Negara Jepun merupakan sebuah kepulauan yang terletak di timur benua Asia yang mengandungi empat pulau utama iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan Kyushu dan empat ribu pulau-pulau kecil. Kepulauan Jepun memanjang dari hujung sebelah utara sehingga hujung sebelah selatan yang berukuran lebih kurang 3000 kilometer. Keempat-empat pulau utama itu merupakan tumpuan tempat tinggal dan aktiviti penduduk Jepun.

Kepulauan Jepun terletak di garisan latitud 45° 33‟ utara dan 20° 25‟ selatan, di garisan longitud 122° 56‟ timur dan 153° 59‟ timur. Kepulauan ini mengalami iklim hawa sederhana dengan empat musim iaitu dari Julai ~ September adalah musim panas, Oktober ~ Disember adalah musim luruh/gugur, Januari ~ Mach adalah musim sejuk dan April ~ Jun adalah musim bunga.

Kepulauan Jepun terletak dalam lingkaran gunung berapi aktif Asia Pasifik. Oleh yang demikian hasil daripada aktiviti gunung berapi ini terdapat banyak gunung berapi dan kawasan bergunung ganang yang terbentuk di negara Jepun. Kawasan pergunungan ini meliputi kawasan yang luas menyebabkan kawasan tanah rata sangat sedikit sekali. Hanya 30 peratus sahaja kawasan rata yang membolehkan aktiviti manusia dijalankan dan di kawasan yang kecil inilah orang-orang Jepun tinggal dan menjalankan kehidupan seharian mereka.

Catatan Awal Berkenaan Negara Jepun

Pada kurun ke 3 M penghijrahan manusia telah berlaku daripada semenanjung Korea ke kepulauan Jepun. Beberapa kurun kemudian mereka telah menukar budaya zaman batu mereka kepada budaya pertanian dan seni logam. Dapat dipastikan bahawa kumpulan yang pertama inilah yang menjadi pewaris bahasa dan budaya Jepun.

Catatan sejarah tentang negara Jepun ini banyak didapati daripada catatan-catatan oleh pencatat-pencatat kerajaan negara China. Pada 82 M, catatan terawal tentang negara Jepun adalah catatan yang menyebut mengenai orang Wa (ŒT) yang dikatakan tinggal di pulau-pulau seberang laut dari Loulang, sebuah pangkalan tentera China di utara semenanjung Korea. Mengikut catatan kedua dalam The History Of later Han pada 445 pula menyatakan,

“ According to Hou Han Shu (The History Of Later Han) compiled about 445), the Chinese emperor Guangwu presented a seal and a ribbon to the Wa ruler of Na, thought to have been located in north Kyushu ”.

Berkaitan dengan it mohor (seal) yang tertulis “ Raja wilayah Na dalam negara Wa di bawah naungan Dinasti Han ” yang disahkan kesahihannya telah dijumpai dekat Shikanoshima di Fukuoka wilayah Kyushu.

Negara Jepun telah mengadakan perhubungan dengan negara China sejak 200 M lagi dan telah menjadikan negara China sebagai negara perlindungannya. Keakraban kedua-dua negara ini telah memperlihatkan aktiviti peniruan di pihak negara Jepun dari segi bentuk kerajaan, agama Buddha dan sistem tulisan daripada negara China. Catatan-catatan ini merupakan tulisan utusan-utusan kerajaan negara China yang dihantar ke negara Jepun.

“ When they (Japanese) go on voyages across the sea to visit China, they always select a man who does not comb his hair, does not rid himself of fleas, lets his clothing get as dirty as it will, does not eat meat, and does not lie with women……. ”

(Ganley A.C, 1989:15)

Catatan di atas telah diterbitkan pada 297 M yang menerangkan keadaan orang Jepun apabila mereka datang melawat negara China. Walaupun perhubungan dengan negara China sudah terjalin tetapi tidak meluas kerana kerajaan Yamato (kerajaan pertama negara Jepun) masih belum terbentuk. Kalau di banding dengan orang China, orang Jepun yang digambarkan di atas itu sangat mundur dan mempunyai pemikiran yang karut. Mereka percaya jika perjalanan mereka selamat orang hodoh yang digambarkan di atas itu akan diberikan hadiah dan jika perjalanan mereka ditimpa bencana dan kecelakaan, orang itu akan dibunuh kerana dikatakan melanggar pantang.

“ When lowly meet men of importance on the road, they stop and withdraw to the roadside. In conveying messages to them or addressing them, they either squat or kneel with both hands on the ground. This is the way they show respect. When responding, they say „ ah ‟ , which corresponds to the affirmative „yes ‟. ”

(Takeuchi L, 1999:2)

Di dalam satu lagi catatan yang direkodkan pada 297 M juga pencatat kerajaan negara China ada melaporkan tentang bagaimana orang Jepun memberi hormat kepada seseorang yang mempunyai status yang lebih tinggi daripada mereka. Mereka samada akan mencangkung atau pun melutut dengan kedua-dua tapak tangan di tanah sambil menyahut pertanyaan dengan berkata „ ah ‟ yang bererti „ ya ‟.

Catatan-catatan di atas merupakan catatan yang dilakukan oleh utusan atau wakil kerajaan negara China. Negara China merupakan negara luar yang pertama yang mempunyai perhubungan dengan negara Jepun sebelum pembentukan negara Jepun awal iaitu negara Yamato. Pada ketika itu masyarakat Jepun hidup dalam kumpulan-kumpulan masyarakat yang dikenali sebagai uji seperti mana yang tertera di bawah ini.

“During the reigns of Huan-ti (A.D. 147-168) and Ling-ti (A.D. 168-189) the country of Wa was in state of great confusion, war and conflict raging on all sides. For a numbers of years, there was no ruler. Then a woman named Himiko appeared. Remaining unmarried, she occupied herself with magic and sorcery and bewitched the populace. “

(Ganley A.C, 1989:16)

Catatan ini telah diterbitkan pada 445 M. semasa pemerintahan Maharaja Huan-ti dan Ling-ti di China. Utusan kerajaan telah melaporkan tentang keadaan huru hara negara Wa (Jepun kuno) dalam kancah peperangan dan ketidakstabilan. Setiap uji mempunyai seorang ketua (perempuan atau lelaki) dan beberapa orang pembantu bagi mentadbir kumpulan mereka. Semua kumpulan uji ini mengamalkan animisme dengan mempunyai kami (tuhan) yang berbeza-beza mengikut kumpulan uji. Oleh kerana setiap uji mempunyai pentadbiran yang berbeza-beza maka salah faham tentang wilayah sering membawa kepada peperangan. Peperangan di antara uji ini kerap berlaku sehingga Himiko (seorang ketua kumpulan uji perempuan) dapat menguasai kumpulan-kumpulan uji yang lain dan memerintah kumpulan yang besar itu dengan menggunakan ilmu hitam dan ajaran karut untuk menakut-nakutkan ahli masyarakat supaya patuh kepadanya.

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas dapat dilihat bahawa perhubungan antara negara Jepun dengan negara China telah terjalin sejak dari awal lagi. Negara China pada ketika itu telah pun menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun tinggi. Oleh yang demikian segala urusan dengan negara luar telah direkodkan. Catatan di atas menunjukkan bahawa maharaja China berkenan memberikan hadiah yang merupakan lambang persahabatan di antara kedua negara. Perhubungan ini telah mendatangkan banyak kebaikan kepada pihak negara Jepun di mana maharaja-maharaja yang memerintah Jepun telah meniru cara atau gaya orang China dan Korea mentadbir negara. Di bawah adalah catatan mengenai kehidupan orang Jepun pada masa itu.

