Selepas merampas pentadbiran secara kudeta daripada pemerintahan yang dilantik secara demokratik pada lewat Februari 1948.  Pada tanggal 25 Februari 1948, Presiden Edvard Benes dalam keadaan terpaksa mengakuri tuntutan-tuntutan Parti Komunis dan menyerahkan kabinet-nya kepada parti tersebut. Pilihan raya seterusnya diadakan pada bulan Mei 1948 bagi mengesahkan kemenangan parti komunis. Benes kemudiannya meletakkan jawatan dan bekas menteri luar ketika di bawah pentadbirannya ditemui mati dalam keadaan penuh misteri.

Sesungguhnya senario politik di Czechoslovakia selepas Perang Dunia Kedua teramatlah kompleks. Presiden Benes merupakan pemimpin kerajaan Czech dalam buangan yang berpengkalan di London ketika perang tersebut, dan beliau pulang ke tanah air-nya sejurus untuk mengetuai kerajaan baru yang dibentuk pasca-perang selepas pengunduran Tentera Merah Soviet pada Julai tahun 1945. Pilihan raya umum yang diadakan Mei 1946 mengakibatkan kemenangan signifikan parti komunis dan parti berhaluan kiri lain, sekaligus membolehkan mereka dewan perwakilan baharu. Benes kemudian membentuk gabungan bersama parti-parti tersebut di dalam pentadbirannya. Kemenangan parti-parti berhaluan kiri ini membolehkan Parti Komunis Czechoslovakia melebarkan pengaruhnya ke atas golongan marhaen di negara yang terletak di jantung Eropah tersebut.

Tindak balas Blok Barat berikutan rampasan kuasa komunis di Czechoslovakia itu sangat cepat tetapi tiada tindakan tegas yang diambil. Kedua-kedua kuasa blok barat seperti Amerika Syarikat dan Britain mengecam sekeras-kerasnya rampasan kuasa ini, namun tidak mengambil apa-apa tindakan langsung. Mungkin kerana terlalu menaruh kepercayaan tinggi terhadap tradisi demokrasi Czechoslovakia, atau mengkhuatiri reaksi Soviet, boleh dikatakan tiada langsung negara yang berani memberikan apa-apa tindakan tegas melainkan sokongan lisan sahaja.

Menjelang tahun 1950, Czechoslovakia berada di dalam cengkaman keganasan golongan Stalinis. Hampir satu per empat daripada sejuta orang telah disabitkan kesalahan dan ratusan telah menerima hukuman atas kesalahan jenayah politik. Salah seorang daripada mereka, Milada Horákova, ahli politik anggota Parti Sosialis Kebangsaan Czechoslovakia yang terkenal menjadi satu-satunya wanita yang dihukum secara rasminya. Turut diheret ke mahkamah bersama beliau 12 orang rakan sekerja-nya dihadapkan kesalahan atas pertuduhan yang sama. Beliau ketika itu memiliki seorang anak tunggal bernama Jana. Ketika beliau ditahan atas tuduhan palsu iaitu pengkhianatan dan konspirasi, anaknya berumur 16 tahun. Menurut Jana pada ketika hari perbicaraan tersebut, keluarga-nya tidak dibenarkan berada di mahkamah dan beliau masih mengingati keadaan gelisah keluarga-nya di rumah yang terkontang-kanting hanya mendengar perbicaraan tersebut di radio kerana ianya perbicaraan umum. Ia semua dilakukan untuk mewujudkan tanggapan rasa tidak senang dan ketakutan pada rakyat secara umumnya.

Setiap perbicaraan memiliki skrip yang wajib diikuti oleh tertuduh. Di mana selepas menjalani penyiksaan, mereka terpaksa mengakui kesalahan mereka serta bersetuju bahawa perlaksanaan hukuman yang mereka terima itu merupakan hukuman yang adil. Akan tetapi Milada Horákova masih bertegas tidak tunduk terhadap segala pertuduhan yang beliau hadapi. Menurut anak-nya lagi, Milada tetap berpegang teguh pada pendiriannya. Dalam ucapan terakhirnya, suara hati nuraninya sangat jelas mengatakan bahawa beliau tidak langsung melakukan sebarang bentuk penderhakaan. Meskipun beliau nasib yang bakal dihadapinya tetap sama saja berbanding dipaksa mengaku kesalahannya.

Ianya merupakan sesuatu tindakan luar biasa penuh keberanian yang tidak mampu dilakukan oleh mereka-mereka yang menjadi tertuduh di dalam perbicaraan ini;

“Apa yang saya lakukan, saya menyedarinya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan saya dan itulah sebabnya saya menerima hukuman ini yang akan diberikan kepada saya. Saya menyatakan kepada pihak berkuasa keselamatan bahawasa-nya saya berdiri atas kepercayaan saya sendiri.”

Antara bahan-bahan bukti yang dikemukakan untuk mengesahkan keterlibatan Horákova dalam pertuduhan aktiviti anti-pemerintah komunis adalah sebuah radio komunikasi, beberapa pucuk pistol, beberapa laras senapang, sejumlah besar butir peluru dan sehelai bendera Nazi. Luar biasanya, kebanyakan warga Czechoslovakia pada waktu itu percaya bahawa segala pertuduhan yang dihadapi tertuduh itu benar-benar belaka dan menerima  bulat-bulat keputusan perbicaraan tersebut.

Milada dilahirkan pada Hari Natal tahun 1901 di kota Prague, dan merupakan anak kepada pemilik kilang pensil. Asalnya nama keluarga beliau sebelum berkahwin adalah Králová. Sewaktu Perang Dunia Pertama, beliau meneruskan pengajian di sebuah sekolah menengah Korunní Street kota Prague. Akan tetapi beliau dibuang pada tahun 1918 kerana terlibat dalam demonstrasi anti perang. Beliau menghabiskan persekolahannya di sekolah menengah Slezská Street di Prague pada tahun 1921 dan kemudian menyambung pengajian di Fakulti Undang-undang Universiti Charles di Prague sehingga tahun 1926. Ketika dalam pengajiannya beliau bertemu dengan bakal suaminya, Bohuslav Horák dan mereka berkahwin selepas tamat pengajian. Bohuslav Horák berkhidmat sebagai editor bagi Radio Czechoslovakia dan pada lewat tahun 1930an memegang jawatan sebagai pengarah program. Pada tahun 1933, pasangan dikurniakan anak tunggal mereka bernama Jana.

Selepas menamatkan pengajiannya, Milada memulakan perkhidmatannya di Pejabat Sosial Pusat Dewan Bandaraya Prague dan kemudiannya dilantik sebagai ketua Jabatan Belia. Pada ketika itu, beliau berkhidmat di bawah pegawai atasan yang merupakan tokoh politik besar Czechoslovakia bernama Petr Zenkl, yang kemudiannya menjadi datuk bandar kota Prague dan pengerusi Parti Sosialis Kebangsaan Czechoslovakia selepas Perang Dunia Kedua, dan Timbalan Perdana Menteri kerajaan Czechoslovakia, daripada tahun 1949 hingga 1975 ketika menjadi pengerusi Majlis Pembebasan Czechoslovakia ketika berada di dalam buangan. Milada juga merupakan ahli Parti Sosial Kebangsaan Czechoslovakia yang dianggotainya semenjak tahun 1929. Milada Horákova juga merupakan ahli aktif kepada pelbagai kumpulan yang menjaga kepentingan golongan muda, dan hak-hak wanita.

Individu pendorong utama yang mempengaruhi beliau untuk menceburi dunia politik adalah Františka Plamínková pada tahun 1924. Mereka buat pertama kali bertemu di tangga Bangunan Rudolfinum, pada ketika itu merupakan menempatkan Parlimen Czechoslovakia, ianya menjadi tempat bagi pelajar undang-undang untuk bertemu dan beramah-mesra bersama Tomáš Garrigue Masaryk. Františka Plamínková adalah merupakan seorang aktivik hak wanita, anggota senator dan pengasas kepada Majlis Wanita Kebangsaan. Beliau dijatuhkan hukuman bunuh pada tahun 1942 selepas pembunuhan Timbalan Pelindung-Reicht Reinhard Heydrich. Keberanian Milada untuk bertemu dan bercakap dengan Františka telah membawa beliau untuk berkerjasama dengan tokoh yang dihormatinya itu di Majlis Wanita Kebangsaan dan seterusnya menjadi tokoh paling penting dalam pertubuhan tersebut.

Selepas penaklukan Czechoslovakia oleh tentera Nazi Jerman pada tahun 1939, Milada dan suaminya Bohuslav menyertai gerakan penentangan bawah sehingga membawa kepada penahana mereka oleh Gestapo pada tahun 1940. Penahanan-nya tersebut menyebabkan beliau dihantar ke kem tahanan sementara Terezin. Pada tahun 1944, beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Kemudiannya beliau dihantar ke kem tahanan Aichachin utara Bavaria berdekatan Munich, dimana beliau dibebaskan oleh tentera Amerika Syarikat selepas kekalahan Nazi Jerman pada Mei 1945, dan dihantar pulang semula ke kota Prague.

Sekembalinya beliau selepas pembebasan Czechoslovakia daripada penaklukan tentera Nazi Jerman pada tahun 1945. Milada Horáková menyertai semula Parti Sosialis Kebangsaan Czechoslovakia dan menjawat jawatan naib presiden Persatuan Tahanan Politik Bebas; beliau dilantik sebagai anggota Majlis Kebangsaan sementara. Pada masa yang sama juga, beliau berusaha untuk memulihkan semula aktiviti Majlis Wanita Kebangsaan, akan tetapi usaha beliau pada peringkat awal lagi dicantas oleh Kementerian Dalam Negeri pemerintahan komunis. Dalam ucapan parlimennya, beliau sering mempersoalkan isu-isu berkaitan dasar luar dan membantah orientasi satu arah iaitu kecenderungan kepada Kesatuan Soviet seperti yang diisytiharkan pihak komunis, dan beliau juga menekankan bahawa Czechoslovakia harus menjadi sebahagian daripada negara-negara yang mengambil pendirian berkecuali.

Pada Julai tahun 1945, demi menghargai mereka yang telah bangkit berjuang menentang pendudukan tentera Nazi Jerman. Dalam nada penuh semangat, beliau menekankan peranan kaum wanita:

“Kaum wanita ada di mana-mana sahaja. Mereka berada di kem-kem tahanan, di penjara. Ibu-ibu kepada anak-anak kecil berjalan keluar dengan berani-nya tanpa rasa gentar, kerana mereka dibawa keluar untuk menjalani hukuman. Mereka berjuang sebagai gerila, mereka berjuang sebagai tentera kita, dan pertempuran mereka mencapai kemuncaknya pada waktu-waktu terakhir perang, semasa perjuangan revolusi kita mereka bertempur di bariked.”

Beliau kekal sebagai anggota parlimen sehinggalah berlakunya rampasan kuasa oleh pihak komunis pada Februari 1948 di mana beliau dibuang keahlian daripada Majlis Wanita Czechoslovakia dan secara sukarelanya meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen. Beliau juga enggan menyertai parti sosialis yang baru ditubuhkan semula, dan juga turut enggan untuk berpindah keluar dari Czechoslovakia kerana percaya bahawa tugas di negaranya sendiri lebih penting untuk diselesaikan. Berbekalkan pengalamannya berjuang di dalam pergerakan menentang pendudukan Nazi Jerman, Milada tidak lama kemudian menyertai gerakan bawah tanah yang dianggotai oleh bekas ahli Parti Sosialis Kebangsaan Czechoslovakia, yang mengadakan pertemuan berkala. Penyertaan aktif beliau di dalam gerakan bawah tanah ini telah membawa kepada penahanan beliau oleh polis rahsia pemerintahan komunis pada tanggal 27 September 1947 bersama dengan beberapa lagi anggota pertubuhan rahsia berkenaan dan dengan bantuan dua orang pendakwaraya yang dihantar oleh Moscow, untuk menyediakan perbicaraan untuk mereka. Suaminya berjaya mengelakkan diri dari penangkapan dan bersembunyi untuk seketika sebelum melarikan diri ke luar negara. Bagi pemerintahan komunis Czechoslovakia, ini merupakan titik tolak permulaan kepada perbicaraan pertunjukan drama politik terbesar dan terpenting di dalam sejarah mereka.

Pihak polis rahsia telah mencuba kesemua kaedah soal siasat kejam yang dimiliki mereka untuk mengorek seberapa banyak mungkin maklumat daripada pihak tertuduh yang dituduh sebagai perancang demi membuatkan mereka mengaku akan pengkhianatan dan konspirasi yang kononnya bakal mereka lakukan.

Perbicaraan terhadap beliau bersama dengan dua belas orang lagi rakan seperjuangannya bermula pada tarikh 31 Mei 1950. Seperti yang seharusnya kita bayangkan, pertunjukkan pengadilan ni memiliki banyak persamaan dengan Soviet Great Purges yang berlaku pada tahun 1930an. Perbicaraan yang diawasi oleh penasihat dari Kesatuan Soviet ini turut disiarkan secara langsung di radio, seolah-olah seperti amaran kepada sesiapa individu yang cuba mencabar order baru pemerintahan rejim komunis.

Pada jam 8:15 pagi tanggal 8 Jun 1950, Milada Horáková memasuki dewan mahkamah Prague bersama dua belas lagi tertuduh atas pertuduhan jenayah politik ke atas pemerintahan komunis Czechoslovakia. Di sana, beliau dihujani satu demi satu peluru vitriolik bersifat kejam apabila salah seorang pendakwa menuduhnya merencana kemusnahan republik komunis, pengintipan dan berkomplot dengan pihak imperialis Barat untuk merusnahkan apa yang dikenali sebagai ‘demokrasi rakyat’.

Namun begitu Milada Horáková tetap tenang dan tidak berputus asa sepanjang perbicaraan. Berikutnya adalah petikan singkat ucapan pembelaan dirinya yang menunjukkan kesetiaannya menjunjung prinsip yang dibawa oleh dua bekas presiden Czechoslovakia:

“Saya telah menyatakan kepada badan-badan keselamatan negara bahawa saya tetap, pada pendirian saya, tegas dalam keyakinan saya, dan saya tetap sedemikian, kerana saya telah membuktikan keyakinan ini terhadap pendapat, pandangan, ucapan, dan maklumat dari tokoh-tokoh yang saya hormati. Antaranya saya maksudkan dua orang tokoh negara kita iaitu Antaranya saya memasukkan dua tokoh negara kita, Tomáš Garrigue Masaryk dan Edvard Beneš, yang mana kedua-dua mereka merupakan inspirasi kepada saya sepanjang kehidupan saya ini.”

Menerusi surat yang dikirimkan kepada keluarganya dari penjara Pankrac beberapa hari sebelum menerima hukumannya, beliau menulis:

“Saya pernah terbaca tidak lama dahulu bahawa surat itu seumpama pancaran cahaya dari bintang. Ianya bersinar kepada mereka yang membacanya dan seringkali menerangi mereka, meskipun sumber cahaya itu telah lama dipadamkan dan tidak lagi wujud.”

Beliau juga sempat memberikan pesanan untuk kali terakhir kepada anak perempuannya Jana:

“Apabila kamu menyedari akan sesuatu yang adil dan benar, maka bersikap tegaslah sehingga kamu mampu berkorban demi-nya.”

Akhirnya pada jam 5:38 pagi 27 Jun 1950, beliau bersama tiga lagi orang tertuduh dihukum gantung sampai mati pada usia 48 tahun di atas perkarangan tapak penjara Pankrac meskipun mendapat petisyen bantahan daripada tokoh-tokoh antarabangsa seperti Winston Churchill, Albert Einstein dan Eleanor Roosevelt. Sebelum digantung, beliau sempat mengucapkan kata-kata terakhir buat si algojo dan pendakwa-nya yang turut berada disitu:

“Aku tumbang, aku tumbang, aku sudah gagal di dalam perjuangan ini, aku meninggalkannya secara hormat. Aku menyayangi negara ini, aku menyayangi orang-orang ini, membina kemakmuran untuk mereka. Aku meninggalkan tanpa sebarang kebencian kepada kamu, aku harapkan ini, aku harapkan ini…”

Kendi beserta abu jenazahnya tidak dipulangkan langsung kepada keluarganya. Suaminya, hidup dalam persembunyian selama dua bulan selepas beliau ditangkap,  kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat dan menetap di sana sehingga akhir hayatnya pada tahun 1976. Anak tunggal mereka, Jana dibesarkan oleh adik, Milada iaitu Věra, namun hak beliau untuk mendapat pendidikan formal disekat sama sekali. Jana kemudian turut sama berhijrah ke Amerika Syarikat untuk bersama bapa-nya di sana pada tahun 1968.

Selepas kejatuhan rejim komunis pada tahun 1991, Presiden Václav Havel telah mengurniakan darjah kebesaran Order of the T.G. Masaryk kepada mendiang Milada Horakova dan sebatang di kota Prague diabadikan atas namanya. Hari kematian beliau atas tali gantung kini diabadikan sebagai Hari Peringatan Mangsa-mangsa Rejim Komunis. Pada tahun 2017, sebuah filem biografi berdasarkan kisah hidup beliau dari awal sehingga diheret ke tali gantung berjudul Milada diterbitkan di Republik Czech untuk disiarkan di Netflix pada November ini. Sebuah memorial untuk memperingatinya juga turut dibina di Prague bersimbolkan burung Skylark yang turun di atas mikrofon. Burung tersebut melambangkan beliau ketika berucap dihadapan ketika hari perbicaraannya.

Sumber :

-Komunisme

http://www.history.com/this-day-in-history/communists-take-power-in-czechoslovakia

-Milada Horakova

https://icv.vlada.cz/en/tema/27-june-1950-execution-of-milada-horakova-74600/tmplid-676/

http://www.radio.cz/en/section/czechs/milada-horakova

http://www.radio.cz/en/section/archives/milada-horakova-dignity-in-the-face-of-fanaticism-1

http://www.prague-special-tours.com/tours/bunker/personalities/milada-hor%C3%A1kov%C3%A1

http://www.hungarianreview.com/print/Milada%20Hor%C3%A1kov%C3%A1%20%E2%80%93%20The%20Tragic%20Destiny%20of%20a%20Czechoslovak%20Proto-Feminist

http://www.honzacervenka.com/blog/2014/4/19/show-trials-in-the-czech-republic#.WWnf34SGPcc


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply