauddin Riayat Syah II telah membuka pusat pentadbiran pertamanya di Pekan Tua dan membina kubu yang diberi nama Kota Kara. Seterusnya, selepas diserang Portugis pada Jun 1535 (diketuai Estavao da Gama), baginda serta pengikutnya menghulu Sungai Johor dan memilih Sayong sebagai pusat pentadbiran baru. Tindakan baginda ini bijak kerana, ianya menyukarkan musuh terutama Portugis ketika itu untuk lebih ke hulu dengan kapalnya yang besar kerana alirannya semakin sempit.

Tahun 1540, bermulalah era pusat pentadbiran Johor di Johor Lama apabila Sultan Alauddin Riayat Syah II memilih tempat ini dan membina kubu di Tanjung Batu seterusnya menamakan kubu ini sebagai “Kota Batu”. Baiklah, kita fokuskan terhadap beberapa pertempuran yang pernah berlaku disini :

1. ACHEH MENYERANG JOHOR LAMA DAN KOTA BATU 1564

Pertempuran ini disebabkan permusuhan yang lama terpendam antara Acheh dan Johor. Acheh ketika itu diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahar (1537-1571). Antara punca yang mungkin menjadi sebab Acheh menyerang Johor adalah campur tangan Johor bersama Kerajaan Aru yang mana sebelum ini Acheh pernah melanggar Aru kerana Aru telah bekerjasama dengan Portugis. Untuk pengetahuan, Acheh ketika itu memang sangat-sangat membenci Portugis dan mahukan Portugis berambus dari rantau ini. Sultan Johor telah membantu Ratu Aru dalam misi mengusir Acheh yang telah menawan Aru. 2 buah kerajaan itu telah menyerang Acheh pada 1540. Ini telah menjadi dendam dan kemarahan Acheh. Setelah sekian lama hubungan 2 hala ini keruh, pada 1564 Sultan Al-Qahar Acheh bersama angkatan perangnya telah melanggar Johor dan akhirnya dapat ditewaskan. Sultan Acheh telah menawan Sultan Johor serta keluarga baginda dan dibawa ke Acheh. Sultan Alauddin Riayat Syah II dikatakan telah dihukum bunuh dan ada mengatakan baginda mangkat bukan dihukum bunuh di Acheh.

2. BEBERAPA SIRI SERANGAN PORTUGIS 1576, 1578

Serangan-serangan dalam tahun ini berkemungkinan besar atas factor Johor ketika pemerintahan Sultan Ali Jalla menjalinkan hubungan baik dengan Jawa dan Acheh. Ini menyebabkan Portugis “Panas Punggung” kerana ini sebenarnya mengancam kedudukannya di Melaka dan juga j monopoli aringan perdagangan. Tambahan pula, banyak kapal-kapal Portugis diserang di perairan oleh orang Melayu.

3. SERANGAN TERBESAR PORTUGIS 1587

Tindakan Sultan Ali Jalla menyerang Melaka telah menyebabkan serangan balas ini. Serangan kali ini adalah gabungan antara 2 angkatan besar Portugis iaitu Angkatan Kapal Simao De Abreu dan Angkatan Kapal Antonio de Noranha. Mereka telah bersatu di Kuala Sungai Johor pada 21 Julai 1587. Mereka mula memudiki Sungai Johor pada hari tersebut dan diketuai oleh Antonio de Noronha sambal dibantu oleh Simao de Abreu.

Perkhabaran tentang rancangan serangan ini telah didengari oleh Sultan Ali Jalla Abul Jalil , lalu baginda menitahkan sebahagian tenteranya menghilir Sungai Johor dari Kota Batu Johor Lama untuk menentang Portugis itu. Pertempuran hebat telah berlaku melibatkan kedua-dua buah pasukan dan pasukan Johor terpaksa berundur kerana Portugis banyak menggunakan Meriam dan bedil yang besar. Akhirnya, Portugis Berjaya sampai ke Johor Lama pada 21 Julai 1587.
Pada hari yang sama, maka bermulalah pertempuran dasyat di kota ini. Portugis telah mula menembak sekitar Johor Lama dan Kota Batu. Masa tengah haru-biru ini, tahanan-tahanan Portugis Berjaya melarikan diri dan tentera Portugis Berjaya naik ke darat dan merampas sebahagian harta-harta kerajaan Johor.

Pada 22 Julai 1587, satu strategik dirancang antara pegawai-pegawai portugis dan kata sepakat telah dicapai bahawa pasukan Portugis hanya akan mendarat di Johor Lama apabila kapal Paulo de Lima dari Goa sampai (bantuan kelengkapan tentera dan askar) dan sementara tunggu dari Goa sampai, mereka akan terus membedil pasukan Johor.

