Sejak kebelakangan ini, sesetengah pihak cuba mempolitikkan usaha menambahbaik keupayaan pertahanan negara. Alasan mereka, usaha ini ialah satu pembaziran sumber kewangan dan negara tidak berada dalam situasi perang. Dengan rantau ini masih dalam keadaan aman dan hubungan antara negara masih lagi baik, maka mereka berpandangan usaha penambahbaikan ini bersifat tidak perlu.

Pandangan sebegini bersifat dangkal dan tidak selari dengan peredaran masa. Ya, hubungan kita dengan negara-negara jiran memang erat dan dengan ASEAN, kita ada potensi untuk melangkau lebih jauh sebagai satu rantau. Tetapi itu tidak menghalang negara-negara berjiran menambahbaik keupayaan pertahanan mereka. Baru-baru ini, Indonesia membeli 11 buah jet pejuang SU-35 dari Rusia untuk memodenkan pesawat pejuang mereka. Sementara Filipina akan membelanjakan 25 billion peso untuk memodenkan keupayaan pertahanan mereka. Ini menunjukkan walaupun mereka bersifat pragmatik dalam soal hubungan luar, mereka juga bersifat realis dan mahu memastikan kelengkapan dan peralatan yang dimiliki bersifat terkini. Dan pada rakyat kedua-dua negara ini, mereka tidak pula membangkang usaha ini kerana mereka tahu dengan kelengkapan pertahanan yang canggih, kerajaan berusaha menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Pandangan menambahbaik keupayaan pertahanan satu pembaziran lupa mengambilkira senario dunia pada ketika ini. Dunia hari ini bukan saja berhadapan dengan ancaman negara-negara yang bersikap berlawanan dengan orde dunia tetapi juga kumpulan-kumpulan pengganas yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Dan sesetengah daripada organisasi sebegini pula membiayai aktiviti mereka dengan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, pemalsuan identiti dan penculikan untuk dapat duit tebusan (KFR). Dengan aktiviti-aktiviti sebegini berada pada tahap membimbangkan, maka keupayaan pihak berkuasa terutama pasukan keselamatan perlu ditambahbaik agar dapat menangani ancaman-ancaman sebegini secara efektif.

Buktinya, kejayaan pasukan keselamatan terutama Bahagian Anti-Keganasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan berpuluh-puluh individu disyaki pengganas dan menggagalkan beberapa cubaan serangan sebelum ianya berlaku. Menurut Pengarah Bahagian Anti-Keganasan Bukit Aman, Datuk Ayob Khan, pihak berkuasa berjaya mematahkan plot cubaan bunuh ke atas Perdana Menteri dan menculik beberapa individu berpengaruh untuk mencetuskan situasi huru-hara dalam negara. Malah semasa lawatan Duli Yang Maha Mulia Raja Salman dari Arab Saudi ke Malaysia baru-baru ini, pihak berkuasa juga berjaya mematahkan plot cubaan bunuh ke atas baginda. Ini bukti bahawa tanpa sebarang penambahbaikan seperti dicadangkan kelompok sebegitu, pihak berkenaan terpaksa bekerja dalam keadaan tangan mereka terikat dan keupayaan mereka untuk menguatkuasa undang-undang dan membanteras gejala ini juga menjadi terhad. Akibatnya apabila keadaan sebegitu berlaku, negara mudah terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada dari dalam atau di luar negara.

Raja Salman dan Najib Razak

Individu yang memperlekeh usaha penambahbaikan kelengkapan dan keupayaan pertahanan negara patut merasa malu kerana bersikap buta sejarah. Dalam sejarah, walaupun tidak dalam situasi perang, mereka tetap berusaha memperkuat dan menambahbaik kelengkapan pertahanan yang dimiliki. Pada mereka, perang boleh saja meletus pada bila-bila masa dan sekiranya langkah-langkah penambahbaikan tidak diambil, mereka boleh jadi sasaran mudah pihak musuh dan boleh melemahkan moral askar yang bertempur.

Selepas Perang Badar al-Kubra, Rasulullah s.a.w menggunakan duit tebusan yang diambil daripada tawanan perang musyrikin Quraisy untuk membeli kelengkapan perang tambahan bagi memperkuat angkatan tentera Islam. Semasa melancarkan usaha penawanan Costantinople, selain menggunakan strategi radikal membawa kapal menggunakan jalan darat untuk melepasi sekatan rantai kerajaan Rom Timur (Byzantine), Mehmed II (Muhammad al-Fatih) turut menggunakan meriam besar, senjata terbaru pada ketika itu untuk memecahkan tembok-tembok kota. Dan semasa Perang Dunia Kedua, Jerman mudah saja menafikan serangan ketumbukan Poland yang menggunakan rejimen-rejimen tentera berkuda dengan kereta perisai dan artileri. Dalam beberapa minggu saja, seluruh Poland jatuh ke tangan Nazi Jerman yang mendapat sokongan Soviet Union hasil daripada Perjanjian Molotov-Ribbentrop. Dan sebelum tercetusnya Pertempuran Perancis (Battle of France), walaupun bilangan mereka melebihi bilangan tentera Nazi Jerman, tentera Perancis mengadu mereka tidak ada kelengkapan mencukupi dari segi persenjataan bila hendak bertempur dan terpaksa berkongsi beberapa orang untuk menggunakannya. Ini saja sudah cukup sebagai bukti mengapa kita perlu sentiasa menaiktaraf kelengkapan sedia ada agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Sikap sesetengah manusia yang memandang rendah kepentingan menaiktaraf kelengkapan pertahanan sebenarnya menceritakan mereka mahu bertawakal kepada Tuhan tetapi tidak mahu melengkapinya dengan usaha. Pada mereka, cukup setakat mereka berserah kepada Tuhan selepas mereka berusaha secara sambil lewa atau malas untuk mendapatkannya. Sifat sebegini patut dijauhi kerana kedua-dua usaha dan tawakal bersifat seiring dan saling mempengaruhi antara satu sama lain yang membawa kepada ganjaran yang besar pada orang yang melakukannya.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, “Sungguh seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya kamu diberi rezeki sebagaimana burung-burung. Mereka keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan kembali pada waktu petang dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Hakim dan Ibnu Majah) Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah mensyarahkan hadis ini dengan menyatakan usaha dan tawakal itu saling berkait. Makanya jika manusia itu sentiasa bertawakal kepada-Nya semasa pergi, bekerja atau belajar dan pulang serta mengetahui rezeki itu ditentukan-Nya, mereka tidak akan pulang kecuali dalam keadaan mendapatkan harta dengan selamat sepertimana burung-burung tersebut. (Tuhfatul Ahwadzi) Dalam satu hadis lain, seorang sahabat datang ke masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat. Dia berkata, “Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal.” Lalu Nabi s.a.w menegur dengan bersabda, “Ikatlah kemudian baru kamu bertawakal kepada Allah.” (Riwayat Tirmidzi, berstatus hasan oleh al-Albani) Dalam satu jalur lain, sahabat tersebut bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah aku patut mengikat unta tungganganku dan baru bertawakal kepada-Nya atau aku lepaskan begitu saja dan bertawakal?” Baginda menjawab, “Ikatlah untamu dan kemudian bertawakallah kepada Allah.”

Dan kelompok ini lupa akan naluri manusia yang sentiasa tertarik dengan peperangan itu sendiri. Siapa tidak akan lupa pembunuhan pertama di atas muka bumi ini yang dilakukan Qabil ke atas saudaranya Habil kerana berang korbannya tidak diterima sedang korban saudaranya diterima Allah s.w.t. Rekod sejarah menunjukkan manusia berperang kerana banyak sebab seperti mendapatkan takhta seperti Perang Terakhir Republik Rom (Final War of the Roman Republic) antara Octavian dengan Mark Antony. Ada pula berperang semata-mata nak mendominasi takhta seperti War of the Roses antara House of Lancaster dengan House of York antara 1455 dengan 1487.

Ada juga berperang semata-mata nak mengembalikan kegemilangan silam atau meluaskan kawasan negara. Contoh paling mudah, buku Mein Kampf (My Struggle) oleh Adolf Hitler menceritakan antara hasrat beliau ialah mewujudkan satu kawasan luas (lebensraum) bagi penduduk Jerman untuk mengembalikan semula kegemilangan silam kerajaan Jerman. Ada pula berperang semata-mata kerana perempuan seperti Perang Trojan yang menyaksikan kerajaan Yunani melancarkan perang ke atas Troy berikutan tindakan Paris melarikan isteri Raja Sparta, Helen.

Ada juga berperang atas sebab tidak masuk akal seperti perlumbaan chariot sehingga hampir menggulingkan Maharaja Rom Timur (Byzantine), Justinian menerusi Rusuhan Nica pada 532 Masihi. Pendek kata, perang boleh tercetus pada bila-bila masa dan atas sebab yang kadangkala di luar logik manusia. Dan jika kerajaan tidak bersedia dari aspek kelengkapan dan persenjataan, maka bagaimana mereka hendak menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dari diancam mana-mana musuh sama ada luar atau dalam negara?

Akhir kalam, soal keselamatan dan pertahanan tidak seharusnya dipolitikkan semata-mata nak dapatkan populariti segera. Ini kerana kedua-dua soal ini ialah keperluan asas sesebuah negara untuk terus kekal berdaya saing di pentas antarabangsa terutama di rantau ini. Negara yang kuat dan stabil tidak akan mudah digertak atau dipermainkan oleh kuasa-kuasa asing untuk mendapatkan hak mereka. Tetapi kalau kerjanya asyik berpolitik dari pagi sampai petang dan lebih berminat dengan retorik murahan, maka apa jaminan mereka kepada rakyat berkenaan soal keselamatan dan pertahanan negara ini?

Sumber:

1. Andrews, Evan. (2013). History.com. 6 Wars Fought for Ridiculous Reasons. http://www.history.com/news/history-lists/6-wars-fought-for-ridiculous-reasons

2. Zolkepli, Farik. (2017). The Star. Facing down terror. http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/04/23/facing-down-terror-the-man-who-leads-a-bukit-aman-division-in-fighting-terrorism-has-many-tales-to-s/

3. Zolkepli, Farik. (2017). The Star. Malaysia’s anti-terror chief targeted. http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/06/24/malaysias-antiterror-chief-targeted-indonesian-militants-calling-on-comrades-in-the-country-to-elimi/

4. Osborne, Samuel. (2017). The Independent. Malaysia foils ‘Yemeni attack on Saudi Arabia’s King Salman. http://www.independent.co.uk/news/world/asia/malaysia-yemeni-attack-saudi-arabia-king-salman-terror-kuala-lumpur-a7616191.html

5. Andrews, Evan. (2015). History.com. 9 Things You Should Know About The War of The Roses. http://www.history.com/news/9-things-you-should-know-about-the-wars-of-the-roses

6. Gady, Franz-Stefan. (2017). The Diplomat. Indonesia to Buy 11 Su-35 Fighter Jets From Russia. http://thediplomat.com/2017/07/confirmed-indonesia-to-buy-11-su-35-fighter-jets-from-russia/

7. Parameswaran, Prashanth. (2017). The Diplomat. How Much Can Philippines Boost Its Military Budget Under Duterte. http://thediplomat.com/2017/01/how-much-can-the-philippines-boost-its-military-budget-under-duterte/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply