Bila kita sebut Nazi, antara perkara pertama yang timbul ialah keinginan mereka menghapuskan orang Yahudi. Buktinya ialah peristiwa Holocaust di serata Eropah. Dan ini mendorong rejim Israel memburu semua penjenayah Nazi atau mana-mana individu yang dilihat boleh mengancam kedudukannya di Timur Tengah. Tetapi tahukah anda, rejim Zionis pernah mengambil seorang Nazi sebagai ejen dalam perkhidmatan perisikan mereka, Mossad? Ejen yang dimaksudkan ialah pegawai Schutzstaffen (SS), Otto Skorzeny.

Lahir di Vienna pada tahun 1908 dalam keluarga kelas pertengahan, sejak kecil beliau sudah dikenali kerana keberaniannya dan suka mengada-adakan cerita yang boleh menipu sesiapa yang mendengarnya. Pada usia 23 tahun, Skorzeny menyertai Parti Nazi dan merupakan antara penyokong tegar Adolf Hitler. Selepas Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, beliau berhenti dari sebuah syarikat pembinaan dan menyertai SS Panzer Leibstandarte yang berperanan sebagai pengawal peribadi Hitler.

Dalam memoirnya, Skorzeny cuba memberi gambaran bahawa kariernya seperti seorang pegawai tentera biasa, satu cubaan yang dianggap gagal menurut sejarawan dan cendekiawan. Ini kerana beliau pernah terlibat dalam siri pertempuran di Rusia dan Poland. Dan bagi orang Yahudi yang kehilangan ahli keluarga mereka dalam peristiwa Holocaust turut berpandangan Skorzeny dianggap terlibat dalam jenayah penghapusan orang Yahudi. Ini berdasarkan kepercayaan SS yang dipimpin oleh Heinrich Himmler dan Reinhard Heydrich ialah unit tentera bagi parti dan bertanggungjawab menguatkuasakan dasar parti termasuk jenayah perang dan kemanusiaan.

Antara kejayaan Skorzeny semasa WWII ialah berjaya membawa keluar diktator Itali, Benito Mussolini yang ditahan di sebuah resort pergunungan di Alps dari Itali. Berikutan itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Kolonel, ketua unit SS Hitler, pertemuan empat mata selama beberapa jam dengan Fuhrer dan pingat Knight’s Cross. Selain itu, Skorzeny turut bertanggungjawab membawa keluar sekutu Hitler merangkap Pemangku Presiden Hungary, Laksamana Miklos Horthy dan menggantikannya dengan rejim yang berpendirian keras seperti Nazi Jerman. Rejim Fascist Arrow Cross ini bertanggungjawab menghantar ribuan orang Yahudi Hungary untuk beberapa bulan berikutnya sebelum tamat perang. Bagi tentera Amerika Syarikat, pasti ramai menyumpahnya kerana bertanggungjawab menghantar 150 askar Nazi Jerman menyusup ke dalam barisan tentera mereka dan menyerang dengan kereta-kereta perisai yang dirampas dari negara Uncle Sam itu semasa Pertempuran Bulge.

Keberanian sebeginilah yang menyebabkan namanya dianggap sebaris dengan nama-nama jeneral-jeneral Jerman terkenal seperti Heinz Guderian, Erich von Manstein dan Erwin Rommel serta dianggap orang paling merbahaya di Eropah. Atas sebab itulah selepas perang berakhir, Skorzeny ditahan, dipenjarakan dan dibicarakan sebelum dibebaskan oleh mahkamah pada tahun 1947. Tentera Amerika Syarikat tetap mahu mendakwanya di Tribunal Nuremberg tetapi Skorzeny berjaya melarikan diri dari tahanan di mana antara pihak didakwa membantunya lari ialah Pejabat Perkhidmatan Istimewa (OSS) yang kita kenali hari ini sebagai Agensi Perisikan Pusat (CIA). Semasa dalam pelarian, beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Presiden Argentina, Juan Peron dan menerima jemputan bekas bosnya, Jeneral Reinhard Gehlen sebagai penasihat kepada presiden pertama Mesir, Muhammad Naguib. Semasa di Mesirlah, Skorzeny mengenali para pegawai Mesir dan saintis Jerman terlibat dengan program roket Mesir.

Sementara itu, rejim yang semakin bimbang dengan perkembangan pesat program senjata Mesir mahu mensabotaj program tersebut. Namun satu masalah bagi pengarah Mossad ketika itu, Isser Harel ialah untuk melakukannya, mereka perlu memasukkan orang dalam untuk mensabotaj program tersebut. Dan individu tersebut mestilah seorang Nazi dan mendapat kepercayaan pihak di sebelah sana. Justeru, Harel melihat Skorzeny sebagai peluang terbaik untuk menghapuskan program tersebut. Pada asalnya, mereka mahu Skorzeny dibunuh tetapi Harel melihat beliau lebih berguna sebagai aset Mossad.

Figure 1: Isser Harel melihat Skorzeny sebagai aset berpotensi dalam menghentikan program peluru berpandur rahsia Mesir.

Namun, idea tersebut tidaklah popular dalam kalangan pegawai Mossad termasuk pegawai yang merekrut Skorzeny, Joe Raanan tetapi atas nama kepentingan negara, Raanan melakukannya dan mengumpul satu unit untuk mengintipnya. Pada tahun 1962, semasa Skorzeny dan isterinya minum koktel di sebuah bar di Sepanyol, mereka diperkenalkan dengan sepasang suami isteri warga Austria yang baru dirompak di jalanan. Namun, sebenarnya itu ialah samaran dua ejen Mossad untuk mendekati beliau. Apabila mendengar ‘kesusahan’ yang dialami mereka, isteri Skorzeny menjemput mereka untuk bermalam di rumah.

Namun, sebaik saja pasangan ‘suami isteri’ Austria itu masuk, Skorzeny mengeluarkan sepucuk pistol dan berkata, “Aku tahu siapa kamu dan aku tahu mengapa kamu di sini. Kamu Mossad dan kamu mahu membunuh aku.” Ejen lelaki Mossad itu membalas, “Kamu hampir tepat. Kami memang dari Mossad tetapi jika kami mahu melakukannya, kami boleh saja bunuh kamu beberapa minggu sebelum itu.” Skorzeny tidak merasa kagum mendengar jawapan ejen itu dan membalas, “Atau mungkin, aku patut bunuh saja kamu berdua.” Ejen wanita Mossad yang dikenali Anke pula berkata, “Jika kamu membunuh kami, pembunuh-pembunuh seterusnya tidak berkehendak minum bersama kamu. Kamu takkan melihat wajah mereka sebelum mereka menembak kepala kamu.

Tawaran kami ialah kami mahukan bantuan kamu.” Mossad mendedahkan mereka mahukan maklumat berkenaan program peluru berpandu Mesir dan para saintis Jerman terlibat dan sebagai pertukaran, mereka bersedia membayar Skorzeny. Namun, tawaran duit tidak dimahukan beliau sebaliknya, Skorzeny mahukan namanya dihapuskan dari senarai penjenayah perang pemburu Nazi, Simon Wiesenthal sebagai pertukaran kepada maklumat tersebut. Ejen-ejen tersebut bersetuju dengan syarat beliau dan berjabat tangan sebagai tanda persetujuan. Hakikatnya, Wiesenthal tidak pernah mengeluarkan nama Skorzeny dari senarainya walaupun mendapat permintaan dari Tel Aviv. Untuk memastikan perjanjian mereka terpelihara, Tel Aviv memalsukan satu surat dari Wiesenthal yang menyatakan Skorzeny tidak lagi dalam senarainya.

Figure 2: Wiesenthal enggan membuang nama Skorzeny dari senarainya kerana berpandangan beliau ialahs seorang penjenayah perang dan patut dibawa ke muka pengadilan.

Pasti ramai tertanya-tanya apa motif Skorzeny menerima tawaran Mossad. Sebilangan menyifatkan beliau merindui kerja operasi lapangan. Dan ada pula berpandangan motif sebenarnya ialah mengelak dari menerima nasib sama seperti Adolf Eichmann yang diculik dan dibicarakan atas jenayah perang. Selagi mana namanya dalam senarai Wiesenthal, selagi itu beliau ibarat telur di hujung tanduk. Apapun motif Skorzeny, beliau dibawa ke Tel Aviv dan bertemu dengan Harel di mana beliau disoal siasat dan diberi panduan operasi. Semasa di Tel Aviv, Skorzeny dibawa Raanan ke memorial dan muzium Holocaust di Baitulmaqdis di mana beliau senyap dan menunjukkan rasa hormat. Di sinilah, ada seorang mangsa Holocaust mengenalinya dan memanggil Skorzeny penjenayah perang. Namun, Raanan menafikannya dan menyatakan Skorzeny itu saudara-maranya dan merupakan mangsa tragedi sama.

Sebagai tanda kerjasama mereka, Skorzeny terbang ke Kaherah dan mengumpul senarai semua orang terlibat dalam program roket Mesir termasuk nama saintis terlibat di bawah seliaan Raanan. Sementara dua ejen Mossad yang ditugaskan untuk mengiringinya ialah Rafi Eitan, salah seorang ejen bertanggungjawab menculik Eichmann di Argentina dan bakal pengarah keselamatan dalam negeri rejim, Avraham Avituv. Dan antara mangsa kerjasama Skorzeny-Mossad ini ialah Heinz Krug, salah seorang saintis yang pernah berkhidmat di bawah program roket bapa Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Werner von Braun.

Krug bukan sebarang saintis Nazi. Beliau merupakan salah seorang dari pasukan saintis di Peenemunde yang bertanggungjawab menghasilkan roket semasa tempoh Baby Blitz yang membawa kepada kerosakan besar di Britain pada tahun 1944. Dan pasukan ini mahu meneruskan hasrat membina roket yang lebih baik dari segi jarak, ketepatan dan kuasa. Selepas perang berakhir, Krug menerima jemputan dari von Braun untuk meneruskan program mereka di Amerika Syarikat namun beliau mengambil keputusan menyertai rakan-rakannya dari Peenemunde di Mesir pada tahun 1955 dan membina program peluru berpandu rahsia negara tersebut. Rejim Zionis berpandangan, Krug mesti tahu Israel merupakan sasaran Mesir dan sebagai seorang Nazi, pasti akan meneruskan rancangan Final Solution yang ditetapkan semasa Persidangan Wannsee 1942.

Dan atas sebab itu, Mossad mula mengancam mana-mana saintis yang disyaki bekerjasama dengan musuh mereka termasuk Krug. Jika mereka berada di Jerman, mereka akan diganggu dengan panggilan telefon pada tengah malam. Dan sekiranya mereka berada di Mesir, Mossad menghantar bom surat dalam kiriman surat saintis-saintis ini. Dan ini membuatkan Krug jadi gila dan memohon bantuan Skorzeny sebagai pengawal peribadinya. Pada 11 September 1962, beliau membawa Skorzeny ke satu lokasi di utara Munich di mana kereta yang mengikut mereka ialah pengawal-pengawal yang dibawa Skorzeny. Hakikatnya, pengawal-pengawal tersebut ialah ejen-ejen Mossad. Sebaik tiba di sebuah hutan untuk mereka berbincang, Krug dibunuh oleh Skorzeny dan ejen-ejen itu menuang asid pada mayatnya. Selepas mayatnya sudah tidak boleh dicam, Skorzeny dan rakan-rakannya menanam dalam sebuah lubang yang telah digali dan menutup kubur tersebut dengan kapur mengelak ia digali oleh anjing dan binatang liar. Selain Krug, Skorzeny turut menghantar bom surat yang membunuh lima warga Mesir di Kilang 333, tempat saintis-saintis ini bekerja.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Rejim terpaksa menghentikan kempen ini selepas sebuah unit perisik ditahan di Switzerland atas dakwaan mengancam secara lisan keluarga seorang saintis Jerman. Hakim yang bersimpati dengan mereka mendakwa dua daripada perisik-perisik tersebut atas dakwaan mengugut tetapi melepaskan mereka semua dengan cepat. Perdana Menteri rejim ketika itu, David Ben-Gurion melihat publisiti sebegini amat berbahaya kepada Tel Aviv dan mengarahkan operasi tersebut ditamatkan. Pengganti Harel, Jeneral Meir Amit tidak lagi fokus kepada mengejar penjenayah perang Nazi. Namun, Amit melihat Skorzeny berguna untuk tujuan terakhir iaitu berdamai dengan Mesir. Skorzeny menjadi proksi rejim dalam mengusahakan perjanjian damai dengan Kaherah melalui seorang pegawai kanan tentera tetapi usaha tersebut gagal.

