Melayu Pribumi Asia Tenggara Dan Kenapa Mudah Menerima Islam?

0
3392
views

Kesimpulan ringkas Prof Oppenheimer di dalam pembentangannya di Konferens Antarabangsa Kedah Tua tahun lepas adalah 86% Orang Asli terutamanya dari Melayu Proto adalah keturunan langsung manusia yang bergerak masuk ke penghujung Asia Tenggara sejak permulaan migrasi dari Afrika jutaan tahun lampau. Daripada itu ia berpecah membentuk kelompok Melayu moden yang memiliki sekitar 40% genetik sama. 40% ini merupakan pencairan hasil pergerakan berlapis-lapis dan berterusan Utara-Selatan dan Selatan-Utara antara Asia Tenggara dan Selatan China pada zaman neolitik.

Pergerakan ke selatan pula terbahagi dua, yakni pertama turun dari Selatan China ke Indo China, dan kedua dari Selatan China ke Taiwan dan menyebar ke Lautan Pasifik. Hubungan keduanya amat minimal dan pada pendapat saya bahasa Austronesia mungkin menyebar secara terpisah walaupun identikal. Dari kedua-dua pergerakan berbeza tersebut bermakna bahasa Taiwan tidak semestinya adalah yang tertua dan ia sepatutnya sama tua dengan yang turun ke Semenanjung-Sumatera-Jawa melalui Indochina, hanya bahasa induk dari Indochina itu lenyap lalu meninggalkan sela bahasa.

Menarik untuk diperhatikan bahawa pergerakan pesisir dari Selatan China ke Indo China dan berakhir di Jawa itu menjelaskan persamaan linguistik dan usia genetik antara beberapa geografi strategik sepanjang laluan tersebut yakni di Champa, Kelantan dan Jawa. Perhubungan minimal antara kedua-dua pergerakan Indo China dan Taiwan itu dapat diberikan contoh dengan kebudayaan Melayu Indochina yang berasaskan agrikultur padi(penanaman padi pertama di dunia adalah di Ban Chiang di Timur Laut Siam) manakala kebudayaan dari Taiwan berasaskan ramuan sago dan hasil bumi.

Waqaf Saham

Perlu diperhatikan kewujudan rumpun ini di selatan China pra pembentukan ketamadunan Lembah Kuning menjadi leluhur kepada identiti barbarian selatan di sana yang kemudian sentiasa dikaitkan dengan kebudayaan Chu yang eksotik dan mistikal yang kemudian dicedok oleh masyarakat di lembah utara China.
Kemudian, berdasarkan artikel akademik baharu yang dikongsikan daripada Dr. Nasha, bentuk hierarki masyarakat Kepulauan Asia Tenggara dapat dibahagikan kepada dua yakni masyarakat yang berasaskan agraria di mana memerlukan struktur pengkelasan masyarakat yang kompleks manakala yang kedua masyarakat maritim yang hanya memiliki dua lapisan utama tanpa keperluan lapisan pertengahan – yakni dari lapisan pemungut komiditi terus sampai ke lapisan pemerintah. Corak yang kedua menjadi asas majoriti kerajaan awal dan klasik Melayu yang tidak memiliki sempadan tetap tetapi berdasarkan sistem thalasokrasi memonopoli ‘titik cerut’, kawasan pesisiran yang strategik.

Berdasarkan teori migrasi ke selatan Prof. Oppenheimer kelihatannya mungkin masyarakat Melayu awal wujud dalam kedua-dua corak atau menggabungkannya.

Corak yang pertama jika diperhatikan dengan bentuk pergerakan manusia sejak zaman neolitik dan menghampiri zaman besi menunjukkan masyarakat Melayu di Tanah Besar lebih cocok dengan peranan sebagai pengendali dan perintis kepada masyarakat, kebudayaan dan ketamadunan kompleks dan ciri-ciri mereka ini membuatkan mereka lebih hampir dan paling awal menerima pengaruh ketamadunan agraria Benua Kecil India. Corak kedua yang merupakan majoriti menjelaskan adalah tidak hairan apabila elemen Hindu-Buddha terhakis dengan senangnya di sebahagian besar kepulauan Melayu apabila Islam tiba kerana kemiripan sistem kemasyarakatan dan kebudayaannya yang lebih terbuka

Previous articleUnbroken (2014): Pergantungan Pada Diri & Pergantungan Pada Tuhan.
Next articleFeminism Dalam Tamadun Melayu
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here