Pengkebumian Tempayan Di Malaysia

0
968
views

TEMPAYAN dijadikan salah satu medium untuk tujuan pengkebumian bukanlah sesuatu yang pelik kerana suatu waktu dahulu ianya adalah salah satu tradisi bagi masyarakat di seluruh dunia. Jika di Filipina, ianya cukup terkenal sehingga ada sesetengah tempat pengkebumiannnya menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Dan untuk konteks di Malaysia sebenarnya turut pernah ada dan bukan sahaja di dua negeri yang berada di Pulau Borneo iaitu Sarawak dan Sabah malah mencakupi sehingga ke Semenanjung Malaysia itu sendiri.

Pengkebumian tempayan atau Guri (Jar Burial) merupakan salah satu jenis pengkebumian yang diamalkan oleh masyarakat prasejarah di Malaysia. Jika dirujuk kepada rekod penemuannya, adat pengkebumian di dalam tempayan ini diamalkan oleh masyarakat zaman pra-sejarah akhir iaitu satu kelompok masyarakat yang mendiami kawasan pesisir pantai bagi Semenanjung Malaysia. Ini kerana pernah ada penemuannya di Kuala Terengganu manakala tapak perkuburan kuno pengkebumian tempayan pula ditemui di Pulau Tuba, Langkawi.

Bagi konteks Sabah dan Sarawak pula ianya tidak menyasar kepada masyarakat di pesisir pantai sebaliknya sehingga ke kawasan pedalaman kerana banyak penemuan lebih memperincikan kawasan gua-gua batu kapur terpencil seperti di Gua Niah dan Tanah Tinggi Kelabit. Adalah dipercayai bahawa masyarakat yang mengamalkannya adalah antara etnik-etnik pribumi Sabah dan Sarawak seperti Kelabit, Punan, Kenyah, Idahan, Sungai, Murut serta banyak lagi.

Antara ciri-ciri utama pengkebumian di dalam tempayan adalah tempayan akan digunakan sebagai tempat untuk menyimpan mayat atau tulang-tulang manusia. Tempayan-tempayan ini pula akan disimpan atau disorokkan di tempat-tempat yang terpencil seperti di gua-gua atau di celah-celah banir pohon yang besar di dalam hutan. Dan disekeliling tempayan-tempayan itu akan ditemui banyak objek-objek iringan seolah-olah menggambarkan pengembaraan mayat itu menuju ke persemadian kekal mengikut kepercayaan masyarakatnya.

Dan seperti mana proses pengkebumian keranda perahu, pengkebumian tempayan juga dilaksanakan dalam dua proses iaitu pengkebumian primer dan sekunder. Pengkebumian Primer merupakan satu proses pengkebumian yang dilakukan secara langsung iaitu apabila sudah mati maka mayat akan dimasukkan ke dalam tempayan. Selepas itu tempayan itu terus ditanam di dalam tanah mahupun diletakkan di dalam gua-gua atau tempat tinggi.

Manakala untuk pengkebumian sekunder pula mayat akan disimpan di satu tempat yang selamat. Setelah beberapa waktu maka apabila mayat sudah mereput, barulah segala tulang-tulang itu nanti akan dipindahkan dan dimasukkan ke dalam tempayan. Biar berbeza prosesnya namun persamaannya adalah akan ada objek iringan yang turut akan menemani tempayan seperti barang perhiasan, alat perkakas, tembikar tanah dan lain-lain. Adalah dipercayai bahawa setiap satu objek iringan ini sebenarnya boleh menggambarkan strata sosial si mati tersebut semasa hidupnya.

Bagi pemilihan tapak perkuburan pula, lazimnya akan mengambilkira banyak faktor kerana masyarakat zaman pra-sejarah juga mempercayai bahawa setiap yang berkaitan dengan mati itu adalah suci. Jadi antara yang akan diambil perhatian adalah ianya harus selamat dari gangguan binatang pemangsa, tidak ditenggelami air, tersembunyi serta berada jauh dari persinggahan manusia.

Sehingga ke hari ini masih tiada dokumen yang mengkhusus bilakah pentarikhan sebenar pengkebumian tempayan ini digunapakai di dunia. Ini kerana setiap lokasinya menunjukkan pentarikhan yang berbeza Jika di Filipina iaitu di Gua Manunggul, Palawan berdasarkan ujian hidrokarbon yang dijalankan ianya menunjukkan sekitar 701 hingga 890 sebelum masihi. Manakala untuk di Gua Uattam, Maluku Utara, Indonesia pula keputusan ujian hidrokarbonnya adalah sekitar 1 hingga 1200 masihi. Di Leang Buidane pula adalah sekitar abad ke-8 Masihi.

Itu adalah pentarikhan bagi negara-negara di Nusantara manakala untuk konteks Malaysia pula, bagi pengkebumian tempayan yang ditemui di Kampung Limbongan, Kuala Trengganu pula mempunyai cerita yang berbeza. Carigali yang dimulakan pada tahun 1985 menemui satu tempayan yang berbentuk labu air, berukuran 32 cm ukur lilitnya dengan ketinggian 1 meter yang mana menyaksikan ianya menjadi tempat untuk menyimpan mayat masyarakat zaman prasejarah.

Dan ujian juga menunjukkan ia pentarikhannya adalah sejak dari zaman logam iaitu sekitar 1000 tahun yang lalu. Adalah dipercayai penemuan pengkebumian tempayan di Kuala Terengganu ini adalah lebih kepada bercorak pengkebumian sekunder. Di samping itu turut ditemui berhampiran tempayan tersebut adalah tulang mawas, tembikar tanah dan manik-manik disamping beberapa senjata seperti tombak, lembing dan kapak bersadur permata.

Berlainan dengan satu penemuan yang secara tidak sengaja berlaku pada tahun 1924 di Gua Tuba, Pulau Tuba, Langkawi. Satu tempayan besar dengan didalamnya mempunyai tulang-tulang manusia ditemui di satu gua yang kecil. Walau tiada objek iringan seperti yang ditemui di Kuala Terengganu tetapi tempayan yang digunapakai mempunyai corak ukiran yang pelik. Menurut kajian adalah dipercayai berkemungkinan besar tempayan ini digunakan sebagai satu bentuk hukuman masyarakat zaman purba berdasarkan kepada cara ianya ditanam.

Waqaf Saham

Untuk masyarakat di Pulau Borneo pula bukanlah sesuatu yang asing apabila berbicara soal pengkebumian tempayan kerana budaya dan tradisi masyarakat pribuminya yang unik. Tempayan yang ditemui di tapak perkuburan purba di Gua Niah menunjukkan pertarikhannya adalah sekitar penghujung Zaman Logam. Ini bermakna ianya berkaitan dengan manusia purba yang pernah hidup di sekitar Gua Niah tetapi untuk masyarakat seperti Punan, Kayan, Kenyah pula ianya masih diamalkan sehingga awal abad ke-20.

Ini kerana sehingga ke hari ini kewujudan seperti tiang-tiang “klirieng” atau dikenali sebagai pondok mayat “Salong” itu masih lagi dijaga di sesetengah kawasan oleh etnik-etnik tersebut. Perlulah diketahui bahawa di dalam “klirieng” ini turut ditempatkan tempayan berserta objek iringan bagi menyimpan tulang-tulang si mati. Selain itu setiap ukiran pada tiang dan pondok Salong juga sebenarnya mempunyai makna bagi menunjukkan srata sosial si mati. Adalah dipercayai bahawa “klirieng” hanya dikhaskan untuk golongan bangsawan atau raja di kalangan masyarakat mereka.

Bagi etnik Kelabit yang ramai mendiami kawasan tanah tinggi kelabit pula berlainan kerana mereka tidak meletakkan tempayan di binaan kayu seperti klirieng sebaliknya meletakkannya di struktur megalit yang dibina khas di satu kawasan hutan yang terpencil. Tempayan itu digunakan sebagai tempat untuk menyimpan tulang nenek moyang adalah kerana menurut kepercayaan mereka, tempayan itu merupakan simbolik kepada rahim wanita. Maka posisi mayat itu disimpan juga akan mengikut seakan-akan posisi bayi didalam perut ibunya.

Penemuan tempayan-tempayan yang menyimpan mayat-mayat masyarakat kuno juga turut ditemui di Pusu Lumut, Lembah Kinabatangan dan Hagop Bilo menunjukkan bahawa masyarakat Orang Sungai dan Idahan juga pernah mempunyai tradisi pengkebumian tersebut selain daripada keranda balak. Selain daripada objek-objek iringan yang ditemui bersama-sama tempayan yang disembunyikan di dalam gua-gua batu kapur turut ada lukisan-lukisan gua yang dipercayai mempunyai signifikasi dengan si mati sewaktu hidupnya.

Pengkebumian tempayan mempunyai keunikannya tersendiri berdasarkan kepada kepercayaan masyarakat suatu waktu dahulu. Malah setiap cara pengkebumian kekalnya juga turut mempunyai hubungan dengan alam semesta seperti kepercayaan manusia dahulukala.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Kredit foto: WWF/Alicia Ng

Rujukan:

1. Jenis-jenis Pengebumian Zaman Logam di Asia Tenggara – Universiti Sultan Idris (PDF)

2. Pre-Historic Pottery: The Physical Analysis Peninsular Manusia by Zulkifli Jaafar and Safna Asaruddin (PDF)

3. Book “Highland Tales In The Heart Of Borneo” by Alicia K.C Ng (2015)

4. Forest of Broken Urns by Karen J. Coates
https://archive.archaeology.org/0703/abstracts/borneo.html

5. Sabah Museum, the time machine to Borneo history

Sabah Museum, the time machine to Borneo history

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.