Perancis ini boleh kata macam-macam ada. Dari menara besi yang tak meraikan orang sendu hinggalah kelab yang memanjang rugi tapi menang trofi hanya satu. Di samping itu, Perancis juga merupakan satu-satunya negara di dunia yang membenarkan wanita berkahwin dengan ‘hantu’. Atau lebih tepat, nekrogami. Yakni, berkahwin dengan orang yang dah mati.

Bayangkan, setiap tahun negara itu menerima 50 permohonan untuk melakukan nekrogami – dan dari jumlah itu, hanya 25% sahaja ditolak. Selebihnya diluluskan. Makna kata, ada 37 orang wanita di Perancis yang berkahwin dengan orang mati pada setiap tahun. Kali dengan 10 tahun, dah cecah 370 orang.

Masalahnya, amalan ini bukan baru diluluskan sepuluh tahun lepas. Tetapi sudah semenjak 1960 lagi. Normalisasinya pula berlaku jauh lebih awal, iaitu semasa dan selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918). Dah namanya perang, semua orang pun jadi bimbang.

Ini termasuk kalangan wanita yang hamil pranikah. Iyalah, munasabah juga mereka bimbang – waktu itu masing-masing sudah berbadan dua. Tetapi janji untuk bersama hingga hari tua tidak sempat pun dikotakan. Semua gara-gara pasangan terkorban di medan perang. Sampai bukan takat pelamin angannya saja musnah, masa depan anak dalam kandungan pun barangkali punah – andai tidak dinasabkan kepada bapa kandung.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Maka dengan sebab-musabab begitu, mereka pun memilih jalan nekrogami. Yakni berkahwin dengan mendiang tunang yang dah pun meninggal dunia. Kiranya, biarlah menjanda dan menjadi ibu tunggal sampai tua – asalkan anak dapat nasab bapa kandung dan diri sendiri dapat berkahwin dengan pasangan pilihan hati.

Cuma pada masa itu, belum ada dokumentasi tersusun dan rasmi. Jadi, sejarah tidak dapat mengetahui seberapa ramai dan bagaimana cara nekrogami tersebut dijalankan. Justeru, tanggal nekrogami diluluskan di Perancis hanya diletakkan beberapa dekad kemudian, iaitu pada 1960.

Ini berikutan peristiwa pecahnya Empangan Malpasset pada 2 Disember 1959 yang mengorbankan sehingga 423 orang – termasuk André Capra, tunang kepada Irène Jodard. Masa itu, Irène sudah pun hamil. Jadi, dia membuat permohonan kepada Presiden Charles de Gaulle supaya perkahwinannya dengan André dapat diteruskan.

Permohonan Irène meraih sokongan ramai termasuk pengamal media. Justeru, ia serta-merta diluluskan menerusi Artikel 171 dalam Kod Sivil Perancis yang dipinda setahun kemudian. Menerusi pindaan tersebut, nekrogami pun dibenarkan atas beberapa syarat.

Kesan runtuhan empangan Malpasset 1959 (Keystone-France/Gamma-Rapho)

Pertama, niat si mati untuk berkahwin perlu dibuktikan. Antaranya, menerusi rekod pembelian cincin atau gaun kahwin. Edaran kad jemputan juga diambil kira, di samping kesahihan daripada kedua-dua ibu bapa.

Ini seperti yang terjadi ke atas Magali Jaskiewics, yang sudah pun membeli gaun kahwin dan membuat aturan majlis dengan Dewan Perbandaran dua hari sebelum tunangnya terkorban dalam satu kemalangan. Dengan adanya dua bukti itu, perkahwinan Magali diluluskan dan dia sah bergelar isteri setahun kemudian.

