Ontoros Antanom – Pahlawan Murut Yang Berjiwa Kental

0
2733
views
Tugu Ontoros Antanom di Tenom, Sabah

“SEJARAH itu ditulis oleh orang yang menang” itulah frasa yang sering kita dengar apabila berbicara mengenai siri penentangan yang dilakukan oleh anak watan bagi membela nasib rakyatnya.  Itulah kenyataan berat sebelah yang sering ditulis oleh pengkarya barat mengenai perjuangan anak tempatan kita.  Jika James Brooke menamakan siri ekspedisinya ke pedalaman Sarawak adalah ekspedisi membanteras lanun, ia juga turut terpalit di Borneo Utara (Sabah sekarang) iaitu sewaktu pemerintahan British North Borneo Company atau Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) sejak dari tahun 1882 hingga 1946.

Nama pahlawan Murut ini mungkin tidak sehebat Paduka Mat Salleh yang sentiasa diangkat ceritanya sebagai perwira untuk orang Sabah suatu ketika dahulu.  Dek kerana itu agak kurang pensejarahan mengenai beliau namun inilah antara pahlawan anak pribumi Sabah yang dianggap legenda bagi masyarakat Murut kerana mampu menyatupadukan kaumnya untuk bangun menentang SBUB yang seumpama kadok naik junjung di bumi Sabah suatu waktu dahulu. Kebangkitannya telah menyebabkan SBUB “pusing kepala” sehingga menggunakan taktik paling kotor bagi menangkap dan membunuhnya.

Ontoros Antanom diberi nama dilahirkan di Sungai Salarom, Rundum pada tahun 1885.  Lahir di kalangan golongan aristokrat kaum Murut menyebabkan beliau sejak dari kecil sudah diasuh dan didedahkan dengan pelbagai ilmu mempertahankan diri dan kepimpinan bagi mempersiapkan dirinya untuk memimpin masyarakat Murut di Rundum.  Hutan belantara dan berburu itu tapak permainan semulajadinya yang menjadikan beliau seorang anak Murut yang dibanggakan oleh keluarganya.

Maka tidak menghairankan sekiranya Ontoros digambarkan sebagai seorang anak pribumi yang berbadan tegap serta berambut panjang ini adalah anak Murut yang begitu mencintai tradisi dan budaya masyarakatnya.  Sentiasa tampil lengkap berbusana tradisi Murut siaga dengan tombak dan pailang (parang Murut) tersisip di pinggang menampakkan kegagahannya serta menggerunkan di pandangan pihak lawan.  Tegas pada setiap butir bicaranya dan apa yang dikata beliau pasti akan dikotakan.  Begitulah hendaknya ciri-ciri seorang pemimpin yang dihormati suatu ketika dahulu.

Di dalam sejarah pemerintahan SBUB di Sabah bukannya satu rahsia bagaimana biasnya mereka memerintah bumi Sabah.  Untuk konteks masyarakat Murut diceritakan SBUB seringkali menampilkan cukai dan undang-undang yang tidak masuk akal seolah-olah masyarakat Murut itu sentiasa di bawah telapak kaki mereka.  Penghidupan masyarakat Murut yang sememangnya apa adanya semakin terhimpit apabila SBUB berkuasa di tempat mereka.

Arahan yang bukan-bukan SBUB seperti mewajibkan mana-mana keluarga Murut yang mempunyai lebih daripada dua orang anak untuk menyerahkan salah seorang kepada mereka bagi dijadikan buruh paksa tanpa bayaran upah, cukai kepala, cukai padi malah juga cukai tuak atau air tapai turut membuatkan kemarahan masyarakat Murut semakin memuncak. Selain itu hasil hutan yang menjadi sumber pencarian mereka juga turut cuba dirampas apabila SBUB membenarkan orang luar untuk mengambilnya yang kemudian dikenakan cukai.

Terdorong atas rasa ketidakpuasan hati inilah akhirnya Ontoros telah berjaya menyatukan masyarakat Murut untuk bersama beliau bagi menentang SBUB.  Yang menyertainya pula bukanlah hanya di kampung halaman beliau sahaja sebaliknya ada yang datang dari Tenom, Keningau, Pensiangan malah mereka yang mendiami sempadan Borneo Utara dan Kalimantan turut menyahut seruannya pada ketika itu.  Seperti ular menyusur akar begitulah juga taktik yang digunakan oleh Ontoros untuk menentang SBUB agar perancangan yang rapi sentiasa dilestarikan.

Dikatakan berkat kesabaran itu, Ontoros dan pengikut-pengikutnya telah berjaya membina kubu-kubu yang amat sukar untuk dijejaki.  Diceritakan kubu-kubu ini juga sebenarnya mempunyai terowong-terowong bawah tanah yang menghubungkan rumah penduduk perkampungan pada ketika itu.  Bukan satu tetapi banyak seperti kubu di Selangit yang dinamakan Silar Pinikit, Menining di kawasan hulu Sungai Telokosan, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang.  Pembinaan kubu-kubu ini siap sepenuhnya sekitar tahun 1913. Walaupun hakikatnya kubu-kubu pertahanan sudah boleh digunakan namun Ontoros masih belum mahu menyerang SBUB lagi kerana beliau mempunyai perancangan yang cukup teratur.  Di sinilah dikatakan Ontoros menghantar pengikut-pengikutnya untuk sentiasa memerhati gerak geri penjawat SBUB tanpa disedari oleh mereka langsung.

Sekitar Februari 1915, kumpulan Ontoros yang seramai 900 orang Murut telah merapati pejabat SBUB di Pensiangan.  Kebetulan pada masa itu beberapa kakitangan SBUB serta askar-askar upahan mereka sedang berada di bangunan tersebut.  Terkejut dengan kehadiran panglima-panglima Murut di dalam jumlah yang besar menyebabkan mereka cuba berlindung dengan apa sahaja yang ada di dalam bangunan.  Pasrah dengan jumlah yang ramai itu menyebabkan mana-mana kakitangan SBUB dan tentera upahan mereka hanya mampu menyaksikan bangunan SBUB di Pensiangan musnah dijilat api kerana dibakar dengan sengaja oleh pengikut Ontoros.

Melihat kejayaan penentangan di Pensiangan, sekitar Mac 1915 pula bangunan dan tempat tinggal kakitangan SBUB di Rundum pula menjadi sasaran.  Untuk kali ini seramai 600 orang pahlawan Murut yang ikut serta.  Ketibaan mereka sememangnya sudah diketahui oleh SBUB malah sejak kejadian di Pensiangan lagi, SBUB telah mengambil langkah berjaga-jaga yang cukup teliti.  Namun walau hanya bersenjatakan sumpit, tombak dan parang berbanding tentera upahan SBUB yang menggunakan senapang moden masih tidak boleh melawan kemaraan pahlawan-pahlawan Murut.  Kemenangan tetap berpihak kepada Ontoros apabila segala kemudahan SBUB di Rundum turut dibakar dan kesemua mereka dihalau keluar dari wilayah Rundum pada ketika itu.

SBUB seperti hilang punca apabila satu persatu pejabat pentadbirannya dibakar dan dimusnahkan akhirnya turut melakukan serangan balas.  Sasaran serangan balas SBUB pada bulan April 1915 adalah ke kubu di Selangit iaitu kubu induk Ontoros.  Dengan kekuatan seramai 400 orang tentera upahan SBUB bergerak ke kawasan Ontoros dengan pelbagai senjata termasuklah meriam dan sebagainya.  Sungguhpun perang itu beralaskan senjata moden melawan senjata tradisional ianya tetap tidak mudah untuk ditembusi oleh SBUB.  Dikatakan perang SBUB ke atas kubu Ontoros di Selangit itu memakan masa hampir enam minggu lamanya dengan tiada kesudahan langsung.

Melihat kepada perkembangan ini juga menyebabkan SBUB bertindak untuk mengadakan perjanjian damai dengan Ontoros dan pengikutnya.  Bagi Ontoros inilah peluang yang baik untuk cuba berdiplomasi dengan SBUB kerana tiada gunanya untuk terus berperang seperti kata pepatah lama yang kalah akan menjadi abu, menang pula akan menjadi arang lalu beliau menyahut seruan gencatan senjata daripada SBUB. SBUB sendiri telah menetapkan mesyuarat gencatan senjata adalah di Rundum iaitu jika diperkira mengikut perjalanan darat akan mengambil masa hampir lapan atau sembilan hari dari Selangit.

Atas nama survival anak bangsa Murut pada masa itu, Ontoros dan pengikut-pengikutnya menuruti apa yang dirancangkan oleh SBUB.  Maka bermulalah episod perjalanan darat mereka ke Rundum.  Namun niat suci mereka untuk berdamai dan seterusnya memastikan SBUB keluar dari wilayah orang Murut rupa-rupanya adalah umpama rusa masuk perangkap.  Kerana sejak awal-awal lagi SBUB sebenarnya sudah memasang niat untuk membuat serangan hendap di ketika Ontoros di dalam perjalanan ke destinasi yang dijadualkan.

Masuk hari keempat perjalanan mereka itulah iaitu di satu lokasi sudah siaga beratus-ratus orang tentera SBUB menunggu beliau dan rombongannya disebalik hutan belukar.  Namun begitu walau diserang hendap, Ontoros dan pengikutnya tidak pernah menyerah kalah sebalik tetap melawan walau ke titisan darah yang terakhir.  Sayangnya kekuatan SBUB terlalu sukar untuk diatasi dan akhirnya Ontoros dan beberapa pengikutnya berjaya ditangkap.

Dendam kesumat SBUB terhadap apa yang dilakukan oleh Ontoros dan pengikutnya dilestarikan dengan pelbagai siksaan yang dikenakan keatas mereka.  Puas dengan segala siksaan dikatakan SBUB telah cuba membunuh Ontorus dengan menembaknya pada jarak dekat.  Hendak dijadikan cerita tiada satu das tembakan yang boleh mencedera mahupun mengambil nyawa Ontoros pada waktu itu.  Ini kerana mengikut kepercayaan masyarakat Murut, Ontoros bukanlah pahlawan Murut yang sembarangan kerana ilmu kebal telah lama dipelajarinya. Senjata moden tidak pernah lut di badan beliau.

Masyarakat barat sentiasa gerun dengan cerita mistik dan supernatural pahlawan pribumi di Borneo tetapi sentiasa panjang akal untuk melemahkan semangat mereka.  Pada kali ini dikatakan SBUB telah menjadikan pengikut setia Ontoros dan ahli keluarga sebagai galang gantinya. Ontoros dipaksa untuk memecahkan rahsia kekebalan beliau jika ingin melihat mereka selamat.  Kelemahan Ontoros telah berjaya dimanipulasi oleh SBUB yang mana akhirnya beliau menyerah juga demi kelangsungan hidup keluarga dan pengikutnya. Dikala nyawanya dihujung tanduk inilah, Ontoros menyatakan jika ingin melihat beliau mati haruslah tali pengikat di tangan dan kakinya dileraikan.

Usai sahaja membuka segala tali pengikat yang berada di tangan dan kaki Ontoros itulah tanpa menunggu lebih lama, SBUB telah menjalankan hukuman pancung keatasnya.  Maka terlerailah kepala daripada badan seorang pahlawan Murut yang paling berani di dalam sejarah kaum Murut di Sabah.  Gugurnya Ontoros ditangan SBUB di ketika usianya yang masih muda iaitu baru mencecah 30 tahun.  Sementara itu nasib malang terus menimpa lapan pengikut paling kanan Ontoros apabila dihukum buang daerah ke Kudat, Sabah.  Manakala yang lain pula ditangkap dan dijadikan buruh paksa bagi pihak SBUB tanpa bayaran seumur hidup.

Begitulah pengakhirannya cerita seorang pahlawan Murut bernama Ontoros Antanom yang matinya adalah untuk membebaskan masyarakat Murut daripada terus dibelenggu pemerintahan SBUB di Sabah.  Usia muda tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak berjiwa kental menentang pemerintah asing yang cuba bermaharajalela di tanahairnya.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Laman Web Rasmi Kerajaan Sabah

http://www.sabah.gov.my/

  1. Antanom Pahlawan Anak Rimba Berjiwa Besar

http://tokohtokohpejuangsabah.tumblr.com/post/107608128228/antanom-pahlawan-anak-rimba-berjiwa-besar

  1. Ontoros Berjuang Tentang Penindasan

http://borneohistory57.blogspot.my/2014/08/ontoros-antanom.html

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here