Mengapa Falsafah Penting: Pengenalan Terhadap Alam

0
2106
views
Syed Mohd. Naquib Al-Attas

Kesemua hidupan yang wujud di dunia ini, termasuk mikrob seperti bakteria, mempunyai struktur genetik yang lebih kurang namun masih lagi mempunyai perbezaan, lantas melahirkan makhluk dan spesies yang berlainan antara satu sama lain. Di bahagian tertinggi hierarki makhluk ialah makhluk yang paling berjaya dalam kehidupan.

Makhluk yang berada di tingkat tertinggi sudah semestinya manusia, kerana akalnya sangat dinamik dan pintar, dan inilah yang membezakan kita dengan binatang. Dengan akal, manusia berupaya untuk membina tamadun yang serba indah, budaya yang santun dan pencapaian yang mengagumkan. Dengan akal, manusia berupaya untuk menangkap ilmu dengan instrumen dan cabang ilmu yang pertama, yakni falsafah.

Falsafah ialah apa yang kita boleh anggap sebagai proto-ilmu. Perkataan falsafah datang daripada perkataan Yunani ‘philosophia’ yang bermaksud pencinta hikmah. Proses penggunaan falsafah bermula apabila manusia menggunakan akal dalam memahami alam. Dari sini, manusia akan cuba untuk mencari perkaitan dan signifikasi kehidupan dan alam realiti. Kesannya, teknologi baru terlahir dan budaya kehidupan masyarakat mula berubah daripada kebinatangan ke arah ketamadunan. Klimaks bagi proses ini ialah pandangan alam yang membentuk masyarakat. Secara umumnya, di dunia rimba, pandangan alam yang dipakai oleh haiwan ialah hanya yang kuat sahaja yang hidup. Pandangan alam ini berlainan bagi manusia yang bertamadun.

Aristotle

Ilmu pertama yang terlahir daripada falsafah ialah sains. Sebab itulah ada yang mengatakan ilmu falsafah itu ialah proto-sains, sebab kebanyakan ahli-ahli falsafah zaman dahulu ialah para saintis seperti Thales, Aristotle dan Ibnu Sina. Melalui ahli falsafah, kebudayaan dan pemikiran masyarakat berubah dengan asimilasi ilmu falsafah terhadap mereka lalu melahirkan masyarakat yang bertamadun. Kalau kita lihat dari kaca mata eksperimen sains, hipotesis ialah hikmah/falsafah, perjalanan eksperimen ialah asimilasi falsafah/proses ketamadunan dan konklusi eksperimen ialah sejarah. Oleh itu, saya pilih untuk menyanggah pandangan admin HE bahawa ilmu sejarah ialah antara ilmu yang pertama wujud dalam tamadun manusia.

Falsafah ialah ilmu pertama, kemudiannya sains, komunikasi dan akhirnya sejarah. Sejarah ialah ilmu yang terakhir sekali dalam geneologi ilmu, tapi sama penting dengan falsafah. Bagi sesuatu yang wujud itu untuk mempunyai makna, dia perlukan penutup dan konklusi. Jadi, falsafah ialah pembuka ilmu dan sejarah sebagai akhirulkalam. Tanpa falsafah, manusia menjadi binatang. Tanpa sejarah, manusia kembali menjadi bangsat.

Saya sentuh kembali tentang pandangan alam. Pandangan alam/ worldview/weltenschauung ialah pemahaman komprehensif tentang alam dan kehidupan manusia. Menurut perspektif Islam, Prof. Syed Mohd. Naquib Al-Attas mengatakan bahawa pandangan alam ialah pandangan terhadap realiti dan kebenaran yang wujud pada mata kita dan menjelaskan kita tentang apa erti kewujudan. Bagi setiap kerangka masa dan zaman, pelbagai jenis ilmu falsafah telah dilahirkan dan membentuk pandangan alam dalam sesuatu tamadun. Berkenaan hal ini, saya akan ulas berdasarkan zaman.

Pada zaman Pertengahan, benua Eropah berada dalam kegelapan dek proses pembodohan yang sedang berlaku pada ketika itu. Berlainan dengan Eropah, Timur Tengah sedang mengalami zaman kegemilangannya apabila pandangan alam Islam melalui fasa pembentukan dan perdebatan. Pada asalnya, pandangan alam yang diguna pakai oleh orang Islam ialah pandangan tradisional ortodoks. Melalui penaklukan, kemasukan pengaruh luar dan penterjemahan bahasa, pandangan alam mereka mula berubah ke arah empirisisme melalui proses penyusunan hadis yang sangat terperinci. Tak lama selepas itu, pandangan alam mereka berubah ke arah rasionalisme dan neo-platonisme melalui fahaman Muktazilah dan akhirnya kembali kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Sepanjang tempoh perdebatan fahaman Muktazilah dan ASWJ, kalau anda perasan, ialah zaman kegemilangan sains Islam.