Waqaf Saham

Keesokannya, 23 Julai 1587 saya ringkaskan dalam bentuk strategik yang mereka gunakan :

• Pasukan Portugis dipecahkan kepada 2
• 1 pasukan di bawah Noronha
• 1 pasukan di bawah Pedro Alvares de Abreu
• Kedua-dua berjalan segenap penjuru kota dan menyerang pasukan Johor

Malangnya, kedua-dua pasukan Portugis ini telah dapat dipatahkan oleh tentera Johor. Pada 10 Ogos 1587 , 1 lagi pasukan bantuan Portugis dari Goa tiba yang diketuai Paulo de Lima Pareira dan melancarkan serangan bertubi-tubi pada 15 Ogos 1587 setelah hampir seminggu mengatur strategik. Baiklah, pada 15 Ogos pula strategiknya begini :

• Pasukan Portugis berpecah kepada 3
• 1 pasukan di bawah Antonio de Noronha dibantu Joao Pareira
• 1 pasukan di bawah Matheus Pareira Sampaio
• 1 pasukan di bawah Paulo de Lima

Akhirnya, pasukan Portugis telah dapat menawan Kota Batu setelah Matheus Pareira Sampaio menawan kota itu dan pasukan Portugis menggunakan Meriam di kota itu untuk membedil pasukan Johor yang melarikan diri dari kota itu. Hampir seluruh Bandar Johor Lama dibakar termasuk rumah-rumah, Gudang-gudang serta termasuk juga Kubu Budak.

Bercerita tentang Kubu Budak. Kubu Budak ini terletaknya berhampiran Muara Sungai Johor Lama dan ianya tidaklah semegah Kota Batu, Cuma kubu kecil sahaja. Kubu Budak adalah kubu kedua terpenting selepas Kota Batu. Berketinggian dari aras sungai adalah 2.5 meter dan Panjang kubu lebih kurang 10 meter dan menganjur dari kedua-dua penjuru tebing Sungai Johor Lama. Katanya, nama kubu ini diambil sempena sekumpulan budak mengambil sekepal tanah setiap seorang lalu membina kubu. Waallahualam.

Sultan Ali Jalla dan pengikut telah melarikan diri lebih ke hulu Sungai dan membina penempatan baru di Batu Sawar. Menurut Buyong Adil menyatakan tentang jumlah tentera yang terlibat sewaktu serangan adalah :

• Portugis = 400 Orang
• Johor = 8,000 Orang
• Pendapat lain pula :
Portugis = 600 Orang
Johor = 10,00 -12,000

Portugis meraih hasil perang (Paulo de Lima Pareira) seperti berikut :
• 800 pucuk Meriam
• Emas, perak dan lain-lain barang berharga
• 1200 perahu besar dan kecil

Kesimpulannya, ini membuktikan bahawa agak sukar dan memang sukar untuk menembusi Kota Batu. Beberapa siri serangan dalam beberapa tahun masih sukar untuk menguasai Kota Batu. Syukur ke hadrat Illahi yang kawasan Johor Lama masih dijaga dengan baik oleh Yayasan Warisan Johor dan Jabatan Muzium Malaysia . Kesan kubunya masih boleh dilihat hingga kini walau tidak segah dahulu. Siapa yang sangka, kawasan kampung yang terpencil ini suatu ketika dahulu merupakan satu kawasan/kompleks pentadbiran dan pertahanan yang penting dan sangat digeruni. Ditambah pula, bahagian-bahagian pertahanan yang begitu strategik yang mampu megawal segenap penjuru Johor Lama ini. Apabila melihat peta Johor lama kini dan dahulu, aku dapat bayangkan bagaimana kedudukan pertahanan yang dilaksanakan suatu ketika dahulu. Sangat menakjubkan.
Segala salah dan kesilapan fakta dalam penulisan ini harap dimaafkan dan dialu-alukan untuk menegur. Aku sekadar berkongsi pengalaman dan pandangan. Terima Kasih

Daripada – Arifz Sukor

Sumber Rujukan:

Peninggalan Sejarah Persisir Sungai Johor, Kamaruddin Razak. Yayasan Warisan Johor

Sejarah Pergolakan Dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, Suzana Haji Othman

Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Buyong Adil

Sejarah Johor, Buyong Adil

Warisan Johor Pengasas Dan Sultan Yang Memerintah Johor, Abdullah Zakaria Ghazali

Sejarah Johor : Kaitannya Dengan Negeri-Negeri Melayu, Shaharom Hussein

Acheh Dimata Kolonialis, Snouck Hungronje

Acheh, H.C Zenigraff terjemahan oleh Aboe Bakar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.