Syarat kedua pula, pemohon perlu menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa perkahwinan dengan si mati perlu diteruskan. Biasanya dalam bab ini, kebajikan anak dalam kandunganlah yang menjadi sebab utama – selain faktor kematian secara tragik seperti terkorban dalam perang, musibah alam, dan serangan pengganas. Ini seperti yang menimpa Irène Jordard, atau kalau mahu ambil contoh terkini, Etienne Cardiles yang kematian tunang akibat menjadi mangsa serangan pengganas di Champ Elysee pada 20 April 2017.

Apapun untuk menghindari penyelewengan, si pemohon diharamkan mewarisi harta mendiang. Ini termasuk kediaman dan perniagaan. Satu-satunya harta yang boleh dituntut adalah wang pencen dan insurans.

Majlis perkahwinan nekrogami Magali Jaskiewics (Kredit: The BS Report)

Ikutkan, amalan nekrogami ini berlaku di serata dunia. Termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Korea Selatan, dan Thailand. Di China juga ada, cuma di sana terdapat dua konsep berbeza. Konsep pertama sebetulnya kurang sesuai disebut sebagai nekrogami. Sebab nekrogami ini maksudnya salah seorang masih hidup, berkahwin dengan orang yang dah mati.

Tetapi dalam konsep yang diamalkan di China sejak 200 M ini, dua-dua pun mati bujang. Mereka hanya disatukan atas persetujuan kedua-dua keluarga. Ini supaya si wanita dapat mengubah nama keluarga kepada nama keluarga suami, dan si lelaki pula boleh ada zuriat yang bakal memujanya sebagai nenek-moyang – dengan cara, ahli keluarga yang masih hidup mengambil anak angkat lalu menisbahkan nama kepadanya.

Amalan begini turut dilakukan andai anak lelaki sulung mati bujang. Ini supaya tidak berlaku langkah bendul dalam kalangan adik-beradik.

‘Perkahwinan hantu’ di China moden (Kredit: CEN)

Konsep kedua pula tidak jauh berbeza dengan nekrogami di Perancis. Di mana, wanita yang kematian tunang boleh memilih sama ada mahu meneruskan perkahwinan dengan mendiang atau tidak. Kalau diteruskan, maka tempat pengantin lelaki dalam majlis akan diwakili oleh seekor ayam jantan putih. Kiranya, ayam inilah yang akan ‘bersanding’ dengan wanita tadi.

Ikutkan, satu-satunya hal yang membezakan antara nekrogami di Perancis dan China adalah pihak yang berinisiatif. Di China, nekrogami bukan eksklusif untuk kaum wanita sahaja. Keluarga kepada lelaki yang mati bujang pun boleh berinisiatif mengahwinkan mendiang. Antara caranya adalah dengan membeli mayat perempuan yang baru ditanam, lalu disatukan kedua-dua mayat dalam satu kubur yang sama.

Satu lagi cara lain adalah dengan merisik wanita yang sudi berkahwin dengan mendiang. Ini seperti yang berlaku di Shanghai pada kurun ke-19, di mana wanita hartawan dicatatkan lebih cenderung berkahwin nekrogami berbanding berpasangan dengan lelaki hidup. Sebabnya, mereka tidak perlu fikir soal ‘berhenti kerja’ dan ‘sibuk mengurus hal rumah tangga’. Setakat perlu jadi menantu yang baik, dan kalau perlu, mengambil anak angkat sebagai anak sendiri.

Apapun menjelang 1949, amalan nekrogami begini diharamkan di China. Semenjak itu, ia hanya dilakukan secara terpencil tanpa kelulusan dari pihak berkuasa.

RUJUKAN

Cox, Savannah. (2016, 22 March). ‘Til Death Don’t Us Part: A History of Ghost Marriage. All That Interesting.

Mancini, Mark. (2013, 2 December). Can You Legally Marry a Dead Person? Mental Floss.

O’Reilly, Edward. (2019, 28 January). Did you know: Why marrying dead people is possible in France. The Local.

Satapathy, Sagar. (2020). Do You Know? Marrying a Dead allowed in France. The News Insight.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply