Muawiyah – Pemimpin Agung Orang Islam

1
3797
views

Pada bahagian pertama telah diceritakan siapakah Muawiyah bin Abu Sufian. Terdapat banyak versi cerita yang dikisahkan beliau sebagai salah seorang yang zalim dalam mendapatkan kekuasaan yang mutlak sebagai seorang pemimpin. Pelbagai fitnah dan tuduhan yang dilemparkan oleh musuh ke atas salah seorang sahabat Rasulullah saw ini. Bahagian kedua kali ini, saya akan menceritakan apakah sumbangan Muawiyah ini dari zaman Khalifah Abu Bakar sehingga ke zaman pemerintahannya.

1. Pada zaman Khalifah Abu Bakar.

• Ketika zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Muawiyah bin Abu Sufian telah menyertai pelbagai ekspedisi tentera Muslim dalam menyebarkan agama dan kuasa Islam dari semenanjung Arab ke tanah Parsi sehingga mencapai ke wilayah empayar Rom Barat.

Tentera Islam pada masa ini menyerang empayar Rom Byzantine dan empayar Parsi Bani Sasan yang berpusat di kota al-Madain sekaligus.

• Ketika ini, wilayah Syam masih berada di bawah kuasa empayar Rom Byzantine.

• Dalam ekspedisi, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq menghantar empat pasukan Muslim yang dimana
setiap pasukan terdiri daripada 7 ribu tentera, iaitu:

1) Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin pasukannya ke Homs.

2) Yazid bin Abu Sufian ditugaskan membebaskan kota Damaskus.

3) Pasukan Syurahbil bin Hasanah menuju ke wilayah al-Urdun.

4) Pasukan terakhir di bawah pimpinan Amru al-As menakluk Mesir.

• Muawiyah mendapatkan kepercayaan dari Khalifah Abu Bakar dalam memimpin pasukan Muslim memberikan bantuan kepada pasukan tentera di bawah pimpinan saudaranya iaitu Yazid bin Abu Sufian di Damsyik.

Kesemua ekspedisi ini berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

• Muawiyah juga turut sama berperang di dalam perang Yarmuk (13H) pimpinan Khalid al-Walid.

2. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.

• Setelah wafatnya Abu Bakar as-Siddiq, maka Umar al-Khattab memangku jawatan sebagai khalifah kedua yang sah berdasarkan wasiat Khalifah Abu Bakar.

• Umar banyak melakukan perubahan dalam pemerintahan seperti memecat beberapa pegawai daripada jawatan yang pernah diberikan oleh Abu Bakar kepada mereka. Contohnya, Umar memecat Khalid al-Walid daripada jawatan Ketua Pasukan Tentera Islam dan menggantikannya dengan Abu Ubaidah al-Jarrah.

Pemecatan ini berlaku kerana Umar berasa bimbang dengan akidah pasukan tentera Muslim yang pada masa itu beranggapan bahawa kemenangan mereka dalam pelbagai peperangan kerana ‘adanya’ Khalid al-Walid.

• Walaupun demikian, Umar masih mengekalkan jawatan Yazid bin Abu Sufian sebagai gabenor di Damsyik dan Muawiyah pula diperintahkan untuk berada di sana membantu melicinkan pemerintahan saudaranya.

• Pada waktu ini, sebahagian wilayah Syam sudah dikuasai oleh pasukan Muslim tetapi hanya dua kawasan yang masih berada di bawah sisa kuasa Rom iaitu kota Baitulmaqdis dan kota Qisariyyah.

• Setelah itu, kota Baitulmaqdis dikepung oleh pasukan tentera pimpinan Abu Ubaidah al-Jarrah dan kota ini berjaya dibuka oleh Khalifah Umar al-Khattab tanpa pertumpahan darah.

• Dengan itu, secara rasminya kota Qisariyyah menjadi benteng terakhir empayar Rom Byzantine di tanah Syam. Dicatatkan, bahawasanya kedudukan kota benteng ini terletak berhampiran dengan persisiran pantai dan pelabuhan kota ini juga sering dikunjungi oleh para pedagang dari luar yang membawa pelbagai bekalan makanan mahupun senjata serta tentera Rom Byzantine yang berlindung di dalam benteng ini mampu bertahan dengan lama walaupun mereka dikepung selama berbulan mahupun bertahun oleh pasukan Muslim kerana mereka masih mempunyai jalur lautan sebagai penyambung hayat mereka.

• Tetapi segala kenikmatan dan kebanggaan pertahanan kota Qisariyyah hilang apabila dalam sekitar tahun ke-15 H, pasukan tentera Muslim pimpinan Muawiyah berjaya menembus masuk benteng kota ini dan menawannnya dengan bantuan tentera dari Damsyik dan Madinah.

Peristiwa penaklukan kota benteng inilah yang menyebabkan karier Muawiyah mula melonjak naik dan namanya mula dikenali orang ramai di serata pelusuk wilayah di bawah kekuasaan Islam mahupun wilayah di pihak musuh.

• Pada tahun ke-18 H, telah berlaku satu bencana penyakit taun yang menyebabkan ramai sahabat Rasulullah saw meninggal dunia. Tahun ini dikenali di dalam sejarah Islam sebagai Tragedi Taun Amawas.

Diantara sahabat yang meninggal dunia ialah Abu Ubaidah al-Jarrah dan saudara kandung Muawiyah iaitu Yazid.

• Setelah tragedi ini dan kewafatan Yazid, maka Umar al-Khattab terus melantik Muawiyah sebagai gabenor di Damsyik menggantikan saudaranya, kerana Umar juga mengetahui bakat kepimpinan dan kecerdikan politik yang dimiliki oleh Muawiyah.

Umar sangat menghormati Muawiyah sehinggakan beliau selalu memanggil Muawiyah dengan gelaran Kaisar Arab dan Umar pernah berkata di dalam sebuah pertemuan di antara para sahabat:

“Kalian selalu menyebut dan memuji kecerdikan yang dimiliki oleh para kisra Parsi dan para kaisar Rom, sedangkan di sisi kalian adanya Muawiyah..”.

• Ketika zaman pemerintahan Umar, Muawiyah menjadi gabenor Damsyik dengan memegang wilayah Ba’albak dan al-Balqa di Jordan.

• Kuasa Islam menyebar di seluruh pelosok Syam dengan pembebasan kota Damsyik, kota Homs, kota Qannisrin, kota Palestin, Baitulmaqdis dan al-Jazirah.

• Pembebasan Iraq melalui Perang al-Jisr dan Perang Al-Qadisiyyah pimpinan Sa’ad bin Abu Waqqas.

Waktu ini, Muawiyah hanya menguasai hanya sebahagian wilayah Syam.

• Tahun 20H, Mesir dibebaskan oleh Amru al-As.

• Tahun 21H, pasukan tentera Islam di bawah pimpinan al-Nu’man bin Muqarrin berjaya membebaskan kota al-Madain dan kota Nahawand serta tahun ini dikenali sebagai Fath al-Futuh (pembuka segala perang).

• Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar, Muawiyah telah meminta izin untuk menubuhkan sebuah angkatan perang laut bertujuan menyekat pengaruh Rom Byzantine dan mempertahankan kuasa Islam di tanah Syam.

Muawiyah mengusulkan cadangan ini kerana beliau tahu yang kebanyakan kota di wilayah Syam terdedah dengan serangan laut oleh pasukan laut Byzantine. Tetapi usulan Muawiyah ditolak oleh Khalifah Umar atas sebab tertentu setelah mendapat nasihat daripada Amru al-As kerana pada masa ini Khalifah Umar menerapkan posisi bertahan sebab beliau tahu Islam baru sahaja bertapak di wilayah Syam dan bila-bila masa sahaja musuh akan datang menyerang kembali wilayah ini. Khalifah Umar tidak mahu meluaskan kuasa secara terburu-buru dan sebab ini beliau hanya mengambil langkah memperkuatkan dahulu pasukan darat dan menumpaskan segala pengaruh kuasa Rom Byzantine di tanah Syam.

3. Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan.

• Pada sekitar tahun ke-23 H, Uthman bin Affan menjadi khalifah ketiga sah setelah dibai’ah oleh orang ramai menggantikan Umar al-Khattab yang wafat setelah ditikam mati oleh seorang Majusi.

• Muawiyah dikekalkan kuasa sebagai gabenor di Damsyik kerana lokasi pemerintahannya yang berada di Syam iaitu sebuah wilayah yang bersempadan dengan kuasa empayar Rom Timur (Byzantine) dan wilayah ini sering diserang oleh pasukan tentera dari Byzantine.

• Muawiyah berjaya menunjukkan dirinya sebagai pemimpin yang tangguh apabila berjaya mempertahankan kuasa Islam di wilayah Syam dari serangan pasukan Byzantine dan akhirnya dalam tahun ke-25 H, Khalifah Uthman terus melantik Muawiyah sebagai gabenor yang menguasai seluruh wilayah dan kota yang berada di tanah Syam.

• Memimpin tentera Islam memasuki wilayah Rom Byzantine sehingga mencapai ke wilayah Ammoria (sebuah kawasan berdekatan Ankara, Turki).

• Setelah dua tahun pemerintahan Khalifah Uthman, maka pasukan tentera Rom Byzantine datang menyerang kota-kota pelabuhan di persisiran pantai Syam dan mereka juga berjaya menakluk kembali kota Beirut dari kuasa Islam.

Tetapi, Muawiyah dapat mengambil kota ini kembali.

• Tahun 27H, Muawiyah meminta izin mengusulkan cadangan buat kali kedua kepada Khalifah Uthman untuk menubuhkan angkatan laut Islam dengan alasan Muawiyah merancang untuk membebaskan pulau Cyprus kerana pada masa ini, pulau tersebut menjadi markas utama dan penyambung bekalan untuk pasukan laut Rom Byzantine menyerang tanah Syam.

Usulan ini diterima setelah beberapa orang sahabat besar memperkenankan dan bersetuju dengan rancangan ini.

• Tahun 29H, Muawiyah juga turut turun padang bersama pasukannya dari Syam membantu pasukan Habib bin Maslamah al-Fihri yang berperang di wilayah Armenia setelah mendapat arahan daripada Khalifah Uthman.

Gabungan pasukan dari kota Kufah dan kota Damsyik berjaya membebaskan wilayah Armenia sehingga mencapai ke persisiran pantai Laut Hitam dan sebahagian wilayah Kaukasus.

• Beliau juga dilantik sebagai mustasyar (penasihat khusus kepada Khalifah Uthman) pada tahun-tahun terakhir pemerintahan Khalifah Uthman.

4. Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib dan zaman Khalifah Hassan bin Ali.

• Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali, telah terjadi peperangan di antara pihak pengikut Khalifah Ali yang berpusat di kota Kufah dengan pengikut gabenor Muawiyah yang berpusat di kota Damsyik.

Bermula tahun atau zaman fitnah-memfitnah.
Akan dibahaskan dalam bab ketiga.

PEMBUKAAN PULAU-PULAU DI LAUT MEDITERRANEAN DI BAWAH PIMPINAN MUAWIYAH.

• Berlaku juga pembebasan oleh kuasa Islam di sekitar kawasan laut pulau Cyprus dan terjadi perang Dhat al-Sawari (berhampiran dengan perairan Mesir).

• Maka, bermulalah episod pembebasan pulau-pulau oleh pasukan laut Islam di bawah pimpinan Muawiyah bin Abu Sufian, diantaranya ialah:-

1) Pulau Cyprus.

Kali pertama: Muawiyah memimpin operasi ini buat kali pertama pada tahun 27H/28H dan diakhiri dengan perjanjian damai diantara Muawiyah dan penguasa Cyprus dengan membayar 7,000 dinar setiap tahun serta memberikan segala maklumat berkaitan pergerakan armada laut Byzantine.

Kali kedua: Tahun 32H, penguasa Cyprus mengkhianati perjanjian damai dengan memberikan bantuan kepada armada laut Byzantine. Muawiyah menghantar 500 kapal perang dan berjaya membebaskan pulau itu pada tahun 33H. Muawiyah meletakkan 12,000 tentera Islam dan beberapa orang penduduk Ba’labak tinggal di sana untuk melindungi pulau Cyprus.

( Empayar Byzantine terpaksa memindahkan pusat armada laut mereke ke pulau Sicily setelah itu ).

2) Pulau Rhodes.

1- Ekspedisi 35H.

Pertama kali dilancarkan pada zaman Khalifah Uthman bin Affan pada tahun 35H dan melalui beberapa fasa ekspedisi pembukaan pada zaman Khalifah Muawiyah iaitu:

2- Ekspedisi 45H.

Khalifah Muawiyah menghantar pasukan armada laut dari pelabuhan Iskandariyah, Mesir di bawah pimpinan panglima Uqbah bin Amir & panglima Maslamah bin Mukhallad untuk menguruskan segala pembinaan serta pembangunan di pulau ini.

3- Ekspedisi 52H.

Menghantar panglima Janadah bin Abu Umayyah al-Azdi yang bertujuan untuk menguatkan pertahanan & kubu-kubu milik pasukan Islam di sana.

4- Ekspedisi 58H.

Khalifah Muawiyah menghantar armada laut di bawah pimpinan panglima Akdar & panglima Said bin Yazid.

5- Ekspedisi 59H.

Ekspedisi terakhir yang dilancarkan oleh Khalifah Muawiyah ke pulau Rhodes yang dipimpin oleh panglima al-Alqamah bin Junadah al-Hijri & panglima al-Alqamah bin al-Akhtam.

4) Pulau Arwad.

Dilancarkan pada tahun 54H dan pasukan armada laut Muslim dipimpin oleh panglima Junadah bin Abu Umayyah dan pulau ini merupakan benteng terakhir Rom Byzantine yang berlokasi di kawasan persisiran pantai Syria (tanah Syam).

5) Pulau Kriti.

Dilancarkan kali pertama dalam tahun 55H di bawah arahan Khalifah Muawiyah dan pasukan armada laut Muslim kali ini dipimpin juga oleh panglima Janadah bin Abu Umayyah al-Azdi serta beliau dapat membebaskan hanya sebahagian daripada pulau ini.

6) Pulau Sicily.

Ekspedisi ke pulau ini pertama kali dilancarkan pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman sebelum zaman pemerintahan Bani Umayyah di bawah pimpinan panglima Muawiyah bin Hudayj dan tugas Muawiyah dalam ekspedisi ini adalah menyiapkan 500 buah kapal perang yang digerakkan dari pelabuhan pantai Syam. Pembukaan pulau ini melalui beberapa ekspedisi diantaranya adalah:

1- Ekspedisi 46H.

Digerakkan oleh Muawiyah bin Hudayj setelah mendapat arahan dari Khalifah Muawiyah dan armada laut Muslim dipimpin oleh panglima Abdullah bin Qays al-Fazari yang bertolak bersama pasukannya dari pelabuhan Afrika.

Pendapat lain mengemukan bahawasanya armada laut Muslim dalam ekspedisi kali ini bukan dari Afrika melainkan dari Mesir.

2- Ekspedisi 49H.

Pembebasan ini diteruskan oleh panglima Uqbah bin Nafi (gabenor Bani Umayyah di Afrika) dengan kerjasama pasukan armada laut dari Mesir.

• Pada tahun 50H, Khalifah Muawiyah melancarkan serangan ke Rom Byzantine melalui bebarapa orang panglimanya iaitu:

1) Panglima Busr bin Artah.
2) Panglima Sufyan bin Awf al-Azdi.
3) Panglima Fadalah bin Ubaidillah al-Ansari.

• Tempoh masa yang aktif berlakunya pembebasan pulau-pulau di sekitar Laut Mediterranean oleh Khalifah Muawiyah adalah diantara tahun 41H sehingga ke tahun 60H.

OPERASI USAHA PEMBEBASAN KOTA KONSTANTINOPEL.

• Strategi Muawiyah bukan sahaja mengambil kesemua pulau milik empayar Rom Byzantine melainkan beliau juga berhasrat menumbangkan kekuasaan empayar ini dengan menyerang ibukota mereka, Konstantinopel sebanyak dua kali, iaitu:

1) Pembebasan Pertama.

Bermula pada tahun 49H dan pasukan darat serta laut Muslim dalam pembebasan pertama ini dipimpin langsung oleh anaknya, Yazid bin Muawiyah.

Tetapi pembebasan ini gagal kerana:

a) Cuaca sejuk.
b) Tempoh pengepungan yang berpanjangan.
c) Benteng kota Konstantinopel yang kuat.
d) Senjata api Greek yang digunakan oleh pihak Rom Byzantine dalam menghalang kemaraan pasukan armada laut Muslim.

2) Pembebasan Kedua.

Berlaku pada tahun 54H sehingga ke tahun 60H. Pembebasan kali kedua gagal apabila pasukan tentera Islam ditarik kembali dari Konstantinopel setelah tersebarnya berita kewafatan Khalifah Muawiyah.

• Dicatatkan, ekpedisi pembebasan pulau-pulau di bawah pemerintahan Khalifah Muawiyah adalah sebanyak 12 operasi.

• Banyak lagi ekpedisi laut yang dilancarkan oleh Khalifah Muawiyah tetapi tiada catatan mengenai operasi apa yang dilakukan melainkan hanya dicatatkan nama para panglimanya sahaja.

PAKAR POLITIK ISLAM.

• Sebagai seorang pemimpin yang hebat dalam merangka strategi di dalam bidang politik dan meluaskan pengaruh, maka Muawiyah melantik beberapa orang yang juga memiliki pengaruh yang besar sebagai pegawainya, iaitu:

1) Amru bin al-As.
2) al-Mughirah bin Syu’bah.
3) Ziyad bin Abih.
4) Yazid bin al-Hur.
5) al-Dahhak bin Qays.
6) Abdullah bin Amir.
7) al-Muhlab bin Abu Sufrah.
8) Uqbah bin Nafi.
9) Malik bin Hubayrah.
10) Junadah bin Umayyah al-Azdi.

• Muawiyah berusaha bekerjasama & memelihara hubungannya diantara kabilah-kabilah yang kuat serta berpengaruh di tanah Syam seperti:

1) Kabilah Qays ialah kabilah al-Fihri yang ditugaskan untuk mengendalikan politik dan pentadbiran dalam pemerintahan Khalifah Muawiyah.

2) Kabilah Yaman yang terdiri daripada kabilah al-Kindi dan al-Kalbi yang ditugaskan untuk menjaga pertahanan negara (empayar Bani Umayyah).

3) Kabilah Thaqif diberikan kepercayaan menguruskan pentadbiran di kota-kota bahagian Iraq.

• Bagaimana Muawiyah mampu mengekalkan kuasanya daripada digulingkan oleh ahli keluarganya sendiri?

Beliau melantik mereka yang berbakat dari ahli keluarganya sendiri sebagai pegawai-pegawai yang penting di dalam pemerintahan dan meletakkan mereka di kawasan yang berbeza supaya mereka tidak bersatu mencipta pakatan menggulingkannya.

• Khalifah Muawiyah juga menubuhkan jabatan al-Hajib (pengawal pintu) dan al-Haras (pengawal peribadi khalifah).

1. Tugas al-Hajib adalah mengawal pintu istana dan pegawai yang bertugas di dalam tugas ini akan melaporkan kepada khalifah tetamu yang datang dan ingin berjumpa dengan khalifah.

2. Tugas al-Haras adalah melindungi khalifah daripada serangan para musuh yang ingin membunuh khalifah. al-Haras juga bertanggungjawab melindungi para gabenor yang bertugas di bawah khalifah Bani Umayyah.

• Muawiyah menubuhkan jabatan ini setelah berlaku beberapa peristiwa pembunuhan ke atas beberapa orang khalifah sebelum ini seperti Khalifah Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib.

Penubuhan ini juga dikaitkan dengan serangan musuh dari Rom Byzantine yang ingin membunuh khalifah.

• Muawiyah juga merupakan orang pertama yang menyampaikan khutbah secara duduk dan membina al-Maqsurah iaitu bilik imam di dalam masjid.

• Beliau juga menubuhkan jabatan pos yang bersistematik pertama dalam sejarah Islam dengan membina pejabat-pejabat pos yang berjarak 20km diantara satu sama lain. Dan di pejabat-pejabat pos ini disediakan kuda-kuda yang paling pantas dalam larian.

Khidmat pos tidak terbatas hanya kepada khalifah dan urusan kerajaan sahaja, melainkan khidmat ini juga dibuka kepada orang awam.

• Ketika Khalifah Muawiyah menjadi pemimpin, kota Damsyik menjadi pusat pentadbiran dan kubu kuatnya, kota Madinah dan kota Mekah menjadi tempat yang paling penting untuk dilindungi, kota Kufah menjadi kubu perluasan kuasa Islam ke wilayah utara Iraq, Azerbaijan dan di wilayah Kurdi, kota Basrah menjadi kubu pertahanan kuasa Islam mengendalikan wilayah-wilayah yang besar seperti Parsi, Khurasan, Karman dan Sijistan.

• Kesemua kota di atas dikenali sebagai wilayah penting dan emas ketika zaman pemerintahannya.

Itulah beberapa sumbangan Khalifah Muawiyah di dalam sejarah Islam sehingga beliau difitnah oleh kaum munafik sebagai pemimpin tidak sah di sisi syarak dan kejam yang membunuh ramai umat Islam.

Wallahu’alam.

– TAMAT –

Comments

comments

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here