Teringat dulu dalam buku teks sejarah, pengasasan Kuala Lumpur disandarkan kepada Kapitan Yap Ah Loy. Tetapi sebaik hal ini diketahui, ramai pihak termasuk sejarawan berpandangan itu merupakan satu penyelewengan fakta. Hakikatnya, orang yang dianggap bertanggungjawab mengasaskan Kuala Lumpur ialah Haji Abdullah Hukum.

Ilustrasi Haji Abdullah Hukum. Sumber: Ismail Embong/Kuala Lumpur Dari Perspektif Abdullah Hukum/Berita Publishing

Haji Abdullah Hukum atau nama sebenarnya Abdullah Rukun dikatakan tiba di Semenanjung Tanah Melayu dari Kerinci, Sumatera semasa berusia 15 tahun. Beliau bersama beberapa orang rakan merentas Selat Melaka untuk sampai ke Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Perjalanan mereka secara berjalan kaki mengambil masa selama tiga hari tiga malam. Sebaik tiba, Haji Abdullah Hukum menumpang di rumah seorang penduduk bernama Haji Abdul Ghani di Jalan Jawa (Java Street).

Dalam buku Kuala Lumpur Dari Perspektif Abdullah Hukum, Kuala Lumpur pada ketika itu mempunyai beberapa jalan iaitu Jalan Jawa dan Jalan Pasar (Market Street). Sementara Jalan Ampang (Ampang Street (kini Lebuh Ampang) pula dikatakan tempat orang ceti (pemberi pinjaman) beroperasi.

Kebanyakan rumah kedai yang wujud ketika itu beratapkan daun bertam dan berdindingkan buluh. Kebanyakan peniaga yang wujud menjual kain dan makanan. Kebanyakan orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur ketika itu berdarah Rawa dan Mandailing dengan ketua bagi setiap suku ialah Raja Bilah (orang Rawa) dan Sutan Puasa (orang Mandailing). Malah, terdapat sebuah kolam ikan di situ yang pernah dimiliki oleh Sutan Puasa.

Kalau berminat untuk mendalami ilmu alam Melayu, anda dialu-alukan beli buku Lipur Lara Alam Melayu melalui https://shopee.com.my/Lipur-Lara-Alam-Melayu-i.238336777.21315815920

Tidak ramai tahu di sebalik kemajuan yang wujud di Setapak dan Hulu Klang, dahulu ia sebenarnya kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Mana-mana individu yang mahu mengerjakan sawah beliau tidak akan berdepan masalah. Ini kerana Sutan Puasa mengenakan upah yang setimpal (sepuluh gantang padi) daripada 100 gantang padi kepada individu-individu yang mengusahakannya.

Kejap, mana peranan Haji Abdullah Hukum dalam mengasaskan Kuala Lumpur? Nak ceritalah ni. Pada satu ketika, beliau memohon perkenan Raja Laut (putera kedua Sultan Muhammad Shah) untuk mendapatkan sebidang tanah sebagai kawasan petempatan baru.

Setelah diberi lampu hijau oleh baginda, Haji Abdullah Hukum membuka sebuah kampung baru di Pudu di mana ia dihuni oleh orang-orang Kerinci. Raja Laut turut berkenan melantik beliau sebagai ketua kampung di situ. Antara tanaman pertanian yang diusahakan di situ ialah pisang, sayur-sayuran, tebu dan padi.

Selepas Pudu, Haji Abdullah Hukum membuka dua lagi kawasan iaitu Bukit Nenas (sebagai kebun) dan Sungai Putih (kini kawasan Jalan Bangsar (sebagai kampung baru)). Untuk Bukit Nenas, beliau mendapatkan perkenan daripada seorang lagi putera Sultan Muhammad, Raja Mahmud. Manakala untuk Sungai Putih pula, Haji Abdullah Hukum sekali lagi mendapatkan perkenaan Raja Laut dan kebenaran seorang saudagar British bernama Maxwell.

Semasa di Sungai Putih, satu lagi petempatan baru dibuka di Bukit Candi Putra (kini Bukit Putera yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi). Atas jasanya itu, Haji Abdullah Hukum bukan saja dilantik sebagai ketua kampung Sungai Putih tetapi juga sebagai penghulu. Bagaimanapun, beban tugas yang bertambah memaksa beliau melepaskan perniagaan kerbau yang diusahakannya sejak beberapa tahun sebelumnya.

Semasa Perang Klang (1867-1873) tercetus, orang Melayu dan Cina berpecah kepada kumpulan mana yang bermusuhan ketika itu. Dalam kes Haji Abdullah Hukum, beliau memihak kepada Raja Ismail (putera Raja Abdullah) dan Wakil Yamtuan Selangor yang dilantik Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad, Tengku Kudin. Sementara Raja Mahadi pula disokong oleh beberapa pembesar Melayu termasuk Sutan Puasa. Hal ini diburukkan lagi dengan penglibatan kongsi gelap Cina iaitu Ghee Hin (Raja Mahadi) dan Hai San (Tengku Kudin).

