Perang Perisikan USA-Jerman

0
1029
views

Sebelum Amerika Syarikat memasuki teater Perang Dunia Kedua (WWII), pihak Nazi Jerman sudah menghantar perisik mereka ke negara tersebut atau memujuk warga Jerman-Amerika menjadi perisik bagi pihak mereka. Dan amalan ini diteruskan sepanjang perang meletus. Walaupun ada sesetengah operasi berjaya, ada juga yang berakhir dengan kegagalan dan mengundang malu kepada Abwehr, agensi perisikan Nazi Jerman.

1. OPERASI PASTORIUS BAHAGIAN I

Pada tahun 1942, pihak Nazi Jerman melancarkan Operasi Pastorius dengan objektif mensabotaj kemudahan dan infrastruktur di pantai timur Amerika Syarikat dan New York seperti landasan keretapi, jambatan dan kilang untuk tempoh dua tahun. Namun, operasi seperti ditakdirkan untuk gagal.

Kenapa saya bercakap sedemikian? Pertama, perisik-perisik yang diketuai George John Dasch tidak berpengalaman dan hanya mempunyai sedikit latihan perisikan. Kedua, semasa mereka hendak mendarat di pantai Long Island, kapal selam mereka terkandas di beting pasir dan kesukaran membawa barang operasi dalam bot getah dalam keadaan dilambung ombak besar. Terakhir, sikap terburu-buru Dasch sendiri. Semasa mereka tergesa-gesa menanam duit, senjata api dan bahan letupan di pantai serta menukar pakaian mereka kepada pakaian biasa, seorang peronda pengawal pantai bernama John Cullen terserempak dengan mereka. Dasch yang semakin risau mengancam Cullen dan memaksanya menerima sejumlah wang sebagai rasuah untuknya mendiamkan diri.

Cullen tidak termakan dengan taktik Dasch dan segera menghubungi pihak berkuasa. Apabila mereka menggali di pantai, mereka menjumpai semua barang Operasi Pastorius termasuk wang, senjata api, pakaian dan puntung rokok buatan Jerman. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat kumpulan tersebut dan telah mengarahkan pencarian sekitar Amagansett dan Long Island tetapi kumpulan Dasch sudah menuju ke bandaraya New York. Apabila tiga rakannya bersembunyi di sebuah hotel, Dasch menuju ke Washington, DC di mana dia menyerah diri dan menceritakan segala-galanya kepada pihak berkuasa. Dasch dipenjarakan selama 30 tahun sebelum diberi pengampunan pada tahun 1948 dan dihantar pulang ke Jerman Barat. Sementara bagi rakan-rakannya pula, mereka dihukum mati.

2. OPERASI MAGPIE

Tiga bulan selepas plot 20 Julai, pada November 1944, Abwehr menghantar dua perisik untuk mengumpul maklumat kekuatan dimiliki Amerika Syarikat terutama kapal laut dan pesawat serta menangguhkan pembangunan bom atom. Dua perisik ini ialah Erich Gimpel, bekas kurier Abwehr yang fasih berbahasa Inggeris dan William Colepaugh, seorang warga Amerika berketurunan Jerman yang bersimpati dengan Nazi.

Seperti Pastorius, Magpie turut berakhir dengan kegagalan. Ini kerana sebaik saja mereka mendarat di Maine dan menuju ke New York, Colepaugh tidak lagi fokus kepada tugasan perisikannya. Dia menggunakan duit tersebut untuk berparti, minum arak dan tidur dengan ramai wanita sehingga menimbulkan kemarahan Gimpel. Colepaugh turut membawa lari baki wang operasi sebanyak $40,000 dan menginap di sebuah hotel terkemuka. Selepas satu lagi episod mabuk pada musim cuti Krismas, dia menyerah diri kepada FBI pada 29 Disember dan menceritakan segala-galanya. Kedua-duanya ditahan dan dibicarakan dalam tribunal tentera di mana mereka dihukum mati. Namun apabila WWII berakhir, hukuman mereka ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup. Gimpel dibebaskan pada tahun 1955 dan kembali ke Jerman Barat untuk menulis memoirnya sementara Colepaugh diberi parol lima tahun kemudian dan menjalani kehidupan sederhana di Pennsylvania.

3. WALDEMAR OTHMER

Lelaki ini seorang yang disukai ramai, menjadi rakyat Amerika pada tahun 1935, berkahwin dengan seorang wanita Amerika dan mempunyai pekerjaan sebagai jurujual penyedut hampagas. Di sebalik fakta bahawa dia selalu melakukan lawatan ke Jerman, tiada siapa sedar Waldemar Othmer ini perisik bagi pihak Abwehr.

Othmer mula terlibat selepas menjadi ketua sebuah kumpulan pro-Nazi semasa bekerja di Navy Yard. Selepas menonjolkan dirinya sebagai pekerja yang rajin dan bersungguh-sungguh, dia mendapat pekerjaan di Kem Pendleton atas arahan pengendalinya. Di sinilah, Othmer mencuri pelbagai maklumat sulit tentera termasuk pergerakan konvoi kapal Britain dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1942, dia dipindahkan ke satu lagi kem tentera di Knoxville, Tennessee.

FBI cuba menyiasatnya sebelum ini tetapi tidak mendatangkan hasil. Namun satu perkara memberi harapan kepada mereka. Pada tahun 1944, Othmer membuat satu permintaan pelik kepada seorang doktor gigi di New Jersey untuk mendapatkan Pyramidon, sejenis ubat penahan sakit yang digunakan sebagai dakwat halimunan oleh Abwehr. Selepas ditahan oleh pihak berkuasa, dia mengaku menjadi perisik dan menghantar maklumat tersebut kepada pengendalinya tetapi menafikannya selepas serangan ke atas Pearl Harbor. Othmer tidak menyerahkan nama ejen terlibat tetapi menyerahkan mikrofilem yang mengandungi kod komunikasinya dengan Abwehr. Dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan merisik.

4. GUENTHER RUMRICH

Kisah Guenther Rumrich tidak sama dengan kisah perisik Jerman lain. Tidak seperti mereka yang tiada latar belakang tentera atau perisikan, Rumrich pernah berkhidmat dalam Kor Perubatan Tentera Amerika di Panama dari tahun 1929 hinggalah tahun 1936. Namanya menjadi perhatian FBI selepas biro mendapat maklumat dari pihak Perkhidmatan Keselamatan Britain (MI5) tentang koresponden surat antaranya dengan Puan Jessie Jordan di Dundee, Scotland. Jordan dipantau MI5 kerana disyaki bekerja sebagai penghantar maklumat untuk Abwehr. Apabila MI5 berjaya memintas koresponden surat Jordan-Rumrich, surat tersebut sebenarnya mengandungi arahan dari Abwehr untuk operasi lapangan dan nama kod bagi Rumrich ialah Encik Crown.

MI5 menghantar maklumat tersebut kepada FBI dan mereka memasang perangkap tetapi Rumrich tidak termakan dengan perangkap itu. Sebaliknya, pada Februari 1938, dia menelefon Pejabat Pasport di New York dengan menyamar sebagai Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Dari situ, dia meminta 35 pasport kosong dihantar ke alamatnya. Namun, kerani yang menyambut panggilannya mengesyaki ada sesuatu tidak kena dan melaporkan kepada pihak berkuasa. Rumrich ditahan serta-merta dan ini menjadi kes perisikan pra-perang pertama Amerika Syarikat. Dia menyerahkan semua maklumat berkenaan rakan-rakan konspirasinya sebagai pertukaran kepada hukuman penjara dua tahun. Namun, masih ramai perisik Nazi berjaya melarikan diri dari radar FBI.

5. LILLY STEIN

Waqaf Saham

Jika anda sangka sosialit tidak boleh jadi perisik, jawapan anda salah. Lahir pada tahun 1914 dari keluarga yang kaya dan berpengaruh, Lilly Stein terlibat dengan aktiviti seperti luncur ais dan tenis. Namun selepas kerap mengunjungi restoran dan kelab malam, terpisah dengan keluarga dan mempunyai hubungan sulit dengan diplomat dan pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ogden H. Hammond, Jr membawa kepada penglibatannya sebagai perisik Abwehr.

Stein dihantar ke New York pada tahun 1939 di mana dia membuka sebuah butik dengan rakan-rakan barunya. Stein merekrut ramai orang sebagai operatif dan menjadikan butiknya sebagai alamat penghantaran semula untuk menghantar maklumat ke dan dari Jerman mengandungi arahan atau maklumat sensitif kepada ejen terlibat. Hubungannya dengan Hammond diteruskan walaupun dia mendakwa hubungannya itu bersifat platonik. Bagi FBI, agak sukar bagi mereka menahannya kerana Stein amat berhati-hati dan tidak membawa apa-apa benda yang boleh menyabitkan dirinya dengan jenayah risikan. Namun, bisnes butiknya tidak lagi membawa keuntungan kepada dirinya dan Stein sentiasa meminta wang dari Abwehr untuk membayar sewa butiknya. Apabila agensi merasa tidak tahan lagi, mereka segera melepaskannya sebagai aset.

Stein ditahan pada tahun Jun 1941 sebagai sebahagian daripada rangkaian perisikan Duquesne. Dalam pembelaannya, antara alasan pembabitannya dengan Abwehr ialah bimbang dihantar ke kem-kem tahanan sekembalinya ke Jerman. Namun, itu tidak menghalang hakim menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kepada Stein.

6. PELAN BIRU PENGEBOM NORDEN

Walaupun berhijrah ke Amerika Syarikat pada usia 27 tahun dan berusaha menjadi warganegara melalui proses naturalisasi, kesetiaan Hermann Lang kepada Jerman masih lagi kekal. Maka tidak hairanlah pada tahun 1938, Lang direkrut sebagai perisik oleh Abwehr. Agensi tersebut memilih Lang kerana dia bekerja dengan kilang Carl L. Norden yang membangunkan senjata dan kenderaan sulit bagi Tentera Amerika Syarikat. Dan satu projek rahsia dibangunkan Norden ialah pembangunan alat mensasarkan bom bagi Tentera Laut dan Tentera Udara. Projek ini sangat sulit sehinggakan sekutu Amerika Syarikat, Britain tidak berpeluang melihat alat tersebut berikutan keinginan pihak Amerika untuk kekal neutral semasa WWII meletus.

Berikutan tugasnya sebagai pemeriksa kilang, Lang mempunyai akses kepada pelan biru alat tersebut. Polisi syarikat melarang mana-mana individu dari mengambil pelan keluar dari kilang tetapi dia berjaya melakukannya dan membuat satu salinan yang diseludup keluar ke Jerman oleh seorang ejen. Salinan pelan tersebut disimpan dalam sekaki payung ejen itu. Lang terus melakukan kerja tersebut sehinggalah ditahan oleh pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada rangkaian perisikan Duquesne. Dia mengaku bersalah dan dipenjarakan selama 20 tahun.

Bagi kerajaan Amerika, mereka memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pelan tersebut masih selamat dan tidak diserahkan sepenuhnya kepada Jerman. Namun, jika anda perasan, kebanyakan pesawat pengebom Luftwaffe mempunyai alat mensasar bom selepas tahun 1938 mempunyai persamaan dengan pelan yang dicuri Lang.

7. OPERASI PASTORIUS BAHAGIAN II

Jika Dasch dan pasukannya berhadapan dengan masalah, begitu juga dengan sebahagian lagi unit Operasi Pastorius. Kumpulan ini diketuai oleh John Edward Kerling, seorang warga Jerman yang sudah menetap di Amerika Syarikat untuk bertahun-tahun lamanya sebelum kembali ke tanah air. Seperti anggota kumpulan Dasch, mereka tidak mempunyai latihan perisikan dan dipilih hanya kerana tahu menggunakan bahan letupan. Kumpulan Kerling mendarat di Florida, menanam wang, senjata api dan bahan letupan di pantai dan bergerak ke pusat bandar Jacksonville untuk menuju ke Cincinnati, Ohio tanpa insiden. Tanpa pengetahuan Kerling, Dasch telah membocorkan maklumat operasi mereka kepada FBI termasuk pendedahan kumpulan kedua yang dipimpin Kerling. Kerling dan tiga rakannya ditahan, dibicarakan dalam tribunal tentera dan dihukum mati menggunakan kerusi elektrik pada Ogos 1942 bersama dua lagi ahli Dasch.

8. DOKTOR PERISIK

Selepas berkhidmat dalam tentera Jerman semasa Perang Dunia Pertama (WWI), Dr Ignatz Griebl, seorang pakar bedah dan obstetrik berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1925 dan selepas bergelar warganegara, menetap di Yorksville, Manhattan, New York. Di sini, dia berkhidmat sebagai pemimpin komuniti dan mendaftarkan diri sebagai ahli Unit Simpanan Tentera Amerika Syarikat. Namun di sebalik semua ini, Griebl juga sebenarnya perisik bagi Abwehr dari tahun 1934.

Menerusi kerja keras, hubungan sosial dan kesetiaan pada Nazi, Griebl membina rangkaian perisikan yang meluas sekitar Amerika Syarikat dengan maklumat sensitif dihantar ejen-ejen ini dari bandar-bandar seperti Boston, Norfolk dan Baltimore. Dia turut merekrut jurutera Jerman-Amerika untuk mengkhianati majikan mereka dengan membekalkannya maklumat sulit tentera dan pelan pertahanan. Berikutan usahanya itu tidak pernah dikesan pihak berkuasa, Griebl boleh bermaharajalela tanpa perlu merasa risau. Sebagai ganjaran atas kerja kerasnya, Luftwaffe mengurniakan pangkat kehormat kapten kepadanya dan mendapat bayaran lumayan dari Abwehr.

Selepas Guenther Rumrich ditahan pihak berkuasa pada tahun 1938 dan mendedahkan maklumat operasi termasuk nama Griebl, dia ditahan pihak berkuasa dan mendedahkan semua individu dalam rangkaiannya. Maklumat yang diberi amat terperinci sehinggakan FBI sedia melepaskannya dengan syarat Griebl hadir untuk sesi jemaah juri. Namun, dia tidak hadir ke prosiding dan melarikan diri melalui kapal laut untuk kembali ke Hamburg, Jerman. Griebl kemudian menetap di Vienna di mana dia membuka semula klinik dan tidak lagi terlibat dengan aktiviti perisikan untuk Nazi Jerman.

9. GUSTAV GUELLICH

Salah satu anggota rangkaian perisikan Griebl ialah seorang ahli metalurgi bernama Gustav Guellich. Guellich berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1932 dan menjadi sebahagian daripada rangkaian perisikan Griebl pada tahun 1935 berikutan kerjanya di sebuah limbungan kapal di New Jersey. Kerana kedudukannya itu, Guellich mempunyai akses kepada semua projek rahsia termasuk pelan biru kapal pemusnah dan jenis senjata digunakan. Kerja kerasnya menjadikannya sebagai antara aset berharga dalam rangkaian perisikan Nazi Jerman.

Pada satu hari, satu laporan oleh Robert H. Goddard, seorang pengkaji yang mempelopori kajian peluru berpandu dikuasakan roket tiba di meja Guellich. Selepas menghantar laporan tersebut kepada Griebl, Berlin amat berminat dengan maklumat tersebut dan mahukan lebih banyak maklumat berkenaan projek tersebut. Guellich pergi ke makmal Goddard di New Mexico dan menyaksikan pelancaran roket Nell yang dihasilkannya. Dia terus menghantar data-data ini bagi membantu para saintis Jerman membangunkan roket versi mereka.

Namun nasib Guellich tak bertahan lama. Selepas Griebl ditahan pihak berkuasa, Griebl mendedahkan semua anggota rangkaiannya termasuk Guellich. Dan seperti semua anggota perisikan Griebl, mereka hanya dikenakan hukuman ringan oleh pihak berkuasa.

10. FRITZ DUQUSNE & WILLIAM SEBOLD

Ini kisah dua perisik yang direkrut oleh Abwehr tetapi amat berbeza kesudahannya. Frederick ‘Fritz’ Duquesne ialah seorang perisik yang berkhidmat dengan Jerman pada WWI sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat dan menjadi warganegara melalui naturalisasi. Namun itu tidak menghalangnya berkhidmat kepada Abwehr dan membina rangkaian perisikan Nazi dengan mengumpul semua maklumat dari ejen Nazi di lokasi-lokasi strategik di Amerika Syarikat.

Bagi William Sebold pula, dia sama sekali tidak berminat menjadi perisik. Namun selepas diugut oleh Kolonel Nikolaus Ritter, ketua perisikan tentera Wehrmacht untuk menyertai rangkaian Duquesne, dia terpaksa tunduk. Namun ia tidak berakhir di situ saja. Sebold berhubung secara rahsia dengan Konsulat Amerika Syarikat di Cologne, Jerman dan menceritakan apa yang berlaku. Selepas dibawa pulang ke Amerika Syarikat, pihak FBI mengaturkannya menjadi ejen talam dua muka untuk membantu mereka menahan semua individu terlibat. Hasil kerjasamanya, FBI mempunyai akses pada kod komunikasi Sebold untuk menghantar maklumat tidak tepat kepada Abwehr.

Figure 3: Fritz Duquesne (kanan) berbincang dengan seorang ejen FBI yang menyamar tanpa menyedari perbualan tersebut direkodkan mereka di sebalik cermin dua hala.

Pada Disember 1941, enam hari selepas serangan ke atas Pearl Harbor, FBI menahan 33 anggota rangkaian perisikan termasuk Duquesne. Penahanan ini merupakan penahanan terbesar operatif asing di Amerika. Sesetengah daripada mereka mengaku bersalah tetapi ramai mengambil keputusan mahu dibicarakan, di mana kesemua mereka dihukum bersalah.

Bagi Sebold sendiri, selepas operasi berakhir, dia memasuki program perlindungan saksi FBI dan dipindahkan ke California. Namun, kesihatannya semakin merosot ditambah pula dengan ketakutannya akan tindakan saki-baki rejim Nazi yang mahu membalas dendam. Dalam satu surat yang dihantar keluarganya kepada dia, mereka memberitahu sesetengah orang Jerman yang berkhidmat dengan Wehrmacht masih mahu membalas dendam padanya. Sebold kemudian dimasukkan ke Hospital Negeri Napa di Napa, California di mana dia didiagnosis kemurungan berpanjangan dan mati akibat sakit jantung lima tahun kemudian.

SUMBER

1. Adams, Nene. (2013). Listverse. 10 Nazi Spies and Their Espionage Plots in America. https://listverse.com/2013/06/12/10-nazi-spies-and-their-espionage-plots-in-america/

2. Daily Mail. (2014). Revealed: The unsung heroics of the New Yorker who helped bring down one of the biggest spy rings in American history and helped defeat the Nazis in WWII. http://www.dailymail.co.uk/news/article-2690552/New-book-details-life-unsung-World-War-II-hero-helped-bring-Nazi-spy-ring-operating-America.html

Previous articleJejak Pahlawan Sarawak: Lans Koperal (B) Sigai Anak Endawan @ Nawan
Next articleTips Untuk Kurangkan Pengunaan Minyak
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here