Monsopiad – Legenda Headhunters Orang Sabah

0
1688
views

Bagi masyarakat Sabah khususnya yang menetap di sekitar daerah Penampang.Nama Monsopiad bukanlah sesuatu yang asing.Beliau adalah tokoh pahlawan ‘head hunters’ yang terkenal dalam kalangan masyarakat Kadazan. Kisah beliau diabadikan dalam jurnal sejarahwan seperti Peter R. Phelan (2001) `Head-Hunting and The Magang,James Jivinu (2005) `Monsopiad’, Kadazandusun Language Foundation, Penampang, Sabah dan paling penting cerita yang diperolehi daripada keturunan ke-6 beliau,Encik Dousia Moujing yang berusia 78 tahun dan masih menetap di kampung kelahiran pahlawan itu yang kini dijadikan sebagai ‘Cultural Village Of Monsopiad’.

Terletak 15 km dari Kota Kinabalu dan lebih kurang 6 Kilometer dari Pekan Donggongon,Kampung Kuai Kandazon,Penampang merupakan saksi bisu kepada seorang manusia istimewa yang pernah lahir dan masih dikenang jasanya oleh anak bangsanya sehingga ke hari ini. Lebih 300 tahun lalu,Monsopiad dikatakan lahir dari pasangan ketua puak bernama Dunggou dan isterinya Kizabon di sebuah rumah panjang yang turut menjadi tempat tinggal kepada puluhan keluarga lain yang menjadi pengikutnya di kampung berkenaan.Dikatakan kelahiran Monsopiad diiringi satu insiden yang dianggap istimewa. Seekor burung bugang(pungguk) dikatakan sedang berbunyi pada ketika itu tepat di atas bumbung rumah di mana Kizabon sedang bertarung nyawa melahirkan puteranya.Tertarik dengan bunyi itu,Dunggou segera memanjat bumbung rumah panjang dan tak semena-mena ternampak sarang burung bugang yang telah kosong.

Di dalam sarang yang telah kosong itu kelihatan sebiji telur yang telah menetas namun tidak terlihat sebarang tanda anak bugang di mana-mana.Menganggap kejadian mistik itu kurnia dari Dewata,Dunggou dapat merasakan itu merupakan satu petanda yang baik bahawa puteranya kelak akan membesar menjadi seorang pahlawan yang perkasa.Serpihan telur bugang itu segera diambil oleh beliau dan direndamkan di dalam air mandian Monsopiad yang masih bayi setiap kali anaknya dimandikan sehinggalah puteranya mencecah usia dewasa.Sebagai waris kepada penguasa yang bakal menentukan hala tuju masa depan kaumnya,Monsopiad dilengkapkan dengan kemahiran seni mempertahankan diri oleh Akinya(datuknya) sendiri di samping selok-belok kepimpinan dan pantang larang yang harus dipelajari selari dengan kepercayaan puak mereka.

Monsopiad membesar sebagai seorang pemuda yang tampan.Seperti penduduk kampung yang lain,Monsopiad turut turun ke bendang untuk mengerjakan sawah padi.Kerja-kerja berat yang memerlukan kerahan tenaga fizikal yang bukan sedikit menjadikan susuk tubuhnya sasa dan tegap.Fizikalnya yang maskulin ditambah dengan rupa yang kacak serta kedudukannya sebagai anak ketua puak menjadikan Monsopiad sering menjadi intaian gadis-gadis sunti di kampungnya.Keperibadian Monsopiad juga dikatakan sangat-sangat terpuji.Walaupun mahir dalam selok-belok seni mempertahankan diri namun beliau tidak pernah menyalahgunakan kelebihannya.

Beliau lebih suka menghabiskan waktu mengerjakan bendang atau memburu haiwan dan mengutip hasil-hasil di hutan seperti buah-buahan atau rotan untuk ditukarkan dengan barang keperluan harian yang lain menerusi sistem ‘barter trade’ baik dengan penduduk kampungnya sendiri mahupun dengan puak-puak yang tingal di kampung berhampiran.Kehidupan beliau serba sederhana dan tenteram sehinggalah…

Kampung Kuai Kandazon menerima ancaman daripada perompak-perompak yang mengganas di sekitar Penampang.Hasil tuaian padi penduduk yang lazim disimpan di rumah padi juga habis dicuri.Bukan sekadar itu,haiwan ternakan penduduk kampung seperti ayam,kambing,kerbau dan khinzir turut menjadi mangsa.

Pada suatu hari,seramai 40 orang gadis telah datang ke ruai(ruang)ketua puak meminta jasa baik Monsopiad untuk menemani mereka turun ke bendang bagi ‘manabas'(menuai) padi mereka.Namun malangnya setibanya mereka ke bendang kesemua padi yang telah menguning dan sedia untuk diketam itu telah habis dicuri.Kecewa dengan keadaan ini Monsopiad memujuk mereka agar bersabar dan mengerjakan sawah mereka untuk semusim lagi.

Waqaf Saham

Namun kejadian yang sama berulang lagi apabila musim menuai tiba.Marah dengan keadaan ini gadis-gadis berkenaan mencabar Monsopiad yang handal bertarung itu untuk menghapuskan para penyamun yang semakin berleluasa.Monsopiad yang melihat masalah ini semakin parah menyahut cabaran para gadis itu dan berjanji akan menghukum kesemua penyamun dengan adat ‘memangkas’.Sebagai balasan beliau mahu disambut sebagai ‘Huguon Siou'(Pahlawan) dan penduduk kampung mengadakan jamuan secara besar-besarran bagi meraikan kejayaannya.

Keesokan harinya Monsopiad bertolak dari rumah panjang bagi memburu para penyamun yang sekian lama mengganas dan menimbulkan ketakutan kepada para penduduk.Beliau turut membawa gozong(bekas besar untuk menyimpan makanan) dan sebilah pedang(berkemungkinan selasing atau mandau)Usaha beliau berhasil apabila berjaya memenggal kepala beberapa orang perompak yang ditemui.

Sekembalinya beliau ke kampungnya beliau disambut meriah seperti yang dijanjikan.Dalam satu upacara beliau diiktiraf oleh para Bobohizan(High Priestes)sebagai Huguon Siou.Situasi ini berterusan sehinggalah keamanan dapat dipulihkan kembali.

Berita kehebatan beliau tersebar hingga ke kawasan sekitar.Ramai pahlawan head hunters yang lain mencabar Monsopiad untuk beradu kekuatan.Dan pasti pertarungan itu berakhir dengan kekalahan lawan Monsopiad.

Satu kehidupan yang mungkin tidak disukai Monsopiad kerana beliau lebih gemar bercucuk tanam,menternak haiwan dan memburu serta mengutip hasil hutan.Tujuan asal beliau hanyalah untuk menghapuskan perompak.Namun kemudiannya beliau menerima cabaran demi cabaran hinggalah beliau tiada pilihan lain melainkan menyahut setiap cabaran itu.

Setiap kepala yang dipenggal akan dikeringkan di atas sebuah tempat bernama bangkahak,kemudian dicampurkan dengan Hizad(mungkin sejenis bahan menghilangkan bau).Kemudian digantungkan di alang-alang sulap(pondok rehat) berhampiran sawah padi dan di alang-alang rumah panjang.

Riwayat Monsopiad berakhir pada satu malam ketika beliau tertidur selepas mabuk akibat minum terlalu banyak tapai.Beliau diserang oleh ramai orang yang tidak dikenali.

Beliau yang hanya bertangan kosong berjaya menewaskan beberapa orang lawannya namun dalam kekalutan itu tumbukan beliau tersasar dan menembusi dinding yang terbuat dari bambu.Monsopiad berjaya melepaskan diri dan bersembunyi di hutan berhampiran selama beberapa hari.Malangnya kecederaan yang dialami akibat luka besar ditangannya akhirnya membawa maut kepada Monsopiad.

Beliau dikuburkan diatas bukit di kampung Kuai Kandazon, Penampang oleh penduduk-penduduk kampung. Batu yang di ukir untuk menunjukkan bilangan kepala yang dipenggal oleh Monsopiad kemudiannya diletakkan diatas kuburan Monsopiad. Kuburan ini masih kelihatan sehingga sekarang.

Kisah Monsopiad telah lama dimamah waktu.Namun jasa dan sumbangan tokoh yang direkodkan telah memenggal lebih 40 kepala manusia ini akan tetap dikenang dalam menghapuskan gangguan perompak yang pernah merobek keamanan warga Kuai Kandazon satu masa dahulu.Seandainya berkunjung ke Negeri Di Bawah Bayu luang-luangkanlah waktu berkunjung ke `Monsopiad Cultural Village ’ nescaya anda tidak akan menyesal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.