“There are about 100,000 households. It is customary to punish murder, arson and adultery with death. Thieves are made to make restitution in accordance with the value of goods stolen. ……. . As for musical instruments, they have five-stringed lyres and flutes. Both men and women paint marks on their arms and spots on their faces and have their bodies tattoed. They catched fish by diving into the water. They have no written characters and understand only the use of notched sticks and knotted ropes. ”

(Ganley A.C, 1989:16)

Catatan wakil utusan kerajaan negara China pada 630 M yang melaporkan tentang kegiatan kehidupan masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun pada masa itu berjumlah sebanyak 100 ribu keluarga dan mereka juga mempunyai peraturan-peraturan mengenai hukuman mati terhadap pembunuhan, pembakaran rumah dan perzinaan. Dicatatkan juga alat-alat muzik yang dimainkan oleh orang Jepun iaitu alat muzik petikan dan seruling. Rupa bentuk orang Jepun juga diterangkan di mana orang lelaki dan perempuan mewarnakan tanda di tangan mereka dan menandakan tompok-tompok di muka serta membuat “ tattoo ” di badan mereka. Mereka menangkap ikan dengan menyelam. Mereka tidak mempunyai sistem tulisan dan berhubung dengan menggunakan tanda takekan di kayu serta ikatan kayu.

Asal Usul Orang Jepun

Nihon atau Nippon adalah nama negara Jepun dalam bahasa Jepun yang bermakna “ Tanah Matahari Terbit ” yang juga disebut Yamato dalam catatan kuno. Pada kurun ke 7 M, pada kali pertamanya perkataan Nihon ini digunakan oleh para cendiakawan Korea yang datang ke negara Jepun. Pada zaman Meiji (1868~1926) dan zaman Taisho (1912~1926) perkataan Nihon diubah kepada Nippon bagi memberikan impak kepada semangat kenegaraan tetapi selepas tamatnya Perang Dunia Kedua istilah Nihon digunakan semula.

Terdapat 3 teori tentang asal usul orang Jepun iaitu :-

a) mereka dikatakan berasal daripada orang Ainu (proto-caucasoid)
b) berasal daripada orang Mongoloid (China-Mongolia),
c) dan berasal daripada orang Nusantara (Asia Pasifik). Mengikut sejarah orang Ainu telah menduduki negara Jepun 5000 tahun lebih awal daripada orang Mongoloid. Orang Ainu ini berhijrah ke pulau Hokkaido dan Honshu dan mereka ini berketurunan caucasian di mana kaum lelaki mereka mempunyai kulit berwarna putih dan mempunyai bulu di muka dan badan. Orang Ainu dikatakan berasal dari bahagian timur laut Asia. Di Jepun ahli geologis telah menemui tulang rangka haiwan yang hidup di utara Asia semasa zaman Pleistocene lebih kurang 100,00~1,000,000 tahun dahulu. Penemuan ini mencadangkan bahawa terdapat dataran penghubung (land bridge) yang menghubungkan pulau-pulau dengan benua Asia yang menjadi laluan untuk penghijrahan manusia awal. Menurut ahli paleotologis orang Ainu datang ke pulau Hokkaido dan utara Honshu dengan menaiki rakit atau perahu-perahu kecil bermula sekitar 20,000 tahun dahulu.

Pada tahun ke 8 M apabila kemasukan orang Mongoloid bertambah pesat telah menyebabkan orang Ainu ini berpindah ke utara Hokkaido. Tetapi lama kelamaan orang Ainu telah diterima oleh masyarakat Jepun. Orang Ainu ini pada masa dahulu merupakan masyarakat primitif yang hidup dengan memburu dan memungut makanan. Kini orang Ainu mendapat perhatian daripada kerajaan Jepun untuk memastikan kumpulan masyarakat ini tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang berlaku di negara Jepun. Usaha-usaha telah dijalankan untuk memperkenalkan budaya dan tradisi orang Ainu ini ke peringkat nasional dan juga antarabangsa. Orang Ainu ini dikatakan bukan keturunan orang Jepun moden kerana perbezaan dari segi bentuk fizikal,6 cara hidup dan bahasa yang mereka tutur.

Orang Mongoloid berhijrah ke pulau-pulau selatan Jepun agak terkemudian sedikit daripada orang Ainu dengan menyeberangi Selat Korea yang agak sempit dan bahaya. Orang Mongoloid ini bukan dari kalangan orang China tetapi mungkin berasal dari Korea atau Asia Tengah. Terdapat juga penghijrahan orang Mongoloid dari arah selatan China yang berkemungkinan dari pulau-pulau selatan. Orang mongoloid lelaki mempunyai kulit kekuningan, sedikit bulu di muka dan badan mereka. Pergerakan mereka meluas dari kawasan pantai barat Jepun mengarah ke timur iaitu dari pulau Kyushu ke pulau Shikoku dan menyusur ke pantai selatan pulau Honshu. Orang Mongoloid ini dipercayai sebagai asal keturunan orang Jepun moden sekarang ini yang merupakan kumpulan terbesar penduduk Jepun. Ini berdasarkan kepada persamaan yang didapati pada rupa bentuk fizikal dan keupayaan mereka menyerap cara hidup dan kebudayaan orang Cina. Selain daripada orang Cina, orang Mongoloid juga mempunyai pertalian rapat dengan orang Vietnam, Thailand, Myammar dan lain-lain.

Proses-proses penyerapan juga berlaku di antara orang Mongoloid dengan orang Ainu dan di antara penghijrah-penghijrah dari Korea. Ada satu teori lain yang mengatakan bahawa orang Jepun berasal daripada orang Nusantara daripada kalangan orang Polynesia.

Orang Polynesia adalah penduduk di pulau-pulau Nusantara dan merupakan pelayar yang mahir. Mengikut teori ini kemungkinan orang Polynesia ini telah belayar sehingga ke negara Jepun. Tetapi memandangkan keadaan rupa bentuk fizikal dan struktur bahasa di antara kedua-dua orang ini, adalah sukar untuk menentukan dengan jelas bahawa orang polynesia adalah asal keturunan orang Jepun.

Budaya Manusia Zaman Awal

Penemuan-penemuan alatan batu (stone tools) oleh ahli arkeologi di kebanyakan tempat di kepulauan Jepun dipercayai bertarikh 25,000 tahun dahulu membuktikan telah wujud budaya manusia zaman awal. Para penyelidik juga telah menemui barangan tembikar tempawan yang menunjukkan telah wujud budaya yang maju pada 10,000 SM lagi. Terdapat pada barangan tembikar ini corak berupa tali temali atau talikod (a rope or cord-like pattern) yang menarik dan ianya dikenali sebagai jomon dalam bahasa Jepun. Nama zaman ini dinamai zaman Jomon kerana mengambil sempena corak yang terdapat pada tembikar yang ditemui itu yang melangkaui dari 10,000 SM sehingga 300 SM. Penduduk di zaman Jomon ini hidup dengan cara primitif menggunakan alatan batu, tinggal dalam rumah lubang (pit houses) dan menjalankan aktiviti menangkap ikan dan memungut kerang serta memburu rusa dan babi hutan.

Budaya Yayoi yang lebih maju menggantikan budaya Jomon pada abad ke 4 SM di pulau Kyushu. Budaya Yayoi berkembang mungkin kerana penghijrahan orang-orang Mongoloid melalui Selat Korea ke pulau Kyushu untuk mengelak daripada kekacauan yang berlaku di negara China pada ketika itu. Penghijrah-penghijrah ini membawa kemahiran melebur dan membentuk besi serta teknik menanam padi basah. Alatan besi telah digunakan dengan meluasnya dalam bidang pertanian seperti alatan cangkul, sabit, tajak dan lain-lain. Pada zaman ini satu alat memutar tembikar dengan menggunakan roda telah digunakan untuk menghasilkan tembikar telah digunakan dengan meluasnya. Alat ini dipanggil yayoi dalam bahasa Jepun dan zaman ini telah dinamai Zaman Yayoi mengambil sempena alat itu.

Orang zaman Yayoi sangat mempercayai gejala dan alamat (baik atau buruk) ke atas kejadian alam semulajadi. Mereka telah meminta pertolongan peramal atau ahli sihir untuk menjelaskan sesuatu gejala atau petanda-petanda yang membimbangkan mereka. Kepercayaan kepada peramal dan ahli sihir serta keyakinan tentang kekuasaan yang ada pada alam semulajadi telah melahirkan kepercayaan Shinto. Shinto menganggap suatu objek itu sebagai kami (tuhan) jika objek itu menimbulkan perasaan takjub. Orang Jepun menghormati kami ini dengan melakukan penyucian seperti membasuh tangan dan mulut dengan menyediakan barang sembahan dengan menepuk tangan dan membongkok. Kepercayaan Shinto tiada mempunyai etika kelakuan, balasan baik dan buruk, tiada kitab suci, tiada pengasas tetapi hanya suatu kepercayaan kepada ketakjuban alam. Seseorang penganut Shinto dianggap melakukan kesalahan terhadap kami apabila tidak menjaga kebersihan dan mencemari alam semulajadi.

Bermula pada abad ke 3 M, gelombang penghijrahan kedua dari benua Asia ke kepulauan Jepun telah berlaku. Penghijrah ini mempunyai kemahiran tinggi dalam pertanian dan mahir membuat senjata. Mereka telah menyeberangi Selat Korea dan menduduki kawasan barat pulau Kyushu. Mereka telah menghalau penduduk asal di kawasan persekitaran itu ke pulau Shikoku dan Honshu. Mereka ini mempunyai kemahiran untuk membina makam-makam besar yang dipanggil sebagai kofun dalam bahasa Jepun. Oleh kerana terdapat banyaknya kofun dibina di zaman ini, maka zaman ini dikenali sebagai Zaman Kofun.

Orang zaman kofun ini mendiami kawasan-kawasan yang berdekatan dengan lembah sungai dan tanah rata yang sempit. Mereka ini diletakkan di bawah penguasaan sesebuah keluarga atau kumpulan uji dominan yang menjadi menjadi pemerintah kawasan baru itu. Manakala majoriti penghijrah yang lain bekerja sebagai pekerja atau pun menjadi hamba. Keluarga pemerintah ini hanya membentuk 10% daripada jumlah penghijrah dan mereka ini mewarisi tanah dan kausa politik.

Pada zaman ini perhubungan antara orang Jepun dengan negara China sudah begitu erat. Hasil kajian para ahli arkeologi terhadap makam-makam yang terdapat di kawasan 3 pulau utama Jepun mendapati bahawa penemuan tinggalan-tinggalan sejarah seperti cermin tembaga, pedang dan baju besi serta patung-patung tanah liat telah dipengaruhi oleh zaman budaya maju kerana perhubungan dengan negara China dan Korea.

Pembentukan Negara Yamato

Kepulauan Jepun sebelum pembentukan negara Yamato masih tidak mempunyai nama, tiada sistem bahasa yang seragam, tiada sistem pentadbiran pusat dan tiada bandar kota. Tetapi pada abad ke 6 M, sebuah keluarga uji di Yamato (terletak di pulau Honshu) telah melakukan penaklukan keluarga-keluarga uji yang berdekatan. Selain itu keluarga ini juga membuat perjanjian damai dengan kumpulan-kumpulan uji yang ingin berkompromi melalui perkahwinan dan hubungan diplomatik. Lama kelamaan keluarga ini bertambah kuat dan sangat berkuasa. Ketua keluarga Yamato ini mendakwa mempunyai kuasa ghaib yang menghubungkan mereka dengan dewi matahari. Ketua keluarga Yamato ini bertindak sebagai maharaja dan melantik ketua keluarga uji yang lain sebagai menteri yang mengetuai jabatan ketenteraan, keagamaan, pertanian dan jabatan-jabatan lain.

Pada peringkat awal pembentukan negara Yamato terdapat banyak pertelingkahan di antara keluarga-keluarga uji apabila pemilihan raja mahkota dibuat. Ini disebabkan oleh status maharaja yang memerintah negara Yamato di mana baginda dibenarkan untuk memiliki ramai isteri dan gundik. Situasi ini menyebabkan ramai ketua-ketua keluarga uji telah mengahwinkan anak mereka dengan maharaja. Masing-masing ketua keluarga uji dengan cara baik atau jahat cuba mempengaruhi maharaja supaya melantik keturunan mereka sebagai raja mahkota. Perbuatan ini telah menyebabkan berlakunya pembunuhan dan pengkhianatan lantas kacau bilau banyak berlaku.

Situasi ini berubah apabila pada 593M maharani Suiko telah menaiki tahta dan memerintah negara Yamato bersama anak saudaranya putera Shotoku. Putera Shotoku bertindak sebagai ketua penasihat kepada kerajaan dan telah berusaha untuk menyatupadukan negara Yamato. Putera Shotoku telah menstruktur gaya pemerintahan negara mengikut model pemerintahan negara China kerana pada masa itu pengaruh negara China telah menjadi semakin kuat apabila kemasukan agama Buddha.

“After adopting the Chinese system for keeping track of time, Shotoku ini A.D. 604 drafted a code of seventeen articles based on Confucian ethics as a guide for the behavior of officials and the general population. ”

(Ganley A.C, 1989:19)

Semasa pemerintahan putera Shotoku ancaman dari luar dan dalam telah meningkat dengan ketaranya. Baginda telah melakukan banyak pembaharuan untuk membendung ancaman-ancaman tersebut. Di antara pembaharuannya ialah pengenalan Perlembagaan Tujuh Belas Artikel pada 604 M. Perlembagaan ini merupakan peniruan perlembagaan kerajaan China yang menjadi panduan berkelakuan bagi pegawai kerajaan dan rakyat biasa. Perlembagaan ini juga memperuntukkan kuasa sepenuhnya kepada maharaja dan maharani dalam pemerintahan negara namun ia juga memberi penekanan agar semua orang bawahan mesti menghormati ketua mereka dan ketua juga mempunyai tanggungjawab kepada orang bawahan.

Selepas kematian Putera Shotoku, perlembagaan baharu iaitu Pembaharuan Taika telah ditulis oleh para pelajar Konfusi dalam istana Yamato pada 646 M. Perlembagaan ini merupakan teks perlembagaan yang menjadi intipati kepada kerajaan dan sistem imperial Jepun. Di dalamnya diperakukan bahawa semua wilayah di negara Jepun adalah milik maharaja.dan pegawai kerajaan diwajibkan mengambil peperiksaan pegawai kerajaan ala kerajaan negara China.

“In 646 Emperor Kotoku issued an edict, the Taika Reform (Great Change), that transferred to himself ownership of all the rice land and clarified his power to appoint all sixty-six provincial governors as well as lesser officials. ”

(Ganley A.C, 1989:20)

Semasa pemerintahan maharaja Kotoku kedudukan maharaja diperkuatkan lagi dengan berkuatkuasanya perlembagaan Pembaharuan Taika. Maharaja menguasai semua tanah sawah dan untuk memudahkan kerja-kerja pentadbirannya, maharaja telah melantik 66 gabenor wilayah dan pegawai-pegawai wilayah yang lain. Lama kelamaan sistem pemerintahan pusat bertambah baik, maka pembentukan sebuah negara yang mempunyai sistem pentdbiran pusat yang sistematik telah dapat dihasilkan.

-Hangpcdua Malaya-


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply