Kisah yang membayangi salah satu pertempuran dalam siri Perang Arab-Byzantine ini saya kira sebagai salah satu daripada kisah menarik yang harus ditatapi oleh kita sebagai umat Islam, dalam menyelami sejarah Islam itu sendiri. Seperti mana yang kita tahu, sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi, terdapat pertembungan antara Tamadun Islam dan Byzantine, seawal dalam Pertempuran Mutah lagi sebelum akhirnya ditamatkan persengketaan ini pada 1453 ketika era pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh daripada Turki Uthmaniyah.

Latar Belakang

Bercakap tentang penjarahan kota Amorium, saya dapati bahawa terdapat pelbagai versi yang menyelubungi kisah ini. Versi Islam yang diambil daripada sejarawan bernama Ibnu Atsir menceritakan kisah tentang seorang wanita Islam dari keturunan Bani Hashim yang ditangkap oleh Byzantine. Ketika ditangkap oleh Byzantine, maka berteriaklah si wanita memanggil khalifah Islam ketika itu. Ketika itu juga, Byzantine juga telah melanggar salah kota di bawah Abbasiyah iaitu Sozopetra dan Arsamosata dengan tentera dalam lingkungan 80, 000 sehingga 100, 000.

“Wahai Al Mutasim! Wahai Al Mutasim! Tolonglah aku!”

Dikatakan ketika itu, Al-Mutasim masih lagi sedang lena di atas katilnya terus bangkit kerana terkesima mendengar laporan itu. Dikatakan Al-Mutasim terus menjawab apabila mendengar panggilan si wanita tersebut:

“Aku penuhi panggilanmu! Aku penuhi panggilanmu!”

Lantas Al-Mutasim pun menyediakan bala tenteranya, dalam rekod yang mencatatkan tentang serangan itu, sekurang-kurangnya ketumbukan tentera setinggi 80,000 orang daripada kota Baghdad. Ada catatan juga mengatakan bahawa tentera yang dibawa oleh tentera Islam pula mencecah sehingga 200, 000 – 500, 000 orang tentera. Di samping jumlah tentera yang banyak, dikatakan juga turut mengiringi Al-Mutasim ialah 30, 000 para hamba berserta dengan 70, 000 haiwan yang terdiri seperti kuda dan unta. Digambarkan ketumbukan yang dibawa oleh Al-Mutasim ini sangatlah panjang, dan kalau disusun daripada Baghdad menuju ke Amorium yang terletak di Turki hari ini, tidaklah akan putus.

Lantas Al-Mutasim dikatakan bertanyakan kepada tenteranya kota Byzantine yang manakah yang paling kuat pada zaman tersebut. Maka mereka semua pun sepakat mengatakan bahawa Amorium (Amoria) ialah kota Byzantine yang paling ampuh. Maka bergeraklah 80, 000 orang tentera Abbasiyah menuju ke arah Amorium, diketuai oleh Al-Mutasim yang mahu menuntut bela di atas maruah saudari seagama dengannya!  Di Byzantine, menanti Al-Mutasim ialah Maharaja Byzantine iaitu Theopilos dengan 30, 000 orang tentera yang bersamanya.

Rancangan Mutasim

Khalifah Al-Mutasim membahagikan tenteranya kepada dua bahagian. Khalifah sendiri akan memimpin ke arah Cappadocia melalui kawasan Cilician manakala pasukan kedua pula melanggar Armeniac Theme. Dua pasukan ini kemudian akan bertemu di Amorium nanti. Salah satu daripada bahagian tentera Mutasim berjaya mengalahkan pasukan Theophilos yang membawa 30, 000 orang tentera. Akhirnya, dua pasukan ini bertemu di Amorium.

Kota yang dikatakan merupakan antara kota terkuat milik Byzantine ini dilindungi oleh tembok tebal, berserta dengan 44 buah Menara yang melindungi Amorium dari segenap arab. Selama 2 hari serangan saling berbalas antara Al-Mutasim dan juga Byzantine. Namun semuanya berubah apabila terdapat pengkhianat Arab Kristian dalam Byzantine yang memaklumkan kepada Al-Mutasim tentang satu bahagian di tembok yang lebih lemah dari kebanyakan tempat, kerana dirosakkan oleh hujan yang lebat. Tentera Abbasiyah di bawah Al-Mutasim menumpukan serangan di bahagian ini.

Sampai suatu masa, tentera Byzantine tidak mampu lagi menahan serangan yang dihadiahkan oleh tentera Arab. Salah seorang jeneral perang Bzyantine bernama Boiditzes yang ditugaskan untuk bertahan di dinding yang sedang cuba ditembusi oleh tentera Abbasiyah telah memilih untuk berhadapan dengan Al-Mutasim dan melakukan sedikit negotasi bagi menamatkan pertempuran itu. Boiditzes sempat mengarahkan kepada tenteranya untuk menjatuhkan senjata bagi beberapa ketika sehinggalah dia pulang daripada berdepan dengan Al-Mutasim.

Namun, Al-Mutasim lebih licik apabila telah mengarahkan tentera Abbasiyah untuk menghampiri bahagian tembok atau dinding yang sedang menunggu kepulangan Boiditzes itu sesenyap mungkin. Sampai sahaja dekat, terus serangan mengejut dilancarkan ke atas tentera Byzantine yang tidak bersedia itu. Akhirnya, pertahanan kota paling ampuh milik Byzantine jatuh ke tentera Abbasiyah.

Catatan mengatakan bahawa angka korban mencecah sehingga 30, 000 sehingga 70, 000 termasuk tentera yang bertahan dan juga penghuni kota tersebut. Al-Mutasim yang jelas tidak berminat pada Amorium mengarahkan kota tersebut dijarah harta dan kekayaannya, dan akhirnya dibakar sehingga menjadi abu kecuali meninggalkan tembok kotanya sahaja. Salah satu daripada bahagian dinding yang diambil oleh Al-Mutasim ialah sebuah pintu gerbang besi yang diletakkan kemudian pada pintu ke istana Al-Mutasim.

Rujukan:

Al-Harits al-Muhasibi (2010) Risalah al-Mustarsyidin: Tuntunan Bagi Para Pencari Petunjuk. Qisthi Press

Z A Rahman (28/09/2015) When Nations Perished For Harming Muslim Women. Islam21.Com. Retrieved From https://www.islam21c.com/politics/when-nations-perished-for-harming-muslim-women/

Sack of Amorium. Byzantine Battle. Retrieved From http://www.byzantium.xronikon.com/battle.php?byzbat=b9_11


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply