Penguasaan Bangsa Norman ke atas England

0
1673
views

Pada kurun ke-11, seorang penakluk terkenal, William I (1028M – 1087M) yang dikenali sebagai ‘William the Conqueror’ (William Si Penakluk) dari Norman telah menakluk dan menubuhkan kerajaan England dari Dinasti Norman. Boleh dikatakan, William I merupakan raja pertama England dari Norman.

Bangsa Norman telah pun mempunyai kekuasaan di sebuah wilayah utara Perancis sejak kurun ke-8M. Wilayah ini diberikan kepada ketua bangsa Norman pada masa itu, iaitu Rollo (846M – 932M) oleh Raja Perancis, Charles III di bawah Perjanjian Saint-Clair-sur-Epte. Perjanjian itu menyatakan, kerajaan Perancis akan memberikan wilayahnya kepada Norman sebagai pulangan bangsa tersebut akan melindungi utara Perancis daripada pencerobohan. Bangsa Norman pada asalnya adalah bangsa Vikings. Dikenali sebagai Norman hasil terbitan daripada ‘Northmen’ oleh orang Perancis.

Dalam suatu tempoh masa, bangsa Norman mula berasimilasi dengan budaya penduduk tempatan. Berkahwin dengan mereka dan menganut Kristian. Bahasa mereka juga diubah suai daripada bahasa lama Norse kepada bahasa Norman yang telah disesuaikan dengan bahasa Perancis.

Bangsa Norman mula mempunyai kepentingan politik di England sejak perkahwinan antara Raja Ethelred (966M – 1016M) dari England dengan ahli keluarga Duke Normandy (keluarga penguasa bangsa Norman), iaitu adik perempuan kepada Richard II (963M – 1026M), Emma (982M – 1052M). Hasil perkahwinan mereka, lahirnya Raja Edward yang memegang takhta pada tahun 1042M. Raja Edward membentuk kabinet menteri dan ketentaraan yang terdiri daripada bangsa Norman sendiri. Di sinilah bermulanya tapak kekuasaan Norman di England.

Setelah kematian Raja Edward, berlaku perebutan takhta dalam kalangan bangsawan England kerana pewarisan yang tidak jelas. Namun, takhta diberikan kepada Raja Harold II (1022M – 1066M) di atas sokongan beberapa individu berpengaruh. Kuasa Harold II ditentang oleh dua orang penguasa yang mendakwa hak takhta tersebut, iaitu William I dari Norman dan Harald Hardrada dari Norway. William I mendakwa takhta tersebut telah dijanjikan untuk oleh Raja Edward dan Harald pula mendakwa pemilikan takhta tersebut atas perjanjian antara raja Norway sebelum beliau, Magnus I (1024M – 1047M) dengan raja England, Harthacnut (1018M – 1042M). Dua penguasa ini melancarkan peperangan ke atas Harold II.

Kesimpulan daripada peperangan tersebut adalah penaklukan William I ke atas England. Harald tewas di tangan Harold II dan Harold II pula dibunuh oleh William I. Dengan kematian Harold II, William I mempunyai harapan agar penguasa dan bangsawan lain turut tunduk kepadanya. Tetapi berlaku sebaliknya dengan dakwaan pemilikan takhta tersebut. Namun, William I tetap dapat tewaskan bangsawan dan penguasa yang masih menentangnya, lalu pada tahun 1066, William I menjadi raja England.

Populasi Norman di England tidak terlalu besar. Pada peringkat awal pemerintahan Norman di England, William I menghadapi pelbagai pemberontakan dan revolusi daripada orang Inggeris. Penaklukan ke atas England, memaksa William I melakukan rampasan tanah dan wilayah hak milik penguasa dan bangsawan Inggeris sebagai ganjaran kepada pengikut dan tenteranya. Rampasan ini menimbulkan pemberontakan, lalu pemberontakan meningkatkan lagi aktiviti rampasan. Hal ini berlangsung sehinggalah hanya sedikit sahaja penguasaan Inggeris ke atas tanah England. Selain rampasan, Norman juga cuba untuk menguasai harta warisan keluarga seperti tanah dengan mengahwini keluarga tersebut.

Pada peringkat pentadbiran, bangsawan Inggeris digantikan dengan orang Norman, termasuklah badan-badan Gereja Katolik. Selepas tahun 1075M, seluruh kekuasaan Earl dipegang oleh Norman. Pada tahun 1095M pula, seluruh jabatan Gereja di England dipegang oleh Norman. Sistem pentadbiran Inggeris lebih canggih dan maju daripada kerajaan Norman sendiri di utara Perancis. England dibahagikan kepada beberapa wilayah pentadbiran dan mempunyai pembahagiannya selepas itu. Mahkamah diraja ditubuhkan sebagai pusat kerajaan. Sistem keadilan adalah berdasarkan tribunal tempatan. Salah satu kekuatan monarki Inggeris adalah kekayaan kerajannya yang diperoleh hasil daripada

Setelah penaklukan William I, beliau masih mengekalkan bentuk pemerintahan Inggeris. Cuma ditukarkan pentadbirnya kepada orang Norman dan dikembangkan lagi sistem pentadbiran tersebut. Pendekatan William I agak keras dalam pentadbiran, namun efektif.

Sistem pentadbiran ini diteruskan oleh anaknya, Henry I (1068M – 1135M) dengan menguatkannya lagi. Henry I lebih fokus pada sistem pentadbiran berbanding urusan ketenteraan. Setelah kematian Henry I, berlakunya perang saudara berikutan polisi Henry I yang menyatakan rakyat boleh bereaksi dengan keganasan sekiranya mereka tidak besetuju dengan kerajaan. Keadaan kembali tenang ketika pemerintahan Herny II (1133M – 1189M).

Dalam pentadbiran, Henry II memperkenalkan sistem juri di setiap wilayah untuk melaporkan jenayah-jenayah yang berlaku serta memberikan kuasa kepada juri untuk menyiasat dan menyelsaikan kes-kes sivil. Sistem ini telah menigkatkan kesetiaan rakyat kepada raja. Sistem ini merupakan asas pada pembentukan sistem undang-undang moden di Eropah. Walau bagaimanapun, sistem ini telah mempunyai konflik dengan Gereja. Perkara ini telah kita jelaskan pada bab ‘Evolusi Gereja’ secara umum. Keberkesanan pentadbiran ini diteruskan oleh anak Henry II, iaitu Richard I yang dikenali sebagai ‘Richard the Lionheart’ (Richard Si Hati Singa) sehingga beliau mampu memerintah tanpa keberadaannya di England selama lebih kurang 9 tahun dalam tempoh 10 tahun memerintah.

Richard I digantikan oleh adiknya, John (1166M – 1216) yang telah dipaksa oleh Raja Perancis, Philip II (1165M – 1223M) untuk menyerahkan kerajaan Norman di utara Perancis. Setelah ia dirampas, ia telah mengundang kemarahan bangsawan-bangsawan Norman di England terhadap John. Malapetaka ini telah menyebabkan kuasa politik John merudum, malah telah mengurangkan sumber bekalan dan kewangan. John mengambil pendekatan dengan menaikkan kadar cukai yang seterusnya menimbulkan lagi kemarahan para bangsawan.

Lalu, Magna Carta ditubuhkan bertujuan untuk membentuk undang-undang England dan menghadkan kuasa raja. Ia merupakan idea yang meletakkan undang-undang sebagai kedudukan yang tertinggi dan raja terikat dengannya. Raja tidak mampu meregulasi kadar cukai tanpa persetujuan ramai. Tiada siapa akan ditangkap ataupun dipenjarakan sehinggalah waran dikeluarkan. Rakyat tidak akan dihukum semudahnya sehinggalah dia benar-benar disabit kesalahan menurut undang-undang. Mereka yang jahil dan tidak layak tidak akan memegang sebarang jawatan awam.

Magna Carta telah menyumbang pada kesedaran pada England bahawa kerajaan yang kuat dan berkuasa adalah kerajaan yang berpusat. Ia juga telah menubuhkan sistem Baron yang menjadi perwakilan rakyat yang menjadi asas pada pembentukan parlimen.

Ketika pemerintahan Raja Edward I (1239M – 1307M), beliau telah menubuhkan parlimen sebagai badan undang-undang yang lebih bersistem. Parlimen membolehkan pencerahan dan perbincangan mengenai pelbagai aspek seperti jenayah, undang-undang, cukai, pentadbiran dan pelbagai lagi. Seterusnya, sedikit demi sedikit England bertukar daripada monarki feudal kepada monarki berperlembagaan yang bertahan sehingga ke hari ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.