Figure 3: Meir Amit tidak melihat Skorzeny sebagai aset yang diperlukan untuk operasi-operasi Mossad pada masa akan datang.

Untuk tahun-tahun berikutnya, Skorzeny tetap aktif meneruskan agenda Neo-Nazi termasuk menubuhkan sebuah syarikat iaitu Paladin Group, sebuah kontraktor ketenteraan swasta yang berperanan dalam aktiviti sulit termasuk operasi ketenteraan dan perang politik. Berpangkalan di Alicante, syarikat ini bertanggungjawab melatih tentera dan gerila termasuk ejen Biro Keselamatan Negara Afrika Selatan (BOSS). Syarikat ini disyaki menjalankan operasi bagi pihak junta tentera Greece pada 1967-1974 dan membantu Kementerian Dalam Negeri Sepanyol melancarkan perang rahsia ke atas pemberontak Basque, ETA.

Skorzeny meninggal dunia pada usia 67 tahun di mana pada hari pengebumiannya, ada dua upacara pengebumian diadakan. Satu diadakan di Sepanyol sementara satu lagi diadakan di plot tanah perkuburan keluarga Skorzeny di Vienna, Austria. Kedua-dua upacara dihadiri veteran-veteran perang Jerman dan mereka memberi tabik hormat Nazi dan menyanyikan lagu-lagu kegemaran Hitler. 14 pingat yang diterima sepanjang hayatnya kelihatan semasa upacara pengebumian berlangsung. Ironinya, mereka tidak tahu bahawa lelaki yang digelar ‘Scarface’ ini sebenarnya berkhidmat dengan Mossad dan sehingga ke akhir hayat, Skorzeny tidak pernah menyatakan penolakannya terhadap fahaman Nazisme. Bagi Raanan pula, kehadirannya di Sepanyol atas kehendaknya sendiri dan bukan atas arahan Mossad. Selepas meninggalkan Mossad, beliau menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan kehadirannya semata-mata untuk memberi penghormatan peribadi kepada rakan senegaranya itu.

SUMBER 

  1. Huggler, Justin. (2016). The Telegraph. Hitler’s commando Lt-Col Otto Skorzeny ‘worked as an assassin for Israeli intelligence’. http://www.telegraph.co.uk/news/2016/03/29/hitlers-commando-lt-col-otto-skorzeny-worked-as-an-assassin-for/
  2. Winston, George. (2016). War History Online. How SS Commando Skorzeny Became An Assassin for Israel. https://www.warhistoryonline.com/war-articles/nazi-officer-became-assassin-israel.html/2
  3. Stillwel, Blake. (2016). Business Insider. This is how ‘the most dangerous man in Europe’ hunted his fellow Nazis for Israel. http://www.businessinsider.com/otto-skorzeny-nazi-israel-2016-10/?IR=T

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply