Mengapa Doktor Biarkan Pesakit Koma?

3784
views

Pada tanggal 3 Julai yang lalu, seorang penyanyi terkenal tanah air, saudara Mustaffa Din atau dikenali dengan nama Mus May, telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat dari demam panas yang berpanjangan. Kisahnya kemudian telah dilaporkan pelbagai pihak media tempatan, yang menyatakan bahawa beliau kini telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Am, Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan koma.

Didalam laporan terbabit, dinyatakan oleh isteri beliau yang saya petik “Mus diletakkan dalam keadaan koma oleh doktor bagi membolehkannya berehat” (Harian Metro, 4 Julai). Malang sekali apabila kenyataan ini telah menyebabkan salah faham dalam kalangan netizen dan peminat yang mendakwa apa perlunya beliau ditidurkan (diletakkan dalam koma) oleh doktor jika beliau sekadar mengalami demam sahaja. Nada persoalan tersebut seolah-olah berniat ingin menuduh staf kesihatan melakukan kezaliman terhadap pesakit.

Sebenarnya, kata-kata isteri beliau tidaklah salah, akan tetapi disalah faham oleh beberapa orang pembaca dengan penggunaan frasa yang mengelirukan daripada pihak media.

Sebagai seorang jururawat yang telah kerapkali menjaga pesakit tenat di wad, berhasrat untuk menjelaskan beberapa perkara berkenaan salah faham ini. Akan tetapi saya tidak akan menyentuh berkenaan keadaan dan kondisi penyakit saudara Mus May. Hal perihal sakit, diagnosa, keadaan, perkembangan beliau hanya layak dikhabarkan kepada waris terdekatnya sahaja. Saya cuma akan cuba menerangkan berkaitan soal mengapa pesakit perlu ditidurkan (diletakkan didalam keadaan koma) secara umum sahaja buat kefahaman pembaca.

Apapun, takziah kami ucapkan buat isteri dan keluarga saudara Mus May dan kami berdoa semoga saudara Mus May lekas sembuh, InsyaAllah.

Sebenarnya, perkataan koma yang dilaporkan dalam media cetak itu tidak sesuai digunakan mengikut konteks. Dalam bidang perubatan, terdapat dua perkataan yang kami gunakan untuk menerangkan keadaan ‘tidur’. Dua perkataan ini, comatose dan sedated mempunyai dua maksud yang berbeza.

Comatose (koma) bermaksud pesakit itu memang tidak sedarkan diri, tak ada respon pada stimuli mahupun sakit, walaupun tanpa sebarang pemberian ubat tidur sedatif (sedation). Walaupun tanpa sebarang ubat, pesakit masih tidak sedar. Kesan dari penyakitnya sendiri adalah punca koma itu berlaku. Ini jenis koma yang sering digambarkan dalam kaca televisyen dan drama Melayu.

Yang kedua, sedated. Sedated bermaksud pesakit yang diberi ubatan tidur sedatif untuk membenarkan pesakit tidur. Selalu digunakan untuk pesakit yang meracau (restless), agresif, kritikal, sakit yang melampau dan juga pesakit paliatif. Pesakit yang diberi sedatif boleh dibangunkan semula pada bila-bila masa dengan mengurangkan dosej pemberian ubatan sedatif tersebut. Maka, pembaca perlu jelas dalam isu ini sebelum membuat sebarang andaian.

Terdapat beberapa sebab utama seseorang pesakit perlu ditidurkan (sedated). Tujuan sedation dilakukan adalah untuk menentukan keberkesanan perawatan, keselamatan pesakit dan mengelakkan kecederaan yang lebih teruk dialami pesakit.

Sebagai contoh, pesakit yang mengalami kesakitan tahap melampau. Kes-kes seperti kemalangan teruk, kecederaan organ dalaman, penyakit jantung, kelecuran dan kebakaran, kes trauma dan assault (serangan), renjatan, selepas pembedahan major, semuanya akan mengalami kesakitan yang melampau. Maka pesakit perlu ditidurkan bagi mengelakkan pesakit merasai kesakitan yang dialami. Ketentuan berapa kuat sedatif diberikan adalah mengikut tahap kesakitan yang dizahirkan pesakit tersebut.

Selain itu, pesakit yang mengalami kecederaan kepala juga perlu ditidurkan bagi memastikan kepala dan badannya dalam keadaan neutral (tidak bergerak). Badan perlu dikekalkan dalam keadaan neutral supaya tekanan didalam otak tidak meningkat, yang mana boleh menyebabkan kecederaan sekunder. Contoh pesakit begini adalah seperti pesakit kencing tikus (leptospirosis), pendarahan dalaman kepala (intracranial bleeding), trauma (traumatic brain injury) selepas pembedahan otak dan kranial (tengkorak), otak yang membengkak (cerebral oedema) dan sebagainya.

Ini juga termasuk kecederaan saraf tunjang seperti selepas kemalangan, jangkitan, pembedahan dan sebagainya. Jika pesakit tidak ditidurkan, maka pesakit sudah tentu bergerak kesana sini, yang mana merumitkan lagi perawatan dilakukan dan menjejaskan kesihatannya.

Ada juga kes kecederaan otak yang menyebabkan pesakit menjadi meracau, agresif, bertindak mahu cederakan diri dan orang lain, tidak tentu hala, keliru dan sebagainya. Pesakit sebegini juga perlu kita tidurkan secepatnya supaya dia tidak menjejaskan kesihatannya semula dan juga orang lain. Keadaan dirinya yang agresif mampu mengundang bahaya kepada dirinya, staf kesihatan, waris dan pelawat dan juga pesakit lain disekelilingnya.

Bagaimana mahu lakukan perawatan jika pesakit bertindak mencekik, menendang, menumbuk dan mencakar staf yang ingin membantu? Bagaimana perawatan dapat dilakukan jika pesakit berdiri diatas katil, bertindak ingin terjun dari katil, lari dari wad? Maka sedatif adalah jalan terbaik untuk mengekang perbuatannya sehinggalah penyakit primer (utama) pesakit dapat dirawat.

Ada juga kes-kes kritikal dan separa kritikal, contohnya kes sesak nafas, sakit jantung, renjatan, jangkitan, masalah ginjal yang memerlukan sedation. Sebagai contoh, pesakit yang sukar bernafas di Unit Rawatan Rapi (ICU) perlu dimasukkan tiub pernafasan dari mulut (atau hidung) sehingga ke cabang bronkus paru-paru supaya pemberian nafas mekanikal (ventilator) dapat dilakukan. Kemasukan tiub ini bukannya sekadar semudah memasukkan straw kedalam mulut. Ia boleh menyebabkan pesakit muntah, batuk teruk, pendarahan dalam salur pernafasan, kerosakan kotak suara jika pesakit dibiarkan bergerak kesana sini dengan tiub pernafasan tersebut. Lebih merbahaya jika tiub pernafasan itu disentap keluar oleh pesakit akibat dari ketidakselesaan, mengakibatkan sesak nafas, pendarahan teruk, bengkak pada salur pernafasan, kotak suara pecah, bisu dan berkemungkinan mati jika lambat diberi respon. Maka, sedatif perlu diberikan kepada pesakit kritikal sebegini bagi memastikan perawatan dapat dijalankan sebaiknya.

Ada juga kes pesakit perlu ditidurkan sebelum sebarang prosedur, terutamanya pesakit kritikal yang meracau, bagi mengelakkan kesakitan dan menjejaskan perawatan. Sebagai contoh, prosedur pembedahan besar, kemasukan kamera kedalam peparu, perut dan dubur, penyiasatan radiasi X-ray, MRI, CT scan, pemindahan ke unit dan hospital lain, kecemasan, dan sebagainya.

Kebanyakan prosedur ini memerlukan pesakit dalam keadaan rehat dan tidak banyak bergerak. Jika pesakit bergerak terlalu banyak, akan menjejaskan kualiti prosedur yang ingin dijalankan. Tambahan pula, jika sedang melakukan pembedahan dan kemasukan kamera, sudah pasti pesakit akan menjerit kepedihan tanpa sedatif.

Pesakit paliatif pula adalah pesakit yang tidak mempunyai peluang untuk sembuh lagi, sama ada akibat daripada keadaan penyakit yang terlampau teruk dan irreversible (tak boleh dipulihkan), tenat atau tiada tindakan yang dapat dilakukan lagi. Keputusan meletakkan pesakit dalam keadaan paliatif adalah terserah sepenuhnya keatas waris terdekat pesakit. Waris terdekat yang akan memberikan keputusan paliatif berdasarkan penerangan yang dinyatakan oleh doktor. Bersetuju mahupun tidak adalah terpulang kepada waris terdekat.

Pesakit seperti ini akan diberi rawatan nursing care (perawatan kejururawatan) sahaja seperti penjagaan kebersihan, keselesaan, makan dan minum, eliminasi, dan sebagainya. Tiada perawatan major lain akan diberikan lagi. Pesakit sebegini, apabila sedang menunggu ajalnya, akan diberi sedatif bagi mengurangkan sakit pemergiannya. Tanpa sedatif, pesakit akan kelihatan tercungap-cungap, nafas sesak dan semput, mata terbeliak luas, badan kadangkala meliuk menahan sakit. Perkara ini sudah tentu tidak mahu ditatap waris terdekat, bagaikan sedang terseksa. Maka pemberian sedatif adalah yang terbaik buatnya. Akan tetapi, semuanya mengikut pilihan waris itu sendiri.

Malang sekali, ramai yang tidak mengetahui tentang perkara ini. Ramai yang mengesyaki bahawa staf kesihatan sengaja membiarkan pesakit mati sebegitu, bahkan ada yang menuduh sedatif itu sendiri adalah punca kematian. Seolah-olah keputusan palliatif itu dibuat tanpa persetujuan ahli keluarga, kejam terhadap waris terdekat. Sedangkan ahli keluarga terdekatlah yang sebenar-benarnya membuat pilihan ini. Lazimnya, tuduhan sebegini datang daripada mereka yang belum pernah mengalami kematian ahli keluarga terdekat di atas katil hospital, mereka yang tidak pernah tahu prosedur palliatif di hospital dan mereka yang tiada perkaitan dan pertalian darah dengan si pesakit palliatif.

Pemberian sedatif sebenarnya merupakan jalan terbaik dalam sesetengah kes terutamanya kes kritikal bagi memastikan pesakit tidak merasai sakit, tidak bergerak, meracau yang mana mengakibatkan kesan yang lebih teruk, bahkan menjejaskan kualiti perawatan keatasnya. Masih banyak lagi contoh kes yang memerlukan pemberian sedatif yang mana tidak dapat saya sentuh dalam penulisan ini. Kesan sampingan penggunaan sedatif terhadap pesakit adalah sangat minima dan jarang berlaku berbanding dengan kecederaan sekunder akibat dari pergerakan pesakit itu sendiri.

Seharusnya perkataan koma itu tidak sewenang-wenangnya digunakan para pemberita bagi mengelakkan salah faham dan tuduhan tidak berasas terhadap warga kerja kesihatan yang berniat ingin membantu pesakit. Para netizen dan peminat juga seharusnya lebih peka dan timba ilmu berkaitan kesihatan, atau fokus pada usaha mendoakan kesejahteraan idola mereka berbanding mempersoalkan perkara yang tidak pasti dan tidak diketahui.

Semoga saudara Mus May lekas sembuh seperti sediakala dan terus menyinari hati rakyat Malaysia dengan alunan rock beliau.

#AC #SNJoker

1 COMMENT

  1. Saya baru kehilangan anak perempuan sya akibat kmlngan jlnraya,arwah mengalami pendarahan otak dikatakan sebesar 1cm.Di letakkan di ICU sebuah hosp negeri dgn hanya diberi ubat tidur selama 5 hari sehingga dia meninggal..sya x bersetuju dia diletakkan ditempat yg bukan sepatutnya dia berada..spatutnya anak sya terus di hantar ke hkl yg ada pakar otak..bkn dibiarkan tido menunggu ajal di ICU tanpa sbrg usaha..di waktu anak sya tenat doktor yg sama memberitahu anak sya sebenarnya kritikal dari hari pertama sudah ada 4 kesan tompok darah pada bhgian otaknya..info dari pihak hosp membuat saya curiga kerana tidak tepat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here