Peristiwa Berdarah Kalabakan, 29 Disember 1963

0
2804
views
Gambar sekadar hiasan

KALABAKAN, mungkin bukan satu nama kawasan yang se gah nama Kota Kinabalu iaitu ibu negeri untuk Sabah, Negeri Dibawah Bayu sekarang. Namun sehingga kini ianya masih lagi berstatus pekan kecil yang terletak di Tawau, Sabah. Disebalik ianya hanya satu pekan kecil namun di Kalabakan inilah tersimpan satu peristiwa hitam yang mewarnai dunia cerita-cerita sebenar mengenai apa itu Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang berlaku 54 tahun dahulu.

Umum mengetahui Persekutuan Malaysia dimasyhurkan pada tanggal 16 September 1963 yang mana ianya diwar-warkan dengan satu acara gilang gemilang di Sabah mahupun di Sarawak. Dan siapa pernah menyangka bahawa walau usianya baru berusia lebih dari satu bulan, tentera Indonesia melalui perang Ganyang Malaysia mereka tetap tidak pernah ambil peduli dan menghormati mengenai kewujudan sebuah negara yang baru ditubuhkan ini.

Siapa pernah menyangka Tawau yang dijadikan sasaran dan bukannya ibu negeri Sabah sedangkan untuk di Sarawak, ibu negerinya Kuching sentiasa menjadi tempat panas untuk mereka cuba bolosi. Perlulah diingat jika diambilkira dari segi kepentingan ekonomi, Tawau juga memainkan peranan penting kerana disinilah terletaknya untuk industri pembalakan, penanaman getah, teh, koko serta banyak lagi untuk Sabah suatu waktu dahulu.

Dan jika diikutkan dari segi lokasi pula, kedudukannya yang berkongsi tanah yang sama dengan sebahagian pantai-pantainya milik Sabah, Malaysia melalui kawasan Sebatik dan seterusnya yang lain milik Kalimantan, Indonesia. Dek kerana itulah sewaktu zaman konfrontasi, kawasan ini sentiasa menjadi titik panas kerana begitu mudah untuk dibolosi oleh tentera negara jiran.

Pada akhir Disember 1963, satu batalion Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah dihantar ke Kalabakan untuk melindungi kawasan Kalabakan dari terus dicerobohi oleh musuh yang telah bertindak di luar perbatasan sempadan. RAMD yang dimaksudkan adalah dari Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja. Jauh sebelum itu sebenarnya di Kalabakan sudahpun mempunyai satu balai polis yang hanya mempunyai kekuatan sembilan orang anggota keselamatan iaitu dari pasukan polis hutan dan Sabah Home Guard yang juga merupakan masyarakat tempatan Kalabakan sendiri.

Apabila melihat kepada kekuatan dari unit kepolisian ini sahaja kita sudah mampu mencongak sekiranya Kalabakan di kancah perang apalah yang akan terjadi kelak makanya harus ada penempatan anggota tentera di kawasan tersebut. Usai tiba di Kalabakan apa yang dilakukan oleh anggota Batalion ke-3 RAMD adalah membina kubu-kubu dengan menempatkan senjata artileri mereka di kedudukan yang betul.

Diperkira base camp untuk RAMD pada masa itu adalah lebih kurang 400 ela sahaja daripada pos Balai Polis Kalabakan. Bezanya oleh kerana pos Balai Polis Kalabakan dibina dahulu makanya kawasannya sudahpun dipagari dengan pagar dawai berduri tetapi tidak untuk base camp RAMD.

Pada 28 Disember 1963 melalui dunia risikan pasukan keselamatan Malaysia yang turut dianggotai oleh tentera negara Komanwel telah menerima satu informasi tentang pergerakan anggota tentera Indonesia dengan kekuatan hampir 150 orang sedang di dalam perjalanan ke satu destinasi. Kehadiran mereka hanya mampu disedari sekitar pertengahan Disember 1963 apabila dikatakan bahawa pasukan tentera Indonesia ini telah bersikap kasar dengan mengambil barang-barang dari sebuah kedai runcit milik seorang peniaga kaum Cina tanpa membayarnya di kawasan Serudong Laut.

Berdasarkan maklumat juga dinyatakan bahawa dari Serudong, tentera Indonesia ini melewati Serudong dan kemudiannya melalui Tarakan terus ke kawasan Selimpopon. Melalui congakan pihak anggota keselamatan berdasarkan kepada perjalanan anggota tentera Indonesia sudah hampir pasti mereka akan cuba menyusup masuk ke wilayah Malaysia melalui Kalabakan. Cuma tidaklah diketahui bilakah tarikh yang sebenar mereka benar-benar ada di wilayah Malaysia pada waktu itu.

Jadi bagi memperkuatkan jumlah kekuatan tentera di Kalabakan bersama-sama dengan polis maka satu seksyen dari Platun 10 Kompeni C menyertai Platun 1 Kompeni A di Kalabakan pada tanggal 29 Disember. Bermula dari itulah mereka telah memperlengkapkan base camp mereka yang hanya ada khemah sahaja pada mulanya dengan membina kubu-kubu bagi menempatkan anggota dan senjata artileri mereka.

Pembinaan kubu-kubu ini dibina pada setiap bahagian kiri dan kanan sebuah stor senjata mereka. Tiga buah kubu di setiap bahagian yang mana ianya mampu menampung tiga orang anggota pada setiap kubu berserta senjata. Stor senjata pula adalah sebuah rumah atap hasil ehsan seorang pengurus kepada Bombay Burma Timber Company Limited iaitu Mr. Ress yang mempunyai rumah di kawasan tersebut.

Di ketika kebanyakan anggota tentera RAMD baru sahaja selesai menunaikan solat Isya dan hendak menjamah makanan malam mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam pada waktu itulah tanpa Platun 10 Kompeni C dan Platun 1 Kompeni A sedari mereka telah diserang dengan hujan peluru dan bom tangan bertali arus dari pihak tentera Indonesia. Di dalam suasana keributan inilah ada yang sempat memasuki kubu-kubu mereka dan mula berbalas tembakan dengan senjata yang ada.

Dan di pihak pos Balai Polis Kalabakan pula apabila terdengar bunyi tembakan dari arah base camp anggota tentera turut sama cuba ingin membantu. Tetapi belum sempat mereka sampai ke kawasan anggota tentera Malaysia, balai polis mereka pula turut diserang oleh satu lagi kumpulan tentera Indonesia. Mereka bertahan sebaik mungkin walau jumlah kekuatan mereka amat sedikit dengan senjata apa yang ada.

Kejadian serang hendap ini berlangsung agak lama sehingga menyebabkan Leftenan Muda Raja Sharuddin mengarahkan anak-anak buahnya untuk menembak hanya pada ketika melihat kelibat anggota tentera Indonesia. Ini dilakukan agar mereka tidak kehabisan peluru sebelum apa-apa bantuan datang dari pihak ibupejabat. Hanya sekitar jam 11.00 malam barulah suasana senyap dan dikatakan pihak tentera Indonesia telah berjaya memboloskan diri meraikan kemenangan mereka dengan menuju ke kawasan berpaya di utara Kalabakan.

Tidak mahu mengambil risiko serangan semula, maka Leftenan Muda Raja Shaharudin hanya mengarahkan anak-anak buahnya untuk bersiaga di kubu masing-masing. Manakala pihak polis hutan dan Sabah Home Guard pula menanti dengan penuh syugul di balai mereka sambil erat memegang senjata masing-masing.

Sekitar jam 3 pagi iaitu pada tanggal 30 Disember 1963, barulah bantuan tiba yang diketuai oleh Leftenan Muda Wan Nordin bin Wan Mohammad tiba di base camp Kalabakan. Di dalam suasana gelap itulah platun bantuan telah membuat segala yang termampu untuk cuba memberikan rawatan sebaik mungkin pada mana-mana anggota yang cedera dan ini termasuk pasukan keselamatan di balai polis.

Apabila matahari menampakkan diri dan seterusnya suasana siang sudah terang benderang akhirnya usaha penggeledahan mula dilakukan pada setiap perimeter kawasan dua pos kawalan keselamatan Malaysia di Kalabakan. Pada ketika inilah mereka sedari bahawa serangan hendap tentera Indonesia ini benar-benar telah mengorbankan banyak korban di pihak anggota keselamatan Malaysia.

Peristiwa bedarah yang berlaku di Kalabakan, Tawau pada tanggal 29 Disember 1963 ini menyaksikan seorang ketua kompeni dan tujuh anggotanya gugur sebagai bunga bangsa manakala 18 orang lagi cedera parah. Diceritakan hanya satu sahaja mayat tentera Indonesia yang ditemui tidak jauh daripada lokasi pertempuran.

Tersentak dengan serangan ini telah menyebabkan Perdana Menteri Persekutuan Malaysia iaitu Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah bergegas menaiki penerbangan ke Jeselton (Kota Kinabalu sekarang) pada hari berikutnya dan seterusnya ke Tawau bagi bersua muka sendiri dengan kesemua anggota RAMD dan polis hutan serta Sabah Home Guard yang terlibat.

Di pihak tentera Negara Komanwel pula tidak mahu membiarkan pihak tentera Indonesia sebegitu sahaja. Mereka telah menghantar unit 1/10th Tentera Gurkha yang sebelumnya bertugas di Sarawak untuk mengambilalih posisi keselamatan di Kalabakan dan seterusnya menjejaki musuh sehingga sampai ke lubang cacing. Di dalam siri-siri ini sahaja dikatakan 20 orang tentera Indonesia berjaya dibunuh manakala 50 orang lagi berjaya ditangkap hidup-hidup sementara yang bakinya bertempiaran lari ke wilayah mereka sendiri.

Bagi mengenang akan peristiwa pertempuran di Kalabakan ini telah ditanam lapan batang pokok kelapa sebagai satu simbolik jumlah lapan orang anggota keselamatan Malaysia yang terkorban di kawasan tersebut. Selain itu, dua tugu peringatan turut dibina iaitu satu di lokasi pertempuran manakala satu lagi di bandar Tawau yang menyaksikan kesemua nama-nama anggota tentera yang terkorban dan cedera dicatatkan nama mereka di tugu peringatan tersebut.

Inilah antara rentetan perang yang langsung tidak perlu sebenarnya tetapi atas keegoan seorang pemimpin besar yang bercita-cita untuk meluaskan wilayahnya sehingga tidak menghormati kewujudan sebuah persekutuan yang baru dibentuk iaitu Persekutuan Malaysia yang baru sahaja berusia sebulan di ketika pertempuran berlaku. Pengorbanan anggota keselamatan Malaysia turut dilupa jangan dan mereka berjuang bukan untuk satu sandiwara tetapi bagi memastikan bahawa kita terus kekal merdeka sehingga sekarang.

“Those Who Do Not Remember The Past Are Condemned To Repeat It” – George Santayana, Spanish Phillosopher.

-HB-

#TaatDanSetia
#HariMalaysia16September

Rujukan:

1. Book “Fighting General. The Public and Private Campaigns of General Sir Walter Walker” by Tom Pocock. Published 1973

2. Kalabakan, The Untold Story
http://www.7rangers.com/2007/04/kalabakan-untold-story.html

3. Berita Harian, 16 September 2016 oleh Mohd Izham Unnip Abdulah – Pertempuran Kalabakan Terpahat Di Hati
https://www.bharian.com.my/node/193029

4. Peristiwa Kalabakan Sabah 1963 (Konfrontasi Indonesia Malaysia)
https://alumni3ramd.blogspot.my/2016/05/tawau-sabah-1963.html

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here