Nicolous Copernicus

Zaman Rasionalisme Eropah bermula semasa Revolusi Copernicun. Nicolous Copernicus menjelaskan bahawa matahari ialah pusat sistem solar, bukan bumi. Pada zaman itu, orang-orang Eropah percaya bahawa bumi ini pusat dunia. Disebabkan itulah, pandangannya menjadi kontroversi. Teori saintifik ini kemudiannya membentuk pandangan alam Renaissance Eropah kepada Rasionalisme. Antara tokoh falsafah terpenting zaman tersebut ialah Rene Descartes. Cogito, Ergo Sum (I think, therefore I am) ialah antara teori falsafahnya yang ringkas tapi sangat penting hingga ke hari ini. Melalui konsep cogito, masyarakat mula meragui segala apa yang dirasai kerana boleh jadi benda itu tak wujud. Satu-satunya cara untuk tahu kebenaran terhadap benda yang mungkin tak wujud itu ialah mengkaji secara rasional. Masyarakat mula meragui pendapat Gereja dan akhirnya proses sekularisasi pun bermula. Zaman Rasionalisme ini kemudiannya berpindah kepada zaman Empirisisme di mana penggunaan akal sangat dititik beratkan, sekaligus melengkapkan fasa modenisasi (1600-1900).

Akibat pergelutan dan masalah sosial yang berlaku pada zaman Moden, beberapa ahli falsafah cuba mencari penyelesaian tentang masalah-masalah tersebut lalu melahirkan aliran Eksistensialisme yang dipelopori Soren Kierkegaard, falsafah sosial Utilitarianisme (Bentham dan Mill), Deontologi (Kant), Feminisme (Wolfstonecraft) dan teori ekonomi (Marx, Hayek). Sejak aliran Eksistensialisme wujud, maka pandangan alam masyarakat mula beralih daripada moden ke arah Zaman Pasca Modenisme (Post-Modernism). Kemuncak zaman ini bermula dengan kelahiran tokoh pasca moden seperti Foucoult dan Derrida. Akibat pergelutan tentang kebenaran mana yang sebenar-benarnya betul, maka penganut pasca modenisme mula melihat kebenaran dari sudut subjektiviti. Kebenaran itu relatif dan berubah mengikut tempat. Oleh itu, mereka memegang konsep pluraliti, yakni semua benda di dunia adalah benar walaupun kita melihatnya sebagai salah. Sekularisme mencapai tahap kegemilangannya pada zaman Pasca Moden.

Syed Mohd. Naquib Al-Attas

Sebagaimana zaman-zaman yang lain, pandangan alam Pasca Moden juga dikritik kerana berbahaya oleh sesetengah ahli falsafah. Antara tokoh tersebut ialah Noam Chomsky dan Prof. Syed Mohd. Naquib Al-Attas. Prof. Noam Chomsky mengatakan fahaman Pasca Moden tak mempunyai apa-apa nilai analitis terhadap ilmu. Prof. Al-Attas juga bernada sama dengan Prof. Chomsky, yakni dengan mengatakan fahaman tersebut akan menyebabkan berlakunya ketidak stabilan kebenaran, memandangkan kebenaran ialah relatif. Oleh kerana kebenaran ialah sinonim bagi ilmu, ilmu juga akan menjadi relatif dan merosakkan nilai intelektual ilmu. Oleh itu, Prof. Al-Attas memperkenalkan konsep falsafah Islamisasi Ilmu bagi mempertahankan nilai ilmu dalam Islam.

Ternyata apa yang dikatakan oleh Prof. Chomsky dan Prof. Al-Attas itu benar. Akibat masalah pandangan alam Pasca Moden, zaman akhirnya beralih kepada zaman Pasca Kebenaran (Post Truth), zaman di mana sentimen dan spekulasi dianggap lebih penting dalam masyarakat secara tersirat. Apa yang dimaksudkan di sini ialah masyarakat pilih untuk mendengar khabar palsu yang menyenangkan berbanding kebenaran yang pahit.

Mungkin ada sesetengah orang akan tanya, kita masyarakat Malaysia sekarang berada pada zaman falsafah apa. Menurut hemat saya, dari sudut politik, kita berada pada zaman Pasca Kebenaran, di mana sentimen emosi sangat dihargai berbanding kebenaran dan fakta. Kalau kita pilih fakta, nanti ada la kena cop makan dedak la, sotong la etc. Dari sudut sains, kita berada zaman Permulaan Rasionalisme. Masyarakat sudah mula memandang ilmu dan budaya sebagai benda penting, sesuatu yang saya rasa bagus. Jadi, bagaimana kita hendak melahirkan pandangan alam yang bagus dan stabil di Malaysia? Saya berpendapat, falsafah Rasionalisme dan Empirisisme perlu dimartabatkan dan pada masa yang sama, perlu ada keseimbangan di antara sains dan kerohanian (Islamisasi Ilmu Al-Attas) bagi mengelakkan sekularisme menular dengan galak dan juga untuk elakkan pembodohan masyarakat kekal berlaku.

Dengan ini, saya mengajak pembaca semua supaya gigih teruskan aktiviti yang bersifat keilmuan dari segi rohani dan jasmani. Marilah kita memandaikan masyarakat kita! Ke arah 2020 dan 2050!

– A.Akmal

Comments

comments

Previous articleMenjawab Salah Faham Orang Bukan Melayu Di Malaysia Mengenai Tamadun Dan Sejarah Orang Melayu
Next articleAset Maritim Strategik Pertahanan Nasional

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here