Tengku Kudin (duduk)

Disebabkan Tengku Kudin merupakan orang luar dari Selangor, baginda langsung tidak popular dalam kalangan pembesar dan kerabat diraja Selangor. Ini ditambah dengan pengurniaan kawasan Langkat kepada baginda sebagai hadiah perkahwinannya dengan puteri Sultan Abdul Samad, Raja Arfah. Justeru, ini memaksa Tengku Kudin memanggil tentera luar untuk membantu termasuk pengendali artileri dari Perancis dan tentera Sepoi British.

Walaupun Raja Mahadi kehilangan Klang pada 1870, itu bukan bermakna perjuangan baginda sudah berakhir. Sebaliknya, tentangan lebih sengit terus diberi kepada Raja Ismail dan Tengku Kudin oleh baginda sehingga membawa kepada kejatuhan Kuala Lumpur pada 1872. Namun begitu, itu tidak bertahan lama gara-gara kemunculan pemain baru: tentera-tentera Bendahara Wan Ahmad (kemudiannya Sultan Ahmad al-Muazzam Shah) dari Pahang.

Kehadiran mereka merupakan gantian kepada tentera Kedah yang dibawa Tengku Kudin beberapa tahun sebelumnya. Pemerintah Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah memilih untuk tidak membekalkan lebih ramai orang Kedah atas beberapa faktor. Pertama, hantaran surat oleh Raja Mahadi yang mendakwa sekiranya Kedah terus membantu Tengku Kudin, ini bermakna negeri itu telah mencabuli Perjanjian Burney 1826. Jika itu berlaku, Siam pasti akan campur tangan dan menggesa baginda menghentikan semua bantuan.

Kedua, Sultan Ahmad Tajuddin turut diberitahu tentang keadaan tentera Kedah yang diletakkan di bawah kepimpinan Tengku Kudin semasa di Selangor. Pelbagai laporan tentang pengabaian kebajikan mereka yang diterima memaksa baginda memutuskan untuk tidak lagi menghantar bantuan kepada kerabat diraja Kedah itu.

Kesilapan Raja Mahadi ialah membenarkan pengikut musuh Bendahara Wan Ahmad, Wan Mutahir berlindung di Selangor. Dan itu direbut oleh Wan Ahmad untuk menghapuskan saki-baki penentang Perang Pahang daripada terus menjadi duri dalam daging kepada baginda. Hasilnya, Kuala Lumpur berjaya dirampas semula pada 1873 dengan Raja Mahadi terpaksa melarikan diri ke Johor dan mangkat di sana.

Sebagai menghargai jasa Haji Abdullah Hukum dalam Perang Klang, sebidang tanah yang terletak berhampiran dengan Sungai Klang dikurniakan kepada beliau oleh Sultan Abdul Samad. Kawasan ini dijadikan sebagai petempatan baru untuk pengikutnya yang kita kenali sebagai Kampung Abdullah Hukum.

Sultan Alauddin Sulaiman Shah

Selepas Sultan Abdul Samad mangkat pada 1898, kesetiaan Haji Abdullah Hukum ditumpahkan kepada pengganti baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Menjelang abad ke-20, faktor usia menyukarkan beliau untuk meneruskan peranan sebagai penghulu. Ini mendorong Haji Abdullah Hukum bersara sebagai penghulu pada 1912 sebelum diberi pencen pada 1922.

Setelah itu, beliau dikatakan berangkat pulang ke Kerinchi, Sumatera bagi menziarahi kampung halamannya. Melihat suasana di situ kurang bersesuaian dengan pendirian dirinya, Haji Abdullah Hukum pulang ke Kuala Lumpur dan terus menetap di Jalan Bangsar sehingga akhir hayatnya. Beliau dikatakan kembali ke rahmatullah pada 1943 semasa berusia 108 tahun.

Hari ini, Kampung Abdullah Hukum sudah tiada lagi dengan tanah yang pernah menempatkan kampung tersebut kini diganti dengan projek KL Eco City kendalian SP Setia Bhd. Tetapi sebagai mengiktiraf sejarah panjang kawasan berkenaan, sebuah rumah lama milik beliau dikekalkan di situ dan dijadikan sebagai lambang KL Eco City.

Masjid Jamek Abdullah Hukum. Sumber: PulauKakaTua19/CC BY-SA 3.0

Selain itu, sebuah masjid yang diberi nama Masjid Jamek Abdullah Hukum turut didirikan di KL Eco City. Menariknya, ia juga merupakan satu-satunya masjid di Kuala Lumpur yang dibina di bangunan letak kereta bertingkat. Mampu memuatkan 3,000 orang jemaah pada satu-satu masa, masjid itu diberi nama berkenaan atas cadangan waris-waris Haji Abdullah Hukum yang mahukan legasi beliau dikekalkan.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Nawang, A. (1997). Kuala Lumpur Dari Perspektif Abdullah Hukum. Berita Publishing.

Bernama. (2016, 25 September). Sejarah Abdullah Hukum terus kekal – Cucu.

Gullick, J. M. (1986). TUNKU KUDIN IN SELANGOR (1868 – 1878). Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Jil. 59, No. 2 (251). Muka Surat 5-50.

Zain, S. The Selangor Civil War. Sejarah Melayu: A History of Malay Peninsula.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply