NORDIN AHMAD boleh disifatkan sebagai pelakon watak purbawara yang sangat hebat. Beliau memiliki raut wajah yang sangat sesuai untuk membawakan watak-watak sedemikian. Ditambah pula dengan kehandalannya dalam ilmu persilatan. NORDIN AHMAD sentiasa berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

Anak kelahiran Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang ini dilahirkan pada 4 Ogos 1929. Anak kedua dalam enam orang adik beradik ini sudah menanam minat terhadap seni sejak dari zaman kanak-kanak lagi, apabila NORDIN AHMAD sering pergi menonton pertunjukkan pentas bangsawan dan opera cina. Dari situlah NORDIN AHMAD mula terdedah dan minat dengan seni lakon. Apabila tamat persekolahan NORDIN AHMAD telah diberi peluang berkerja di pangkalan tentera Jepun sebagai tukang masak sehingga pada tahun 1950 NORDIN AHMAD telah berhijrah ke Singapura untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik bagi menampung hidup dan keperluan keluarganya.

Di Singapura NORDIN AHMAD membuat bermacam-macam kerja. Beliau pernah menjadi Bomba, operator telefon dan penjaga stor. Tetapi semua itu tidak kekal lama sehingga pada satu hari NORDIN AHMAD terlihat satu iklan di dalam suratkhabar Utusan Melayu, di mana pihak studio Malay Film Productions di Jalan Ampas sedang mencari bakat baru untuk menjadi pelakon filem. Bertolak dari situ NORDIN AHMAD diterima menjadi pelakon di mana filem pertama beliau kelihatan di layar perak adalah melalui filem JUWITA pada tahun 1951.

Selama 7 tahun menimba pengalaman sebagai pelakon di studio Jalan Ampas, NORDIN AHMAD akhirnya telah berhijrah ke studio Cathay-Keris Film pada penghujung tahun 1957. Sebanyak 22 buah filem telah dilakonkan oleh NORDIN AHMAD sepanjang berkhidmat di studio Jalan Ampas. Antara filem-filem beliau di Jalan Ampas yang sangat meninggalkan kesan dihati penonton seperti PANGGILAN PULAU, ABU HASSAN PENCHURI, SEMERAH PADI, ANAK-KU SAZALI dan yang terakhir BELANTARA.

Di studio Cathay-Keris, nama NORDIN AHMAD terlalu hebat. NORDIN AHMAD adalah hero utama dikalangan pelakon yang menjadi nadi penggerak di studio berkenaan dalam mengeluarkan filem-filem yang bermutu untuk menyaingi filem-filem keluaran dari Malay Film Productions. Di Cathay-Keris juga NORDIN AHMAD telah bertemu dengan pasangan paling serasinya di layar perak iaitu seniwati LATIFAH OMAR. Oleh kerana gandingan ini, nama NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR sering meniti dibibir peminat filem Melayu di zaman itu, sehingga ada yang menggelarkan mereka berdua sebagai “Loving Couple On Silver Screen”. Antara filem-filem yang menggandingkan mereka berdua seperti HANG JEBAT, LANCHANG KUNING, LAILA MAJNUN, CHUCHU DATOK MERAH, GUL BAKAWALI, PATING CHENDANA dan GURINDAM JIWA.

NORDIN AHMAD mampu memberikan lakonan “over acting” yang berkesan dan diterima. Sesuai dengan peranannya di layar perak yang sering berakhir dengan tragedi. Penghayatan watak beliau sangat tinggi serta lontaran dialognya jelas dan tersusun ditambah pula permainan emosi beliau yang sangat mantap. NORDIN AHMAD sangat taat pada skrip. Bagi beliau, skrip bukan sekadar kertas putih semata-mata, tetapi ianya sebagai satu benda yang hidup untuk diterjemahkan ke layar perak. Sedang namanya berada di puncak kemahsyuran, NORDIN AHMAD telah dijemput oleh Allah SWT ketika berusia 42 tahun akibat penyakit kuning. Pada tanggal 15 Jun 1971, hari Selasa, jam 4.30 petang, di Hospital Besar Singapura, seniman tersohor filem Melayu, NORDIN AHMAD telah menghembuskan nafas terakhir disisi isterinya seniwati SALMAH IBRAHIM yang juga seorang pelakon dan penari.

NORDIN AHMAD sentiasa menjadi inspirasi kepada pelakon generasi muda yang menginginkan sesuatu resipi lakonan yang padat, mantap dan berwibawa. Keberkesanan lakonannya juga sering menjadi bahan kajian para penggiat seni dewasa ini. Antara sesalan kebanyakkan pelakon hari ini adalah tidak berkesempatan bersua muka dengan pelakon legenda itu. Mungkin kerana NORDIN AHMAD pergi terlalu awal ketika ramai yang menanam minat terhadap kehebatan persembahan beliau.

Untuk fakta, sepanjang 20 tahun penglibatan NORDIN AHMAD di dalam bidang seni. Beliau telah berlakon sebanyak 51 buah filem. NORDIN AHMAD juga sempat mengarah di dalam 9 buah filem di studio Cathay-Keris. Antara filem arahannya yang mendapat tempat dihati penonton ialah WAN PERKASA, KASEH IBU dan PLAYBOY. Begitulah sedikit cetusan hatiku terhadap seorang pelakon yang memiliki satu nama yang besar tetapi seolah olah dipandang sepi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

1 Comment

Leave A Reply